Tuduhan palsu untuk kurangkan sokongan kepada PN
GOMBAK: Gelombang besar yang telah melanda negara hingga menyebabkan sokongan besar dan kuat terutama orang Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) telah menyebabkan ketakutan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata, kerana itu tuduhan-tuduhan palsu yang tidak berasas dibuat untuk menjatuh atau menumbangkan pemimpin-pemimpin PN kerana jika tidak dilakukan boleh memberi ancaman besar terhadap mereka.
“Dan tidak mungkin akan dapat mempertahankan negeri-negeri yang ada di bawah PH pada hari ini kerana semua enam buah negeri ini insyaAllah akan kita menangi dan kita kuasai dalam PRN yang akan datang,” ujarnya.
Beliau berucap pada majlis ceramah selepas Solat Hajat Keselamatan Negara dan Solidariti Menentang Kezaliman di Markas Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar, di sini sebentar tadi.
Tegas beliau, tindakan tuduhan tersebut adalah secara terpilih melibatkan para pemimpin PN yang dijadikan sebagai satu strategi untuk menjatuhkan dan mengurangkan sokongan orang Melayu termasuk bukan-Melayu kepada PN.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut menceritakan perjalanan siasatan dilakukan selama lebih 8 jam sejak pukul 11:15 pagi tadi sehingga beliau dibebaskan sekitar jam 8 malam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya.
Menurutnya ada pegawai terbabit yang mengakui ‘speechless’ kerana sedar tuduhan tersebut terburu-buru kerana adanya ‘arahan daripada pihak atasan’ di mana disifatkan beliau sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan terhadapnya.
“Ini satu detik permulaan yang sangat penting dalam sejarah kita. Kita berjuang bersama-sama atas platform yang sama untuk menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran. Ini menjadi teras perjuangan kita sejak PAS ditubuh, sejak BERSATU tertubuh.
“Tak lain dan tak bukan inilah asas perjuangan kita dan akan terus kita perjuangkan sehingga kita berjaya. Prestasi mereka, walaupun berapa bulan seperti sudah ada tiga empat tahun di Parlimen. Semua formula tapi tak ada penyelesaian.
“Formula-formula untuk menyelesaikan masalah negara belum selesai. Isu dan masalah kos sara hidup, inflasi, janji yang tak pernah disentuh ditunaikan tak pernah dilaksanakan. Menunjukkan apa? Itu satu kelemahan yang agak ketara, kegagalan mereka.
“Terbukti jelas bila mana Perdana Menteri tidak dapat menunjukkan keupayaan prestasi untuk menjaga kebajikan rakyat dalam negara kita,” ujar beliau yang dilihat tetap bersemangat dalam usia 76 tahun itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan