Isnin, 25 Ogos 2008

SEHARI KE D-DAY

Program Generasi Anak Merdeka bersama Anwar Ibrahim dan pimpinan AMK akan diadakan malam ini.

Waktu : 9 malam

Tempat : Jalan Tenggiri (Belakang ESSO).

STOP PRESS STOP PRESS

Daripada laporan-laporan yang sedang dan terus menerus diterima Anwar Ibrahim akan menang besar.

Kalau empat hari dahulu kedudukan ialah 50-50

Tiga hari dulu kedudukan ialah 60-40

Dua hari dahulu kedudukan masih 60-40

Satu hari sebelum D-Day – apabila Ustaz ’Saksi’ Saiful membuat pengakuan yang dia 'diarah dari atas' untuk menjadi saksi , sokongan terhadap Anwar melonjak. Kini kedudukan ialah 70- 30.

Tidak ada yang dapat menghalang Projek 3P. Anwar Ibrahim akan menang besar.

DUA PULUH EMPAT NABI ADALAH YAHUDI

Banyak VCD gelap tersebar. Sebuah VCD yang saya lihat malam tadi cuba menunjukkan bahawa PKR/Anwar Ibrahim ialah ejen Yahudi.

Pembuat VCD anti-Pakatan ini lupa bahawa 24 daripada 25 orang Nabi yang wajib diketahui oleh penganut Islam ialah daripada bangsa Yahudi. Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Ismail, Nabi Yaacob, Nabi Daud, Nabi Yunus, Nabi Noh – adalah berbangsa Yahudi.

Yang perlu dilawan bukan Yahudi.

Yang perlu dilawan ialah Zionisme, satu idealogi yang menganggap satu bangsa itu lebih hebat dan terpilih oleh Tuhan.Pandangan racist zionist yang menganggap bangsa dia sahaja yang ada hak. Orang lain tidak ada hak.

VCD anti-Pakatan ini kelihatan mengamalkan fahaman pandangan racist Melayu yang tidak ada bezanya dengan fahaman zionist.

Zionist bukan bangsa Yahudi. Zionist dianuti juga oleh sesiapa yang menganggap Kitab Suci mereka sahaja yang betul. Kitab Suci orang lain salah. Zionist menganggap mereka sahaja yang ada hak yang lain hanya memiliki hak sampingan.

Ini fahaman zionist yang menyamar dalam topeng Islam dan selimut Melayu.

YANG TERNAMPAK, TERDENGAR DAN YANG HILANG

Dalam kesibukan dari jalan ke jalan saya ternampak :

Blogger Zorro

Raja Petra

Marina Petra

Anil Netto dari ALIRAN

Dr. Rohana Ariffin USM

Nasir Reformasi

Danny Lim – blogger

Susan Loone – blooger

Hakim – King Kong

Black

Rahmat Haron

Che’Gu Bard

Kambing

YANG DENGAR ADA TAPI TAK NAMPAK

YB Gobala

YB Tian Chua

YB Sivarasa

YB Eli Wong

TB Ezam Mat Nor

TB Azwan Din

TB Roslan Kassim

TB Lokman Adam

TB Saiful Sumpah

Nota – YB ialah Yang Berhormat. TB ialah Tidak Bertanding

YANG TIDAK TERNAMPAK MUKA HIDUNG

Eddin Khoo

Johan Jaafar

Karim Raslan

Mat Nor Manutty

Idris Jusoh

Nazri Aziz – bekas pengarang Berita Harian

Nazri Aziz - yang akan menjadi bekas menteri

Rafidah Aziz – yang telah menjadi bekas menteri

Muhyidin Yassin – yang akan menjadi bekas menteri

Rais Yatim – yang akan menjadi bekas menteri

YANG PASTI TIDAK DATANG

Brad Pitt

Angelina Jolie

Mahathir Muhamad

Mawi Lek Lok

Siti Nurhaliza

Siti – kucing saya tinggal di rumah

Curvy – kucing saya tinggal di rumah

Mami – kucing saya tinggal di rumah

SEBATANG KERETEK TANDA PERSAHABATAN

Kami tidak pernah berkenalan. Dia dari Guar Perahu Permatang Pauh. Saya dari Jelebu Negeri Sembilan. Dia penjual ikan dari kampung ke kampung. Saya penjual cerita dari pekan ke pekan.

Di Permatang Pauh kami bertemu.

Saya menunggu kedatangan Ustaz yang menjadi 'saksi' Saiful. Dia datang ke padang yang sama kerana rumahnya tidak jauh dari kampung ini – Kampung Padang Ibu.

Kerana terlalu letih berdiri lalu saya mencari tempat untuk duduk. Di tepi batu longkang entah rumah siapa saya ternampak seorang lelaki berbaju t kuning, berseluar hitam lusuh dan berselipar. Saya memberi tanda untuk duduk sama. Dia ’berensot’ memberi ruang.

Janggutnya tidak terurus. Dalam gengaman tangan kirinya ada segulung daun nipah. Sahih dia orang kampung. Kami berpandangan sekali lagi sebagai tanda hormati menghormati.

Dia mula menggulung tembakau. Saya mengambil sebatang keretek lalu menghulurkan kotak ke arahnya. Dia tersenyum gembira tetapi rokok hanya tinggal sebatang. Dia enggan menerima lalu saya katakan bahawa dalam beg kecil saya ada dua kotak lagi. Dia tersenyum puas lalu membakar keretek.

Dalam gian asap keretek itu kami mula mengenal satu sama lain. Mohamad Fauzi lebih muda dari saya – 46 tahun – tapi kerana tanda hormat – dia yang telah berumah tangga - saya panggil dia abang.

Dia datang ke ceramah ini kerana diajak oleh seorang kawan. Bila saya tanya di mana kawannya dia menunjukkan ke arah padang gelap yang penuh sesak dengan penonton. Pasti kawannya lebih politikus daripada dirinya yang hanya duduk jauh mendengar.

Si Penjual Ikan ini rupa-rupanya tidak menyebelahi sesiapa pun. Sebelum datang mendengar ceramah ini dia telah juga diajak datang makan malam di rumah Barisan Nasional. Ada kurma ayam, sayur dan buah. Tapi tidak ramai tamu yang datang, katanya.

Di sana dia diberi satu tiket cabutan bertuah. Tiket ini untuk memastikan dia akan terus berada dalam rumah ini untuk menunggu tamu jemputan. Entah siapa yang akan datang. Dia tidak ambil peduli.

Saya bertanya siapa yang akan menang esok. Dia hanya berkata ' wallah hu a’lam..' Si Penjual Ikan ini nampaknya adalah 'warga baru' dalam politik negara'. Saya datang kerana hendak mendengar..' Loghat utaranya cukup kuat. Berkali-kali saya meminta dia ulangi ayat-ayat yang di tuturkan. Dia ketawa. Saya pun ketawa sama melihat bebal sendiri.

Si Ustaz yang ditunggu pun sampai untuk berucap. Saya meninggalkan si Penjual Ikan untuk rapat ke padang. Si Penjual Ikan tidak bergerak dari jubin longkang.

Selesai ceramah Ustaz saya datang kembali ke jubin longkang. Kali ini kami telah mesra. Dia bertanya apakah cerita yang saya tulis ini akan keluar di akhbar. Dia tidak membeli akhbar jauh lagi memiliki sistem internet. Dia penjual ikan yang dibelinya dari Pasar Bisik-Bisik di Kuala Muda.

Seorang Pak Haji berserban sedang berucap di pentas. Kami dapat melihat jauh dari kain wayang. Dia ketawa kerana katanya 'orang-orang Ustaz ini selalu buat macam tahu' tetapi di bahu kiri dan bahu kanan kita ada orang yang lebih tahu. Si Penjual Ikan kesian melihat si Ustaz berapi-api di pentas ceramah.

Hampir tengah malam Anwar Ibrahim sampai ke pentas. Saya ke hadapan untuk mendengar apa yang hendak di labunkan oleh Anwar. Tidak sampai 15 minit ceramah selesai. Saya mengundur ke jubin longkang untuk memasang sebatang lagi keretek.

Si Penjual Ikan tidak ada lagi di situ. Yang tinggal hanya kertas akhbar yang mengalas bontot kami daripada basah duduk di tepi longkang.

Saya menghisap keretek seorang diri. Sampai kiamat pun saya tidak akan sampai lagi ke tepi longkang ini. Dan sampai kiamat pun saya tidak akan bertemu lagi dengan si Penjual Ikan ini. Yang tinggal hanya ingatan.

SATU HARI KE D–DAY

Semua telah selesai. Poster telah dipasang. Kain telah direntang. Ceramah telah dijalankan. VCD telah diedarkan. Pintu rumah telah diketuk. Satu hari ke D-Day.

Projek 3P – Permatang Pauh, Parlimen dan Putrajaya telah berjalan lancar.

Projek 3P begitu penting sekali bukan sahaja untuk warga Permatang Pauh tetapi untuk negara bangsa. Projek ini akan memastikan berlakunya satu perubahan yang hakiki – satu perubahan yang membawa makna – bukan perubah gincu dan bedak.

Seluruh negara sedang memerhatikan apa yang akan terjadi di D-Day Permatang Pauh. Seluruh dunia sedang meneliti ke mana arah Projek 3P ini. Media antarabangsa telah mula sampai pagi ini. Semuanya ingin membuat laporan tentang Projek 3P.

Semua yang perlu digelodak telah digelodak. Dari Port Dickson hingga ke Magnum. Dari buntut Saiful hingga ke panjangnya anu si Anwar.

Sepuluh hari, adalah sepuluh hari yang mengocak dunia. Sepuluh hari, adalah sepuluh hari yang akan memulakan penyapuan bersih ke atas semua karenah United Malays National Organisation.

Dari masjid ke kuil, dari kuil ke tok pekong, dari tok pekong ke surau – semua dibongkar. Daripada India ke Keling, daripada Keling ke Mamak, daripada Mamak ke Cina dan daripada Cina ke Pendatang Haram – tidak ada lubang yang tidak dikorek – semua dikorek – dari lubang Saiful ke lubang Anwar.

Satu hari ke D-Day seakan telah satu tahun di Permatang Pauh.

SEXISME – SEXIST

Ramai penceramah dari kedua-dua buah parti masih kurang arif tentang apa dia sexisme atau sexist.

Sexist ialah unsur yang sama dengan racist – api perkauman.

Kalau racist, ia membawa kebencian terhadap bangsa dan kaum yang lain.

Sexist pula membawa kebencian terhadap gender perempuan.

Contoh terbaik ialah ' kalau anak jantan.... saya cabar ....' Kata-kata ucapan ini telah saya dengar daripada Khairy Jamaluddin atau nama manjanya KJ. Kata-kata ucapan ini juga telah saya dengar daripada Shamsul Iskandar, ketua Angkatan Muda Keadilan.

Perkataan seperti ' ....dia akan dayus jika dia .....' juga satu contoh sexist.

Semua ini adalah contoh sexisme yang memperlekeh kaum perempuan. Kenapa gunakan ' kalau anak jantan ?' Apakah untuk menunjukkan gagah? Atau dilihat macho?

Untuk tahu sama ada anak jantan atau betina apa yang perlu dilakukan ialah meraba sama ada wujud telor atau pun tidak. Kalau ada yang 'barang tercacak' ia anak jantan. Kalau leper terpekap anak betina. Ini cara untuk mengenal anak kucing.

Waspada – kalau tidak ingin menjadi Racist , kita juga wajib melawan sesiapa sahaja dari parti mana pun untuk mereka berhenti menjadi SEXIST.

STOP PRESS @ 2405

Anwar Ibrahim berucap di Padang Ibu di depan hampir 4 ribu pendengar.

2353 : Mikrofon telah terjatuh dan penonton ketawa ketika beliau berucap.

Ini merupakan ceramah yang terakhir untuk malam ini dan ia mesti berhenti tepat jam 12 malam.

Pada permulaan ceramah tadi, sudah terdapat helikopter yang datang menyuluh kepada pendengar.

Dalam ucapannya Anwar Ibrahim telah mengecam Khairy Jamaluddin atau nama manjanya KJ.

Menurut Anwar, bukan KJ yang bakal menentukan siapa yang akan menang dalam pilihanraya kecil ini, tetapi penduduk Permatang Pauh sendiri yang akan menjadi hakimnya.

Anwar turut sama menyentuh peranan yang dimainkan oleh Utusan dan TV3 yang disifatkan sebagai memperbodohkan orang Melayu.

Kelihatan juga helicopter yang masih terus menyuluh dan tindakan ini telah ditertawakan oleh orang ramai.