Rabu, 23 November 2022

KEBIASAN BARU - NEW NORMAL



KEBIASAAN BARU – 

NEW NORMAL


Ubah berubah dan semua yang wujud dalam alam ini akan berubah.  Hidup kita berubah. Tidak ada satu apa pun dalam alam semesta  ini yang terus tetap tanpa berubah. Yang terus menerus tetap hanya perubahan.

Budaya, gaya hidup, bahasa, ilmu pengetahuan, teknologi dan politik  akan terus berubah. Bunga jadi putik jadi buah dan gugur masak. Bayi jadi besar, jadi kanak-kanak, mendewasa, tua kemudian wafat. 

Kita tidak perlu jadi ilmuwan  hebat untuk memahami konsep perubahan ini. Tak perlu jadi pakar sains atau ahli falsafah untuk memahami ini. Diri kita sendiri adalah contoh perubahan.

Dulu saya masuk sekolah darjah satu pakai papan batu. Hari ini papan  batu hanya jadi ingatan. Hari ini pen dan kertas diperkenal sebelum masuk ke sekolah. Jadi bahan mainan. 

Dulu rumah pakai lampu pelita dan air perigi. Kini api dalam kaca dan air dalam besi. Kita jalan kaki, naik basikal, naik motosikal, naik kereta, naik kapal terbang dan naik roket ke bulan.

Jika semua berubah maka politik kita juga berubah. 

Selepas PRU14 kita lihat hegemon Barisan Nasional yang di kepalai oleh United Malaysa National Organisation runtuh. Kerajaan  Pakatan  memerintah selama 22 bulan. Kemudian  naik Muhyidin dan kemudian naik Ismail Sabri.

Babak-babak ini mengejutkan kita warga Malaysia. Ini dilihat baru terjadi di Malaysia. Kita tidak ada rujukan dan tidak ada pengalaman. Ini satu perkara baru untuk politik  kita di Malaysia. 

Tapi bukan satu yang baru  dalam budaya politik di negara lain di dunia. Di United Kingdom berlaku penggantian Perdana Menteri Liz Truss yang  jadi Perdana Menteri  hanya untuk  beberapa minggu.  Liz di ganti oleh Sunak.

Di Israel dalam masa empat tahun ada lima  pilihan raya. Untuk negara-negara ini perubahan sedemikian bukan satu yang baru. Untuk warga negara ini semua yang berlaku bukan kebiasaan baru. Ianya perkara biasa yang lama telah mereka alami.

Untuk kita di Malaysia Langkah Sheraton kelihatan baru. Yakinlah politik seperti Langkah Sheraton dalam masa yang tidak lama akan menjadi satu  kebiasaan baru – new normal – untuk budaya politik kita.

Justeru kita  tidak ada pilihan. Kita   wajib bersedia berhadapan dan menerima  kebiasaan baru ini. Budaya politik dulu telah dikambus sejarah.

Apabila Mahathir dilantik kembali untuk menjadi Perdana Menteri (PM) kali ke dua kita bertanya apakah ini betul.  Ianya satu yang  baru untuk politik Malaysia. Jika Muhyiddin mencalonkan dirinya untuk menjadi PM sekali lagi ini adalah kebiasaan baru.

Netanyahu di Israel menjadi  PM sekali lagi.  Turun naik kemudian  turun dan  naik  sosok PM bukan satu yang baru di Israel. Tahun 2022 adalah kali ke tiga Netanyahu menjadi  PM.

Lula da Silva kalah kerusi Presiden Brazil pada tahun 2011.  Bulan Oktober 2022 Lula di pilih sekali lagi untuk jadi Presiden Brazil. Ini bukan baru untuk politik Amerika Latin.

Mahathir jadi PM untuk kali ke dua, Lula jadi Presiden untuk kali ke dua, Netanyahu jadi PM untuk kali ke tiga bukan satu yang baru. Malah Muhyidin mencalonkan dari untuk jadi PM kali ke dua adalah watak dan ciri politik undi – electoral politic.  

Ciri dan watak budaya politik undi ini  wajib kita  terima sebagai kebiasaan baru. Kita tidak perlu terperanjat bila membaca. Donald Trump akan mencalonkan dirinya sekali lagi untuk menjadi Presiden pada tahun 2024.
Politik undi berbeza dengan politik difaktor seperti di Korea Utara atau di China Merah.  Politik undi tidak wujud di Berunai atau di Saudi Arab. 

Satu ketika dahulu kerajaan difaktor dialami oleh warga Indonesia di bawah Jeneral Suharto selama 31 tahun.

Satelah Suharto dijatuhkan pada tahun 1998  maka Indonesia mengalami kebiasaan baru. Presiden silih berganti. Muncul  Habibi, Gus Dur, Megawati, Susilo dan hari ini Presiden Jokowi.

Pertukaran Presiden di Indonesia menjadi kebiasaan baru dan kini menjadi satu yang biasa. Pertukaran sosok Presiden tidak dilihat pelik atau dibaca ganjil.

Ini tanda kekuatan politik undi.

Kita di Malaysia baru hendak bermula dengan pergantian Perdana Menteri. Bukan sahaja akan mendapat Perdana Menteri baru malah akan dapat PM baru dari parti yang baru juga.

Setelah Inggeris meninggalkan kuasa kepada United Malays National Organisation  - semenjak tahun 1955 hingga tahun 2018  Tanah Melayu dan kemudian Malaysia telah di perintah oleh satu parti yang dominan.

Dominasi United Malays National Organisation melalui Perikatan dan kemudian Barisan Nasional menjadikan kita gagal melihat cara dan pendekatan baru.

Kita diperangkap  oleh  kebiasaan lama. Bila politik baru sampai kita gugup. Kita terperanjat politik.

Apa yang membawa kebiasaan baru ini.

Dari sudut pandang materialis kebiasaan baru ini wujud akibat dari proses pembuatan dan penggunaan.

Untuk memudah fahami yang memangkin kebiasaan baru ini adalah teknologi. Bila teknologi berubah maka budaya dan gaya hidup kita berubah. Gaya dan cara hidup kita ini diubah oleh pemikiran kita.  Pemikiran kita berubah kerana teknologi telah mengubah alam di sekeliling kita.

Bila alam di sekeliling kita berubah maka fikrah kita tidak dapat tidak akan berubah sama. Ini hukum alam yang tidak ada satu kuasa pun dapat menghalang,   

PRU15 baru selesai. Ketika tulisan ini digarap kerajaan baru belum didirikan. Biasanya dari PRU 1 hingga ke PRU13 parti dominan akan kembali berkuasa pada malam selesai mengundi. Tidak ada eh tidak ada oh. Barisan Nasional akan kembali berkuasa.

Tetapi semenjak PRU14  satu yang baru muncul.  Barisan Nasional kembali berkuasa menjadi perkara lama. Budaya politik  parti dominan – parti Abang Besar – telah musnah.

Tidak wujud satu parti dominan ini adalah kebiasaan baru. Ini new normal yang wajib kita terima. Wajib kita hayati.

Sebenarnya kebiasaan baru ini yang saya garap hanya dalam  hal politik. Sebenarnya yang membuka kebiasaan baru ini ialah teknologi Internet. Budaya Internet untuk semua benda ini – all things Internet - sedang mengubah gaya hidup manusia.

Manusia tahun 1950 bukan lagi manusia tahun 2022.  Internet telah mengubah fikrah manusia.  Cara berkomunikasi, cara berbudaya, cara membeli, cara menulis, cara mencari kawan dan ..dan.. dan.. semua kini bergantung dengan Internet.

Satu ketika dulu Rene Descartes ( 1596-1650 ) ahli falsafah Perancis berkata : Aku berfikir maka aku  wujud.

Tahun 2022 Hishamuddin Rais berkata: Aku berInternet maka aku wujud.

Justeru Internet membuka minda dan membawa kebiasaan baru.

Ketika saya menggarap tulisan ini satu kebiasaan baru telah muncul di Perak. Pakatan Harapan yang dalamnya  ada  Parti DAP telah bekerjasama mendirikan kerajaan campuran dengan Barisan Nasional. Dua musuh politik kini menjalin kerja sama. Ini new  normal.

Ketika saya menulis ini juga dilaporkan di Pahang kerja sama Barisan Nasional dengan Pakatan Harapan juga  sedang  diusahakan untuk mendirikan kerajaan baru. Ini new normal – kebiasaan baru.

United Malaysia National Organisation menerima Democratic Action Party adalah satu yang memeranjatkan. Ada yang tidak dapat menerima.  Ini budaya politik baru – kebiasaan baru dalam politik Malaysia.

Sapa yang tergamam dan terperanjat wajib belajar menerima kebiasaan baru ini.

Tulisan ini digarap pada  hari ke tiga sesudah buang undi. Malaysia  masih belu ada kerajaan. Ini kebiasaan baru. Ini new normal.  Justeru kita tak perlu gelabah menyangka yang bukan bukan.

Biar saya nyatakan disini kerajaan Itali yang baru didirikan ini mengambil masa berminggu sebelum dapat di bentuk. Perundingan berjalan. Itali seperti biasa. Tidak ada kacau tidak ada bilau.

Malah saya pernah alami di Belgium di mana kerajaan tidak wujud selama 6 bulan sebelum kerajaan baru berjaya di dirikan.

Apa yang berlaku di Itali dan Belgium bukan new normal tapi old  normal. Bukan kebiasaan baru tapi kebiasaan lama yang sering berlaku. 

Yang kita hadapi satelah PRU15 ini pada ketika ini dilihat baru. Jangan risau yang baru ini akan menjadi yang lama.  Sila biasakan diri kita untuk menerima pembaharuan ini.

Bayangkan kerja sama Democratic Action Party dengan United Malays National Organisation. Satu ketika dulu di baca mustahil. 

Hari ini ianya menjadi kebiasaan baru. Justeru jangan gelabah dan jangan terperanjat jika kerajaan baru ini nanti ialah kerajaan campuran antara PH dan BN.

Atau satu kerajaan perpaduan di mana semua parti politik terlibat. Jangan lupa politik ialah seni kemungkinan. Semua mungkin dalam politik.

Mari kita rayakan new normal – kebiasaan baru.   Satu hari nanti  yang baru  ini akan menjadi perkara biasa. Amin  (TT)


TULISAN INI JUGA DISIARKAN
DALAM PORTAL MALAYSIA INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/413437





 

Tiada ulasan: