DAH NAK MASUK
SATU MINGGU
APAKAH MASIH
SELAMAT?
AMIN
WARGA MALAYSIA
MACAM MANA?
KHALAS
KATHMANDU: Angka korban akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal serta wilayah Tibet, China meningkat kepada 804 orang, manakala hampir 3,300 lagi masih hilang, menurut angka terbaru pihak berkuasa dan media tempatan pada Ahad, lapor Anadolu Ajensi.
Di Nepal, polis memaklumkan 788 mayat sudah ditemukan di kawasan dilanda banjir, manakala 2,742 orang masih hilang, termasuk ratusan warga asing.
Di Tibet, pihak berkuasa China melaporkan 16 kematian dan 546 orang masih hilang.
Operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan bagi mengesan 2,498 orang yang masih hilang, termasuk 933 pekerja projek hidroelektrik, 589 warga asing dan 127 rakyat Nepal yang melakukan perjalanan bersama pelancong asing.
Penduduk dari beberapa daerah yang terjejas turut dilaporkan masih hilang, menurut sumber tempatan.
Hampir 20,000 anggota keselamatan sudah menyelamatkan 8,186 orang, manakala operasi menggunakan helikopter berjaya memindahkan 279 pekerja projek hidroelektrik dan 227 warga asing ke tempat selamat.
Usaha bantuan turut dipergiatkan dengan penghantaran makanan dan barangan keperluan, penugasan pasukan perubatan serta pengagihan bantuan tunai kerajaan, lapor Nepal News.
Bencana itu melanda kawasan sempadan China-Nepal pada Rabu lalu, selepas glasier runtuh secara tiba-tiba, menyebabkan air dan lumpur mengalir deras melalui lembah Himalaya.
Arus deras itu memusnahkan kampung serta merosakkan teruk infrastruktur utama, manakala keluarga mangsa kini berusaha mencari anggota keluarga yang masih hilang.
Pihak berkuasa turut berdepan kesukaran menguruskan mayat yang ditemukan apabila bilik mayat hospital sudah penuh, selain sebahagian jasad mula mereput.
Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu mengumumkan bantuan kemanusiaan lebih AS$3.6 juta (RM14.5 juta) kepada Nepal bagi membantu mangsa banjir, termasuk bekalan makanan kecemasan untuk sehingga 10,000 keluarga terjejas.
Timbalan Ketua Polis Nepal yang juga jurucakap Polis Nepal, Abi Narayan Kafle, berkata jarak jauh mayat dihanyutkan arus banjir menyukarkan usaha mengenal pasti mangsa.
Katanya, banyak mayat ditemukan dalam keadaan tidak sempurna, termasuk anggota badan yang hancur atau terputus, menyebabkan pengecaman secara fizikal amat sukar.
"Sebahagian besar jasad tertimbus di bawah lumpur tebal dan air selama dua hingga tiga hari," katanya kepada Kathmandu Post.
Operasi mencari dan menyelamat turut berdepan cabaran bentuk muka bumi yang bergunung-ganang, cerun curam dan gaung sempit.
Nepal mendapatkan bantuan khusus bagi operasi menyelamat di dalam terowong, teknologi mengesan mangsa yang terselamat serta kepakaran dalam analisis forensik dan DNA.
Negara itu turut memerlukan peralatan bagi mengurus dan memelihara mayat yang ditemukan.
Pasukan peninjauan penyelamat terowong dari India yang terdiri daripada 11 anggota sudah tiba bagi membantu operasi berkenaan.
Pihak berkuasa turut memantau sebuah tasik baharu yang terbentuk di Himalaya kerana bimbang ia boleh menyebabkan satu lagi banjir.
Bagaimanapun, pegawai China berkata, paras air tasik itu menyusut dengan ketara dan kini hampir kering selepas airnya mengalir keluar secara semula jadi.
Keadaan itu sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya satu lagi aliran deras dalam masa terdekat.
Pasukan khas dari India, China dan Korea Selatan turut membantu operasi mencari dan menyelamat, manakala Malaysia menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta menyumbang AS$1 juta (RM4.2 juta) bagi usaha pemulihan.
Dalam perkembangan berkaitan, lebih 200 pelajar dilaporkan hilang selepas banjir melanda tiga daerah di Nepal, menurut Kementerian Pendidikan dan Sukan negara itu, lapor BBC.
Sekurang-kurangnya 19 sekolah turut terjejas, dengan sembilan daripadanya musnah manakala tujuh lagi mengalami kerosakan sebahagian.
Guru dan pelajar di beberapa sekolah turut dilaporkan hilang dalam kejadian itu.
Kebanyakan sekolah yang mengalami kerosakan teruk terletak di daerah Rasuwa dan Nuwakot, dengan beberapa sekolah di kedua-dua daerah itu sama ada dilanda banjir atau tertimbus.
Sekolah terbabit mempunyai kira-kira 2,425 pelajar.
Kementerian itu turut melaporkan kira-kira 20 pelajar dihanyutkan banjir, manakala sebuah bas yang membawa seorang pelajar turut dihanyutkan arus deras.
Lokasi sekolah yang terjejas dikenal pasti menerusi imejan satelit oleh bahagian kewartawanan visual BBC Asia Selatan.- AGENSI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan