Rabu, 29 Disember 2021

BUDAK BAWAH UMUR

 


BUDAK BAWAH UMUR 

Aku tidak tahu secara resmi tahun  berapa  GES Jelebu  ( Goverment English School ) bertukar nama  menjadi  SMUJ  (Sekolah Menengah Undang Jelebu ). Aku masih ingat Guru Besar Primary School aku ialah Ms Eng.  Dia mengajar kami menyanyi melalui rancangan Radio Malaya siaran pendidikan. Ms Eng juga pemain  piano yang baik.

Manakala bila aku  masuk ke SMUJ pada tahun 1964 guru besar aku Mister Nathan. Setahun kemudian dia bersara dan digantikan oleh Mister Francis Xavier. Guru besar baru ini  seorang  pemain tenis yang berkebolehan.

Pada tahun 1965 – tahun aku kena  tangkap kerana naik basikal tak berlampu – guru kelas aku ialah Mister Lim. Mister Lim duduk di Seremban. Dia berulang alik dari Seremban ke Kuala Klawang. Dia juga ada bilik  di Rumah Guru atas bukit belakang sekolah.

Aku kaki buat bising dalam kelas. Bila guru belum  masuk ke kelas  aku selalu beralih-alih tempat duduk. Berborak itu dan ini. Awalnya meja aku di belakang. Tapi diubah ke hadapan oleh Mister Lee  agar dia senang mengawal aku.

  ‘ Which devil  is making that  noise...’ Mata Mister Lee mencari-cari. Matanya memandang pada aku.

Semenjak hari itu aku mengalih nama menjadi Hisham De Ville. Aku tak tahu pun apa makna nama yang aku gunakan ini. Malah nama ini terus menjadi nama untuk   tanda tangan aku hingga ke hari ini.

Tapi aku anggap Mister Lee ini guru yang baik. Ketika aku tertidur dalam kelas kerana kurang tidur akibat ditangkap mata-mata  Mister Lee tidak marah. 

Suara Zul  ’ Sir.. sir police catched him  sir..last night..... bicycle  no lamp..’  Masih aku ingati  lagi. 

Mister Lee tak melakukan apa apa. Aku rasa dia bersimpati kepada aku yang kena tangkap mata-mata.

‘ Pergi court ke ..bila... ‘ Zul kawan dari darjah satu  bertanya. Zul anak pegawai kerajaan. Ayahnya bekerja di Pejabat Daerah. Rumah Zul tidak jauh dari bangunan  Mahkamah Rendah Jelebu. 

‘ Bulan depan ..’ Aku menjawab.

‘ Kenal ke polis yang nangkap kau...’  Zul bertanya lagi.

‘   Dari  rumah pasung Klawang..  ronda naik basikal...dua orang...’ Aku jawab ringkas.

Di rumah cerita  aku kena tangkap kerana basikal tak berlampu tak berpanjangan. Keluarga aku tidak heboh. Tapi Ayen  bercerita  : nengok wayang Elvis  Jailhouse Rock yang tak jadi. Tapi kena tangkap. Maka kesah ini merebak dikalangan kawan-kawan sekampung. 

Aku rasa bangga juga kerana dah masuk lokap di Rumah Pasung Kuala Klawang. Bukan semua orang ada  pengalaman macam ini. Tapi aku risau juga apa akan jadi bila aku dibawa ke mahkamah.

Hari  bicara sampai.  Kawan-kawan sekelas tahu aku bukan ponteng sekolah. Mereka semua tahu dimana aku berada pada  pagi itu. Tetapi aku  tidak pula minta  cuti atau memberi tahu Mister Lee tentang aku wajib  ke mahkamah. Aku tak datang ke sekolah.

Emak dan Abah aku  datang bersama Cik Gu Harith. Dia ini guru besar  sekolah tempat Emak aku mengajar. Aku pergi sendirian. Aku pergi naik bas sekolah dan memakai uniform sekolah.  Seolah-olah nak ke sekolah. Sampai ke pekan aku ngelencong ke mahkamah.

Tuan Hakim datang dari Seremban.  Di Kuala Klawang tidak ada pejabat peguam. Semua urusan kehakiman bertempat di Seremban. Justeru mahkamah hanya akan  mula bersidang apabila Tuan Hakim  telah sampai  dari Seremban.

Jam 9 pagi – Cik Gu Harith , Emak dan Abah aku telah ada dalam  mahkamah.  Aku ternampak juga Abang Kampung Sarin dan Abang Ulu Jelebu yang sama kena tangkap malam itu. Kami semua dibicarakan pada hari yang sama.

Ramai juga orang awam yang menunggu mahkamah bersidang. Mungkin masing-masing sama seperti aku ada kes  yang wajib dibicarakan.

Tertiba seorang mata-mata datang. Nama aku dipanggil.  Aku mengekori mata-mata ke bilik mahkamah. Kemudian dia membawa aku  ke  Rumah Pasung yang tidak  jauh dari bangunan mahkamah.

Mata-mata ini membawa aku masuk ke bangunan kemudian kami naik tangga ke tingkat satu.  Ini pejabat OCPD ( Officer InCharge of Police District ).

Mata-mata mengarahkan aku duduk. Aku menunggu. Mata aku liar memerhatikan bilik  OCPD ini. Di dinding belakang meja OCPD ada gambar Yang Di Petuan  Agong dan gambar Tunku Abdul Rahman. Lalu  aku teringat pastilah di bilik ini juga  Tok  Manaf aku bertemu dengan Tuan OCPD Inggeris sebelum Jepun datang.

Di hadapan Tuan OCPD Inggeris ini Tok Manaf  berjumpa dengan Hock Lim ayah kepada Ah Meng.  Di meja inilah Tok Manaf  dan Hock Lim  menanda tangani surat akuan. 

Surat ini memberikan kuasa kepada Tok Manaf untuk menerima Ah Meng sebagai anak angkat. 

Di bilik ini sebelum menanda tangani surat aku janji  Ah Meng telah ditanya oleh Tuan OCPD sama ada nak tinggal di rumah ayahnya atau di rumah Tok Manaf. 

Dalam bilik ini juga Ah Meng mengakui di hadapan Tuan OCPD Inggeris bahawa dia  mahu tinggal di rumah Tok Manaf. 

Dari dalam bilik ini bermulanya  keluarga  Manaf menerima Ah Meng untuk menjadi anak angkat. Ah Meng di Melayukan untuk menjadi Pak Tunggal . Semua ini berlaku di Rumah Pasung Kuala Klawang di zaman Inggeris sebelum Jepun sampai.

 Di bilik ini juga sesudah Jepun kalah dan sesudah  Inggeris balik kampung – aku  Hishamddin Rais - cucu  Tok Manaf sedang menunggu  Tuan  OCPD.

Tuan OCPD  Melayu masuk.  Dia terus duduk. Mata-mata mengundur keluar bilik. Tinggal kami berdua. Tuan OCPD membuka fail dan membaca. Kemudian memandang tepat pada aku.

‘ Kenapa   basikal awak tak ada lampu...kamu tak tahu ke itu bahaya...’

‘ Basikal pinjam... Ayen punya...’ Aku menjawab.

‘Umur berapa?

‘ Empat belas tahun...’ Aku agak-agak umur aku.

‘ Sekolah ?..’

‘ Di  SMUJ .. form three...’

‘ Awak tahu awak salah..’ OCPD  mengancam.

Aku senyap tidak bersuara.

‘ Awak boleh masuk jil... duduk di Pudu..’ Lagi ancaman sampai.

Aku senyap. Aku tak tahu Pudu itu di mana.

Lalu aku terfikir apakah suasana ini juga yang dirasai oleh Tok Manaf  ketika  dia berhadapan dengan  Tuan OCPD Inggeris.  Apakah cara ini juga di gunakan oleh Tuan OCPD Inggeris ketika menjadi Hakim dan  bertanya  tentang niat hati  Pak Tunggal aku.


Tuan OCPD Melayu menulis di kertas kemudian   bangun. Mata-mata di luar masuk. Fail bertukar tangan. Kami turun tangga dan beredar menuju ke mahkamah.

Bilik mahkamah Kuala Klawang ada  sebesar dua  bilik darjah. Tempat duduk Hakim di pentas yang tinggi. Di hadapan pentas Hakim aku nampak beberapa pegawai  lelaki – India , Melayu dan China -  yang memakai baju lengan panjang putih. Ada dua lelaki India memakai jaket hitam. Kesemua  dilihat kemas memperlihatkan   kepegawaian mereka.

Ada sepuluh kerusi kayu panjang – lima atau enam orang boleh duduk di kerusi ini. Kerusi ini untuk  orang awam  duduk menyaksikan perbicaraan yang sedang berjalan.  Orang Kena Tuduh (OKT) juga  duduk  di kerusi kayu yang sama menunggu nama dipanggil.

Cik Gu Harith, Abah dan Mak aku duduk di kerusi sebelah  tengah. Mahkamah belum bermula bila aku kembali masuk ke mahkamah. 

‘ Pergi mana tadi...’ Emak aku bertanya. Cik Gu Harith dan Abah aku  memandang.

‘ Rumah Pasung.. jumpa OCPD...’ aku jawab ringkas.

 Tertiba suara mata-mata memberi arahan ‘  Semua bangun.’

Semua yang berada  dalam mahkamah bangun berdiri . Tuan Hakim masuk dari bilik belakang dan terus  duduk. Sesudah hakim duduk kami  semua duduk kembali.

Dua mata-mata di kiri dan kanan bilik memastikan tidak ada  sesiapa yang duduk menyilangkan kaki di atas paha. Jika ternampak maka mata-mata ini tanpa bersuara akan menggetok kaki dan paha yang berkenaan dengan cota. Mata-mata  menggunakan isyarat tangan melarang bercakap. Mahkamah senyap.

Kes pertama : Kes pecah rumah. Kes kedua : Kes  curi. Kes  Ketiga kes : Curi. Mata aku memandang ke arah Abang-Abang yang sama kena tangkap dengan aku. Empat sosok itu duduk bersama-sama. Mereka duduk di sebelah kiri. Aku duduk di sebelah kanan.  Kami sesama menunggu.

Kemudian Pegawai Mahkamah memanggil nama. Abang Ulu Jelebu bangun. Dia pergi ke kandang  OKT.  Aku nampak dua orang  mata-mata yang menangkap kami ada bersama. Mereka dengan pakaian seragam mata-mata. 

Pegawai mahkamah menyebut nama mata-mata yang menangkap kami. Jam berapa kami ditangkap. Kesalahan : Basikal tidak berlampu.

Lepas satu satu  nama Abang-abang dipanggil. Semua melalui proses yang sama. 

Bila  ditanya Tuan Hakim mengaku salah  atau tidak – semua mengaku salah

Tuan Hakim menjatuhkan hukum denda  25 ringgit.  Abang-abang beredar. 

Aku menunggu nama aku dipanggil. Emak aku memerhatikan Abang-abang keluar dari kandang OKT.  Kemudian dia memandang aku.

‘ Tu yang sama kena tangkap dengan  kau...’ Emak aku berbisik. 

Aku mengangguk. Cik Gu Harith memandang Emak aku. Emak aku memandang Abah.. Kami tak tahu kenapa nama aku tidak dipanggil.

Tertiba suara mata-mata: Bangun.. semua bangun. 

Tuan Hakim keluar. Mahkamah berhenti  rehat makan tengah hari.

Kami terpinga-pinga tak tahu apa yang berlaku dan kenapa nama kau tidak dipanggil.

Abah aku pergi ke pejabat mahkamah untuk mengetahui apa yang berlaku. Kami menunggu di luar.

Abah aku keluar dia  tersenyum dan berkata:  Budak bawah  umur... tak da kes...’ 

Kami beredar dan pulang ke rumah menaiki kereta Cik Gu Harith.

EPILOK 1
Semenjak kes itu aku tak berani lagi naik basikal tak berlampu. Denda  25 ringgit adalah jumlah yang lumayan.

EPILOK 2
Pada tahun 1969 keputusan peperiksaan Senior Cambridge  dan Malaysia Certifficate of Education  (SC-MCE ) telah keluar. Aku lulus cermerlang.

Aku tidak ada rancang apa-apa. Aku tidak ada ide atau rancangan untuk sambung belajar. Juga tidak ada niat untuk mencari  kerja. Aku tidak melakukan apa apa.

EPILOK 3
Pada satu petang Yusof Wok  datang ke rumah aku.  Yusof ini pelajar tingkat lima SMUJ. Dia  tinggal tidak jauh dari rumah aku di Kampung Chenor. 

Dia membawa pesanan  dari Guru Besar  Mister  Francis  Xavier. Aku diminta datang ke SMUJ. 

Esoknya aku mengayuh basikal ke sekolah untuk berjumpa Mister Francis Xavier.

Mister Francis memberi tahu aku telah diterima masuk ke Kolej Melayu Kuala Kangsar – Malay College Kuala Kangsar -MCKK. Aku  tidak melamar. Dan aku tidak tahu apa yang ada di hadapan  aku. Aku tidak tahu pun apa itu MCKK.

EPILOK 4
Bulan April 1969 - aku menjadi murid  Tingkatan Enam  Bawah di MCKK.

Ini Kolej Melayu yang memiliki banyak tradisi.

Salah satu tradisi MCKK ialah  Old Boys  Weeked – Hujung Minggu Murid Tua. Jumaat Sabtu dan Ahad yang ditetapkan ini murid-murid bekas pelajar MCKK akan datang ke sekolah lama mereka.

Ada yang telah menjadi Pegawai Tinggi, Penjawat Awam , Pegawai Polis dan yang masih belajar  di Universiti tempatan.  Mereka datang di hujung minggu untuk mengingati dan mengalami kembali  perasan di zaman mereka menjadi murid.

Akan ada perlawanan ragbi antara murid tua dengan tim MCKK. Ada program  ceramah untuk pelajar yang sedang belajar tentang universiti, ilmu pembelajaran, kerjaya  untuk  masa depan dalam  pelbagai bidang.

Ada yang mahu kembali menginap di bilik asrama.  Ada yang duduk di hotel di Kuala Kangsar.  Mereka yang membawa isteri terutama isteri Minah Salleh akan  menginap di Rest House Bukit Chandan.

Aku pelajar baru ke MCKK tidak tahu tradisi ini. Aku  membuka mata dan mengikuti apa yang sedang berlaku.

Pada Sabtu petang aku melihat pelawan ragbi – murid tua lawan  tim MCKK. Mata aku terkejut bila aku ternampak satu sosok seorang murid tua. Aku rasa aku pernah melihat sosok ini satu masa yang agak lama dulu.

 Malamnya di dewan  makan aku perhatikan sosok ini.   Dia duduk di  High Table – maknanya pegawai tinggi. Aku  menyimpan perasaan. Aku takut tersalah orang.

Esoknya hari Ahad aku beranikan hati  pergi ke bangunan Pavillion – bangunan asrama untuk murid Tingkatan Enam Atas. 

Di Pavillion murid  tua sedang berkumpul berehat sebelum bersurai pulang.  Aku hampiri  sosok itu  dan terus memperkenal diri.

‘ Hi.. Isham... lower six arts ... I think we met once before...’ Aku katakan yang aku pernah jumpa dia satu ketika  dulu.

‘ Where ..’ Dia bertanya.

‘ In your court room... Kuala Klawang Jelebu..’  Aku memberi penjelasan.

‘ Betul.. I was once a  working in Jelebu.. I was a Magistrate Court Judge .. in Jelebu.. lama dulu ni...the road  to Jelebu was terrible...’ Dia  menerangkan pengalaman melintas hutan Bukit Tangga dari Seremban.

‘  Polis tangkap... naik basikal tak ada lampu...bawa ke court... tapi you did not charge me...  budak bawah umur...’  

Dia ketawa dan berkata ‘ You made it to MCKK.... I’m glad....’ 

Aku Hisham De Ville tersenyum puas. (TT)



TULISAN INI JUGA
DISIARAKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/12/29/budak-bawah-umur/








 

Tiada ulasan: