Sabtu, 4 Mac 2023

HUJAN TAK BERHENTI


Banjir di 5 negeri bertambah buruk


KEADAAN banjir di beberapa negeri bertambah buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 38,120 orang setakat malam ini berbanding 36,191 mangsa, petang tadi.

Menurut laporan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah itu membabitkan 34,849 mangsa di Johor, 2,186 mangsa di Pahang, 867 di Negeri Sembilan, 204 di Melaka dan 14 di Sarawak.

Di Johor, jumlah mangsa banjir terus mencatat pertambahan berbanding 32,870 orang pada jam 4 petang tadi, meskipun banjir di daerah Kulai surut sepenuhnya.

Jawatankuasa pengurusan bencana negeri (JPBN) memaklumkan ini berikutan peningkatan mangsa di beberapa daerah sekali gus menyaksikan pembukaan 10 lagi PPS, menjadikan jumlah keseluruhan 225 PPS beroperasi di sembilan daerah.

Menurut JPBN, tiga PPS di Kulai iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Oil Palm, SJKC Bukit Batu dan Dewan Raya Kampung Murni Jaya ditutup sepenuhnya hari ini.

Jawatankuasa itu memaklumkan Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 12,250 orang daripada 3,545 keluarga, diikuti Batu Pahat 6,502 orang daripada 1,907 keluarga; Kluang dengan 5,294 mangsa (1,539 keluarga) dan Kota Tinggi seramai 3,309 orang (897 keluarga).

Turut terjejas, Muar dengan 3,127 orang (919 keluarga); Tangkak 2,239 orang (624 keluarga); Johor Bahru 987 orang (306 keluarga); Mersing 780 orang (231 keluarga) dan Pontian 361 orang (90 keluarga).

Sebanyak 18 sungai di Segamat, Muar, Tangkak, Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi melepasi paras bahaya, termasuk Sungai Muar di Lubuk Kepong (Segamat) yang merekodkan bacaan 20.90 meter dan Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) 20.15m.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 204 orang daripada 50 keluarga setakat jam 8 malam ini berbanding 162 orang daripada 40 keluarga pada jam 2 petang tadi.

Sekretariat JPBN Melaka memaklumkan empat PPS beroperasi di daerah Jasin termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Chohong, SK Seri Mendapat dan SK Parit Penghulu serta SK Parit Gantong yang dibuka pada jam 6.30 petang tadi.

Setakat ini, 18 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS SK Chohong, 36 orang daripada enam keluarga di SK Seri Mendapat, 138 orang membabitkan 34 keluarga di SK Parit Penghulu manakala proses pemindahan mangsa terjejas ke PPS SK Parit Gantong sedang dilakukan.

Selain itu, jumlah mangsa banjir di Alor Gajah kekal 12 orang membabitkan enam keluarga dan kesemua mereka ditempatkan di PPS balai raya Bukit Tambun.

Jumlah mangsa banjir di Pahang turut bertambah iaitu 2,186 orang yang ditempatkan di 21 PPS berbanding 2,183 orang yang berada di 23 PPS petang tadi.

Daerah Rompin kekal merekodkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 1,868 orang diikuti Temerloh (173 orang), Pekan (106 orang), Bera (29 orang) dan Maran (10 orang).

Sementara itu, di Negeri Sembilan, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 867 individu daripada 235 keluarga berbanding 938 mangsa daripada 272 keluarga di sembilan PPS tengah hari tadi.

Jumlah mangsa banjir di Sarawak kini menurun kepada 14 orang daripada lima keluarga setakat jam 7 malam ini berbanding 38 orang daripada 17 keluarga petang tadi. – Bernama, 3 Mac, 2023.

KETIKA KITA

BANJIR 

DI KENYA

KEMARAU

AMIN

INI TANDA

KIAMAT CUACA

KHALAS

Tiada ulasan: