Sabtu, 31 Januari 2015

INI PROJEK SIAPA?





PENDEDAHAN: PROJEK PEMBINAAN IBU PEJABAT POLIS KONTINJEN (IPK) JOHOR BERNILAI RM 103 JUTA MASIH TERBENGKALAI

Berdasarkan lawatan kami ke tapak projek, projek pembinaan tambahan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang terletak di bandar Johor Bahru yang bermula sejak tahun 2010 masih terbangkalai. Perkara ini telah dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan maklum balas yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah projek ini sepatutnya siap pada Julai 2013.
Namun projek ini masih gagal disiapkan selepas 5 tahun dimulakan atau lebih daripada 18 bulan daripada tempoh projek ini patut disiapkan. Kontrak pembinaan IPK Johor ini bernilai RM 103,556,694.84 yang merangkumi pembinaan bangunan pentadbiran, tempat letak kereta bertingkat dan perumahan anggota polis.    
Kegagalan untuk menyiapkan pembinaan IPK Johor  sebelum ini telah mendapat perhatian Y.B. Nur Jazlan Mohamed, pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Jun tahun lepas. Beliau telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara ini jika berlaku kecuaian, ketirisan dan penyelewengan sehingga menyebabkan ia gagal disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Malangnya PAC dan SPRM juga masih gagal untuk membentangkan sebarang maklumat berkenaan hasil siasatan mereka atau sekurang-kurangnya memberikan penjelasan mengapa projek pembinaan IPK Johor lewat dan sehingga kini masih terbengkalai.
Persoalan kini seharusnya ditujukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku pemilik projek pembinaan IPK Johor. KDN sepatutnya mempunyai pelan tindakan susulan memandangkan projek ini sudah lama terbengkalai dan mencari jalan bagaimana untuk memastikan pembinaan ini dapat diselesaikan demi kepentingan rakyat dan keselamatan awam.
Maka, kami meminta agar Y.B. Zahid Hamidi selaku Menteri KDN untuk memberi penjelasan berkenaan langkah-langkah yang diambil untuk memastikan pembinaan IPK Johor mampu disiapkan dengan segera dengan menjawab soalan-soalan yang berikut:-
1. Siapakah kontraktor yang bertanggungjawab yang menyebabkan projek ini gagal dan apakah kriteria pemilihan kontraktor?
2. Apakah status terkini pembinaan? Bilakah projek ini dijangka akan siap?
3. Apakah tindakan yang telah dikenakan dan akan dikenakan kepada kontraktor tersebut yang telah gagal memenuhi syarat kontrak iaitu menyiapkan projek menjelang Julai 2013?
4. Adakah terdapat projek-projek pembinaan untuk kontinjen Polis di tempat lain yang turut mengalami kelewatan atau terbengkalai?
5. Apakah kesan kelewatan projek ini terhadap tugasan dan kelancaran kontinjen Polis Johor?
Kami amat berharap agar Y.B. Zahid Hamidi dapat meluangkan sedikit masa bagi menjawab persoalan kami. Jika gagal memberi respon atau jawapan yang memuaskan sebelum Rabu ini, kami tiada pilihan melainkan untuk tampil dengan pendedahan yang berikutnya.
Sekian, terima kasih.
p/s: Gambar lawatan akan dimuat naik di https://www.facebook.com/akmalnasir.keadilan
 31 JANUARI 2015
Y.B JIMMY PUAH
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Johor
Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor

AKMAL NASIR
Pengarah Strategi
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat





---------------

Tiada ulasan: