Tiada 'Hamastan', kami akan hapuskan Hamas – Netanyahu
BAITULMAQDIS: Biarpun Amerika Syarikat (AS) mengemukakan cadangan gencatan senjata baharu selama 60 hari di Gaza, Israel kekal berikrar mahu menghapuskan kumpulan pejuang Hamas.
Ketetapan itu dimaklumkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menerusi ucapan sulungnya ketika pertemuan anjuran Trans-Israel.
Netanyahu menegaskan, peluang menghapuskan Hamas itu merangkumi usaha menewaskan 'musuh dan menjamin masa depan daripada segi ekonomi, kenegaraan, antarabangsa dan tenaga'.
"Tiada lagi Hamas atau Hamastan. Kita tidak akan kembali kepada keadaan lama itu. Ia sudah berakhir. Kita akan membebaskan semua tebusan kita.
"Betulkah? Bagaimana saya mampu kata begitu? Ini adalah dua matlamat bercanggah!' Tidak masuk akal. Namun, ia boleh dilaksanakan secara serentak.
"Kita akan lakukannya bersama, berbeza dengan yang dinyatakan pihak lain. Kita akan hapuskan mereka hingga ke akar umbi. Peluang ini sangat besar dan tidak akan dibazirkan. Kita tak akan gagal, tunduk atau sia-siakan," katanya.
Istilah Hamastan umumnya merujuk pada pemerintahan Hamas di Semenanjung Gaza, yang mana penggunaannya muncul sekitar masa penarikan diri Israel dari wilayah itu pada 2005.
Kenyataan itu sekali gus melonjak tekanan awam terhadap Netanyahu bagi mencapai perjanjian gencatan senjata kekal dan menamatkan perang yang sudah berlarutan hampir dua tahun.
Malah, Hamas yang disokong Tehran juga meraih tekanan susulan serangan udara AS dan Tel Aviv ke atas tapak nuklear di Iran serta gencatan senjata dipersetujui dalam perang Israel-Iran selama 12 hari, pada Jun lalu.
Pemimpin Israel percaya menerusi kelemahan Iran, negara lain di rantau berkenaan berpeluang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Kelmarin, Trump berkata, Israel bersetuju dengan syarat yang diperlukan bagi memuktamadkan gencatan senjata selama 60 hari bersama Hamas, selepas pertemuan antara wakil AS dan pegawai Israel.
Sementara itu, Hamas dalam kenyataan semalam, berkata pihaknya sedang meneliti syor gencatan senjata 'muktamad' diketengahkan Trump, selain menegaskan Israel perlu berundur dari Gaza.
Hamas berkata, pihaknya sedang meneliti tawaran gencatan senjata baharu yang diterima daripada perantara Mesir dan Qatar.
Namun, matlamatnya untuk mencapai perjanjian yang dapat menamatkan perang adalah dengan memastikan pengunduran Israel sama sekali dari Gaza.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, pula berkata Tel Aviv 'komited' dalam usaha mencapai perjanjian pembebasan tebusan dan gencatan senjata.
Kira-kira 20 daripada 50 tebusan ditahan Hamas dipercayai masih hidup.
Ketika Hamas meneliti saranan gencatan senjata terbaharu, serangan semalaman tentera Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 111 rakyat Palestin di serata Gaza.
Bedilan Israel ke atas sebuah bangunan kediaman di Gaza mengorbankan Pengarah Hospital Indonesia, Marwan al-Sultan, bersama ahli keluarganya. Beliau sebelum ini berulang kali merayu kepada komuniti antarabangsa supaya memastikan keselamatan petugas perubatan. - AGENSI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan