Rabu, 17 Ogos 2022

MEI 13 DAN MCKK

        

 MEI 13  

DAN MCKK


Bertandang  ke Pavilion sebelum maghrib kini menjadi rutin aku. Selain dari  membaca akhbar tempatan sekali sekala ada juga terdapat  majalah Times,  Newsweek dan Life. Di MCKK aku  mula berkenalan dengan majalah  dari luar negara.

Bulan April 1969 akhbar tempatan terutama Utusan penuh dengan berita  kempen politik. Dari apa yang aku baca tarikh pilihan raya telah ditetapkan. Berkempen telah bermula dari bulan Mac lagi.

Berita melaporkan kemunculan Parti Gerakan  di Pulau Pinang. Berita juga melaporkan  Parti Buruh  yang telah renggang dengan Parti Rakyat. Parti Buruh telah enggan mengambil bahagian dalam  PRU 3. Ini kerana ramai kader dan pekerja Parti Buruh ditangkap dan ditahan di bawah ISA ( Akta Keselamatan Dalam Negeri).

Aku ikuti juga berita luar negara tentang perang yang sedang berlaku di Vietnam. Aku hanya membaca dan tidak mengetahui hujung pakal sejarah perang ini.  

Aku mula kenal nama Nixon (1913-1994)  Presiden Amerika ketika itu. Aku juga berkenal dengan seorang Pak Cik bersosok kurus berjanggut panjang. Nama Pak Cik ini  Ho Chi Minh (1890-1969).

Nixon dari  Amerika  dan Ho dari Vietnam    bermusuh dan berperang.

Tapi paling menarik pada ketika itu  dunia anak muda masih lagi dalam gelombang  Pop Yeah Yeah. Di MCKK aku tidak  lagi memiliki radio seperti aku di asrama SMUJ.  Radio tidak dibenarkan dibawa. 

Maka secara tersendiri aku tidak lagi mendengar suara MIA ( Mohamad Ismail Abdullah )  dengan rancangan Penyanyi Pujaan Minggu Ini. Aku juga tidak lagi mendengar di pagi Ahad suara  Tan Swee Leong  DJ Top of The Pops.

Aku tidak tahu lagi lagu apa baru terbit dan kugiran mana yang sedang naik.  Apa lagu baru John Lennon, apa lagu baru The Swallows, apa terjadi dengan Siglap Five  Hakikat  kehadiran  aku di MCKK menjadikan zaman aku  mengikuti rukun iman penyanyi pop makin mengendur.   

Tapi aku masih memakai nama Herman. Aku ambil dari kugiran Herman Hermits  kugiran dari UK. 

Ruang kosong  ini  aku  mula isi  dengan membaca berita politik dari dalam dan luar negara. Berita politik luar negara seperti Perang Vietnam menjadi penting kerana dalam Tingkatan Enam ada mata pelajaran General Paper atau Kertas Am.

Mata pelajaran ini bertujuan untuk membuka minda agar pelajar  mengetahui perkara yang lebih luas. Perkara yang  hangat dibincangkan dari segi politik, sosial, ekonomi atau budaya.

Kertas Am ini menarik pelajar agar tercebur sama dalam perbualan nasional – dalam dan luar negara. Untuk aku ini mencabar.

Guru yang mengajar mata pelajar ini ialah  Mister  DJ Tate dan Mister Rodger Prior. Dua orang Mat Salleh.  Sesekali Guru Besar Mister Aziz Ismail  akan juga masuk mengajar. Aku rasa bila Guru Besar terluang masa maka dia akan masuk untuk mengambil kuliah dari DJ Tate.

DJ Tate ini aku difahamkan adalah bekas soldadu Inggeris dalam bahagian semboyan ketika bertugas di zaman Darurat di Malaya. Anak kelahiran kota London. Selesai bertugas  melawan gerila Rashid Mydin dan Abdulah Sidi dia  balik kampung. 

Dari surah yang aku dengar bila dia pulang ke kampung dia menjadi  gelisah dan tidak selesa lagi dengan gaya hidup dan cuaca Eropah. Dia kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1956. Pada tahun 1969 dia menjadi guru di MCKK.

Manakala Rodger Prior pula datang dengan program VSO ( Voluntary Service Overseas ). Sebuah badan amal United Kingdom. Badan ini sama seperti  Peace Corps -  sukarelawan dari Amerika yang datang memberi khidmat bakti kepada negara baru merdeka. 

Di Malaysia ramai VSO dan Peace Corps menjadi guru. Di MCKK pada tahun 1969 ada tiga guru Peace Corps : Arthur D Koch,  Michael L. Siemon dan Bradley W. Jessup – semua mengajar aliran Sains.

Guru Mat Salleh dari Amerika ini bukan satu yang baru untuk aku. Ketika aku di SMUJ ada juga  guru Peace Corps dari Amerika. Aku ingat lagi Mister Norman Immermann dari New York – dia  juga mengajar ilmu Sains. Aku kenal baik kerana Mister Norman  ada mengikuti ‘camping’ kami di Bukit Tangga pada tahun 1968. 

Di Pavilion  aku  terbaca berita kempen pilihan raya yang semakin  tegang. Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bertelagah dengan  Asri dari PMIP ( Pan Muslim Islamic Party ). Manakala Democratic  Action Party menyambung  slogan Malaysian Malaysia. Slogan politik ini  berasal usul dari slogan   People Action Party dari Singapura. PAP ini di kepalai oleh   Lee Kuan Yew yang telah membawa Singapura  keluar dari Malaysia pada tahun 1965.

Berita-berita  politik seperti ini  aku baca dalam Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Pada hemat aku  di MCKK tidak ramai pelajar yang tahu  apa yang belaku dalam kempen politik tahun 1969. Kami tidak keluar ke mana-mana. Kami hanya bercampur dengan rakan sekelas. Justeru maklumat  pun apa yang sempat kami baca dari akhbar.

Tertiba aku terbaca seorang  ahli United Malays National  Organisation cedera  kena pukul di Pulau Pinang ketika dia sedang memasang  poster parti. Esoknya : berita lanjut melaporkan  sosok ini  meninggal dunia.

Kemudian aku terbaca berita seorang pemuda China mati di tembak  oleh mata-mata.  Kejadian ini berlaku di Kuala Lumpur. Di hari pengebumian pemuda China ini aku  baca  ada perarakan.

Semua ini aku anggap berita biasa saja yang tidak ada sangkut paut dengan kehidupan kami Budak Koleq di MCKK.

Hari Sabtu 10 Mei  1969   di MCKK adalah hari Inspection. Lepas Inspection aku dengan Ghani keluar ke pekan.  Aku tidak nampak apa-apa yang istimewa walau pun hari ini hari mengundi.

Kami makan mee rebus di Restoran  Pak Kassim di bazar di tepi  jambatan arah  jalan ke Bukit Chandan.  Aku nampak kereta berbendera Kapal Layar  melintas beberapa kali. Sesudah makan aku dan Ghani merayau-rayau dalam pekan sebelum pulang ke asrama.

Sabtu malam Ahad Kelab Cinema akan menayangkan filem di Hargreaves Hall. Biasanya filem Inggeris.   Dewan ini menjadi panggung.

Aturan duduk : kelas paling rendah duduk di balkoni – kiri kanan dewan.  Pelajar  Tingkatan Empat, Lima dan  Enam dalam perut dewan. Paling jauh dari layar putih dan paling hampir dengan projector adalah pelajar  Tingkatan Enam.

Kalau dalam panggung kami para senior duduk di kerusi  Kelas Pertama.

Susunan duduk ketika  menuntun wayang ini sama  dengan  susuan ketika Perhimpunan  Resmi hari Senin. Kami boleh beralih kerusi tapi dalam wilayah  yang sama.

Duduk dalam dewan Hargreaves ini tidak seperti duduk dalam Dewan Makan. Di Dewan makan kerusi dan wilayah tidak boleh beralih-alih.

Ahad 10 Mei 1969 – sekali lagi aku mengajak Ghani berjalan ke pekan Kuala. Kali ini kami berniat untuk menuntun wayang di Panggung Capitol.  

Adalah biasa seminggu menuntun dua filem. Satu di Hargreaves  Hall dan satu di Kuala. Di Kuala ada dua panggung wayang – Rex dan Capitol. Hujung minggu panggung ini akan menjadi tumpuan Budak Koleq
  
Senin 11. Mei 1969 – seperti biasa Perhimpunan Resmi. Guru Besar beri ucapan. Kelas berjalan seperti biasa.

Petang Senin seperti biasa aku pergi membaca akhbar. Gambar Tunku yang menang.  Berita kemenangan Perikatan disana sini.

Tertiba  Jumaat 16 Mei – selepas minum pagi Prefect telah mengarahkan semua pelajar masuk ke Dewan Hargreaves. Aku merasa pelik. Kenapa ada Perhimpunan  Resmi walhal hari Jumaat dan kami tidak memakai tali leher.

Bila aku masuk ke dalam Dewan aku terperanjat  kerana ternampak Pegawai Polis  beruniform lengkap. Juga yang  berada di atas pentas bukan guru-guru.

Kami berpandangan sesama sendiri. Kami hairan apa yang telah berlaku. Tidak ada siapa yang tahu apa tujuan perhimpunan ini.

Aku lihat di atas pentas  Pengerusi MCKK Datuk Megat Khas, Dr Underwood, Tuan Pegawai Daerah dan Tuan OCPD. Beberapa orang guru duduk di belakang mereka.

Guru Berucap :  Telah berlaku kekacauan di Kuala Lumpur.  Guru Besar Mister  Aziz Ismail menggunakan istilah kekacauan. Sapa kacau siapa aku tidak tahu.

Megat Khas berucap  memperkenalkan para jemputan yang. Ada di pentas. Pengerusi MCKK berkata dia akan bekerjasama dengan Tuan OCPD untuk memastikan 500 orang Budak Koleq selamat.

Perkataan selamat ini agak menakutkan. Apakah kami akan diserang kerana itu  Tuan OCPD datang masuk ke Dewan Hargreaves. Ini belum pernah berlaku.

Datuk Megat Khas memberi nasihat agar kami berhati-hati bila ke pekan. Malah jika boleh tidak perlu keluar dari kawasan sekolah.

Kami berpandangan  sesama sendiri. Tidak tahu apa yang telah dan sedang berlaku.

Kemudian Guru Besar  berucap kembali kali ini ucapan lebih terang dan lebih menakutkan.

“ Jika Ipoh dan jika Taiping curfew  saya akan usahakan untuk mematikan bahan makan cukup...’ 

Apakah kekacauan di Kuala Lumpur merebak ke Ipoh dan Taiping. Aku bertanya pada diri aku sendiri.

‘ Kita akan beli sardin dan telor sebanyak  mungkin. Kita akan pastikan gula dan beras mencukupi... I hope this situation will not arrive... but we must be prepared.... we hope everyhting will be normal soon...’  Guru Besar memandang ke arah Tuan OCPD.

Tuan OCPD  bangun dan berucap  ‘.... kami dari PDRM memastikan semua pelajar di MCKK dalam keadaan selamat.. polis Kuala Kangsar akan menjamin keselamatan semua... kami berharap semua berjaga-jaga....kita berharap semua akan kembali seperti sedia kala...please don’t listen to rumours... khabar angin merebak dengan senang.... jangan dengar..’

Aku perhatikan pelajar Tingkatan Enam Atas  berbisik-bisik sendiri. 

Aku rasa pagi itu bila kami bersurai Budak Koleq tak tahu apa yang sedang berlaku di Kuala Lumpur.  Apa yang kami diberi tahu ada kekacauan telah berlaku.

Dalam kelas kami bersembang sesama sendiri.

‘ China bunuh Melayu...’
‘ Melayu Kampung Baru mengamuk..’

‘China dah melampau.... nak ambil Selangor...’

Semua ini aku dengar. Maka semenjak pagi itu agenda Melayu China ini terus menjadi perbualan sesama kami.  Aku sendiri tidak tahu dari mana kawan-kawan sedarjah pungut cerita ini.

Petang itu aku pergi ke Pavilion untuk mencari berita.  Semua akhbar dari Kuala Lumpur tidak sampai.. 


Hari Sabtu 17 Mei sesudah inspection  aku  bersama Ghani  masuk ke Kuala. Aku lihat  sebuah  trak askar berhenti dalam pekan di hadapan  Restoran Double Lion.  Pekan Kuala Kangsar  aku lihat seperti sedia kala.

Sebelah petang   - awal sebelum maghrib  aku pergi ke Pavilion. Akhbar tidak sampai. Aku tidak tahu tidak sampai kerana tidak ada pengangkutan atau tidak di cetak. 

Bila ini berlaku aku merasakan ada sesuatu yang besar telah berlaku di Kuala Lumpur. 

Betul seperti ramalan  Guru Besar makan malan Sabtu 17 Mei 1969 gulai ikan sardin. Esoknya  hari Ahad sardin dan telor. Amat jelas talian makanan putus.

Ayam yang biasanya datang dari Ipoh sudah tidak sampai. Apakah ada curfew di Ipoh. Soalan tanpa jawapan.

Pagi Senin ketika Perhimpunan aku memasang telinga. Mana tahu jika ada berita baru. Tidak ada. Perhimpuanan biasa.

 Dalam kelas pada hari Isnin itu  Ghani menerangkan bahawa ada  senior dari Upper Six yang ada radio kecil berjata mendengar Radio Australia.
‘ Man kau tau...’ Aku cepat bertanya.

‘ Ramai China mati di Kuala Lumpur.. Kuala Lumpur terbakar....’ Ghani menyambung cerita.

‘Mana kau tau... sapa cerita...’ Aku bertanya.

‘ Senior kat Pavilion ada radio.. dia dengar Radio Australia...’ Ghani menerangkan.

‘ Sapa... dengar...’

‘ Aku dengar cerita dari Ariff.... Pavilion ada  radio...’ Ghani  memandang muka aku yang tak puas hati.

Cerita atas cerita. Apa yang sahih ialah seminggu  Budak Koleq makan gulai sardin dan telor. Pembekal ayam dan ikan dari Ipoh dan Taiping tidak sampai.

Punca maklumat aku di Pavilion juga terputus. Akhbar dari Kuala Lumpur tidak sampai. 

Labon politik China Melayu dan pilihan raya antara sesama kami makin membakar. Suasana telah berubah. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIANOW,COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/08/17/13-mei-dan-mckk


Tiada ulasan: