Isnin, 16 Mei 2022

RUMAH PERDANA MENTERI DIBAKAR

 


RUMAH  PERDANA MENTERI

   DI BAKAR


Di Malaysia kita pernah mengalami zaman  Najib sebagai Perdana Menteri, isteri Najib  Rosmah Mansor sebagai First Lady dan  Hishammuddin Hussein sepupu Najib  sebagai Menteri Pertahanan.  

Ini watak politik negara Dunia Ketiga yang setengah kolonial dan setengah feudal. Malah sistem feudal yang masih tebal di Malaysia  berjalan seiring  dengan sistem demokrasi berparlimen – Demokrasi Raja Berperlembagaan.

Ini juga watak politik dan sosio budaya feudal di Sri Langka. Malaysia dan Sri Langka dua negara  bekas tanah  jajahan Inggeris  memiliki banyak persamaan.  Sri Langka ada pilihanraya seperti di Malaysia. Sri Langka ada Parlimen, ada Perdana Menteri dan ada menteri kabinet seperti di Malaysia. 

Di Sri Langka  ada  Presiden manakala  di Malaysia kita ada Perdana Menteri tidak ada Presiden tapi ada Agong – Raja Berperlembagaan.

Di Malaysia jumlah menteri kabinet berubah. Hari ini jumlahnya 31 orang. Najib bukan lagi Perdana Menteri tapi sepupu Najib masih lagi dengan jawatan lama - Menteri Pertahanan.
Di Sri Langka  menteri kabinet kerajaan sekarang berjumlah 26 orang.  Empat ahli kabinet ini adalah adik beradik anak beranak Rajapaksa. Adik jadi Presiden, Abang jadi Perdana Menteri, Abang tertua jadi Menteri Pertanian, Anak kepada Perdana Menteri jadi Menteri Belia.

Di Malaysia  - di zaman Najib - kerenah dan tindakan  Najib  , Rosmah dan Hisham dibuktikan  telah membawa huru hara yang maha hebat ke atas negara.

Di Sri Langka perkara yang sama telah berlaku. Kerenah dan tindak tanduk  Rajapaksa  anak beradik telah dan sedang membawa huru hara. 

Mengikut akuan bersumpah P.I Bala dan akuan bersumpah Azilah kita rakyat Malaysia telah terperanjat dengan fakta  keterlibatan Najib dalam kes bunuh Altantuya  Minah cun lagi bergetah  dari Mongolia.

Dua tahun kebelakangan ini – hasil  kejayaan PRU14 – kita rakyat Malaysia telah juga diberi tahu melalui mahkamah bagaimana Najib telah menipu dan mencuri  berbilion ringgit  dana negara dalam kes SRC dan 1MDB.  
Mahkamah juga  telah memberi tahu rakyat Malaysia bagaimana Rosmah  isteri Perdana Menteri telah  mendapat duit suapan untuk meluluskan projek.
 Kita juga diberitahu bagaimana dana negara yang dicuri  telah digunakan oleh anak Najib untuk membuat filem  di Holywood.

Melalui  soalan dalam Parlimen rakyat Malaysia  telah diberi tahu bagaimana Hisham sepupu Najib  ketika menjadi Menteri Pertahanan   telah mendapat dana  untuk membuat 6 buah kapal tempur pesisir. 

Mengikut laporan Parlimen 5.94 bilion ringgit telah dibelanjakan. Masih ada lebih dari 1 bilion ringgit  tidak diketahui kemana hilangnya.

Melalui soalan di Parlimen kita  rakyat Malaysia telah diberitahu bagaimana   9 bilion ringgit telah diambil tapi kapal peronda itu masih tidak sampai-sampai.

Ini baru kerenah Najib , kerana isteri Najib anak beranak dan kerenah sepupu Najib. Hasilnya rakyat Malaysia telah terseksa. Cuba bandingkan dengan kerenah anak beranak Rajapaksa di Sri Langka.

Bayangkan bagaimana terseksa warga Sri Langka di bawah kerajaan Rajapaksa adik beradik dan anak beranak. Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan,  Menteri Pertanian, Menteri  Belia dan Menteri Agama adalah kementerian milik keluarga Rajapaksa adik beradik. 

Tidak ada satu pun projek ekonomi di Sri Langka yang boleh berjalan atau diluluskan tanpa persetujuan Rajapaksa adik beradik. Keluarga ini mula mencengkam kuasa di Sri Langka semenjak tahun 2004.

Di Malaysia Najib di dakwa atas tuduhan mencuri duit dalm kes SRC dan 1MDB.Di Malaysia kes SRC dan  1MDB Najib masih berjalan. 
Di Sri Langka  Menteri Kewangan Basil Rajapaksa dan sepupu Presiden telah didakwa  mengsonglap duit kerajaan dalam  hal jual beli hartanah. 

Di Sri Langka kes Basil Rajapaksa masih berjalan.

Melalui Pandora Paper keluarga Najib dikatakan terlibat menyimpan duit di luar negara. Nama beberapa ahli keluarga  Rajapaksa juga ada disebut dalam Pandora Paper. 

Di Sri Langka keluarga Raja Paksa terlibat dengan pengubahan  wang haram melalui syarikat Asiaciti Trust berpangkalan di Singapura.

Di Malaysia Najib yang didakwa dalam kes 1MDB juga terlibat dalam kes pengubahan wang haram dengan Goldman Sachs Bank cawangan Singapura.

Keluarga Rajapaksa dilaporkan melalui Pandora Paper memiliki kondo dan rumah mewah di Sydney dan London.

Dari siasatan SPRM , Jo Low orang kepercayaan  Najib  memiliki kondo dan flet mewah di New York. Tidak cukup dengan kondo mewah lelaki tembam ini juga memiliki lukisan dan bahan-bahan seni yang berjuta dolar harganya.

Dari maklumat Pandora Paper syarikat milik keluarga Rajapaksa juga telah memiliki 31 lukisan dan bahan-bahan  seni yang berharga. Bahan seni ini telah  dihantar ke Geneva Freeport untuk disimpan dengan tujuan untuk  lari dari cukai.

Justeru dunia tidak hairan – malah rakyat tertindas diseluruh dunia bertepuk tangan bergembira melihat tindakan warga Sri Langka membakar rumah dan istana milik keluarga Rajapaksa. Malah rumah dan istana kroni dan kuncu-kuncu  Rajapaksa juga turut sama dibakar.

Di Sri Langka cacing  Rajapaksa sudah naik ke mata.  Warga Sri Langka tidak boleh bersabar lagi.

Di Malaysia juga rakyat bertepuk tangan bila hukuman 12 tahun penjara di kenakan kepada Najib.

Di Malaysia Najib menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009. Maka bermulalah  Rosmah anak beranak menjalankan budaya bertepuk dada tanya selera .

Nak beli emas atau nak beli  intan. Hendak hadiah cincin berlian  atau hadiah kalung intan. Hendak beg Birkin kulit buaya atau kulit biawak. Hendak bercuti di Laut Tengah ,  di London atau  di Paris. 

Di Sri Langka Rajapaksa dan keluarga lebih dari bertepuk dada tanya selera. Ini keluarga  Maharaja Rajapaksa mendominasi politik  Sri Langka. Keluarga Rajapaksa  ini memaksa  warga Sri Lanka menyembah mereka. Keluarga ini beraja dimata bersultan di hati – apa diminta itu yang dapat.

Di Malaysia kerenah Najib anak beranak telah membawa bala kepada rakyat Malaysia. Bala  yang dibawa oleh Najib anak beranak ini  masih dan sedang dirasakan oleh rakyat kelas bawahan dan anak semua bangsa  di Malaysia. Beban ekonomi akibat Najib mencuri dana negara menjadi beban yang kini sedang dipikul oleh kita semua rakyat Malaysia.

Di Sri Langka Rajapaksa anak beranak telah menggunakan agama Buddha sebagai benteng untuk mempertahankan kerenah keluarga yang mencuri duit negara. Ini mudah dilakukan kerana salah seorang dari Rajapaksa menjadi Menteri Agama.

 Di Malaysia keluarga Najib telah menggunakan agama Islam  sebagai benteng pertahanan apabila Najib dituduh mencuri duit 1MDB.

Dengan licik Najib telah bersekongkol dengan Parti Islam pada Ogos 2017  untuk menghalalkan apa yang berlaku dalam 1MDB.  Tuan Ibrahim  telah membawa delegasi Parti Islam Pas untuk mendengar penerangan dari Arul Kandasamy ketua pegawai eksekutif 1MDB.

Seperti di Sri Langka Para sami Buddha telah mensucikan apa sahaja yang dilakukan oleh keluarga Rajapaksa.

Di Malaysia Parti Islam telah berpuas hati dengan penerangan Arul Kanda bahawa  tidak ada penyelewengan berlaku dalam 1MDB. Najib anak beranak adalah mangsa fitnah.

Di Malaysia Najib telah didapati bersalah dalam kes SRC. Hukum 12 tahun penjara dikenakan kepada  Najib. Kini  Najib dalam proses menunggu keputusan  rayuan di Mahkamah Persekutuan. 

Di Malaysia pada malam Najib kalah dalam PRU14 – rakan niaga Najib dari Indonesia telah menghantar kapal terbang untuk menyelamatkan Najib lari ke luar negara. Bila berita kesampaian kapal terbang ini tersebar rakyat telah datang mengawal Lapangan Terbang Subang. Bekas Perdana Menteri Najib  dan Rosmah gagal lari.

Di Sri Langka  bila  berita tersebar  bahawa Mahinda Rajapaksa bukan lagi Perdana Menteri  rakyat telah datang ke kawasan rumah bekas Perdana Menteri dan membakar rumah tersebut.  Tentera datang menghantar  helikopter untuk menyelamatkan bekas Perdana Menteri.

Bila berita tersebar bahawa bekas Perdana Menteri ingin melarikan diri  ke luar negara mahkamah telah membuat arahan melarang 6 orang keluarga Rajapaksa dari meninggalkan Sri Langka.

Di Malaysia  bekas Perdana Menteri Najib sedang menunggu keputusan kes rayuan. Ketika ini   rakyat Malaysia melihat bagaimana Najib  telah dijemput ke Istana Agong untuk berhari raya. Malah telah ada suara yang mahu Najib diampunkan oleh Agong.

Di Sri Langka bekas Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa sedang menunggu apakah dia akan dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan. Kini bekas Perdana Menteri meminta perlindungan dari  adiknya Gotabaya Rajapaksa  Presiden Sri Langka.

Kes Najib bekas Perdana Menteri Malaysia masih belum selesai. Rakyat hanya akan berpuas hati   apabila Najib anak beranak  masuk ke dalam penjara.  Sepupu Najib Hisham Hussein  masih lagi Menteri Pertahanan.

Kes Mahinda Rajapaksa bekas Perdana Menteri Sri Langka  belum selesai. Rakyat masih belum berpuas hati terhadap keluarga Rajapaksa. Gotabaya Rajapaksa masih lagi berkuasa sebagai Presiden. 

Nampak jelas apa yang telah dan sedang berlaku di Malaysia telah dan sedang juga berlaku di Sri Langka.  Apa yang berbeza antara kita dengan Sri Langka hanyalah dalam makanan. 

Di Sri Langka bahan makanan makin susah hendak dibeli kerana negara sudah jatuh bankrap. Sri Langka telah menjadi negara gagal.

Manakala di Malaysia bahan makanan masih  boleh dibeli hanya harganya makin mahal. Malaysia  ketika tulisan ini digarap masih belum bankrap. Tapi kalau Najib anak beranak dan kuncu-kuncu  terus berkuasa makan Malaysia akan pasti  menjuju ke negara gagal. (TT)  

TULISAN INI JUGA
TELAH DISIARKAN
DALAM PORTAL
THE MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/381463

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sedih dan geram baca perbandingan Negara kita dengan Sri Langka. Tetapi pada perenggan PAS menghalalkan perbuatan Najib, terus jadi sakit hati. Kita akan jadi lebih hina dari Sri Langka kàlau masih percaya tuduhan pada "BossCow" adalah konspirasi. Buang sekali sepupunya dari kabinet Negara. Buka siasatan kes kapal tak sampai, wahai Mail Buf****,.

M V berkata...

Terima kasih atas analisa politik dalaman seri lanka dan melaysia.. mohon analisa politik antara bangsa... Cross benua... Global perspektif....internasioal... Inter continental... Pasti ada kisah sejak nabi adam turun ke bumi hingga nabi isa turun ke bumi buat kali kedua.