SYED HUSIN ALI
YANG AKU KENALI
Aku mula kenal Syed Husin pada tahun 1971. Ini masa aku baru masuk Universiti Malaya. Aku masuk fakulti Sastera. Syed Husin jadi pensyarah. Dia mengajar ilmu sosiologi dan antropologi. Aku tak pernah belajar ilmu ini. Masa itu ilmu ini masih lagi berpusat dalam jabatan Pengajian Melayu.
Jadi – aku kenal Syed Husin bukan dalam kuliah. Aku kenal Syed Husin kerana aku mendaftar menjadi ahli Kelab Sosialis.
Ketika Minggu Orientasi aku ternampak iklan dalam kertas A4 – Forum Kelab Sosialis – Pengalaman Tahanan ISA. Ahli panel Tajuddin Kahar dan Karam Singh. Iklan ini mengumumkan Tajuddin dan Karam adalah bekas tahanan politik.
Aku tak pernah dengar nama Tajuddin Kahar. Nama Karam Singh aku telah mendengar pada tahun 1968. Aku baca berita Karam Singh dari Utusan Malaysia . Sosok ini seorang peguam yang membantu mogok penoreh getah di Asahan. Mereka berjalan kaki dari Melaka ke Kuala Lumpur.
Aku telah mendengar nama Kelab Sosialis semasa aku di Kolej Melayu lagi. Ini melalui akhbar Mahasiswa Negara (MN) – akhbar resmi Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM)..
Justeru aku tertarik dengan iklan yang memaparkan nama Karam Singh dan Tajuddin Kahar.
Sayangnya aku tidak datang ke forum ini, Aku ditakut-takutkan oleh Shah – senior gentelman - ahli Jawatan Kuasa Orientasi (JKO ) Kolej Kelima.
‘ Jangan pergi.... ramai SB ada nanti...’ Kata-kata Shah yang tidak akan aku lupai hingga hari ini.
Selesai tiga minggu orientasi aku tidak lagi dikawal oleh senior gentelman dari JKO. Aku pergi ke Union House – Rumah Persatuan untuk mencari Kelab Sosialis.
Aku bertemu Lee Chee Keong. Dari sinilah – dari Union House UMSU - Rumah Persatuan PMUM - bermulanya dunia sosialis aku.
Dua minggu kemudian aku di jemput ke pertemuan pertama Kelab Sosialis. Pada petang Rabu kami bertemu di bilik bacaan Fakulti Sains.
Aku ingat lagi petang itu. Kumpulan kami tak sampai 10 orang. Hanya aku pendatang baru yang melamar untuk menjadi ahli. Jamuan teh Kelab Sosialis pada petang itu disertai oleh Syed Husin, Usman Awang dan Latif Mohiden.
Ini kali pertama aku bersalaman dengan Syed Husin, Usman Awang dan Latif Mohiden.
Usman Awang aku kenali sebagai penyajak. Aku pernah terlibat dalam projek pantomim Ke Makam Bonda pada tahun 1960 di Sekolah Umum Ulu Klawang. Latif pernah aku dengar dan baca sajaknya dalam majalah Dewan Sastera ketika aku dalam tingkatan empat. Latiff baru pulang dari German.
Pada hemat aku Kelab Sosialis menjemput tiga sosok ini kerana mereka jua menganuti fahaman sosialis. Atau bersimpati dengan ideologi sosialis. Ini andaian aku. Tak banyak yang kami bualkan pada petang itu
Aku masih lagi ‘ freshie’.
Petang itu juga aku bertanya dengan Syed Husin tentang buku yang wajib aku baca untuk memahami apa itu sosialisme.
Senin petang aku pergi ke bilik Syed Husin. Bilik pensyarah ini tidak lumayan dan penuh dengan buku-buku.
‘ Nah... baca buku ini...’ Syed menghulur buku The Essential Left.Aku mengambil buku ini. Petang itu aku mula berkenalan dengan Marx, Lenin , Engels dan Mao.
Hari ini aku sudah lupa apa isi buku itu. Tapi nama-nama ini menjadi tidak akan aku lupakan.
Ada beberapa kali aku hadiri forum – Syed Husin menjadi ahli panel - di Dewan F dewan kuliah terbesar di Fakulti Sastera. Syed Husin penyampai hujah yang baik dan tertib. Ini watak sosok berilmu dan rendah diri.
Di Penggal Pertama memang banyak forum kerana ‘exam’ lambat lagi. Setiap persatuan – Persatuan Bahasa Melayu amat aktif. Begitu juga Persatuan Islam menganjur forum. Kelab Sosialis juga selalu menganjur forum.
Tapi aktiviti kami yang paling kerap ialah perbincangan tertutup dimana hanya ahli Kelab yang boleh hadir.
Disini Syed Husin menjadi ‘resource person – sosok sumber ‘. Syed mengupas politik semasa dan juga politik antara bangsa. Aku banyak belajar dari pandangan Syed Husin.
Satu perkara yang aku ingat dan tersusun yakin hingga hari ini ialah apabila Syed Husin berkata ‘..... tahap tertinggi sistem kapitalisma ialah imperialisma....hari ini apa yang kaum reaksioner lakukan hanyalah to contain kedatangan sosalisma...’
Ketika ini Syed Husin juga aktif dalam PSRM – Parti Sosialis Rakyat Malaysia. Apa jawatan dia dalam PSRM aku tidak tahu. Tahun 1971 PSRM masih ada YB. Seorang di Pulau Pinang dan seorang lagi Cik Gu Zul dari Pahang yang ditahan oleh ISA. Parti berlogo kepala lembu ini dipimpin oleh Kassim Ahmad
Tahun 1972 aku juga ada mendengar desas desus perbezaan dalam PSRM. Kassim membawa garis sosialisme saintifik – justeru mengubah nama Parti Rakyat untuk menjadi Parti Sosialis Rakyat Malaysia.
Syed Husin dan adiknya Syed Hamid mahu kekal nama dan garis politik nasionalis Parti Rakyat. Sebagai penganut baru dan juga bukan ahli parti aku tidak berapa faham apakah yang menjadi perbalahan sehingga Syed Hamid digantung keahlian.
Baling 1974 – aku ingat lagi - Demo Baling. Pagi Selasa 3 Disember 1974 di Dataran Merdeka. Demo ini tanda bersetia kawan anak muda dan pelajar menyokong warga Baling yang telah keluar ke jalan raya. Mereka marah pada kerajaan. Harga getah murah dan harga bahan makanan mahal. Tambah pula musim hujan menjadikan kehidupan perit terdesak.
Warga Baling kaya dengan kemiskinan. Mereka makan ubi gadung. Jika silap cara ubi gadung membawa maut.
Pada Rabu 4 Disember aku mengadakan forum terbuka secara spontan di Dewan Tunku Canselor. Dewan yang boleh muat 3 ribu penuh atas bawah. Antara pengucap pada hari itu yang aku ingat ialah Tengku Shamsul, Khoo Kay Kim dan Syed Husin Ali.
Tengah malam Khamis Syed Husin di tangkap di bawah ISA. Aku meninggalkan tanah air. Syed Husin di penjara selama 7 tahun.
Aku melarikan diri dari kampus. Sebelum berjaya meloloskan diri ke Siam aku menyorok di beberapa tempat termasuk di Kampung Tengku di rumah Tongkat Waran a.k.a Usman Awang.
Satu petang Tongkat pernah bercerita tentang Syed Husin. Rumah Syed Husin tidak jauh dari rumah Tongkat – mereka berjiran.
Mengikut surah Tongkat Syed Husin berkahwin dengan Kakak Sabariah – anak murid dia. Gadis ayu berasal dari Kelantan.
‘ Dia kahwin di rumah Abang.... ‘ Tongkat membahasakan dirinya Abang.
‘ Dua minggu lepas kahwin Syed datang jumpa Abang.... dia menangis.....’ Aku menjadi hairan.
‘ Dalam esakan itu Syed berkata.... kalau kahwin sedap macam ini..... dari dulu lagi saya dah kahwin.....’ Tongkat terbarai ketawa. Aku ketawa sama.
‘ Syed kahwin lambat .... ‘ Ini surah Tongkat dan aku menjadi perawi sahih.
Syed akhirnya di bebaskan. Tahun 1987 aku bertemu Syed Husin di London. Di Hyde Park Syed menceritakan bagaimana dia diberi pilihan oleh King Gazh – Ghazali Shafie – menteri KDN.
Kaitkan Mahathir Muhamad sebagai ‘ kiri’. Syed menjadi orang tengah penghubung Mahathir dengan Parti Komunis Malaya.
‘ Aku tak mahu.... SB paksa aku... kalau setuju aku akan di bebas...King Ghaz nak jadi PM...’ Syed menerangkan rancangan Ghazali Shafie untuk menangkap Mahathir.
‘ .... Pasal kau laaa Madey selamat .... terus berkuasa...: Aku melawak. Kini kami sudah menggunakan aku dan kau. Tidak ada lagi tabir guru dengan murid.
Pulang dari berkelana aku berhubung baik dengan Syed. Malah tak sampai sebulan aku di kampung Syed jemput aku datang ke rumah dia di Kampung Tengku. Aku jadi tamu. Yang di jemput sama Dr Rajakumar – juga ‘orang kiri’. Doktor ini bekas pemimpin Parti Buruh dan bekas tahanan politik. Pada malam itu kami bertiga memperkukuh perjuangan.
‘ I will do it all over again....’ Aku berkata kepada Dr Rajakumar bila dia bertanya apa perancangan masa depan aku.
Parti PSRM kini jadi Parti Rakyat kembali. Aku masih setia dengan garis politik kiri. Aku juga tidak akan masuk mana-mana parti. Kini PRM di pimpin oleh Syed Husin Ali.
Tahun 1998 Anwar disingkir dari kerajaan dan United Malay National Organisation. Gerakan Reformasi meledak. Awalnya aku tidak ambil pot. Aku rasa ini pertelagahan dalaman parti United Malays National Organisation.
Hassan Karim dan Tian Chua ajak aku terlibat sama dalam gerakan Reformasi. Aku tak kenal baik dengan Tian Chua. Tapi Hassan kenalan lama aku. Kami sesama dalam Kelab Sosialis. Dia anak mahasiswa Fakulti Pertanian.
Akhirnya dari seorang pemerhati dan perakam sejarah aku di tangkap. Aku di tuduh ‘ dalang ‘ oleh Dr Mahathir.
Maka aku buktikan betulkah aku ini dalang.
Akhirnya 10 aktivis Reformasi termasuk aku di tahan di bawah ISA. Aku dihantar ke Kamunting bersama Tian, Lokman, Ezam. Pak Abu dan Ustad Badrul Amin.
Ketika dalam Kem Kamunting aku ada berutus surat dengan Syed Husin. Aku menyokong kerjasama dan penyatuan Parti Keadilan Negara (PKN) dengan Parti Rakyat. PKN ini parti di tubuh oleh para penyokong Anwar Ibrahim. Surat-surat aku di seludup keluar oleh peguam – Latifah Koya, Sivarasa dan Johnson Chong. Kesemua peguam ini adalah ahli Parti Rakyat
Aku ingat lagi seminggu satelah aku keluar dari dua tahun di Kamunting aku berjumpa dengan Syed Husin di Kedai Mydin di Bangsar Utama.
Syed Husin bertanya khabar. Petang itu dia menghulurkan dua ratus ringgit ke dalam tangan aku. Jumlah yang lumayan untuk sosok yang baru keluar dari penjara. Lega juga aku pada ketika itu.
Penyatuan Parti Rakyat dan Parti Keadilan untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat di rasmikan pada 3 Ogos 2003. Aku terlibat menyusun pertunjukan di pentas Dewan China.
‘ Aku ada berbincang dengan Anwar agar kau dan Hamid masuk ke dalam parti...’ Syed bersurah satelah Anwar dibebaskan. Hamid ialah Syed Hamid Ali adik Syed Husin Syed Hamid Ali adalah bekas Presiden PMUM dan juga bekas gerila Parti Komunis Malaya.
‘ Anwar kata.... entah nak entah tidak Isham dan Hamid masuk....’ Aku tersenyum dan merakam.
PRU ke 14 memenangkan Pakatan Harapan. Dr Mahathir jadi Perdana Menteri untuk kali ke dua. Anwar di beri pengampunan. Dalam kerajaan baru Syed Husin dilantik menjadi Senator dalam Dewan Negara.
‘ Syed.... kau tanya Jin Shamsuddin... berapa banyak dia dapat bajet dari Kerajaan Perak untuk buat filem Pasir Salah....’
Ketika ini Jin Shamsuddin ahli Dewan Senat dari United Malays National Organisation. Kami di kalangan aktivis seni filem kenal Jin Shamsuddin sebagai kaki putar.
Entah berapa juta duit kerajaan Perak di ciplong untuk membuat filem Pasir Salak. Dari berita yang aku baca Jin klim dia telah menempah kostum dari Indonesia. Telah menjalankan kajian selama 6 bulan di London. Hanya menunggu masa untuk penggambaran.
Aku meminta Senator Syed Husin bertanya untuk menekan ‘ seniman kaki putar ‘ ini dalam Dewan Negara. Jadikan kes filem Pasir Salah agenda menghasut rakyat benci pada parti UMNO.
Dua bulan kemudian aku bertemu Syed Husin.
‘ Sham... aku dah tanya Jin Shamsuddin... hal bajet Pasir Salak.... dia dah jawab...’ Syed Husin.
‘ Bila ditanya.... dimana... aku tak baca pun berita dalam akhbar..... kau tanya bila Syed..’ Soalan dari aku.
‘ Aku tanya dia di kantin Dewan...’ Syed Husin menjawab dengan tersenyum bangga.
Aku hilang kata-kata. Lalu aku teringat cerita Tongkat tentang Syed Husin menangis pada malam pertama satelah kahwin.
Inilah Syed Husin pemikir , cendekiawan Melayu yang jujur dan baik hati ke tahap lurus bendul. Syed Husin gagal melihat tujuan politik aku dengan kes filem Pasir Salak yang hingga hari ini masih terbengkalai.
Bila Syed Husin diberitakan sakit aku sempat melawat di Hospital Selayang. Aku ke hospital dengan Kamarazaman Yacob – juga ahli Kelab.
Sosok jujur ini telah meninggalkan kita untuk selama-lamanya.
Di tanah perkuburan Bukit Damansara ramai yang hadir. Ada Jomo, Rosli, Tian Chua, Sivarasa – sosok -sosok dari garis kiri. Ri dan Siti Nor anak Hamid Tuah ada sama – ini kawan setia keluarga Syed Huisn.
Ada generasi muda seperti Jonah, Amin Jambu, Rozan, YB Jamaliah cucu Shamsiah Fakeh, Quratol dan gadis Tionghua anak buah Rahman Embong.
Tidak ketinggalan Che Lah dari Kota Baru orang lama Parti Rakyat. Juga Syed Hamid Ali adik arwah berkerusi roda. Kamarazaman sampai lewat kerana tersesat.
Di tanah perkuburan yang tak hadir ialah Latifah Koya kerana dia ada kes di Mahkamah.
‘ Sham...Anwar datang tak...’ Lat bertanya melalui talipon ketika aku masih lagi di tanah perkuburan.
‘ Tak nampak ... tak datang...’ aku maklumkan pada Latifah Koya.
Aku hairan juga kenapa Anwar tidak kelihatan di tanah perkuburan. Syed bekas Timbalan Presiden PKR. Ketika Anwar dalam penjara kubu PKR dijaga oleh Wan Azizah dan Syed Husin.
Aku rasa Datuk Seri Anwar Ibrahim sibuk dengan urusan negara. Atau mungkin Anwar sedang membaca dan meneliti laporan kewangan Blackrock. Atau mengira berapa banyak senjata yang telah dihantar oleh Blackrock ke Israel.
Walau apa pun aku masih merasa hairan kenapa Anwar tidak hadir di tanah perkuburan. Aku rasa Anwar tidak sedar dalam negara Malaysia ini hanya Syed Husin Ali seorang sahaja yang tidak pernah percaya Anwar Ibrahim mengamalkan sex di luar tabii.
‘ Semua itu konspirasi....’ Syed Husin tak percaya Anwar meliwat. Ini lah pandangan Syed Husin sosok jujur yang lurus bendul.
Aku rasa jika Anwar tahu ini pandangan Syed Husin pasti dia hadir di tanah perkuburan Bukit Damansara pada pagi itu. Amin. (TT)
1 ulasan:
"Aku rasa Datuk Seri Anwar Ibrahim sibuk dengan..."
bertahun-tahun gwa membawa tulisan lu dan gwa yakin lu tak pernah ambil pot pasal
pangkat kebesaran title dato tansri tungku dapor.
gwa patut berdoa ke hadhirat ilahi agar suatu hari nanti lu akan duduk sama tinggi dengan tan sri lim kit siang.
amen
Catat Ulasan