Khamis, 24 April 2014

MENJEMPUT ORANG CHINA





Berat Sama Pikul, Ringan Sama Dijinjing dan Mentadbir Bersama, Keadilan Bersama

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ditubuhkan berlandaskan prinsip keadilan untuk semua dan pelbagai kaum. Ia telah mencapai kejayaan yang cukup besar sejak ditubuhkan tahun 1999. Keahlian parti telah mencecah 500,001 anggota dengan 50% ahli Melayu, 15% ahli Cina, 25% ahli India dan 10% ahli Bumiputra Sabah Sarawak. Kita bangga dengan kejayaan tersebut, kerana tidak ada satu parti yang betul-betul merangkumi komposisi kaum bangsa dan agama seperti komposisi Malaysia.

Walau bagaimanapun, masih ada ruang yang terbuka luas untuk meningkatkan keanggotaan dan peluang kepimpinan dari kalangan masyarakat Tionghua terutamanya memandangkan sokongan yang begitu tinggi terhadap Pakatan Rakyat.

Saya berpendapat dalam beberapa tahun akan datang, KEADILAN perlu mengukuhkan tapak keanggotaan di kalangan masyarakat Tionghua setanding dengan penyertaan kaum-kaum lain. KEADILAN mempunyai kelebihan yang unik dengan menawarkan latihan kepimpinan dan aktivisme yang mengutamakan muafakat pelbagai kaum dan mendepankan perspektif Malaysia kepada anggotanya yang pelbagai kaum.

Maka hari ini, saya ingin menawarkan idea saya iaitu “Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing, Mentadbir Bersama, Keadilan Bersama”. 《共担,共享,共治,全民公正》
KEADILAN ingin menjemput lebih ramai kaum Cina terutama golongan muda terlibat dalam politik arus perdana melalui parti ini, untuk bersama-sama kita mengubah landskap politik tanah air.

Perjuangan bersama rakyat Malaysia untuk mengangkat muafakat dan perspektif Malaysia ini membawa anggota dari kaum Cina bersama-sama dengan rakan-rakan dari kaum Melayu, India, Iban, Kadazan dan seluruh rakyat Malaysia menguatkan satu-satunya platform politik pelbagai kaum yang mirip komposisi rakyat Malaysia demi masa depan negara ini.

Untuk mencapai idea-idea ini, saya syorkan 4 langkah utama yang perlu diambil oleh kepimpinan KEADILAN kelak:

1)  Program khusus agar lebih ramai belia dari kaum Cina menyertai KEADILAN supaya setara dengan tahap sokongan kukuh terhadap Pakatan Rakyat. Saya meletakkan sasaran kemasukan 50,000 anggota baru dari kaum Cina ke dalam KEADILAN dalam 5 tahun akan datang.

2)  Meningkatkan edaran Suara Keadilan edisi Mandarin untuk diterbitkan dua kali sebulan (berbanding sekali sebulan sekarang) dan sasaran edaran mencecah 50,000 setiap edisi

3) Menggalakkan forum terbuka di antara pimpinan muda pelbagai kaum di dalam KEADILAN untuk mengupas isu-isu rumit perhubungan kaum dan stereotype kaum di Malaysia dari perspektif muafakat Malaysia supaya pimpinan muda pelbagai kaum KEADILAN ada kekuatan intelek berdepan dengan permainan politik perkauman Umno

4) Siri jelajah memperkenalkan KEADILAN dan pimpinan muda Tionghua dan pelbagai kaum ke institusi pengajian tinggi swasta yang mempunyai ramai pelajar Tionghua dan bukan Melayu

Saya yakin 4 langkah utama ini akan berjaya mencungkil lebih banyak bakat kepimpinan muda baru terutamanya dari kalangan masyarakat Tionghua untuk terus mendokong KEADILAN, setara dengan sokongan terhadap Pakatan Rakyat selama ini.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Calon Timbalan Presiden

23 April 2014


------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hentikan lah diskriminasi terhadap Cina. Keistimewaan Melayu telah jadi hak Melayu untuk tindas Cina. Diskriminasi perkauman tanpa had.