Sabtu, 25 April 2020

PANDANGAN MALAYSIAN INSIGHT










Bilakah masa terbaik

 menarik balik PKP?


PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan lanjutan dua minggu lagi perintah kawalan pergerakan (PKP), menyambung perintah yang bermula pada 18 Mac kepada 12 Mei.

Ini menjadikan sekatan pergerakan itu setakat ini lapan minggu. Beliau juga membayangkan ia mungkin akan bersambung selepas 12 Mei sekiranya Malaysia masih belum dapat meratakan lagi lengkungan jangkitan Covid-19.

Persoalannya sekarang serata mana Malaysia mahu lengkung itu sebelum PKP ditarik balik? Kosong?

Sepanjang enam hari lalu, kes jangkitan baharu turun kepada dua angkat – 69 pada 17 April, 54 pada 18 April, 84 pada 19 April, 36 pada 20 April, 57 pada 21 April, 50 pada 22 April, dan 71 pada 23 April.

Adakah Malaysia mensasarkan angka lebih renda untuk menarik balik PKP?

Bolehkah kita tahu angka keramat itu supaya kita boleh mengharapkan sesuatu apabila perdana menteri muncul sekali untuk mengumumkan sama ada PKP disambung atau dilonggarkan atau tamat?

Usaha kita untuk meratakan lengkung itu, diketuai oleh perkhidmatan kesihatan yang cekap di bawah Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, telah menunjukkan sedikit pencapaian namun pada masa sama menjejaskan sektor lain.

Benar, 95 orang meninggal dunia. Terlepas daripada angka semata-mata, mereka adalah cinta hati keluarga dan sahabat handai.

Selebihnya, ada ramai lagi yang kehilangan pekerjaan, atau kini membawa pulang pendapatan yang berkurangan, sementara mereka yang makan gaji harian tidak lagi mempunyai apa-apa melainkan kalau mereka bekerja di perkhidmatan perlu.

Kebanyakan rakyat yang mempunyai simpanan kecemasan yang sedikit atau tanpa manfaat dana Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) lebih parah lagi.

Pencapaian ekonomi suku pertama Malaysia mungkin tidak begitu teruk kerana peningkatan bisnes Tahun Baru Cina namun sejak itu ia merudum.

Suku kedua boleh dianggap punah. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) semalam mengunjurkan kegiatan ekonomi termasuk perdagangan dan pelaburan boleh melonjak sepenuhnya menjelang suku ketiga dan seterusnya, dalam senario terbaik, mengukuh sepanjang 2021.

Namun dalam senario terburuk, MIER berkata pengeluaran dan perdagangan mungkin tidak boleh pulih sepenuhnya (kira-kira 96%-98% kapasiti) menjelang suku keempat 2020 sampai ke suku pertama 2021.

“Bagi kedua-dua senario, kami mengambil kira pakej rangsangan keseluruhan kerajaan RM260 bilion, dengan anggapan bahawa hanya 20 peratus suntikan bukan fiskal (RM225 bilion) akan direalisasikan ke dalam pembentukan modal baharu merentasi ekonomi,” kata pengerusi MIER Dr Kamal Salih.

Secara sulit, sumber kerajaan menganggarkan sehingga dua juta orang akan menganggur atau bersamaan 15% daripada tenaga kerja kesan penguatkuasaan PKP.

Ini jumlah pekerjaan yang sangat banyak dan turut membayangkan banyak perniagaan juga akan tutup kedai. Dua akhbar sudah menghentikan penerbitan iaitu akhbar edisi petang Sin Chew  dan akhbar harian perniagaan The Financial Daily.

Jabatan Perangkaan hari ini mendedahkan bahawa pendapatan hotel di Kuala Lumpur merosot 80%, dengan kadar sewaan antara 5% hingga 8% sejak PKP berjalan.

Dalam kalangan resort dan hotel bajet, pendapatannya merudum antara 40% hingga 45%, manakala rumah inap dan rumah rehat menjangkakan pengurangan pendapatan sehingga 30% hingga 54%.

Semua hotel dan resort ini tidak akan meraih pendapatan daripada restoran mereka yang lazimnya mengaut untung sepanjang bulan Ramadan.

Kerajaan Muhyiddin harus melihat jauh, melampaui pencapaian Kementerian Kesihatan dan memberikan asas dan syarat untuk menarik balik PKP dan membuka semula ekonomi.

Malaysia tidak mampu mencapai sifar jangkitan melainkan ia menyaring setiap seorang di negara ini, mengasingkan mereka yang masuk dan mendapatkan vaksin untuk Covid-19.

Ini bermakna kerajaan perlu menjelaskan perancangannya sekarang dan tidak hanya melanjutkan PKP untuk rakyat yang resah dan meluat dengan orang kenamaan serta anak mereka yang melanggar peraturan tersebut.

Ia perlu juga memberi ruang kepada polis dan tentera yang menjaga sekatan jalan raya untuk berehat. Begitu juga dengan petugas kesihatan, sementara lebih ramai petugas ditambah untuk merawat mereka yang dijangkiti koronavirus.

Dalam erti kata lain, Putrajaya perlu mengimbangi keperluan semua pihak – aspek perubatan, ekonomi dan sosial, atau Malaysia akhirnya akan ada rakyat yang sihat tetapi kebulur makanan, pekerjaan dan perniagaan.

Pada akhirnya, ia adalah keputusan politik, dan bukannya perubatan. – 24 April, 2020

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Fiskal, monetary..ini wajah kapitalis.komprador atau nasional,tetap wajah hotoknya tak dapat ditutup walau dengan Maybelline,atau bedak sejuk.ini kecemasan kesihatan atau bahasa lamanya emergency.jika waktu emergency dahulu pandai pulak dihambat komrad masuk hutan,rupanya mahu diluaskan kebun kelapa sawit.baling terpaksa dikebulurkan supaya beras tak sampai ke hutan.busuk,buruk,bebal.tunggu kamu pulak dipeluk jin kobit agar aku boleh ketawa sebelum aku pulak mengikuti kau.

Dol Mat berkata...

89 peratus rakyat malaysia setuju dengan PKP. Memang betul PKP akan jadi isu politik bukan sebelah kerajaan jak pembangkang pun akan cari poin nak meremehkan PKP.. Seronok siot duk rumah boleh jak idop macam biasa makan pun cukup2 jak takpe ah..