Rabu, 16 November 2022

DARI JALAN KEBUN KE KAMUNTING


DARI JALAN KEBUN

 KE KAMUNTING



Geng Reformis selalu bermesyuarat dan berbincang di Pejabat LRC – Labour Resource Centre – pejabat Tian Chua di Bangsar. Kami berkumpul di sebelah petang  sesudah opis ditutup.   Waktu petang cukup selesa di Bangsar tanpa jalan raya yang sesak padat.

Kami bukan secara resmi memanggil diri kami Reformis. Tidak. Tidak ada siapa yang melantik kami. Tidak ada organisasi di belakang kami.

Kami bergerak mengikut perasaan dan bacaan politik. Kami anggap dan kami yakin Anwar Ibrahim  mangsa konspirasi Mahathir Muhamad.

Sebelum  krisis Anwar bergaduh dengan Mahathir aku menulis kolum Analog di Berita Minggu. Bila Reformasi  dan demo bermula kolum aku ditutup.

Satu petang  Sivarasa Rasiah dan Premesh Chandran datang berjumpa aku di Bangsar. Mereka meminta aku memimpin  Malaysiakini untuk beberapa bulan sahaja. Ketika ini Steven Gan masih bekerja degan akhbar The Nation Bangkok. 

Aku menolak. Aku tidak mahu terikat dengan  organisasi. Tapi  aku bersedia menulis. Bila Malaysiakini  menemui pembaca   pada 20 November 1999  muncul Dor Mai kolum  aku dalam portal berita ini.

Di era Reformasi adalah  di permulaan zaman Internet. Laman Internet   yang menjadi tulang belakang penyampai maklumat dan penyebar propaganda Gerakan Reformasi ialah laman Mahazalim dan Laman Reformasi. 

Dua laman ini bergerak di bawah tanah.

Dalam masa  awal Reformasi  wujud tulisan talian  Sang Kancil yang di urus oleh M.G.G Pillai. Wartawan veteran ini  memiliki banyak pengalaman dalam politik Malaysia dan penulisan.

Apabila Malaysiakini muncul portal ini juga mengambil  garis bersimpati dengan Reformasi.  Justeru reformasi kini ada penyokong  yang bergerak secara gelap dan ada bergerak secara terang.

Aku menulis banyak tulisan yang menyanggah Mahathir   Muhamad dan menyokong Anwar Ibrahim dalam kolum Dot Mai. Ini kerana pada ketika itu aku yakin Anwar Ibrahim tidak meliwat Azizan  yang berbadan sado. Juga aku tidak percaya Anwar meliwat  Sukma Dermawan yang kiut dan jambu.

Ketika itu yang menyunting tulisan kolum Dot Mai  aku ialah  Wan Fathi. Sosok ini juga terlibat secara langsung dalam Reformasi.

Jelas Gerakan Reformasi 98 kini memilik media untuk menjalankan propaganda dan memberi pencerahan kepada  orang ramai.

Perjumpaan di Pejabat LRC Tian Chua bukan perjumpaan terbuka. Hanya yang dijemput datang.  Tian yang menjadi tuan rumah.

Malik Husin, Pak Abu,   Lat Koya dan Aku  diminta wajib hadir oleh Tian.  Geng Reformis seperti Pak Din,  Tan, Nora dan Nasir muncul sekali sekala. Tapi semua mereka ini adalah pemain utama dan  penting dalam gerakan anti-Mahathir.  

Tanpa Pak Din, Nasir dan Nora – Gerakan Reformasi yang diatur oleh Tian tempang.

 Bincang punya bincang Tian berkata ‘ ... We must be back on the street...’

Justeru kami merancang Perhimpunan 100 Rakyat di Jalan Kebun. Tarikh di tetapkan pada 5 November 2000. Berhimpun jam 2.00 di tanah lapang milik S.D Johari – penyokong Anwar Ibrahim juga ahli parti PKN ( Parti Keadilan Nasional)

Tian Chua yang ketika itu telah menjadi Naib Presiden PKN memainkan peranan yang penting.

‘ Kita mesti jemput  semua pemimpin parti datang ke Jalan Kebun...’ Pandangan Malik Husin.

‘ Tian.... lu kena jemput Wan Azizah, Kit Siang, Syed Husin.... lu orang  parti....they must show their face .... Wan Azizah wajib hadir...Anwar suami dia... anak dia Nurul tu jangan jadi penakut... belajar turun ke jalan raya... Puteri Reformasi tapi tak pernah kena tangkap nak jadi Puteri Raja ker.....’ Aku mengeluarkan pandangan.

‘ Orang politik takut turun jalan raya.... takut kena tangkap.... tak dapat bertanding.....’ Malik Husin memberi penerangan yang jelas.

Petang itu Lat Koya ada sama. Kehadiran Lat ini penting kerana dia peguam. Jika ditangkap peguam telah sedia ada.

‘ Tema kita nyah Madey...ini slogan yang wajib kita jual...’ Aku memberi  cadangan.

‘ Apa lagi....pengisian apa....’ Pak Abu yang kini menjadi Pengerusi Himpunan 100 Ribu Rakyat berkata.

‘ Macam biasa pemimpin berucap....Wan Azizah.. Kit Siang.. Ezam ....Reformis berucap.... jemput juga Ustaz Fadil dari PAS...’ Malik bersuara.

‘ Aku nak  buat  kain layar atas  pentas gambar nyah Madey....’ Aku beri cadangan.

‘ Apa dia...’ Pak Abu bertanya.

‘ Zunar boleh lukis gambar  tangan penumbuk... tolak Madey...  gambar wajib besar biar semua melihat... ini bahan seni...’ Aku beri cadangan.

Petang itu semua tugasan diberi. Aku wajib  menghubung Zunar untuk lukisan. Nyah Mahathir menjadi tema Himpunan 100 Ribu Rakyat. 

Tiga hari kemudian aku terbaca dalam Utusan berita Mahathir. Dia berucap menggunakan perkataan nyah. Mahathir mahu nyah Ezam. Mahathir telah menibai Ezam dengan ucapan – Nyah Ezam.

Aku terperanjat.  Aku merasa intel dan polis rahsia Mahathir telah tercium bau tema Himpunan 100 Rakyat. Mahathir  telah menggunakan perkataan nyah terlebih dahulu sebelum  Nyah Mahathir aku sampai..

Aku tidak risau dengan berita Nyah Ezam ini. Apa yang wajib aku lakukan terus aku lakukan.

Zunar telah menyediakan lukisan penumbuk – Nyah Mahathir. Aku meminta Hasmi  Hashim – graduan seni lukisan dari UITM  untuk membesar lukisan Zunar. Hasmi telah datang dengan dua pelajar UITM untuk membantu. Mereka membuat lukisan Penumbuk Nyah Mahathir dalam pejabat aku di Bangsar Utama.   Semua beres.

Laman Mahazalim dan Laman Reformasi menjadi suara Reformasi. Dua laman ini mengiklankan  setiap hari Himpunan 100 Ribu Rakyat. Pak Abu menggunakan Internet untuk meluaskan  pengaruh.

Hari Sabtu  4 November  2000  semua  siapa seaga. S.D Johari telah menyediakan pentas. Kain  layar Nyah Mahathir seluas  25X 25 kaki  telah dipasang.

 Ahad 5 November 2000 ribuan rakyat telah mengambil Lebuh Raya Kesas menuju ke Jalan Kebun.   Aku mengambil jalan ini dari arah ke Kuala Lumpur. Jalan Kebun terletak diantara Kuala Lumpur dan Klang.

Belum sampai jam dua  Lebuh Raya Kesas telah macet. Dari apa yang aku diberi tahu pasukan FRU  telah mula menembak gas pemedih mata di persimpangan jalan masuk ke Jalan Kebun.

Lebuh Raya Kesas jadi sendat. Ribuan kereta tidak dapat bergerak. Semua kereta ini dalam perjalanan ke Jalan Kebun.

Aku diberi tahu Dr Wan Azizah, Lim Kit Siang, Dr Hatta dan ramai pemimpin politik telah meninggalkan kereta mereka dan berjalan menuju ke Jalan Kebun.

‘ Isham.... Kak Wan datang.... kaki dia berbalut....’ Malik memberi maklum.

‘ Alaaa mak... kesian... dia naik kerusi roda ke... datang tetap datang....’ Aku menjawab.

Aku sendiri telah menapak hampir tiga batu masih tidak sampai ke persimpangan jalan untuk masuk ke Jalan Kebun.

Aku paling senang hati bila melihat kereta tersadai. Pemandu dan penumpang keluar  berjalan, lebuh raya macet dan sendat. Semua ini menunjukkan kejayaan propaganda kami menjemput orang ramai ke program Reformasi berjaya.

Hakikatnya Pak Abu dan Tian telah berjaya menyusun Perhimpunan 100 Ribu Rakyat.

Aku tidak tahu di mana Tian Chua dan Pak Abu. Mungkin mereka telah sampai ke pentas ceramah. Aku bersama Malik Husin masih di atas jalan.

Kami hampir ke persimpangan jalan nak masuk ke Jalan Kebun tertiba gas pemedih mata dilancar ke arah  kami. Kami bertempiaran lari.

Gas pemedih mata terus di tembak. Di hadapan kami ialah ladang sawit. Gas ini masuk ke ladang sawit. Suasana menjadi lucu bila aku melihat ayam-ayam liar dalam kebun sawit  bertempiaran terbang lari dari tembakan gas pemedih mata.

Tertiba di ruang udara  sebuah helikopter  terbang rendah. Aku mendongak ke atas. Apakah kami akan di bom dengan gas pemedih mata dari udara. Aku memerhatikan dengan rapi akan tindakan helikopter ini.

Aku tahu ini taktik untuk menakut-nakut  para penunjuk perasaan. Ini taktik lama yang kami semua sudah  faham. Amin

Berpuluh puluh tembakkan gas pemedih mata dilepaskan di persimpangan  ke Jalan Kebun.  Kami digagalkan untuk menuju tempat program. Gas pemedih mata berjaya menghalang kami. 

Hari lewat petang. Akhirnya aku dan Malik  mengundur pulang. Di tengah jalan aku ternampak Johari Abdul memandu van menyamar sebagai penjaja minuman.

‘ Malik.... betul... kau cakap ... politikus ni takut nak  turun berdemo... mereka sayang kerusi dari menegak keadilan...’ Aku berkata pada Malik Husin  sambil menapak untuk kembali ke kereta yang ditinggalkan tiga batu di belakang.

Senin 6 November 2000 RTM, TV3,  Utusan , Berita Harian dan media milik  United Malays National Organisation heboh mengutuk kami yang menjadikan lebuh raya sesak dan macet.  

Tapi aku tak risau Gerakan Reformasi ada Mahazalim, ada Sang Kancil dan ada Malaysiakini untuk memberi laporan dari sudut kami yang berdemo.

‘ What is next Tian... 100 Ribu Rakyat berjaya... ‘ .Satu petang aku bertanya ada Tian ketika kami berjumpa kembali di pejabat LRC.

‘ We must go to the street again... Jalan Kebun berjaya... we must do it  in KL...’ Tian memberi pandangan.
 
‘ Bulan 12 ada Krismas,  tahun baru, bulan dua Chinese New Year .. semua dah selesai... ni bulan tiga .... masuk bulan April kita ada  Black 14....’ Aku  menghitung kalender.

Petang itu kami buat keputusan untuk berhimpun mengingati hari Anwar di jatuhkan hukum – 14 April.

‘ Nak  buat dimana ....’ Nora bertanya.

‘ Dataran Merdeka....’ Aku mencelah.

‘ Kita buat di hadapan Pejabat Suhakam ..  tak jauh dari Dataran ...’ Tian beri cadangan.

‘ Woit... cun cun... 10 April hari Sabtu....’ Aku berkata sambil ketawa.

Pada petang itu Pak Din , Nasir, Tan, Nora ada bersama. Nora datang dengan dua kawan perempuan yang juga Reformis.  Bersama mereka ialah Pak Din, Malik, Pak Abu, Tian dan aku.

Petang itu kami dengan bersemangat akan mengadakan demo yang lebih besar. Himpunan 100 Ribu Rakyat yang membawa kejayaan telah menaikkan semangat kami.

Pak Abu dan Tian  menjadi pemimpin. Aku ditugas untuk melakukan propaganda. Semua bergerak. Dalam masa lebih sebulan kami yakin kami akan berjaay membawa lebih dari 100 ribu rakyat ek hadapan Pejabat Suhakam di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Demo Black 14 diumumkan. Poster dan  selebaran mula kami taburkan. Laman Mahazalim memainkan peranan yang penting. Aku telah menggunakan laman ini untuk mempropaganda  demo Black 14 pada 14 April 2001.

Semua berjalan lancar.

‘ Semua okay ke ..’ aku tanya Tian dan Malik seminggu sebelum Sabtu 14 April.

‘  Ramai akan turun.... ‘ Tian menjawab.  

‘ Lebih besar dari Jalan Kebun...’ Malik mencelah.

Aku merasa hairan kerana polis dan Mahathir senyap tidak membuat apa-apa larangan terhadap Black 14. PDRM  tidak heboh melarang orang ramai jangan turun ke perhimpunan haram.

Kami semua  menunggu Sabtu 14 Aprl 2001 sampai.

Pada petang Selasa 10 April 2001 hampir jam 5.00 pintu pejabat aku di ketuk dengan kasar. Bila aku buka  dua orang  pegawai  polis yang beruniform dan seorang tidak beruniform meluruh masuk.

‘ Encik Hishamuddin Rais kamu ditahan...’ Polis beruniform berkata,

‘ Kes apa... ‘ aku bertanya.

‘  ISA....’ Jawapan polis.

Aku berselipar berbaju t dan berseluar pendek masuk ke dalam Proton Hijau tua untuk di bawa  dari pejabat aku di Jalan Kemuja ke rumah pasung. 


EPILOK 1
ISA digunakan untuk menangkap para Reformis dan penyokong Anwar Ibrahim. Gobala, Ezam, Lokman Adam, Raja Petra, Ghani, Pak Din, Pak Abu, Ustaz Badrul, Tian dan aku ditahan.

Malik Husin menghilangkan diri. Sepuluh orang Reformis ditangkap.

EPILOK 2
Dari rumah pasung Sentul aku dibawa ke Bilik Sulit untuk disiasat. Mata kami sentiasa ditutup ketika kami keluar masuk sel.

Aku ada dengar suara Pak Abu. Aku ada dengar suara Tian. Ada satu petang aku terserempak ketika penutup mata aku terbuka aku ternampak Raja Petra.

EPILOK 3
Satelah dua bulan dikurung bersendirian satu malam aku dibawa keluar ke jalan. Sebuah  van penjara menunggu.

Aku masuk. Dalamnya Pak Abu, Ezam, Lokman Adam, Ustaz Badrul telah sedia ada. Kemudian Tian Chua sampai.

Kami akan di hantar ke Kem Kamunting untuk tahanan ISA.

EPILOK 4
Untuk aku Tian Chua adalah penjana Reformis. Ketika Anwar dalam penjara sosok yang bernama Tian Chua inilah yang menyusun Gerakan Reformasi. Tianlah yang berjuang menghidupkan politik jalanan untuk membebaskan Anwar. 

Ketika Tian di tangkap di bawah ISA adalah Naib Presiden Parti Keadilan Nasional.

Tian bertanggung jawab merapatkan  banyak kumpulan NGO dalam usaha   melebar pengaruh Parti Keadilan Nasional.

EPILOK 5
Tian adalah penaja pergabungan PKN dengan Parti Rakyat untuk mewujudkan Parti Keadilan Rakyat. Hari ini Tian di pinggir dari Parti Keadilan Rakyat.

EPILOK 6
Chua Tian Chang tidak menjadi calon Pakatan Harapan di Batu.  Tian Chua telah menjadi wakil rakyat Batu selama dua penggal atas kerusi PKR. Kini Tian diketepikan.

Tian Chua menjadi calon bebas. Tian membawa lambang KERUSI RAKYAT.

EPILOK 7
Aku bersetia kawan dengan Tian Chua. Aku datang membantu kempen Tian Chua. Mustahil aku akan melupakan siapa sebenarnya  Tian Chua.

Jika aku pengundi Batu aku akan memilih Chua Tian Chang. Khalas. (TT)

TULISAN INI JUGA
DITERBITKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/11/16/dari-jalan-kebun-ke-kamunting



3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bro..kalau lu nak bercerita tentang dulu, lojiknya sampai sekarang pakcik makcik yang hidup tak susah dulu tak patut lupakan umno. Dorang jugak patut suruh anak2 dorang sokong umno. Sebab dengan umnolah dorang hidup aman damai. Makan pakai Masih cukup walaupun gaji kecil. Dunia berubah bro....aku orang muda yang Respek sama lu sama tian Chua, tapi sekarang ialah 2022..aku akan sokong yang boleh bawa perubahan. Bukan yang terus dihimpit kenangan. Kenangan tak majukan negara bro..

Tanpa Nama berkata...

SePekara yg aku reSpek TT ni..pandai jaga janggot

Tanpa Nama berkata...

jangan lupa, lu juga merakam sejarah langkah sheraton..