Rabu, 17 Ogos 2016

SOKONGAN DARI UTARA



SOLIDARITI GERAKAN ANAK MUDA DAN MAHASISWA DARI PULAU PINANG UNTUK KEMPEN #TANGKAPMO1

Hari ini, negara sedang diuji dengan dengan krisis kepimpinan dan salah guna kuasa yang amat merisaukan. Isu penyelewengan dana 1MDB seperti yang pertama didedahkan oleh Wall Street Journal
dahulu, kini telah memasuki fasa baru apabila Jabatan Keadilan Negara Amerika Syarikat (Department of Justice atau DOJ) membuka kertas siasatan yang turut menamakan Malaysian Official 1 sebagai antara dalang utama kes ini.
Apa yang sedang berlaku hari ini menjadi antara topik perbincangan dan kritikan masyarakat dunia, yang tentu sekali mencalarkan maruah dan nama negara. Penafian demi penafian yang dikeluarkan oleh pemerintah tidak mampu untuk menutup kesalahan dan kerosakan yang telah berlaku.

Desakan dan kritikan yang dikeluarkan oleh masyarakat sivil serta pihak oposisi bukan sahaja tidak didengari, malah didiamkan dengan pelbagai tindakan termasuklah penangkapan, penahanan, danpendakwaan terpilih ke atas mana-mana individu dan kumpulan yang lantang bersuara.

Tambah menggusarkan adalah apabila pemerintah hari ini turut mula memperkenalkan undang-undang drakonian baharu yang ternyata hanya bertujuan untuk memperkasakan kedudukan mereka.

Dalam berhadapan dengan situasi sebegini, tindakan kumpulan mahasiswa pimpinan Saudari Anis Syafiqah daripada Universiti Malaya yang menggerakkan kempen dan himpunan #TangkapMO1 adalah sebuah usaha yang mampu memberikan harapan semula kepada usaha menyelamatkan negara daripada kerosakan yang sedang berlaku.

Perhimpunan yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 27 Ogos akan datang wajar diberi sokongan yang jitu oleh semua lapisan masyarakat. Menghadirkan diri untuk bersetiakawan bersama anak-anak pelajar ini adalah tanggungjawab kita bersamasebagai warga negara yang perihatin dan cintakan negara ini.

Atas dasar setiakawan dan tanggungjawab, kami warga Pulau Pinang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang baik dari gerakan mahasiswa, badan bukan kerajaan, gerakan masyarakat sivil, parti politik, individu bebas, dan sebagainya memberi sokongan penuh kepada kempen #TangkapMO1.

Mobilisasi masyarakat dan kerja-kerja kempen akan diadakan di negeri Pulau Pinang untuk mengajak lebih ramai lagi warga negeri ini turun ke Kuala Lumpur demi menjayakan himpunan aman #TangkapMO1.

Kami juga mengulangi seruan yang sama dibuat oleh teman-teman Demi Malaysia di Kuala Lumpur semalam dengan memohon agar pihak berkuasa tidak mengulangi tindakan kekerasan dan tangkapan besar-besaran peserta himpunan aman seperti yang pernah berlaku pada siri-siri himpunan yang pernah diadakan tahun lepas. Tindakan sedemikian hanya menambahkan masalah dan menimbulkan ketidak senangan orang ramai terhadap pihak berkuasa. Himpunan aman yang bakal diadakan ini adalah hak
demokrasi warga negara ini.

Kami berharap, usaha kecil ini dapat memberi suntikan yang diperlukan oleh kempen #TangkapMO1, dan seterusnya menyumbang kepada perjuangan yang dikongsi bersama ini. Kami ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan dan sokongan kepada kempen tersebut.





--------------

Tiada ulasan: