Selasa, 26 Mei 2015

PERLIS KENA TIPU



Janji Pembinaan Hospital Padang Besar Adalah Penipuan BN
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Perlis sangat kecewa dengan tindakan Putrajaya yang terus meminggirkan Perlis dalam sektor kesihatan. Cadangan pembinaan Hospital Padang Besar  bukanlah perkara baru sebaliknya projek bernilai RM 198 juta ini telah dipersetujui pada RMK-9 lagi dan kemudiannya tertangguh sehingga RMK-10. Menteri Kesihatan ketika itu, Liow Tiong Lai telah menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan telah membeli sebuah kawasan seluas 10 hektar bagi tujuan pembinaan hospital berkenaan.

Manifesto Barisan Nasional semasa Pilihanraya Umum ke-13 juga menyentuh perkara yang sama. Menteri Kesihatan, Dr. S. Subramaniam dalam satu kenyataan bertarikh 25 April 2015 menyatakan Kerajaan tiada perancangan untuk membatalkan pembinaan hospital baharu di Padang Besar ekoran daripada ia adalah keutamaan projek pembangunan hospital.

Namun begitu, selepas pembentangan RMK-11, Kerajaan hanya mengumumkan pembinaan 6 buah Hospital baru dan terus mencicirkan Perlis daripada mendapat prasarana penting ini walaupun keperluan yang agak kritikal dan mendesak. Berapa lama lagikah rakyat Perlis harus menunggu?

Rakyat Perlis telah ditipu dengan janji palsu rejim Barisan Nasional selama 10 tahun dan akan terus ditipu lagi untuk 5 tahun yang akan datang. Kegagalan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perlis untuk membina Hospital baharu ini juga merupakan satu tindakan yang tidak menuruti titah Raja Perlis yang mencadangkan hospital ini dibina di dalam tempoh RMK-11.

Putrajaya terus bersikap acuh tak acuh walaupun Hospital Tuanku Fauziah berhadapan keadaan sesak dan tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat. SAMM menggesa Putrajaya untuk memberikan penjelasan mengapa cadangan hospital ini tidak diteruskan.
SAMM Perlis menyeru setiap rakyat Perlis untuk tampil mempersoalkan keputusan Putrajaya yang mengabaikan aspek kesihatan negeri ini. Rakyat Perlis juga harus membuka mata melihat pentadbiran Kerajaan Negeri yang lemah dan tidak mampu untuk mendesak Putrajaya meneruskan pembinaan Hospital Padang Besar sepanjang tempoh RMK-11 ini.

Rakyat Perlis harus datang beramai-ramai menyambut kehadiran Perdana Menteri ke negeri ini pada 30 Mei nanti dengan menuntut pembinaan Hospital Padang Besar seperti yang telah dijanjikan sebelum ini. Cukuplah kita menjadi mangsa penipuan BN selama ini. Bangkit dan suarakan hak kita.

Asrul Nizam Abdul Jalil
Penyelaras SAMM Perlis









-------------

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

BN ini kan Penipu

Ketua Besar tu Darah Lanun kan

Menipu kira biasa lah

Tanpa Nama berkata...

Cuba hang pi Perlis tgk.. rakyat perlis paling x kesah di Malaysia. Dgn hanya 3 kerusi parlimen, xder seekor pun amik kesah suara dlm parlimen. 3/222? Haha..cuma 1% sura 200k rakyat perlis.