Jumaat, 28 Ogos 2026

GASAK DAN GANYANG PROBOWO



ANAK MUDA

PELAJAR SISWA

BURUH TANI

SEMUA BERSATU

GASAK GANYANG

PROBOWO

KHALAS



Tunjuk perasaan Indonesia bertukar ganas, peserta bertempur dengan polis


JAKARTA: Tunjuk perasaan di Indonesia bertukar ganas apabila peserta rusuhan bertempur dengan polis ketika ribuan orang ramai berarak menuju Parlimen, mendesak hukuman lebih berat terhadap pegawai terbabit rasuah.

Keganasan tercetus apabila penunjuk perasaan membaling objek ke arah polis yang bertindak melepaskan gas pemedih mata dan menghalakan meriam air ke arah kumpulan terbabit, selepas sebahagian besar penunjuk perasaan bersurai menjelang malam.

Penunjuk perasaan dilihat membakar pondok polis dan motosikal, manakala beberapa individu dibawa menggunakan pengusung.

Sebahagian peserta didakwa memiliki bom petrol atau Molotov, selain kebanyakan penunjuk perasaan bersurai secara aman pada awal petang semalam.

Penunjuk perasaan mendesak Parlimen meluluskan rang undang-undang dibentangkan sejak 2008, bagi membolehkan aset pegawai terbabit rasuah dirampas, malah sebahagian mereka menuntut hukuman mati dikenakan terhadap pesalah.

Mereka juga menggesa program makanan percuma untuk murid sekolah iaitu projek utama Presiden Prabowo Subianto, yang dibelenggu dakwaan rasuah, selain tercemar kes keracunan makanan secara besar-besaran, dihentikan.

Terdahulu, anggota polis antirusuhan berjaya menghalang penunjuk perasaan daripada melepasi pintu pagar tertutup kompleks Parlimen.

Ia menjadi lokasi peserta demonstrasi membentangkan bendera kebangsaan sepanjang beberapa meter dan menggantung sepanduk 'perasuah semakin kaya, rakyat pula menderita'.

Sebahagian penunjuk perasaan memakai topi keledar serta menutup muka dengan topeng atau kain, selain cuba memecahkan pintu pagar bangunan Parlimen, namun gagal, manakala segelintir lagi membaling sampah dan pelbagai objek melepasi pagar itu.

Di luar pintu pagar, beberapa penunjuk perasaan menguruskan timbunan sampah dibakar di jalan raya.

Polis Jakarta berkata, 65 individu ditahan sebelum perarakan bertukar menjadi 'penghasut'.

Polis Jakarta sebelum itu berkata, seramai 18,500 anggota dikerahkan untuk mengawal keselamatan jalan raya di ibu negara, ketika lonjakan kemarahan awam susulan kesukaran ekonomi dan jurang ketidaksamaan semakin melebar.

Demonstrasi itu diadakan setahun selepas tunjuk perasaan di seluruh negara bertukar menjadi rusuhan, mengorbankan puluhan orang dan menyaksikan ribuan ditahan.

Keganasan terbesar Indonesia sejak Prabowo memegang jawatan pada 2024, berlaku pada Ogos dan September tahun lalu.

Ia tercetus akibat kemarahan terhadap pelbagai keistimewaan mewah dinikmati Ahli Parlimen sebelum berkembang menjadi kemarahan lebih meluas terhadap kerajaan.

Indonesia sudah lama berdepan masalah rasuah meskipun undang-undang antirasuah diperkukuh, suruhanjaya penyiasatan khas diwujudkan dan beberapa suspek berprofil tinggi ditahan.

Republik itu hanya mencatatkan 34 daripada 100 mata dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025, diterbitkan badan pemantau, Transparency International.

Rasuah menjadi antara isu utama dibangkitkan penunjuk perasaan yang marah terhadap peningkatan kos sara hidup ketika Indonesia berdepan kesan lonjakan harga minyak akibat perang di Asia Barat.

Protes tercetus di beberapa bandar pada Jun lalu, selepas kerajaan menaikkan harga petrol tanpa subsidi sebanyak satu pertiga bagi mengurangkan tekanan terhadap belanjawan negara. - AFP

Tiada ulasan: