Khamis, 21 September 2017

NAJIB KENA KENCING



  




NAJIB KENA KENCING

Hari Rabu ini atau setiap hari Rabu sila buka mata dan ambil perhatian. Dalam LRT, dalam komuter, dalam bas, dalam lift, dalam MRT, dalam pejabat , dalam Parlimen atau dimana saja - pandang tali leher yang dipakai oleh Si Lelaki  di depan mata.  

Jika Si Lelaki itu memakai tali leher kuning atau kelabu ini tidak ada apa makna. Jika memakai  tali leher hitam - ini juga tidak ada apa-apa makna. Tetapi jika Si Lelaki dihadapan mata memakai tali leher merah dan berjalur kecil puteh, hitam dan kuning - berwaspada. Tali leher  yang dipakai oleh Si Lelaki ini  membawa tanda dan makna.

Tali leher ini hanya  akan dipakai oleh bekas murid MCKK pada setiap hari Rabu. Mereka ini adalah ahli MCOBA - Malay College Old Boys Associatioan. MCOBA ini adalah satu  kumpulan ‘mafia tidak resmi’ di Malaysia ini. 

Mereka berselirat dimana-mana sahaja. Paling jelas mereka bersarang ditampok-tampok  kuasa. Tidak ada satu jabatan kerajaan , syarikat kerajaan, syarikat swasta atau lembaga apa sahaja yang tidak dijaringi oleh pemakai tali leher jenis ini.

Tali leher adalah tanda setiakawan mereka. Tali leher yang dipakai pada hari Rabu ini adalah tanda untuk mereka mengenal satu sama lain. Tali leher ini membawa makna kesetian sesama mereka. Tali leher ini berbunyi dan bersuara. 

Maka timbul pertanyaan ada apa dengan tali leher? Kenapa saya menulis tentang tali leher ini? Apa pentingnya tali leher ini?

Kesahnya bagini: Presiden Trump dalam buku biograpinya ada menyatakan tentang tali leher. Sebagai orang perniagaan ahli Trump amat teliti dengan warna tali leher yang dipakainya. 

Dalam urus hal ehwal perniagaan Trump akan selalu berjumpa dan berbincang dengan ahli ahli perniagan atau CEO syarikat gergasi dunia. Jika pertemuan ini penting maka Trump akan memakai tali leher merah. Jika yang ditemuinya dianggap Mat Lekeh maka Trump tidak akan memakai tali leher merah. Dia akan memilih warna yang lemah.

Beberapa bulan  lalu Presiden Trump telah bertemu dengan Xi Jinping Setiausaha Parti Komunis China. Dalam pertemuan resmi dan sidang akhbar bersama Xi Jinping, Presiden Trump  dilihat memakai tali leher berwarna merah. Ertinya untuk Trump pertemuan ini amat-amat penting.

Cuba teka warna apa tali leher yang dipakai oleh Trump ketika berjumpa Najib minggu lalu? Kesah dan Najib ini ada tersebar dalam YouTube. Dari potongan 5min 47 saat klip YouTube kita semua dapat melihat bagaimana Presiden Trump melihat Najib. Pada hari pertemuan Trump memakai tali leher berwarna  biru tidak merah. 

Malah dari bahasa badan Presiden Trump jelas dapat difahami bahawa  Si Trump ini melihat Najib ini sebagaai budak lekeh.  Ini bukan tohmah dan fitnah dari Hishamuddin Rais. Jangan percaya bulat-bulat apa yang saya tulis. Silat rujuk dan lihat sendiri klip YouTube ini. 

Saksikan bagaimana ‘ kurang hajar’ nya Si Trump. Ketika Najib bercakap dia hanya memelok tubuh. Berlagak sebagai gedebe di sempadan Sungai Golok. Atau  saperti Polis berjaya menahan  Mat Pet yang naik motosikal tanpa lesen. Mata Trump ke atas ke bawah memandang Mat Lekeh bernama Najib.

Kalau saya ini penyokong Najib. Kalau saya ini ahli parti  United Malays National Organisation pasti saya akan marah. Saya akan naik minyak. Presiden parti Ketuanan Melayu saya ini dihina.  Malah saya akan susun ratusan  ahli parti saya untuk berdemo di hadapan Kedutaan Amerika sambil kami menonggengkan bontot ke muka Presiden Trump. 

Tapi saya bukan penyokong Najib. Maka saya hanya sempat berkata - pada muka!

Dengan berpelok tubuh dan kurang hajar Si Trump ini telah menjadikan Najib gelabah. Pertuturan Bahasa Inggeris Najib dihadapan Presiden Trump ini terputus-putus penuh gementar. Pada hemat saya pertuturan Najib dihadapan Presiden Trump minggu lalu hanya   baik sadikit dari pertuturan Tan Seri Muhamad Taib ketika dia cuba melintasi ruang kastam di lapangan terbang Melbourne  Australia pada bulan April 1997 dahulu.

Kegementaran Najib dapat dirasakan hanya dengan menonton klip YouTube. Sebenarnya suasana takut Najib ini ada sebab musabab. Najib jadi takut kerana dia telah lama ditakut-takutkan.

Najib, Jho Low dan anak Rosmah dengan suami pertamanya kini berhadapan dengan kes jenayah di mahkamah Los Angles Amerika. Ini berikutan dengan kes mendobi duit 1MDB yang berjumlah berbiion ringgit.  Najib sedar akan hal ini.

Tujuan sabenarnya Najib berjumpa dengan Presiden Trump ialah untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa polis Amerika tidak akan menangkap Najib.  Najib bebas terbang ke Amerika dan Eropah. Dalam perkiraan Najib bila dia berjumpa Presiden Trump maka Mak Cik dan Pak Cik Felda akan  terpancut berbangga. Tapi kesahnya lebih dari itu.

Dua tahun lalu Jabatan Keadilan Amerika - Department of Justice America - DOJ telah memulakan kes mendobi duit 1MDB. Ketika Najib mengarahkan ‘macainya’ melanggan syarikat lobi di Amerika untuk ‘cari lubang’ bertemu Trump - lembaga DOJ telah mengeluarkan kenyataan ke dua. 

Kali pertama dahulu kes 1MDb ini hanya kes sivil. Kali kedua ini kes 1MDB telah beralih menjadi kes jenayah. Yang ini mungkin Mak Cik Felda kurang arif.

Walau pun Najib tidak memiliki apa apa ijazah dari Nottingham Universiti, Najib masih ada keupayan untuk membaca akhbar The New York Times, Washington Post dan  The Wall Street Journal.

Pasti Najib tahu bagaimana akhbar dan media Amerika telah tidak putus-putus mengutuk dan memperlekehkan  dirinya. Kes duit curian 1MDB ini telah menjadi umpan untuk semua media Amerika mengutuk Najib. Najib pasti sedar hal ini walau pun kita tidak terbaca laporan media tentang Najib terkencing dalam seluar ketika melintasi ruang kastam dilapangan terbang JFK New York.

Bayangkan beberapa hari sebelum sampai ke Rumah Puteh akhbar-akhbar  besar lagi berpengaruh di Amerika  telah mencadangkan kepada Presiden Trump agar lawatan Najib ini dibatalkan. 

Media Amerika yang sedang mengepong Trump telah juga mengepong Najib. Dua-dua sosok ini dipelekeh dan dihina bulat bulat oleh media Amerika.

Bayangkan hotel tempat Najib dan delegasi Malaysai menginap pun telah dipertikaikan oleh media Amerika. Ini telah memaksa jurucakap Rumah Puteh menjawab mengatakan bahawa siasatan DOJ dan FBI masih berjalan dan tidak ada sangkut paut dengan perjumpaan Najib dengan Trump.

Malah desas desus yang mengatakan Najib akan minta ampon dari Trump agar kes DOJ ini akan diketepikan  telah dijawab oleh media Amerika sendiri. 

Adalah mustahil untuk Trump mengenepikan kes jenayah 1MDB Najib. Ini kerana anak menantu Trump sendiri pun pada ketika  ini sedang berhadapan dengan siasatan DOJ. Ini bersangkutan dengan kes hubungan menantu Trump  Trump dengan ajen Russia. 

Jikalau menantu sendiri pun tidak dapat diselamatkan dari siasatan DOJ dan FBI ,  maka mustahil Trump akan cuba menyelamatkan isteri Rosmah…opps maaf… menyelamatkan  Najib suami Rosmah yang juga Presiden parti United Malays National Organisation. Jauh panggang dari api. Jauh Kak Janda dari Abang Duda.

Najib menginap di  Trump International Hotel Washington DC. Ini hotel milik Trump. Kalau di Kuala Lumpur setiap pagi akan ada akhbar The Star/NST diselitkan dibawah pintu. Di Washington DC adalah tradisi hotel berjenama untuk memasukan akhbar Washington Post ke celah pintu bilik.

Bayangkan senario pada pagi sebelum Najib bertemu Trump. Si Rosmah telah mengambil akhbar Washington Post  yang terselit dipintu bilik. Rosmah ingin melihat-lihat iklan beg tangan  dan feshen-feshen terbaru dan pil terbaik untuk melangsingkan badan di Amerika.

Rosmah menjerit memanggil Najib kerana  di halaman Lidah Pengarang ada  surat dari Nurul Izzah terpampang luas.  Bayangkan bagaimana mata Najib terbeliak apabila melihat surat dari Nurul Izzah ini terpampang dalam akhbar The Washington Post. 

Dalam hotel di Amerika  ini pun Najib masih kena buru. Justeru inilah sebahagian dari penyebab yang menjadikan Najib gelabah dan gementar apabila berhadapan dengan Trump.
Kerana terlalu mengelabah, kerana terlalu takut, kerana hendak membodek Trump maka terhamburkan kata-kata klasik untuk kurun ini. Dalam klip YouTube kita boleh melihat pada minit 2.39 terpancut dari mulut Najib ‘….. number one, we want to help you in terms of strengthening the U.S economy…..’

Diterjemah dalam bahasa Melayu Najib berkata kepada Trump….pertamanya kami datang untuk membantu tuan Presiden dalam usaha memperkasa ekonomi Amerka…’
Ertinya Najib datang membawa Malaysia untuk  membantu menyelamatkan ekonomi Amerika.

Ini bukan kata-kata orang gila. Ini bukan cakap cakap Haji Hadi atau Nik Abduh. Ini bukan cakap Mat Pet. Ini keluar dari mulut Najib Presiden Parti United Malays National Organisation. Kalau ayat-ayat pertuturan ini datang dari Nik Abduh atau Lokman Adam maka kita tidak akan terperanjat besar. 

Tapi bila ayat-ayat ini datang dari mulut  Najib maka kita sedar bahawa Najib sedang dalam ketakutan yang maha sangat.  Najib gementar apabila berhadapan dengan Presiden Trump. Sepuluh biji Prozac pun tidak dapat mententeramkan jiwa kacau Najib.

Ketakutan  Najib makin membuak apabila majalah Newsweek pula membuat berita. Kali ini tajuk berita yang paling kurang ajar…Trump’s Meeting with Malaysian Crook…. Trump berjumpa pencuri dari Malaysia…’

Najib dihina. Najib diperlekeh. Tidak putus putus Najib dihina diluar negara.Tup tup bilaa pulang ker tanah air Najib dihina lagi. Siapa pulak hina Najib? Ada sesiapa berani hina Najib di Malaysia? Tunggu minggu hadapan. (TT)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45





--------------------------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

perjanjian hudaibiya = belum cukup sepoloh tahun dah PUTUS

perjanjian "who die jibby" = belum cukup sato minggu dah PATAH

elok panggil hudaijiby ajer!