Rabu, 7 September 2022

MEI 13 DAN KUALA LUMPUR


  MEI 13 

DAN

KUALA  LUMPUR


Pada 16 Mei 1969 MAGERAN ( Majlis Gerakan Negara) di tubuh. Parlimen di gantung. Aku mengikuti berita ini dari Utusan yang aku baca setiap petang di Pavilion.

Sebenarnya aku tidak faham pun apa yang telah dan yang sedang  berlaku di Malaysia. Aku hanya tahu ada pergaduhan China dan India dengan Melayu. Ada yang terkorban. Siapa dan bagaimana terkorban aku tidak pasti. 

Sesudah 13 Mei ada seribu satu macam cerita. Kami yang duduk di MCKK – agak terkurung – dapat juga mendengar desas desus khabar angin  dari luar. Bayangkan untuk orang yang duduk di Liman Kati, di Sayung, di Lenggong atau di Bukit Chandan – pasti melambak  kesah kurang benar boleh didengar.

Aku tidak faham  apa makna Parlimen digantung. Apa implikasi Parlimen digantung. Aku yang belum cukup umur untuk mengundi hanya membuka mata dan telinga untuk melihat dan mendengar.

Dari Utusan aku terbaca nama-nama politikus yang mengepalai MAGERAN.  Di kepalai oleh  Perdana. Menteri Tun Razak bersama  Dr Ismail, Tan Siew Sin dan Sambanthan.   Ini nama Menteri   yang aku kenali – nama yang sentiasa di lapor oleh Utusan. 

Ada juga nama baru seperti  Leftenan Jeneral Ibrahim Ismail, Ghazali Shafie dan Leftenan Kolonel  Ghazali Che Mat. Pada hemat aku politikus dan askar dalam MAGERAN ini  sedang  memerintah Malaysia. 

Dari  Perpustakaan aku bertemu majalah baru – Far Eastern Economic Riview  (FEER). Ini  majalah politik dan ekonomi  yang diterbitkan dari Hong Kong.  FEER ini ditulis dalam kertas amat nipis – ini kerana ianya diterbangkan setiap minggu dari Hong Kong.

Majalah ini membuka mata aku untuk membaca hal ehwal semasa tentang Asia Tenggara. Majalah Times , Newsweek dan Life  aku baca juga. Ini majalah  dari Amerika. Berita Asia dari dua majalah ini tertumpu  pada Perang  Vietnam selain berita dari seluruh dunia.

Manakala majalah Life memaparkan  berita bergambar. Ada tulisan  dengan  laporan berita yang diiringi dengan gambar menarik. Life ini menjadi majalah juru gambar.

Satu lagi majalah  Inggeris yang aku baca dari Amerika ialah Plain Truth. Ini majalah Kristian yang boleh dilanggan dengan percuma. Plain Truth ini menarik untuk membaca satu jalur pandangan  yang belum pernah aku baca.

Hakikatnya dari segi pembacaan MCKK kini membuka minda aku.   

Membaca majalah ini agak penting kerana ianya menjurus untuk memahami isu semasa. Dalam Kelab Debat isu semasa ini menjadi agenda kami  setiap hari Selasa.  Juga  membantu mata pelajaran General Paper – Kertas Am – mata pelajaran wajib  untuk HSC ( Higher School Certificate ).

Pernah dalam  kelas Kertas Am  kami membincangkan Perang Vietnam. Kelas ini dipimpin oleh Guru Besar Aziz Ismail.  Aku ketika itu mengajukan pandangan bahawa perang Vietnam  ini baik kerana ianya memangkin teknologi baru.

 Contoh yang aku beri ialah hospital bergerak. Hospital segera dalam hutan atau dalam sawah padi sama bergerak dalam medan perang . Aku berhujah bagaimana nyawa soldadu dapat diselamatkan apabila pembedahan dijalankan serta merta. 

Hujah aku ini berdasarkan berita yang aku baca dari Newsweek.

Minggu berikutnya kelas Kertas Am dipimpin oleh Guru Besar sekali lagi. Kali ini  agenda yang kami bincangkan ialah  Gerakan Hippie yang manifestasinya berambut panjang dan berseluar jean lusuh tanpa kasut hanya berselipar.

Perbincangan Kertas Am akhirnya sampai ke babak marijuana  dan siapa yang cool dan siapa yang square.

Aziz Ismail mengajukan kita boleh dilihat cool dengan tidak perlu mengikut majoriti untuk menjadi cool. Tak perlu menghisap marijuana.

Ketika kelas itu berjalan Guru Besar hanya menggunakan perkataan marijuana. Ini menjadikan aku kurang faham. Apakah marijuana hanya ada di Eropah.

Sesudah kelas selesai  Jalil menerangkan  pada aku bahawa marijuana ini adalah ganja. Marijuana  adalah ganja  sebutan orang Mexico. 

Hari berjalan hari berganti akhirannya cuti penggal sampai.  Aku nak pulang ke Jelebu nak berjumpa kawan-kawan lama dan  nak berlabun berbagai cerita.

Pada Senin akhir penggal itu Guru Besar Aziz Ismail telah memberi ucapan dalam  Dewan Hargreaves.

‘  Mereka yang balik ke Selatan jangan singgah  di Kuala Lumpur.... teruskan kereta api  ke Gemas  dan Johor Baru... Do not stop in Kuala Lumpur... do not enter Kuala Lumpur for security reason.....’

Untuk bercuti kami pulang ke kampung naik kereta api.  Kereta Api Tanah Melayu (KTM) telah menyediakan koc khusus. Paling belakang koc MCKK, diikuti koc STAR dan paling akhir koc SDAR.  Di dinding koc ada tertulis nama-nama sekolah ini.

Kereta api dari Butterworth  akan sampai ke Kuala Kangsar jam 12 malam. Kami  sampai ke Kuala Lumpur stesen akhir  jam 7 pagi. Kereta api Kuala Lumpur – Singapura bergerak ke Selatan jam 9.30 pagi. 
 
Untuk pelajar Pantai  Timur mereka terus ke Gemas bertukar kereta api ke Utara untuk  ke Kota Baru.

Hari Sabtu sebelum balik kampung aku pergi  merayu dalam pekan Kuala. Makan  mee rebus Kedai Pak Kassim.  Tak sabar menunggu malam untuk naik kereta api.

Lepas makan makan aku mengheret beg menuju ke Stesen Kuala Kangsar.  Pulang bercuti  kami telah dibenarkan memakai  seluar baju biasa tidak lagi uniform sekolah. 

Wow ! Bangga rasanya dapat menyarungkan selaur jean baru  warna  hitam yang di hadiahkan oleh Ghani kepada aku.

Di Stesen Kuala Kangsar  ramai pelajar Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Aku sebagai pendatang baru  Tingkatan Enam wajib membeli tiket. Pelajar dari tingkatan lima ke bawah ada waran tiket percuma. Mereka ada ‘ group  leader’ yang ditugaskan membawa senarai nama pelajar.

Semua tersusun. Semua teratur. Semua telah menjadi tradisi  Budak Koleq.

Aku merayau di Stesen tertiba aku teringat akan marijuana.  Tanpa disuruh tanpa di tanya aku memberanikan hati dan bertanya pada Mamak Tuan Empunya kedai kopi dalam stesen.

‘ Ganja ada...’ Aku bertanya secara seloroh tanpa menunggu jawapan.

Aku terperanjat besar bila Mamak itu menjawab, ‘ .. Ada... ‘ Dia ke meja membuka laci dan mengeluarkan satu kartus ganja.

Kartus ini terminologi untuk ganja. Ini bahasa anak muda untuk ukuran ganja. Ganja ini di ikat dalam kertas minyak kuning yang biasanya diguna sebagai  pembalut buku. Kartus ganja ini  sebesar saiz AA bateri.

‘ Seringgit satu...’ Mamak berkata.

Aku tidak percaya apa yang terjadi. Aku mengeluarkan duit dan terus menyimpan satu kartus ganja.  

Tahun 1969 aku bukan perokok. Dan di Stesen Kereta Ali Kuala Kangsar adalah kali pertama  aku membeli  ganja. 

Ghani yang akan pulang ke Batu Pahat ada bersama di Stesen.

‘ Aku beli ganja dari Mamak Keling tu...’ Orang pertama aku beri tahu.

‘ Apa... ada ke.... ‘ Ghani menjawab dengan soalan.

Kereta api sampai. Kami naik dan masuk koc. Dalam kereta api aku ada askar Melayu dengan pakaian  hijau. Mereka juga ada membawa senjata.  Apakah mereka menjaga penumpang atau dalam perjalanan ke kem mereka.

Pada hemat aku pasti askar baju hijau ini sedang menjaga koc kami. Kerana  mereka memakai pakaian seragam lengkap  dan membawa senjata di tempat orang ramai.

Maka aku teringat kata-kata Guru Besar Aziz Ismail : keadaan terkawal tapi berhati-hati.  

Dengan adanya askar ini  aku merasa selamat.

Perjalanan agak lama. Tapi tidak membosankan. Berjalan ke hulu ke hilir bersembang melihat malam. Ipoh pelajar dari STAR sampai. Kereta api ini tidak laju. Kereta api serombong asap. Ianya berhenti di setiap stesen.  Subuh kereta api sampai ke Tanjung Mali. Pelajar dari SDAR masuk.

Akhirnya sampai  ke Stesen Besar Kuala Lumpur.

Selain dari Ghani ada  Rashid yang  juga pulang ke Batu Pahat. Baharuddin ke Tangkak. Hatta Shahrom dari aliran Sains  ke Johor Bahru. 

Kami semua Budak Koleq pendatang baru  terkumpul di Kuala Lumpur menunggu  kereta api dari Kuala Lumpur ke Singapura jam 9.30 pagi.  

‘ Ghani... mari tengok KL...’ aku mengajak Ghani.

‘ Eeeh.... mana boleh.... bahayaa.... HM kata jangan masuk KL... tak selamat...’

Bila Ghani menolak aku  ajak Hatta. Dia menolak sama.

Hati aku ingin melihat Kuala Lumpur pasca 13 Mei.  Aku nak tahu, aku ingin melihat sendiri Kuala Lumpur  dengan mata kepala aku sendiri. Aku hendak membandingkan desas desus yang aku  dengar dengan kenyataan. Aku juga  hendak merujuk kembali  dengan apa yang telah aku baca di Utusan.

Aku dengan yang lain berpisah. Aku meninggalkan beg aku di tempat simpan barang. Aku menapak keluar stesen tanpa satu arah tujuan yang khusus. 

Aku bukan warga kota Kuala Lumpur tapi ada pengalaman kerana telah beberapa kali singgah di Kuala Lumpur. Kali akhir ketika aku dan Lee Keong hitch hike ke Pulau  Pinang. 

Aku tahu di tepi sungai tidak jauh dari Stesen Kereta Api Kuala Lumpur ada stesen bas.  Aku menapak arah ke sana. 

Jangkaan aku tepat. Aku nampak bas Seri Jaya – warna biru tua. Aku memerhati ke kepala bas mencari  ke arah mana yang nak aku tuju.

Aku ternampak di kepala bas – Kampung Pandan. Aku meloncat naik.

‘ Nak ke mana .. ‘ Penjual tiket bertanya. 

‘ Stesen akhir... ‘ aku menjawab.

Sebenarnya aku tidak tahu ke mana yang nak aku tuju.

Bas berjalan melintasi Stesen Bas  For Hup Pudu. Wilayah ini aku tahu. Kemudian  mengelencong masuk ke kawasan perkampungan  yang tidak mewah.
Mata aku mencari cari dan memerhati.  Sebenarnya aku tidak ada rujukan tentang wilayah ini. Mata aku  untuk kali pertamanya merakam apa yang aku ternampak.

Tertiba bas lalu di hadapan sederet kedai.

Hah! Aku ternampak ditengah deretan kedai ini asa  sebuah kedai terbakar hangus.  Dalam fikiran aku ini pastilah kedai China yang telah dibakar oleh Orang Melayu.

Bas berjalan lagi. Kami  masuk kawasan kampung Melayu. Pada hemat aku ini pastilah  Kampung Pandan.  Ada rumah-rumah papan berbentuk sama. Ada juga kumpulan rumah setinggan. Justeru yang membakar kedai China itu pastilah warga  Kampung Pandan.

Mata aku terpandang pada tembok batu. Ada cakaran di dinding : Ahmad Chicago. Siapa si Ahmad ini dan kenapa Chicago tdak aku tahu.

Bas berhenti di stesen akhir.

“ Bang... nak pulang naik bas kat mana...’ Aku bertanya pada penjual tiket.

‘ Bas lalu sebelah ini juga... tapi ikut jalan lain ... masuk Batu Road...  kau  ni nak ke mana ...’ Tukang tiket jadi hairan melihat aku naik baik tidak tahu ke mana tujuan. 
 
‘ Jalan ... jalan... saje Bang... nak nengok KL..’ Aku menerangkan.

Aku menyeberang  jalan dan menunggu bas untuk pulang.  

Tidak lama aku menunggu. Bas  ini membawa aku masuk kembali ke dalam pusat kota tapi melalui jalan lain.

Dua kali lagi aku nampak cakaran di dinding kedai : Ahmad Chicago.

Bas masuk  ke Batu Road. Aku  ternampak satu  lagi bangunan  terbakar. Dari dalam bas aku perhatikan ini pastilah  yang telah berlaku pergaduhan Melayu  China. Kedai yang terbakar itu kedai China.

Akhirnya aku sampai kembali ke  stesen bas tepi sungai. Wilayah ini aku kenal pasti. Aku menapak dan terus kembali ke Stesen Besar Kereta Api Kuala Lumpur. Di stesen aku nampak askar dengan senjata masih ada disana sini.

Jam telah masuk tengah hari. Pasti  Ghani, Hatta, Baharuddin dan Rashid kini dalam perjalanan ke Gemas.

Aku mengambil beg di bilik simpan barang dan terus menapak ke Jalan Pudu. Aku wajib mengambil bas Foh Hup untuk ke Seremban.

Satu jam perjalanan aku akan samai ke Seremban.  Dari Seremban aku naik bas. Lim ke Kuala Klawang. Dari Kuala Klawang aku cari  kereta ‘ prebet sapu ‘ untuk ke Chenor.

Dalam bas For Hup aku melintasi Penjara Pudu.  Dalam bas aku terfikir aku telah melanggar arahan Guru Besar Aziz Ismail yang melarang masuk ke dalam kota Kuala Lumpur. 

Tapi ini seperti sajak Chairil Anwar : Aku ini binatang jalang  dari kumpulan  terbuang.

Aku tepuk badan aku kerana berani melihat apa yang telah berlaku di Kuala Lumpur walau pun ini bulan Jun 1969. 

Rangka bangun rumah kedai yang terbakar sentiasa segar dalam ingatan. 

Aku tak sabar nak sampai ke Kampung Chenor. Nak jumpa kawan-kawan kerana aku ada satu kertus ganja.

EPILOK 1
Tahun 2022 setiap kali aku pergi ke Pasar Chow Kit aku akan melintasi kedai yang  terbakar itu. Ianya terletak di hadapan Stesen Monorel depan Hospital Kuala Lumpur hampir dengan Kampung Bahru.

EPILOK 2
Setiap kali aku ke Kampung Pandan aku akan terlihat kembali rangka kedai yang terbakar itu. Dulu hanya ada beberapa pintu. Tahun 2022 ianya menjadi pekan besar.  ( TT )


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/09/07/13-mei-dan-kuala-lumpur


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jangan Lupa cerita hisap ganja tu biLa sambong cerita ni

Tanpa Nama berkata...

Giler murah ganja zmn dulu2 bule beli kt kedai mamak lg.perghh mmg zmn pop yeah yeah mmg best.

panglimo potaseh berkata...

Den tigo 13 mei baru jah tigo ..mcm2 coghito kito nongga ..yg molayu torbang dongan parang molibeh cino, kato nyo ribu-ribu cino mati ..tapi hakikat nyo ratus-ratus jo. Tapi den ado kona sekor askar yg jumpo duit tong-tong kek Chow Kit ..ontah yo, ontah tidak ..tapi den pon ado kawan baek cino yg abang dio kiok kono bakar dalam panggong kek brikfil, dokek kek ghumah TT skrg ..tapi gwa respek cino tu dio tak dondam kek molayu. Apo pon 13 mei tolah borjayo sodarkang bangso Malaysia botapo ponting nyo porpaduang kaum ..kemuncak nyo pado 70an hinggo 80an kito soakan borsatu ..jam tu kito ado koling jadi popular nyanyi lagu molayu, Aliykit, Sept 5, Streetboi, ..cino ado KRM, Goh, Kenni, Meri Shia ..ghamai lagi. Tapi ..tapi ..sojak 90an ..bilo pomimpin UMNO raso kok cino tak kacau ..moreko boleh jadi lobey kayo ..mako torpancot lah slogan idop Melayu ..dan ..dan ugamo digunokan sbg tonik utk jadikang Melayu lobey bodoh ..tapi ..shokoor PH monang PRK14 ..hari ni polahap UmNO sedang di SHINDLER LIST kang ..mampoos ..idooop molayu ..