Virus COVID-19 'berkemungkinan besar' bocor dari makmal - CIA
WASHINGTON: Agensi Perisikan Pusat (CIA) semalam menularkan kenyataan rasmi mengenai asal usul COVID-19, dengan menyatakan virus itu 'lebih berkemungkinan' bocor dari makmal di China berbanding disebar oleh haiwan.
Penilaian terbaharu ini didedahkan selepas John Ratcliffe disah sebagai Pengarah CIA ketika pentadbiran penggal kedua Presiden AS, Donald Trump, di Rumah Putih.
Ratcliffe, yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Perisikan Nasional dari 2020 hingga 2021 semasa penggal pertama Trump, dalam satu wawacara berkata keutamaan 'hari pertamanya' adalah membuat penilaian mengenai asal usul COVID-19.
Ratcliffe, yang turut percaya bahawa COVID-19 bocor dari Institut Virologi Wuhan, China, berkata agensi itu tidak akan lagi berdiam diri.
"CIA menilai, dengan tahap keyakinan rendah, bahawa penyelidikan berkaitan asal usul pandemik COVID-19 adalah berkaitan dengan penyelidikan di makmal, berbanding asal usul semula jadi daripada haiwan, berdasarkan laporan yang ada," kata jurucakap CIA dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, CIA itu tidak membuat sebarang keputusan sama ada COVID-19 tercetus akibat kebocoran makmal atau disebarkan melalui haiwan.
"CIA terus menilai bahawa kedua-dua senario asal usul pandemik COVID-19 dikaitkan berkaitan dengan penyelidikan dan asal usul semula jadi, kedua-duanya berkemungkinan menjadi punca," kata jurucakap itu.
Seorang pegawai AS memberitahu AFP, perubahan pendirian CIA itu adalah berdasarkan analisis baharu terhadap risikan sedia ada yang diarahkan oleh Pengarah CIA sebelumnya, William Burns, dan ia disiapkan sebelum ketibaan Ratcliffe minggu ini.
Beberapa agensi AS, seperti Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Tenaga, menyokong teori kebocoran makmal, pada tahap keyakinan yang berbeza, manakala kebanyakan komuniti perisikan pula cenderung mengatakan ia berpunca daripada asal usul semula jadi.
Penyokong hipotesis kebocoran makmal sebelum ini menekankan kes terawal COVID-19 diketahui muncul di Wuhan, China – pusat penyelidikan utama koronavirus – terletak kira-kira 1,000 batu dari habitat kelompok kelawar terdekat yang membawa virus seperti SARS. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan