Rabu, 20 April 2022

TAIPING KAMI SAMPAI

 

TAIPING  KAMI SAMPAI


Awal pagi Lee Keong dan aku telah bersedia untuk meneruskan perjalanan ke Pulau  Pinang. Anak buah aku Norita dan Hazlan duduk bersama kami ketika sarapan. 

‘ Dapek ke kereto nanti.... jauh Penang ni... ado ko orang nak boronti... ‘ Kakak aku agak risau apakah kami akan berjaya ke Pulau Pinang.

‘ Mesti ada...Ipoh kita dah sampai....’ Aku menjelaskan.

‘ Terus ke Penang ko .. ‘ Kak aku bertanya.

‘ Nak singgah Taiping... nak lawat Cik Gu kami... dia duduk di Taiping... dia dah beri alamat...dia. suruh cari  kedai kasut dalam pekan Taiping ....’ Aku menjelaskan rancangan kami.

‘ Dio ni..Cik  Gu ni...Cino ko Melayu...’ Kakak aku mahu penjelasan.

‘ China... dia orang  Taiping...’ Aku menjawab. Lee Keong duduk mendengar sambil minum teh.
 
‘ Bungkus roti sikit.... nanti kok lapar...’ Kakak aku membekalkan roti keping bermajrin dengan taburan gula. 

‘ Yung...Lan... bila nak balik kampung..’ Aku bertanya  pada Norita yang kini kami panggil Yung kerana di besarkan di Perak.

‘ Bila  raya...’ Yung menjawab.  Matanya Yung dan adiknya  Hazlan memandang ke muka Kakak aku untuk meminta pengesahan. Ayah mereka telah keluar lebih awal.

Pagi itu  aku merasa sedih juga  aku meninggalkan anak buah dan kakak aku.  Lalu aku berjanji ketika  pulang nanti akan singgah sekali lagi.

‘ Nanti ... balik nanti singgah lagi ....’ Aku berjanji.

Kami mengambil bas menuju ke bandar Ipoh. Kami berhenti dalam kawasan bandar. Aku tak tahu pun arah dan jalan mana kami berhenti.

‘ Mari kita tengok Ipoh..’ Cadangan aku pada Lee Keong.

Kami menyisir di tepi  kedai.  Mata terbuka melihat  pekan Ipoh. Dari buku ilmu alam darjah enam ada  bab mendulang dan bijih timah.  Dari  buku ilmu alam yang aku baca Ipoh bandar bijih timah. Perak dan Ipoh negeri dan bandar  terkaya di Malaysia. 

Fakta ini aku lihat sendiri dari rumah-rumah banglo di kiri kanan lalu bas sebelum kami sampai ke  Tambun.  Kalau rumah besar menggunung pasti duit timbun berkepuk.

Ipoh – dari apa yang aku baca berasal dari pokok Ipoh yang dikatakan racun. Orang Asli menggunakan getah Ipoh ini sebagai racun untuk menyumpit binatang buruan.  Aku rasa pelik juga kesah racun Ipoh ini tidak pula aku dengar dari Sakai yang tinggal di Jelebu. 

Tahun 1968 aku menapak dalam pekan Ipoh tanpa haluan. Mata budak kampung dari Jelebu   terbuka untuk melihat pekan terkaya  di Malaysia.

Kedai-kedai semuanya milik China. Watak ini sama seperti bandar Kuala Lumpur dan Seremban. Pekerja dalam kedai  - juru jual – semua China.  Hakikatnya  di Ipoh ini aku tak nampak orang lain melainkan China. Kedai China, kereta China pejalan kaki pun China.  Aku merasa begitu asing macam aku dalam negara lain. 

Kami tidak  berselisih dengan  Achi atau Tambi atau Abang atau Minah. Aku sahkan tahun 1968  Ipoh ini pekan China.  Agak berbeza dengan  Kuala Lumpur yang ada  juga orang yang bukan China lalu lalang  disana sini. Tapi  bukan di Ipoh pagi tahun 1968  ketika aku dan Lee Keong mundar mandir tanpa haluan.

Menapak merayau dan membuka mata tertiba aku terserempak dengan panggung wayang Ruby. Mustahil aku akan melupakan panggung ini. Ini pasti Abang kepada Panggung Ruby di Kuala Kawang.   Panggung Ruby di Ipoh lebih gah – bangunan batu lebih besar terletak di bucu jalan.

Ketika aku di hadapan Panggung Ruby poster gambar wayang China terpampang.

Berjalan menapak tanpa tujuan kami  ternampak  Abang Polis. Ini Abang Polis Melayu. Lalu aku bertanya arak jalan ke Taiping.

‘ Juah juga... kena ambil jalan depan ini ke arah Sungai Siput.... ke Kuala Kangsar....baru jumpa Taiping.... nak naik bas ke ..’  Abang Polis memberi penerangan.

‘ Tak.... kami hitch hiking...tumpang kereta orang...terima kasih bang...’ Aku menjawab.

Jauh juga kami berjalan untuk keluar dari  pekan Ipoh. Aku rasa sama juahnya macam kami nak keluar dari Kuala Lumpur. Bandar Ipoh ini memang besar.

Matahari makin terik.  Akhirnya  terjumpa tanda jalan arah ke  Sungai Siput.

Kami di tepi jalan berdiri menunggu kereta lalu dengan sabar. Bila aku letih berdiri Lee Keong akan  berdiri menghulur tangan berharap ada pemandu  kereta yang faham akan niat kami mahu menumpang.

Kunci hitch hiking ini  agak mudah. Wajib keluar dari pusat bandar. Cari jalan yang lurus dan senang untuk pemandu melihat dari jauh. Jalan lurus yang agak panjang agar mudah untuk pemandu berhenti jika pemandu terlepas pandang.  Elakkan menunggu di simpang jalan. 

Terlalu banyak kereta pun musuh. Terlalu kurang kereta pun musuh.

Perhatikan kereta yang hanya  ada pemandu.  Si Pemandu mungkin mahu  teman berborak jika perjalanan jauh. Kami tidak mencuba lori atau  van. Bila nampak bas kami akan menghala pandangan ke arah lain untuk memberi faham kepada pemandu yang kami bukan bakal penumpang.

Aku ingat lagi pesanan Abah  aku :  Jagaan naik lori balak. 

Banyak  kereta lalu akhirnya sebuah kereta  berhenti terlajak ke hadapan. Kami berkejar ke hadapan dan pemandu mengundur ke belakang.  Kereta Abang China.

‘ Sungai Siput... ‘ Dia bersuara.

‘ Boleh...’ Aku menjawab. Sebenarnya aku tak tahu pun apakah Sungai Siput ini  pekan atau kampung.

Kami naik. Kereta berjalan.  Abang China bercakap China dengan  Lee yang duduk di hadapan. Aku di belakang hanya mendengar suara. Tapi aku tahu pasti pertanyaan yang sama dari setiap pemandu. Dan kami pun telah bersedia untuk  memberi jawapan yang telah kami ulangi berkali-kali.

Hampir semua pemandu akan bertanya apakah kami ini pengakap. Di mana Jelebu? Hendak ke mana  tujuan akhir. Bawa banyak duit ke?  

Abang China memberhentikan kami  di tepi pekan Sungai Siput.  Aku ternampak sebuah bangunan seperti panggung  wayang yang semuanya tulisan China. Sungai Siput pekan kecil. Kedai sederet bangunan kedai  di kiri  dan kanan jalan. Lalu aku tergambar pekan Sungai Siput ini sama seperti pekan Beranang. Ada kedai papan dan ada kedai batu dan ada kedai setengah batu dan setengah papan.   

Aku tak tahu sejarah Sungai Siput. Tapi yang pasti wilayah ini pasti bersangkutan dengan bijih.  Mungkin juga Sungai Siput ini seperti pekan Titi di Jelebu yang asalnya Kampung Baru China kemudian membesar lalu  menjadi pekan.

Kami menapak  meninggalkan pekan Sungai Siput. Di bawah pokok kayu besar  di tepi jalan kami berhenti. Aku membuka bekal roti. Kami mengalas perut.  

Sebuah kereta berhenti. Kali ini  Pak Cik Melayu yang memandu  Morris Minor. Aku amat kenal dengan kereta jenis ini. Ini bukan kerana aku meminati  kereta. Tidak.

Aku kenal kereta jenis ini kerana di Kuala Klawang ada dua buah Morris Minor yang berwarna biru muda. Satu dimiliki oleh  Mister Jai Singh dan satu lagi dimiliki oleh Mister Tay. Mereka berdua ini guru yang mengajar di SMUJ.

‘ Nak ke mana..’ Pak Cik Melayu bertanya sambil membuka pintu kereta.

‘ Taiping...’ Aku menjawab.

‘ Masuklah.... Saya nak ke sana...’ 

Aku duduk di hadapan. Lee Keong di belakang.

‘ Ada apa di Taiping...’  Pak Cik bertanya.

‘ Rumah Mister Tay... dia guru kami...’  Penjelasan dari aku.

Kemudian kami bercerita tentang Jelebu yang kering dan Taiping yang basah. 

‘ Wah cik gu Tay kau ni nasib baik.... dapat rasa tempat basah dan tempat kering.... kau berdua ni murid baik dia.. dah abis belajar pun masih ingat....bagus... bagus...ingat pada guru yang mengajar kita...kena rotan pun tak pa... kita ingat semua...’ Pak Cik ketawa. 

‘ Pak Cik kerja apa ..’ Kali pertama aku bertanya  hal pekerjaan.

‘ Dulu pernah jadi guru sementara... macam kau orang lepas periksa  Cambridge jadi guru kemudian kerja pejabat kerajaan..... Pak Cik orang Selama... nak jumpa anak di Taiping...’ Pak Cik lima puluhan bersurah.

Kami hanya mendengar nama Selama. Kami tak tahu pun ini pekan , kampung atau daerah.

‘ Jap lagi Sungai Perook... ini jambatan Raje...’  Tetiba Pak Cik ini bersuara dengan lorat Perak.

Mata aku  terbeliak memandang Sungai Perak. Cukup besar. Inilah pertama kalinya  aku melihat sungai yang begini besar.  Aku selalu mendengar tentang Sungai Perak dan Sungai Pahang. Dua sungai yang besar dan panjang di Semenanjung.

Aku menjulur kepala keluar tingkap kereta. Sungai ini memang besar lima kali besarnya dari Sungai Klawang yang melintas belakang rumah aku. 

Aku tak percaya bila aku ternampak dalam sungai ini ada pula pulau  dengan tumbuhan pokok kayu. Sungai yang ada pulau ini sudah menjadi laut.

‘ Mesti banyak ikan...’  Pandangan dari aku.

‘ Ni dari Tasik Temenggor... Lenggong...ikan banyak...ikan Tapah besar anak lembu ... boleh makan   anak kambing pun ada..’ Pak Cik bercerita.
Aku hanya mendengar surah Pak Cik ini. Dari buku ilmu alam yang aku baca Sungai Perak ini  sungai terpanjang di Semenanjung. 

‘ Ha... itu simpang ke Kuala Kangsor... Raje Perokk ... Istana disana... sungaei lalu  depan Istana....kite tak masuk... kite terus ke Taipeng..’  Lorat Perak makin pekat. 

Kami lalu  di wilayah kampung Melayu. Kiri kanan ada sawah dan kebun getah. Kemudian sampai ke jalan lurus, Jauh di hadapan gunung kapur. Di bawah gunung kapur ini ialah sawah luas terbentang. Ada laluan kereta api di hadapan gunung kapur ini.

‘ Ini Padang  Rengas... depan tu  Bukit Berapit....’ Pak Cik menjadi pemandu pelancong yang baik.

Bila aku lihat  gunung kapur , bila aku ternampak  sawah yang mula menguning   dan laluan  kereta api   aku teringat akan poster (KTM)  Kereta Api Tanah Melayu yang aku lihat terpampang di dinding stesen kereta api Seremban.  

Aku memandang  ke luar tingkap kereta dengan penuh kegembiraan. Akhirnya  aku bertemu dan ternampak dari mana gambar poster ini dirakam.

Morris Minor mula mendaki Bukit Berapit. Aku melihat Bukit Berapit ini agak kecil berbanding dengan Bukit Tangga jalan dari Seremban ke Jelebu. Bukit Tangga panjangnya empat batu naik dan empat batu turun – dan setengah batu jalan mendatar  antara menurun dan mendaki.  Bengkang bengkok Bukit Tangga  macam ular dipalu. 

Kami melintasi kampung Melayu yang dipagari oleh pokok durian dan pokok buah-buah. Baru aku sedar di Ipoh dan di Sungai Siput tak ada Melayu. Orang Melayu berkampung di wilayah pertanian yang juah dari Ipoh.

‘ Ini Simpang... ke depan Tanjung.. kita belok masuk Taipen...’ Lorat Perak datang lagi.
‘  Berhenti kat stesen bas... nanti kau carilah Cik Gu kamu...’  Pak Cik membawa kami ke stesen bas Taiping.  Kami bersalaman.

‘ Jangan lupa.. nanti tulis pengalaman kau ni...’ Kata-kata  akhir dari Pak Cik Morris Minor.

Sekarang tugas kami ialah mencari kedai kasut. Dengan alamat dalam tangan kami tidak risau. Yang kami risau jika Mister Tay berada di luar Taiping walau pun sekolah masih bercuti. Dia tidak mungkin berada di Kuala Klawang atau Seremban.

Akhirnya kami bertemu kedai kasut yang dicari. 

Kepada Tuan Kedai kami terangkan siapa kami.  Tuan Kedai Pak Cik China  menyantuni kami dengan baik. Meminta kami duduk. Dia memanggil anak muda lelaki belasan tahun dan  bercakap dalam bahasa China.

Anak muda ini berbasikal hilang sebentar. Kemudian dia muncul kembali dalam kedai.

‘ He is at home... waiting for you... follow me....my name is Chen....’  Anak muda mengajak kami  mengekor basikal dia.  Kami berjalan tidak jauh. Ke arah stesen kereta api.  

‘ Hisham.... Lee Keong... you arrived ... come ini...’ Mister  Tay muncul di pintu dan menjemput kami naik tangga batu rumah papan.

‘My father-in-law lives here... he  works with KTM... Chen is my brother-in Law....kedai kasut ... my uncle runs that shop.....’ Baru aku  tahu anak  muda berbasikal itu  adik ipar Mister Tay.  Kedai kasut milik bapak saudara Mister Tay.

‘ There is an empty room.. you can rest...and we had diner later... Chen  help you friend...’ Mister Tay berundur dan kami dibantu oleh Chen masuk ke bilik.

Aku ingat lagi malam itu kami makan di meja bulat. Mister Tay menjadikan kami  tamu yang selesa.  Isteri Mister  Tay muncul sebentar di meja makan kemudian beredar. Keluarga  ini membiarkan kami bertiga ‘Warga Jelebu ‘ di meja makan.

‘ Tomorrow ... what are you going to do... there is the Museum... Lake Garden.. what else to see.....’ Mister Tay memberi cadangan.

Malam itu aku tidur dengan selesa di rumah banglo kayu bertangga batu milik KTM.  Esok aku akan merayau di Taiping.(TT)

TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/04/20/taiping-kami-sampai/




Tiada ulasan: