Isnin, 31 Ogos 2026

PERANAN ANJING CUKUP CEMERLANG


TABEK HORMAT

UNTUK UNIT K9

AMIN


 Dari medan operasi ke pentas Merdeka, 35 K9 gagah berbaris


PUTRAJAYA: Rutin biasa bagi Goku ialah menjejaki dadah di pintu masuk negara manakala Troy menjalankan tugas kawalan tentera, tetapi pagi ini kedua-dua anjing K9 itu tampil dengan 'misi' sama apabila melangkah gagah dalam perbarisan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya.

Bersama 33 lagi K9 daripada pelbagai agensi, Goku dan Troy mencuri perhatian ribuan pengunjung apabila tampil dalam perbarisan sebagai sebahagian daripada aset hidup yang memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan negara.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menampilkan 10 Labrador Retriever berbanding lapan pada tahun lalu diketuai Goku, anjing veteran berusia sembilan tahun dari Belanda yang pernah membantu mengesan kira-kira 620 kilogram amfetamin.

Pembantu Penguasa Kastam Kanan yang juga jurulatih anjing pengesan dadah JKDM Johnson Pedro Ateg, 40, berkata turut membuat penampilan sulung ialah K9 Cafrey dan Riko, selepas tidak dapat menyertai perbarisan tahun lepas kerana kurang serasi dengan anjing lain.

Angkatan Tentera Malaysia pula menampilkan 25 anjing daripada Cawangan Serigala Pusat Latihan Tempur Tentera Darat, merangkumi anjing pengawal, pencari dan pengesan, dengan K9 Troy berada di hadapan bersama Ketua Detasmen Kapten Duin Anak Tat.

Duin berkata kebanyakan K9 pernah beraksi dalam perbarisan Hari Kebangsaan sebanyak dua atau tiga kali, manakala setiap anggota Cawangan Serigala dilatih mengendalikan semua anjing dalam unit itu.

"Apabila saya membawa Troy, dia secara automatik menjadi 'ketua' detasmen. Dia memang kuat, saya tarik, dia tarik lagi," katanya.

Duin berkata keserasian dan keseragaman langkah menjadi cabaran utama kedua-dua pasukan kerana ada anjing yang gemar menarik, mengekori atau bertindak apabila menganggap sesuatu sebagai ancaman, justeru, aspek stamina serta kesihatan dipantau rapi oleh pegawai veterinar.

Mengambil kira keadaan cuaca semasa, Duin berkata kesemua K9 dibekalkan air secukupnya dan vitamin serta menjalani pemeriksaan suhu badan, najis dan air kencing sebelum bergerak.

Beliau turut mengingatkan pengunjung supaya mendapatkan kebenaran pengendali sebelum menyentuh atau berswafoto dengan anjing perang milik ATM.

"Anjing askar memang terlatih. Memang ia nampak berkelakuan baik, tetapi kadang-kadang, jika ia menganggap sesuatu itu sebagai ancaman, serangan mungkin berlaku dan itu perlu diberikan perhatian.

"Sebelum hendak datang lebih dekat, tanya dahulu pengendalinya. Kena tanya pengendali sebab hanya pengendali yang tahu keupayaan anjingnya, sama ada anjing itu okey atau gelisah," katanya.

Tiada ulasan: