Rabu, 30 Mac 2022

SELAMAT TINGGAL TEMPURUNG


SELAMAT 

TINGGAL

TEMPURUNG


Perjalanan ke Utara bermula. Lee Keong dan aku dua sosok  bekas pengakap  yang paling senior di sekolah akan memulakan  budaya hitch hiking di Jelebu. Justeru kami tahu apa yang wajib kami bawa untuk memulakan perjalanan. 

Budaya ‘ camping ‘ Pengakap telah mengajar kami untuk  bersedia dengan barang-barang  keperluan.  Bezanya pengembaraan kali ini kami tidak membawa makanan. Tapi   tin air tersangkut di beg sandang kami.
 
Tahun 1968  di Jelebu  hanya ada satu jalan – 24 batu - dari  Kuala Klawang  ke Seremban.  Ini menjadikan Kuala Klawang dikenal  sebagai ‘pekan buang daerah’.  Mahkamah  selalu menjadikan Kuala Klawang pekan pilihan untuk samseng dan kaki busuk yang telah bebas  dari penjara tapi masih dalam pemerhatian untuk ‘dibuang daerah ‘ ke Jelebu.

Jalan utama ke Jelebu ini biasanya    lengang. Jarang jalan ini   di lalui kereta. Bas Lim – pengangkutan BAS awam di Jelebu -  melintas sejam sekali. Ada khidmat  5 buah teksi  - dari  Kuala Klawang  ke Seremban. Teksi lalu  sekali sekala.  Ada  dua tiga buah teksi sapu – teksi tanpa lesen untuk perjalanan ke kampung-kampung dari pekan Kuala Klawang.

Tidak ramai ‘ Orang Jelebu’ memiliki kereta. Pegawai kerajaan, guru sekolah dan beberapa orang peniaga China yang memiliki kereta. Malah kereta di Kuala Klawang bukan saja di kenali warna, jenis dan numbor  malah tuan pemiliknya pun di kenali.

Destinasi pertama kami ialah keluar dari tempurung Jelebu dan masuk ke bandar Seremban.

Aku  memilih hari Sabtu pagi untuk memulakan perjalanan. Ini dengan harapan akan ada kereta dari Kuala Klawang ke Seremban.  Kami berharap akan  ada pegawai kerajaan yang ingin  bercuti  ke Seremban.

Untuk aku pada tahun 1968 – Seremban ibu kota Negeri Sembilan adalah sebuah pekan yang amat besar. Kalau ada kawan-kawan di sekolah yang pergi ke Seremban menengok wayang ketika Hari Raya – mereka akan dianggap hebat.

Budaya hitch hiking  atau tumpang-tumpang kereta ini baru bermula dan sedang popular. Aku pernah mendengar kesah dan cerita bagaimana anak-anak muda dari Eropah yang berjalan mengelilingi dunia dengan cara menumpang-numpang. 

Ketika ini juga budaya hippie sedang  merebak. Sebagai bukti merebaknya budaya hippie ini  ialah popularnya lagu San Francisco nyanyian Scott McKenzie. Lagu ini   selalu menjadi lagu permintaan dan  berkumandang di radio Malaysia saluran Inggeris.

Aku mendengar  hadis yang kurang sahih bahawa hippie Orang Putih  telah menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat  persinggahan utama  mereka apabila turun dari kapal laut dari Madras India.

Pada tahun 1968  ini juga Perang Vietnam sedang rancak berjalan.   Dari apa yang aku dengar ramai  hippie ini adalah anak-anak muda dari Amerika. Mereka meninggalkan Amerika -  lari menyeludup ke  Canada. Mereka melarikan diri dari menjadi ‘ soldadu paksaan’ tidak mahu pergi berperang  ke Vietnam. 

Anak-anak muda ini dipanggil ‘draft dodger’. Mereka enggan dipaksa menjadi soldadu untuk berperang di Vietnam. Falsafah hippie ini ialah ‘peace not war’  - perdamaian dan menolak perang. Simbol perdamaian hippie adalah dengan  mengangkat jari telunjuk dan jari tengah untuk  menjadi huruf V.

Pada pagi Sabtu itu Lee Keong dan aku bertemu di stesen bas Lim dalam pekan Kuala Klawang. Kemudian  kami menapak ke arah jalan besar ke Seremban. 

Apa yang Lee Keong dan aku lakukan pada pagi Sabtu itu ialah memulakan budaya hitch hiking di Jelebu. Kami berdua – budak China dan budak Melayu - adalah sosok pemula  yang menapak jalan dan mencuba nasib untuk tumpang-tumpang kereta mengembara  ke Utara.

Sampai ke mana kami  tuju belum begitu pasti. Tapi Kangar Perlis adalah dalam perhitungan kami. Tujuan kami  untuk melawat Mrs Ali Abu Bakar – guru kami yang telah berpindah ke Kangar Perlis.

Umur kami belum melintas 17 tahun. Kami masih berseluar pendek. Dengan beg tersandang di tengah  belakang pasti pemandu kereta  dari  jauh akan bersimpati melihat kami. Mungkin juga pemandu kereta menjangkakan  kami ini budak pengakap.

Pagi itu kami menapak keluar dari wilayah pekan. Tidak ada kereta lalu. Kami menapak lagi  dan melintas kawat berduri yang memagari Kuala Klawang  ketika dalam Zaman Darurat.  Kami telah masuk ke wilayah Kampung Tembun

Di jalan  lurus kami berhenti. Aku merasakan ini tempat strategik. Dari jauh pemandu akan melihat kami. Betul nasib  kami baik. Baru setengah jam di jalan telah ada sebuah kereta di jalan.

Aku  menggenggam tangan  menonjolkan  ibu jari berkali-kali  sebagai arah ke hadapan.  Pemandu ini faham.

Aku ingat lagi kereta yang pertama berhenti. Kami kenal siapa dalam kereta ini.  Mister Lim Kim Kee dan pembantunya. Mister Lim ialah  Yang Berhormat wakil rakyat  untuk kawasan  Kuala Klawang.

Dalam kereta tak banyak kami bercerita. Hanya ditanya kami hendak ke mana. Aku menerangkan kami menunggu keputusan peperiksaan. Kami hendak ke Pulau Pinang.

YB Lim ada urusan resmi  di Seremban. Kami diturunkan di pinggir  kota Seremban.  Keluar dari kereta aku tersenyum. Aku memandang muka Lee Keong.

‘ Tak susah nak dapat kereta laaa...’ Aku ketawa.

Di Seremban kami berjalan ke arah Temiang.  Jauh juga kami berjalan kerana Seremban ini pekan besar.  Di wilayah Temiang kami mencari jalan lurus.  Jalan Seremban ke Kuala Lumpur ini amat sibuk. Banyak kereta, bas , lori dan motosikal.   Baru aku sedar lagi banyak kereta lagi susah untuk hitch hiking.

Lama kami berdiri di tepi jalan -  hampir satu jam.  Aku bersabar tercegat di tepi jalan. Beg sandang aku letakan di gigi jalan . Sebuah kereta berhenti.

‘ Nak ke mana...’ Pemandu bertanya.

‘ Klumpo... leh numpang...’

‘ Sampai Beranang je... kalau nak... naiklah..’

Abang yang baik hati ini dari Beranang. Dia datang ke Seremban ada  hal. Apa halnya tidak aku tanya.

‘ Klumpo tak jauh dari sini... banyak kereta nak ke Klumpo...’ Kata akhir dari Abang Beranang ketika dia meninggalkan kami di hadapan Rumah Pasung. Kami berterima kasih.

Betul kata Abang Beranang itu. Kami tak lama menunggu di  Beranang - sebuah  kereta sampai. Pak Cik  China   berhenti dan mengambil kami untuk ke Kuala Lumpur.

‘ Mana lu olang  nak pegi ?  Pak Cik China pelat Melayu bertanya.

‘ Penang...’ Lee Keong menjawab.

‘ Nak stop KL mana...’ Pak Cik China bertanya lagi.

‘ Bas stesen Foh Hup....’ Aku menjawab.  Aku kenal biasa  wilayah ini kerana telah beberapa kali aku datang dari Seremban ke Kuala Lumpur. Ini perhentian akhir bas Foh Hup dari Seremban.

‘ Ooo .. itu Yalan Pudu...’  Pak Cik China menjelaskan.

Hari  telah agak petang bila kami mengucapkan terima kasih kepada Pak Cik China. Kami turun di hadapan   Stesen Bas Foh Hup. Dari sini kami menapak ke Foch  Avenue.  Di hujung jalan Foch ada perhentian bas Sri Jaya.

Kemudian kami mengambil bas Sri Jaya ini untuk kuarters   TUDM ( Tentera Udara Di Raja Malaysia) terletak  di  belakang Lapangan Kapal Terbang Sungai Besi.

 Malam itu kami bermalam di rumah Kak Lang aku. Suami Kak Lang aku  anggota  tentera udara. Dulu bertugas di RAF ( Royal Air Force) di Tengah Singapura. Bila Singapura  keluar dari Malaysia  mereka pulang ke Kuala Lumpur.

Esok paginya  sesudah sarapan kami naik bas kembali ke Foch Avenue. Ini kelam kabut sedikit. Kami tak tahu arah  dan jalan mana ke utara. Menapak  ke hulu ke hilir. Kuala Lumpur wilayah baru untuk dua orang budak  kampung dari Jelebu.

Untuk dijadikan cerita kami terserempak dengan sosok orang Jelebu.  Abang  yang bekerja sebagai  Pegawai Pengangkutan Sri Jaya.  Dia kenal muka  aku – kutu dari  Jelebu - kini tersesat di Kuala Lumpur.

‘ Nak ke mana....’  Abang bertanya.

‘ Ke Utara...North...’ Aku menjawab.

‘ Tak ke South ....’ Dia melawak.

Abang ini menapak bersama kami untuk beberapa minit. Kami mengekori  dari belakang.

‘ Kau terus masuk jalan depan tu... itu  Jalan Ipoh... terus ke depan... itu arah ke Utara...kau kena keluar dari sini... jauh juga...jangan belok belok...’ Abang memberi arah jalan kepada kami.

‘ Terima kasih...’  Aku bersuara.

‘ Bila nak ke South...’ Dia melawak lagi sambil melambai tangan.

Jauh juga kami menapak. Bandar Kuala Lumpur beratus kali besarnya dari pekan Kuala Klawang. Beg sandang  di tengah belakang agak ringan. Tapi kami wajib menjinjing khemah  pengakap yang telah kami pinjam dari guru pengakap  Mister Gama Khan. Kami bergilir menjinjing khemah  yang agak berat ini.

Kami meredah cuba keluar dari kota Kuala Lumpur. Semuanya aku lihat untuk kali pertama. Aku belum pernah sampai ke wilayah ini. 

 Jalan  penuh dengan kereta. Pengalaman telah mengajar kami  - jalan yang  banyak kereta bukan bermakna senang dapat menumpang.

Berpeluh juga kami menapak  mencari jalan lurus yang strategik untuk mencuba nasib.  Aku berdiri di gigi jalan dengan genggam tangan dan jari menunjuk arah ke hadapan. Tidak ada kereta berhenti.

Semangat pengakap aku timbul. Aku wajib terus bersabar.  Sudah lebih dari satu jam kami menunggu. Semangat belum patah. Tertiba sebuah kereta berhenti.

‘ Depan... Rawang... boleh....’ Abang India mempelawa kami naik dalam kereta Morrisnya.

Aku tak tahu apa itu Rawang. Berapa jauh dari Kuala Lumpur. Yang penting kami keluar dari jalan yang banyak kereta.

‘  Kamu berdua  mau pegi mana..’ Abang India dengan Bahasa Melayu yang baik  bertanya matanya tidak memandang kami. Aku duduk disebelahnya dan  Lee Keong di belakang.

‘ Penang...’ Aku menjawab pantas.

‘ Juah... dari mana ..’  Abang India bertanya.

‘ Kami dari Jelebu ... tunggu result exam...nak tengok Penang...’ Aku menerangkan.

‘ Berani ya... nanti tidur dimana..’ Dia bertanya.

‘  Tak tahu dimana... cari tempat camping.... kami ada khemah...’  Lee menjawab.

‘ Bagus... kao dua orang ni....berani...’ Abang India memuji-muji kami.

Di pekan Rawang dekat dengan kuil Hindu kami diberhentikan.  Tengah hari hampir berlalu. Aku terasa lapar. Nak ke  gerai makan kami tak tahu di mana.  Di hadapan kami ada kedai makan China. Lalu kami singgah. Kami   makan mee celup -  30 sen semangkuk.

Pekan Rawang kecil macam Kuala Klawang. Kami menapak untuk meneruskan perjalanan. Di luar pekan kami menunggu kereta lalu. Nasib kurang baik. Mungkin hari Ahad tak banyak kereta mengarah ke Utara atau ke Ipoh.

Sebuah kereta berhenti. Pak Cik India mengajak kami masuk ke dalam kereta.

‘ Nak ke mana ?  Pemandu membuka kereta  dan bertanya.

‘ Ipoh...’ Lee menjawab.

‘ Nak ke  Batang Kali.... nanti sambung lagi... ‘ Dia mempelawa masuk. Kami yang dah lama menunggu tidak menolak.  Lee duduk di hadapan. Aku di belakang. 

Hari dah petang tapi langit cerah lagi. Aku rasa tak samai satu jam  dalam kereta kami sampai ke Batang Kali.

‘ Terima Kasih Uncle...’ Kami ditinggalkan tak jauh dari  jambatan sebatang sungai. 

Kami menapak. Matahari sudah merudum jatuh. Aku merasa agak gelisah. Kami menapak ke hadapan. Dari batu tanda aku terbaca 12 batu  ke Kuala Kubu Bharu. Tak jauh tapi hari makin petang. Aku merasa mungkin kami akan  bermalam di Batang Kali.

Kami di jalan lurus tidak ada kereta lalu. Dari jauh kami nampak  jeep berwaran hijau – milik  tentera..  Aku pandang Lee dan dia pandang aku. Nak cuba jeep  askar.  Dalam hati aku berkata: tak cuba tak tahu – mencuba tidak salah.

Aku tegak berdiri dengan beg sandang tersangkut di bahu. Tangan aku memberi signal hendak menumpang. Bayangkan betapa  gembira hati aku  bila jeep ini   berjalan perlahan  dan  berhenti di hadapan  kami.

Aku berlari ke hadapan.  Dari baju uniform yang dipakai aku tahu dalam  jeep ini ada seorang pegawai dan seorang pemandu.

‘ Nak ke mana..’ 

‘ Ke Ipoh....’ Kau menjawab.

‘ Dah lewat petang.... mari ...mari masuk... esok boleh sambung...’ Pegawai memberi arahan.

Kami meloncat masuk dan duduk di bahagian belakang jeep.  Tak sampai satu am kemudian kami berada di pintu pagar kem askar Kuala Kubu Bahru.  Kami tidak pun singgah dalam pekan.

Kami merasa hairan kerana dibawa masuk ke dalam kem askar dan tidak ditinggalkan dalam pekan.

‘ Dah lewat petang... takda kereta petang Ahad ke Ipoh..’

‘ Mana nak tido...’ Aku bertanya.

‘ Jangan risau... tido dalam kem.. ada banyak katil kosong... ’ Abang Pegawai meredakan ketakutan kami. 

Aku dan Lee merasa lega kerana malam ini kami tahu mana nak tidur.

Abang Pemandu membawa kami ke satu dewan tidur. Ini berek askar yang kosong. Kemudian dia beredar. Kami meletak beg dan terbaring di atas katil sebentar.

Tertiba Abang Pegawai muncul di hadapan pintu berek.

‘ Kalu nak makan .. pergi ke mess... pasti ada makanan lagi... tepi sana tandas kalau nak basuh tangan..’  Abang Pegawai memberi penerangan .

Aku ingat lagi mess telah kosong. Tukang masak dan pekerja dapur masih ada. Bila Abang Pegawai sampai semua berdiri tegak.

‘ Beri mereka  berdua apa yang ada...’ Abang Pegawai memberi arahan.

Aku ingat lagi  malam itu kami makan nasi dengan gulai daging.  Sesudah makan kami pergi ke Pejabat Abang Pegawai.

Pejabat dari zink. Tidak banyak perabot. Kerusi meja , telefon dan beberapa fail. Bukan macam bilik Guru Besar.

‘ Isham dan Lee ... kem ini tempat latihan  askar... esok kamu boleh ke  pekan dan dari sana boleh sambung ke Ipoh...’  Aku tak sangka Abang Pegawai ini boleh ingat nama kami berdua yang hanya kami sebutkan sekali  ketika masuk ke dalam jeep. 

Aku terfikir :  Abang Pegawai ini  terlatih. Sekali sebut nama dia sudah ingat, Tapi aku tidak tahu apa pangkatnya.

Malam itu kami tidur atas katil askar, kain cadar dan kain selimut askar berwarna  gelap hijau. Ketika kepala  aku di atas   aku teringat akan kem Gurkha yang sering aku lihat tetapi tidak pernah aku bermalam dalam kem.  Kali ini aku sendiri sempat bermalam dalam kem askar di Kuala Kubu Bharu.

Ini  berlaku sesudah  zaman Darurat, sesudah zaman Konfrontasi. Malaysia sedang aman damai.

Esok Lee Keong dan aku  akan meneruskan perjalanan ke Ipoh. TT


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/03/30/selamat-tinggal-tempurung/







1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cuba cerita sikit partner hitchhiking ko sekarang buat apa? Buat bisnes hitchhiking ke?