Rabu, 22 Februari 2023

SAJAK DAN BUKU TERLARANG


SAJAK DAN BUKU TERLARANG


Buku The Essential Left  yang dipinjamkan oleh Syed Husin kepada aku menjadi kitab pertama yang aku baca tentang sosialisma.  Agak susah juga untuk aku memahami apa yang telah digarap oleh Marx, Engles, Lenin dan Mao dalam buku ini.

Aku pernah mendengar nama Marx. Karl Marx ( 1818-1883) ini dikatakan pemikir, penulis  dan pencetus idea sosialis dan komunis. Ketika aku  melamar untuk menjadi ahli Kelab Sosialis Universiti Malaya aku tidak faham apa bezanya sosialis dengan komunis.

Pada tahun 1971 di Malaysia aku tahu ada Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). Ada Parti Komunis Malaya (PKM ) di bawah pimpinan Chin Peng. PKM bergerak dalam hutan kerana diharamkan bergerak secara terbuka. 

Manakala   nama Lenin ( 1870-1924 )  aku terbaca bahawa sosok ini adalah pemimpin politik dari  Rusia. Lenin telah lama mati.

Nama Mao Zedong ( 1893-1976) ini selalu aku dengar. Sosok ini adalah pemimpin politik dari China. Dia masih hidup ketika aku masuk UM.

 Apa yang menarik untuk aku tentang Mao ialah potongan rambut dan fesyen kolar baju yang dipakai oleh Mao. 

Aku langsung tidak tahu  siapa pula sosok yang bernama Engles (1820-1895).  Pengetahuan aku amat-amat terbatas. Pembacaan aku tentang falsafah atau teori ekonomi  atau teori politik amat cetek.

Asas pembacaan aku dalam Bahasa Melayu.

Justeru, aku selalu terfikir alangkah baiknya jika buku-buku keilmuan progresif seperti ini ada dalam Bahasa Melayu. Atau ditulis dengan lenggok bahasa yang lebih demokratik  dan tidak memerlukan aku membuka  kamus.

Diantara nama-nama ini nama Mao Zedong  yang paling  selalu aku dengar. Ini kerana dia pemimpin negara China yang tidak jauh dari Malaysia.  Juga di Malaysia ada ramai warga berketurunan  China.

Malah aku pernah terbaca  berita tentang  mata-mata menggeledah sebuah rumah orang politik di sebuah Kampung Baru China   dan ditemui buku karya Mao Zedung.  

Buku dan tulisan Mao dianggap subversif. Pemilik buku ini dicap anti-nasional. Aku juga  tak faham makna anti-nasional. 

Apakah kerana dia China maka dia dicap anti-nasional. Perkataan anti  aku faham maknanya tidak suka kepada sesuatu.  Apakah anti-nasional ini bermakna anti- Melayu. Tak suka  kepada Melayu.

Sebenarnya aku juga  tidak faham apa makna subversif. Pemahaman aku ialah kumpulan subversif ini adalah kumpulan yang melawan. 

Anti-nasional  dan subversif adalah dua  perkataan politik paling pop ketika aku masuk universiti. Untuk anak muda perkataan paling pop ketika itu  ialah kartus dan berdengung.

Aku mentakrif membaca buku atau kitab subversif bermakna membaca buku dan kitab melawan.

Melawan amat menarik untuk aku. Aku dari kecil memang suka melawan. Melawan dan mempersoalkan apa yang wujud. Aku suka bertanya kenapa dan mengapa. Aku  nak tahu hal itu dan hal ini. 

Contohnya dari  kecil aku agak skeptis  dengan  hantu. Takut ada tapi aku mahu bukti tentang wujudnya hantu. 

‘ Adik nak tengok hantu...’ Aku membahasakan diri aku Adik ketika aku membesar.  Dari kecil lagi aku mahu melihat hantu sama seperti aku dapat melihat pokok pisang.

Jadi bila aku terbaca wujudnya  buku atau tulisan terlarang ini menaikkan berahi aku  untuk mencari dan membaca apa yang terlarang ini.

Di Universiti Malaya (UM) ada gedung perpustakaan yang amat besar dengan ribuan koleksi buku untuk jadi rujukan kepada mahasiswa.

Gedung buku ini terletak di hadapan Dataran Sastera.  Berjalan ke gedung ini wajib  melintasi  Sudut Pidato yang didirikan  di bawah pokok kayu tak sampai 50 meter dari pintu kaca bangunan perpustakaan. 

Setiap pelajar dikenakan sekali bayaran 50 RM – duit cagaran – jika kami terhilang atau tidak memulangkan buku dari perpustakaan maka duit ini akan lupus.

Lepas berijazah boleh klim kembali duit 50 RM  ini.

Dalam gedung buku ini ada buku yang di takrif sebagai  ‘ red spot’. Ini adalah  buku yang ramai mahu meminjam. Jumlah buku terhad. Justeru siapa dulu dia dapat.  Peminjam buku red spot  ini memerlukan giliran. 

Manakala peminjam buku terbuka  yang diambil dari rak buku tidak memerlukan giliran. Boleh meminjam untuk seminggu atau dua minggu.

Aku juga di fahamkan dalam gedung buku ini ada buku dan kitab terlarang. Kitab dan buku  yang dianggap subversif oleh kerajaan.

Sosok mana  yang mentafsir buku itu atau buku ini subversif aku tidak tahu.

Dari legenda  dan mitos yang aku dengar dari para senior  bahawa dalam gedung buku UM ada Das Kapital. Buku yang kali pertama di cetak pada tahun 1867- telah melebihi seratus tahun.

Das Kapital ini sebuah buku yang telah lama aku dengar namanya. Malah ketika aku di sekolah menengah lagi aku telah diberitahu bahawa Das Kapital ini sama tarafnya seperti kitab Injil  untuk penganut Kristian atau Quran untuk penganut Islam. 

Das Kapital ini untuk penganut fahaman komunis.

Untuk aku kitab Das Kapital ini tidak memberahikan aku berbanding dengan Buku Merah Mao. 

Aku ada terbaca dalam Utusan tentang Buku Merah Mao. Pelajar di negara China  berdemo dan membawa Buku Merah Mao ketika menggerakkan Revolusi Kebudayaan – Cultural Revolution pada tahun 1966. Apa makna dan kenapa bawa buku ini aku tidak mengerti. 

Bila aku baca berita Revolusi Kebudayaan aku bertanya pada diri sendiri apakah agaknya isi Buku Merah ini hinggakan di puja oleh anak muda di China.

Malah pada tahun 1968 aku terbaca dalam akhbar Inggeris Strait Times tentang pelajar dan mahasiswa di Paris menunjukan perasaan. Mereka juga membawa  gambar Mao. Malah dilaporkan Buku Merah Mao juga jadi rujukan mahasiswa di Paris.

Untuk aku berita seperti ini tertanam dalam  ingatan  aku.

Kenapa ada buku di larang ?  Ini menaikkan syahwat aku untuk membaca. Untuk aku yang terlarang itu pasti menarik. Pasti ada rahsia tersimpan didalamnya. Jika tidak kenapa buku itu di larang untuk di baca.

Dalam masa yang sama aku juga di fahamkan buku-buku terlarang ini boleh dibaca jika ianya hendak dijadikan bahan rujukan.   Ini kerana  kami pelajar universiti – dari menara gading,

Buku-buku terlarang ini untuk rujukan pelajar yang menyediakan tesis pasca sarjana muda  atau tesis Phd.  Pelajar tahun satu seperti aku tidak  ada peluang.

Hakikatnya hendak membaca buku dan kitab ini walau pun untuk tujuan  rujukan bukan mudah. Ianya  memerlukan syarat. Ini maklumat yang aku dengar dari para senior di Kolej Ke Lima.

Syarat Pertama : Pensyarah wajib mencadangkan nama buku ini.

Ke Dua : Wajib mendapat kebenaran dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Syarat dari KDN ini pada hemat aku amat berat.

Kali pertama aku masuk ke gedung buku UM ini ialah  ketika Minggu Orientasi. Ini tempat wajib dilawati oleh pendatang baru. Kali pertama masuk aku hanya berlegar dari tingkat ke tingkat tanpa meminjam buku.

Mata aku terbuka dan mulut melopong apabila melihat jumlah buku yang banyak. Beratus kali lebih besar dari perpustakaan di SMUJ mahu pun di MCKK.

Ketika Kelab Sosialis mengadakan jamuan teh untuk ahli  baru aku sempat  bertemu dengan Usman Awang ( 1929-2001) dan Latif Mohidin.

‘ Cuba tengok pada dinding masuk library.... ada sajak  khas ... sajak ini diminta khas oleh Beda Lim...dia penjaga library....bayaran pun agak lumayan...’ Usman menerangkan pada aku tentang sajaknya yang ada dalam perpustakaan UM.

Dengan maklumat ini aku masuk ke gedung buku untuk mencari sajak Tongkat. Bila aku sampai di pintu masuk mata aku liar mencari.  

Betul ! Aku ternampak  di  dinding masuk ada sajak Tongkat  yang ditulis dengan huruf tembaga.  Aku rasa ramai juga tidak menyedari wujudnya sajak ini. Hendak membacanya  perlu mendongak ke atas.

Siswa siswi yang masuk ke gedung  bukan masuk ke muzium atau galeri seni. Mata mereka tidak tercari-cari. Hati dan matanya hanya tertumpu pada buku bukan pada  dinding. Mereka tidak akan mendongak mencari-cari di siling. Justeru ramai pelajar tidak sedar akan wujudnya sajak ini.

Aku mendongak dan membaca sajak Tongkat :

Perpustakaan tercinta ini
Pelabuhan kebudayaan peradaban zaman
Gedung akal laut bicara manusia
Mutiara pendeta tasik pujangga
Kota kebenaran penaung kebebasan
ucap suara
Dari ruang ini bersinar keagungan pemikiran
Menghayati teluk liku zaman demi zaman
Tanpa prasangka apa tanpa batas benua
Kekal bersama angin yang mengusapi
Abadi bersama langit yang memayungi
Dikeramatkan untuk anda menghidup segala
Di perpustakaan tercinta ini

Ini sajak Tongkat. Aku merasa bangga bukan sahaja telah membaca sajak-sajak Usman Awang malah telah bertemu dengan sasterawan itu sendiri.

Sajak Tongkat ini amat dalam maknanya. Dalam sajak ini Tongkat sedar bahawa buku dan perpustakaan bukan hanya  gedung ilmu. Malah universiti itu adalah juga gedung kebebasan ucap bicara.

Cukup bersejarah : Tongkat menulis sajak tentang kebebasan ucap bicara.  Sajak ini tergantung dalam gedung buku.  

Tidak sampai 50 meter dari sajak ini ialah Sudut Pidato Universiti.  Sudut Pidato ini dari apa yang aku baca adalah tempat  kebebasan ucap bicara seperti dalam sajak Tongkat.

Ketika aku Budak Koleq di MCKK aku telah membaca tentang demo pelajar yang bermula dari  Sudut Pidato ini. 

Kini aku telah dua bulan menjadi mahasiswa. Beberapa buah buku telah dan sedang dibaca. Aku telah  melamar untuk menjadi ahli Kelab Sosialis. Apa yang aku tunggu ialah aksi.

Aku mahu melihat demo dan tunjuk perasan seperti yang berlaku di Paris pada tahun 1968.  Seperti gambar pelajar dan  anak muda yang aku lihat dalam majalah Life, Time dan Newsweek. 

Atau yang belaku di hadapan Rumah Putih  di mana aku lihat  gambar anak muda pelajar dan mahasiswa yang berambut panjang  berdemo menentang Perang Vietnam. 

Aku menunggu aksi. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA NOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/02/22/sajak-dan-buku-terlarang



Tiada ulasan: