Isnin, 13 Mac 2023

DARI BRICKFEILDS


DARI BRICKFEILDS


Aku menamakan kolum    aku dalam akhbar Suara Keadilan Dari Brickfeilds.  Suara Keadilan  sebuah  akhbar tabloid mingguan  - akhbar resmi Parti Keadilan Rakyat (PKR).   

Aku masih ingat lagi kami : Zunar, Sallehudin Hashim dan Tian Chua berbincang dan berunding untuk menerbitkan akhbar ini dalam tahun 2004 salepas PRU11. 

Untuk beberapa ketika Pejabat  PKR terletak di Brickfeilds – kini bangunan  Hong Leong Bank -   sebelum berpindah ke Merchant Square. 

Ketika itu Salleh bertugas sebagai Setiausaha PKR. Tian Ketua Penerangan  PKR.  Zunar  bekas  wartawan NST dan Harakah menjadi kemudi Suara Keadilan dan kemudian menjadi Ketua Pengarang.  Tian  juga  menjadi sosok untuk  mencari dana. Aku jadi Pak Turut kerana aku bukan orang parti. 

Aku kenal dan rapat dengan Salleh kerana kami aktif dalam MCOBA ( Malay College Old Boys Association ). Aku kenal dan rapat dengan Zunar kerana sama-sama bergerak dalam Gerakan Reformasi.  Zunar ini pelukis karton bertaraf dunia. Kartunis yang bukan kecik anak. Tian adalah kawan satu sel dengan aku ketika kami di tahan di Kamunting.

Jaringan dan Ikatan yang  kukuh untuk memulakan satu projek media untuk sebuah parti politik. 

Suara Keadilan berjaya diterbitkan. Muncul setiap Rabu tanpa lesen  KDN. Pejabatnya di Brickfeilds arah jalan Tun Sambanthan.  Justeru kolum aku bernama Dari Brickfeilds.

Akhbar bercetak 38 muka surat pernah mencecah 100,000 kopi sekali cetak. Hari ini  menjadi  arwah satelah kemenangan Pakatan dalam PRU14.  Suara Keadilan dalam talian masih wujud.  Kolum aku dari Brickfeilds sudah tidak wujud lagi.

Tapi cerita yang aku nak buka ini bukan tentang akhbar Suara Keadilan atau kolum aku Dari Brickfeilds. Aku hendak bersurah  tentang sejarah aku dengan wilayah  di pinggir pusat kota Kuala Lumpur ini yang amat di kenali sebagai Brickfeilds.

Aku dengan Brickfeilds ini ada sejarah. Sejarah pertalian yang maha panjang.  Babak-babak sejarah ini berlaku secara organik – tidak di rancang.  Muncul macam mata air kemudian membesar terus menjadi anak sungai. 

Tahun 1971 bas  Seri Jaya yang menuju  ke  Universiti Malaya dari pusat kota bermula dari stesen Jalan Sultan  Mohamad. Stesen yang kini dikenali dengan nama Pasar Seni. Bas ini akan melintasi Brickfeilds sebelum masuk ke Jalan Travers dan masuk ke Jalan Pantai. Perhentian akhir ke UM di hadapan Restoran Amjal Jalan Pantai.

Ketika di dalam bas bila melintas pekan Brickfeilds aku akan ternampak Panggung Lido. Hari ini panggung Lido termasuk ke dalam senarai panggung-panggung yang terbunuh  mati oleh teknologi dan gedung membeli belah.

Tapak Lido hari ini terletak di persimpangan  Jalan Tun Sambanthan di sebelah stesen minyak Petron.  Sekarang ini di tapak Lido  telah  dibangunkan  College Brickfeilds, hotel , bank dan cafe.

Panggung Lido  menayangkan filem Tamil dan filem China. Justeru selama aku di UM  aku tak pernah masuk ke panggung Lido. Tapi aku kerap ke Brickfeilds ke Jalan Thambypillay di belakang panggung Lido

Jalan Thambypillay ini berhadapan dengan Bangunan YMCA. Nama Lido masih hidup kerana di persimpangan Jalan Tun Sambanthan   ada sebuah hotel   yang mengambil sempena nama panggung Lido. 

Di hadapan Hotel Lido ada  tanah lapang untuk letak kereta. Di sebelah tanah lapang ini ialah deretan kedai.  Aku tidak ingat kedai jual apa. Apa yang aku ingat satu kedai makan China yang selalu aku langgani ketika aku di UM.

Sekali sekala - lewat malam aku dan kawan-kawan akan datang ke kedai makan ini – supper time.  Satu masakan paling istimewa untuk aku ialah mee itik – duck mee. Tahun 1972 harga sepinggan mee itik ialah 1.20 sen.   Sepinggan mee boleh berkongsi makan dan berkongsi harga untuk dua orang.

Sosok yang memperkenalkan aku dengan mee itik ini ialah Albert Foo siswa Ekonomi bekas pelajar Victoria Institution. Albert anak watan Brickfeilds. Ayah Albert ini tukang masak pegawai Inggeris justeru Albert ini memang kaki makan.

Ini ‘settting’ wilayah bernama Brickfeilds.

Hari ini  secara tidak di rancang  semenjak pulang dari 20 tahun berkenalan aku tinggal di Lorong Syed Putra Kiri tidak jauh dari Brickfeilds. Lebih tepat lagi jalan ke rumah sewa aku  di belakang Rumah Pasung Brickfeilds  - di seberang sungai Klang. Jalan kecil menuju ke tanah perkuburan China.

Aku menyewa flet  di Le Chateau. Dari sejarah  yang aku dengar   pada satu ketika dulu  Le Chateau ini wujud sebagai sebuah kelab yang  amat tersohor. Ada mini panggung, ada salun rambut , ada bilik agama malah ada restoran Perancis.

Bila aku pulang dari berkelana Le Chateau ini telah jatuh muflis. Justeru sewa flet agak  demokratik. Malah satu-satunya wilayah  Kuala Lumpur yang hijau  penuh dengan pokok-pokok yang sewa agak murah. 

Sewa flet murah  ini terjadi kerana di belakang Le Chateau 1 & 2 ialah  tanah perkuburan  Hokkien dan Kwangtung. Tidak ramai yang berminat tinggal di sebelah 370 hektar tanah perkuburan.

Aku sering menapak dari Le Chateau ke Jalan Thambypillay. Dalam masa 20 minit – dari pintu ke pintu aku akan sampai ke Jalan Thambypillay.

Jalan  ini pada satu ketika dulu  adalah jalan wajib dilawati oleh warga  Kuala Lumpur dan wajib dikenali oleh semua jantan-jantan baru yang datang berhijrah ke Kuala Lumpur.

Ada dua jalan yang amat - amat popular di dalam kota Kuala Lumpur  : Lorong Haji Taib  sebelah Chow Kit Road dan Jalan Thambypillay depan YMCA Brickfeilds. 

Untuk aku – siapa yang  tidak tahu lorong dan jalan ini kita boleh persoalkan kewarganegaraan sosok ini.

Dua jalan ini memainkan peranan yang amat penting dalam hal kesihatan dan perekonomian negara kita. 

Statistik menunjukkan pada bulan Jun 2022 ada 2.1  juta pekerja asing di Malaysia.

Aku rasa 90% pekerja asing ini adalah jantan. Majoriti jantan-jantan ini bekerja – memburuh di sekitar Lembah Klang.

Jantan. Jantan  dan jantan ini semua  segak dan gagah. Jantan-jantan ini memiliki  daya beli.  Mereka adalah jantan tanpa betina. Sama seperti cerita yang aku baca  dalam buku : Men Without Women yang ditulis oleh  Hemingway. Penulis  yang amat aku minati.

Maka di sinilah peranan Lorong Haji Taib dan Jalan Thambypillay. Dua jalan ini menyelesaikan masalah jantan tanpa betina ini.

Di permulaan Jalan Thambypillay di tanah lapang yang asalnya tempat letak kereta kemudian jadi wilayah warung dan akhirnya hari ini ada bangunan   Old Town Cafe. 

Di sinilah tempat aku suka melepak untuk melayan malam. Di sebelah Old Town  ini ialah kedai Husen Cafe yang asalnya kedai mee itik yang aku layan pada tahun 70’an.

Aku sendiri melihat perubahan Brickfeilds yang berlaku di hadapan mata kepala aku. Bangunan wujud bangunan runtuh. Panggung  berdiri panggung di runtuh.  DI ganti dengan bangunan baru. Perniagaan baru datang dan pergi. Pemilik, penyewa bertukar ganti.

Tapi Jalan Thambypillay tidak berubah. Dari zaman aku di UM lagi wilayah ini dikenali sebagai kawasan ‘ lampu merah ‘. Ini terjemahan dari konsep ‘red light district ‘ wilayah East End  kota London.

Bilik yang ada lampu merah yang terpasang ini adalah tanda  dalam bilik ini ada perempuan  yang sedia ditiduri. Bukan percuma wajib dibayar untuk mengeluarkan air yang sudah naik ke kepala.

Tanda lampu ini sama seperti tanda lampu kalimantang - merah, hijau dan biru : tanda kedai makan Tom Yam.

Tahun 70’an nama Brickfeilds tidak sehangat Lorong Haji Taib.  Tersenarai tapi bukan top. 

 Pernah sekali aku membawa tamu pemimpin pelajar dari Hong  Kong. Kami masuk ke dalam bar yang agak gelap di Jlan Thambypillay.

 Minuman ‘chic’ zaman itu ialah Bicardi dan Coke. Di zaman itu bar seperti ini diberi nama Bar Raba Raba Tetek. 

Pelayan bar akan datang membawa minuman. Sang pelayan  – sentiasa wanita - boleh ajak duduk bersama. Dia akan melayan  kita. Jika nasib baik , jika perbualan tersusun, jika bijak mengayat  Sang  Pelayan boleh diajak pulang ke rumah.

Tahun 1972 aku hanya seorang pelajar yang dapat biasiswa Negeri Sembilan. Cerita menarik dari bar Brickfeilds ini hanya aku dengar. Aku tidak ada  keupayaan. Aku tidak memiliki modal.

Ketika aku melepak di Old Town Cafe selalu aku berkhayal aku ini di Soho London. Atau di Pigalle kota  Paris yang pernah aku lawati. Sayangnya  hanya sekali.

Sekalu pun sudah memadai. Dalam hidup ini sekali ke Pigalle pun jika mata terbuka telah memadai. Aku ingat lagi perempuan muda dengan make-up tebal berdiri di kaki lima di sebelah  kedai makan Arab di Pigalle. 

Untuk aku Jalan Thambypillay ini aku samakan dengan  Soho dan Pigalle.

Tapi Jalan Thambypillay ini untuk aku lebih  hebat. Lebih bersejarah. Sejarah apa? Sejarah sosok-sosok yang bertemu dengan aku di Old Town Cafe.

Siapa? Tunggu sambungan. (TT)

 
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/03/13/dari-brickfields




1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Aku pun ada pengalaman aku dengan tt. Masa aku umur 23. Oleh kerana aku seringkali membaca tulisan tt dan kebetulan bertembung, aku minta tt tandatangan buku yg aku pegang.tt tulis 'buatlah yang baik'. Woittt tt , time tu aku garu kepala sebab bagi aku itu adalah ayat yang anti klimaks untuk org yg aku labelkan sebagai rebel ...tapi ayat itulah yang mengubah perjalanan hidup aku selama-lamanya. Biaq siapa pun hang sekarang, apa pun pandangan orang lain terhadap hang... aku amat berterima kasih pada hang. Seratus teacher yg aku pernah ada, aku cuma sebut hang sebagai teacher aku walau cuma 2 minit dan sebaris ayat. Kahkahkah. Aku berbangga jadi diri aku pada hari ni kerana aku pegang sebarias ayat tersebut. Terima kasih. Semoga panjang umur.