Rabu, 17 Februari 2021

PERLAWANAN DITERUSKAN


 


PERLAWANAN

DITERUSKAN


Setiausaha Agong PKM Chin Peng telah mengadakan pertemuan sulit dengan dua orang pelajar Melayu radikal, Hishamuddin Rais dan Mohd.Yunus bin Lebai Ali di Beijing pada bulan Januari 1980. Dalam kenyataannya Mohd.Yunus mendedahkan: ".......Chin Peng mencadangkan agar Hishamuddin Rais dan saya menubuhkan Kumpulan Bersenjata Melayu jika perlu atau sesuai yang bebas dari PKM, tetapi pada peringkat awalnya PKM akan memberi latihan kepada kumpulan bersenjata dan juga bantuan lojistik sehinggalah ianya boleh berdirikari...."  PETIKAN dari KERTAS PUTIH OPERASI LALANG

Aku telah mengambil keputusan. Perlawanan akan diteruskan. Mustahil aku tidak bangun melawan. Aku dalam kota London bukan di Kuala Klawang.  Kawan-kawan  sekepala telah mula ramai. Jaringan  sokongan semakin kukuh.  Mat Salleh dan Minah Salleh juga telah datang untuk memberi sokongan.


Semuanya hasil dari usaha persendirian  dari Jomo, Lucy, Rohana, Joe dan aku sendiri. Inilah usaha kami sebagai warga yang bertanggung jawab di luar negara.   Dimana pun kami berada kami masih memikul tanggungjawab sebagai warga. 

Benih kelapa yang baik walau pun hanyut  dipukul ombak terdampar akan menjadi sebuah pulau.

Aku sendiri  yang sudah lama meninggalkan Malaysia mungkin tidak memilik sanad. Tidak saperti Jomo dan Udo menjadi perawi saheh tentang Operasi Lalang. 

Untuk aku yang saheh hanya satu -  Operasi Lalang telah membuat kocakkan dalam kota London. 

“ Kalau di London pun takut nak  melawan kezaliman... baik potong kote....’  Aku mendengar kata-kata anak muda   bernama Anwar  dari  Tampin.  

Aku kenal Anwar secara  tak sengaja  pada tahun 1984. Aku sekapal  dengan Anwar dari  pelabuhan Dover  England ke pelabuhan Ostend Belgium.    Anwar  ini datang pelajar kemudian berhenti.  Bila kami berkenalan dia bekerja di sebuah pub di South London.  Kami jadi kawan – satu lagi kawan Melayu aku di London.

Pub Anwar  bekerja ini hebat. Anwar bersurah yang dia pernah melayan Al-Pacino di pubnya  ketika pelakon ini membuat penggambaran filem Revolution di UK.   Anwar  ke Brussels untuk  ‘dirty weekend ‘ bercuti dihujung minggu. Aku nak pulang ke kampung aku di Wavre.

Wajib aku kesahkan disini bahawa peranan pelajar Malaysia  di United Kingdom, di Australia dan New Zealand  amat-amat penting.  Bukan penting  untuk   tanah air sahaja tetapi penting untuk gerakan pelajar antara bangsa. Pelajar Malaysia telah memangkin aktiviti pelajar tempatan dan pelajar dari negara lain.

Di Australia, di UK dan di New Zealand – majoriti pelajar  luar negara datang awalnya  dari   Tanah Melayu kemudian dari Malaya dan akhirnya  dari  Malaysia. Mereka  datang dengan biasiswa kerajaan atau Colombo Plan  atau dihantar oleh ibu bapa. Pada zaman ini  belajar adalah percuma  di UK, Australia, Canada atau New Zealand   walau pun pelajar dari negara luar.

Sistem belajar percuma ini hanya wujud di  German  hingga ke hari ini. Di German pembelajaran  masih tidak dijual beli. Yang dijual beli hanya Mercedes, BMW dan Audi.

Di Australia aku ada pengalaman sendiri. Aku datang dua kali ke Australia. Kali pertama hadir ke Persidangn Asian Students Association (ASA)  di Melbourne – Jun 1974. Kali kedua aku dijemput sebagai tamu  oleh Australian Union of Student (AUS) pada tahun 1975 

Sebelum aku sampai ke London aku telah mengetahui beberapa persatuan pelajar Malaysia di UK. Setiap kampus jika ramai pelajar  Malaysia maka akan diwujudkan MSU/MSA – Malaysian Student Union atau Association.

Negara kapir yang bernama United Kingdom ini memberi kebebasan kepada pelajar luar negara.  Buat lah apa sahaja, dirikan apa sahaja persatuan, susunlah apa bentuk organisasi. Yang dilarang – jangan  mengganggu hak orang lain.  Ini dasar negara kapir UK yang berpandukan  hukum hakam yang dibuat dalam Parlimen.

Terbukti pelajar Malaysia mengambil peluang untuk  bergerak bebas di UK. Gerakan pelajar Malaysia di United Kingdom memang terkenal.  Pernah satu petang dimusim panas 1975  aku  bertemu dengan satu kumpulan pelajar Iraqi yang pulang bercuti dari London   Kami bertemu  di Ibu Pejabat  Persatuan Kebangsaan Pelajar Iraq - NUIS – (National Union of Iraqi Student ).

Ketika itu aku menjadi tamu NUIS. Aku menginap di Hotel Ambassador Jalan Abu Nawas Baghdad. Di hadapan  hotel aku ialah Sungai Dajlah. Di seberang sungai ialah kawasan larangan Istana Presiden.  

 ‘ You are from Malaysia....ah lan wa sah lan... welcome welcome... I knew  Malaysian  students in London... they are very active ... but... they are all Maoist...‘  Salah seorang  pelajar Iraqi ini memberi pencerahan kepada aku yang belum pernah sampai ke London. 

“Oh... that is intresting... ‘ Aku menjawab dengan tersenyum. Dalam kepala aku teringat akan kumpulan  New Malayan Youth  yang sejarahnya amat gilang gemilang di United Kingdom. 


Sebagai Setiausaha Agung PMUM aku selalu menerima bahan bacaan dari pelajar-pelajar Malaysia di luar negara. Majalah New Malayan Youth adalah antara majalah yang kerap aku terima.

Pada satu petang aku dapat panggilan  talipon.  Sosok ini  memperkenalkan dirinya   sebagai Toni Kahane. Dia penulis bebas yang tidak terikat dengan mana-mana akhbar.  Sosok ini bercadang  mahu menulis tentang Operasi Lalang untuk akhbar The Guardian. 

The Guardian ini akhbar liberal-kiri. Pembaca terdiri dari intelektual  dan warga  profesional penyokong Parti Buruh. Aku sendiri membeli  akhbar ini. Setiap pagi dalam perjalanan ke  kampus aku akan membelinya  di stesen tube Bromley-by-Bow.   

The Guardian terbit 6 hari seminggu. Pada hari Ahad kakak kepada Guardian muncul – The Observer.  Dua akhbar ini  membawa suara dan garis sosial demokrat untuk masyarakat British.

Dari apa yang aku difahamkan Toni telah mengumpul bahan. Cuma dia tidak memiliki gambar yang perlu ikut sama dengan rencana Operasi Lalang yang sedang digarap.  

Toni menalipon kerana aku belajar di sekolah filem. Toni ingin tahu apakah aku memiliki apa-apa gambar yang releven untuk rencana  ini.

Opps... Nasib baik. Dalam simpanan aku ada gambar Dr Chandra Muzaffar. Chandra  sedang dalam penjara ketika Toni menalipon aku. 

Seminggu kemudian  rencana Operasi Lalang diterbit disebelah lidah pengarang dalam The Guardian. Gambar Dr Chandra telah digunakan. Aku tersenyum puas.  Kawan-kawan aku dalam kelas  hampir tak percaya bagaimana gambar  dari aku telah digunakan oleh The Guardian.  Aku bukan profesional. Aku baru  masuk belajar tahun satu.  Aku sedar bukan mudah gambar akan  digunakan oleh The Guardian.

Toni memberi aku 70 Sterling Pound untuk sakeping gambar Dr Chandar Muzaffar.

Jelas propaganda kami tentang Operasi Lalang telah ranum. 

Maka pada  pagi Sabtu  yang ditetap dua bulan sesudah Operasi Lalang – kami mengadakan seminar pelajar  Malaysia di Dewan Pelajar di Malet  Street.   Dewan   ini milik NUS – National  Union of Student – Persatuan  Kebangsaan Pelajar United Kingdom. Dewan ini  tidak jauh dari SOAS –  The School of Oriental and African Studies.

Jomo  memainkan peranan. Jomo memberi penerangan. Lucy yang suami dan adiknya  ditahan berucap sama. Aku juga memberi penerangan.  Aku yang telah lama meminggalkan Malaysia bukanlah pembawa perawi saheh saperti Jomo yang sanad dan nasnya  dianggap saheh. 

Seminar di Malet Street berlangsung dari  pagi sampai petang.    Lebih dari 30 mahasiswa Malaysia datang – majoriti  pelajar  Melayu.  Kami makan nasi bungkus tengah hari  itu. Aku pesan dari restoran Satay House. 

Aku merasa senang hati kerana propaganda   dan iklan aku dalam akhbar pelajar PCL  telah  berjaya menjemput ramai khalayak. Tulisan Toni dalam  The Guardian juga membantu.

Ketika perbincangan berjalan mata aku liar mencari  yang mana satu kakak kepada  K.K Tan.  Kalau kalau dia hadir sama.

Tetiba di akhir program seorang anak muda datang menghulur tangan kepada aku.

‘ I’am K.K Tan brother...  I studdy Engineeing ... same  like you ...same like you  at PCL.....my brother now in Kamunting.‘

Oh. Kakak tak datang. Tapi adik kepada K.K. Tan sampai.

Tetiba dua hari kemudian talipon aku berdering. Bila aku angkat tak ada suara di hujung sana. Bila aku letakan ianya berbunyi lagi. Talipon aku berbunyi tanpa henti henti.

Dalam kepala aku terlintas  - ini mesti kerja  SB yang menyamar  bertugas di Pejabat Kedutaan Malaysia. 

Panggilan  kosong ini mengganggu aku. Lalu aku letakkan bantal untuk menutup bunyi deringan talipon. 

Lalu aku teringat kembali apa yang telah berlaku pada satu petang dalam stesen   kereta api bawah tanah di  Picadilly   Circus. Ketika itu aku  dengan seorang kawan sedang merakam projek  filem tahun akhir aku untuk Brixton College.   Aku sedang merakamkan saketul hati lembu  yang turun naik di eskalator. Aku menggunakan filem super8.

Tertiba seorang anak muda Melayu datang menghulur tangan. Aku lupa namanya.  Aku pun lupa dari  kampus mana dia belajar.  Aku lupa kerana aku merasa terganggu dari apa yang sedang aku lakukan ketika itu. Yang aku ingat dia jantan Melayu agak kurus dan kulit agak hitam.

Mamat ini meminta numbor  talipon rumah aku.   Dia   semacam mendesak. Untuk meneruskan apa yang aku sedang buat aku sebutkan number talipon aku. Kemudian dia beredar. 

Kenapa dia perlu menalipon aku? Aku  pun  tahu.  Aku amat jarang  memberikan number talipon  kepada sosok yang tidak  rapat dengan aku.  Petang itu agak ganjil kecuali... kecuali apa?

Kecuali yang meminta numbor talipon aku Minah cun langsing  dan bergetah. Minah ini tak perlu meminta. Aku sendiri akan menghulur number talipon aku dengan senyum manis yang tak putus putus. Dengan harapan dapat bertemu kembali.

Kenapa Mamat  kurus berkulit hitam itu aku ‘ syaki’?  Hanya perasaan  curiga aku akibat  deringan yang menggangu.

Esoknya aku pergi ke pejabat British Telecom di Shaftbury Avenue. Aku mengajukan laporan gangguan.   Pegawai yang bertugas mengambil laporan dari aku. Di Pejabat British Telecom ini  aku  ternampak   iklan Peti  Jawapan  Talipon.   Tertbaik.  Lalu aku membeli Peti Jawapan. Bantal tidak diperlukan  lagi untuk  menutup talipon aku.

Bila aku ada  answering machine - kawan-kawan  memperli aku yang kini cuba-cuba  nak menjadi Yuppie. Pada tahun 1987  mesin ini  jarang digunakan. Kawan-kawan aku tidak tahu apa   kesah di belakang mesin ni.

Di kampus aku pergi berjumpa pensyarah aku Mister Ian Green. Aku rasa pensyarah muda ini lebih bersimpati. Aku  bersurah kepadanaya  tentang  Operasi Lalang dan apa yang telah berlaku di Malaysia. Aku juga bertanya  apakah Malaysia  dan UK ada penjanjian ektradiksi. 

Aku lakukan semua ini untuk menenangkan perasaan.

Kemudian aku kembali menjadi Londoner. Hidup aku kembali saperti biasa. Aku di fahamkan Yunus telah di hantar ka Kamunting bersama yang lain lain. Ada yang dibebaskan salepas dua atau tiga bulan. Aku dengar Dr Chandra pun telah dibebaskan.

Kemudian Rohana membawa berita  baik. Suaminya  Jasni  akan datang bercuti. Ketika ini Rohana masih mengikuti kuliah di Warwick Universiti. Thaera  peminat setia Bros masih lagi bersama Rohana.  Irene  masih lagi bersama suaminya Joe di Warwick.

Dari lapangan terbang Heathrow  Jasni  singgah ke  Bromley by Bow.  Ini kali pertama aku berjumpa Jasni.

Dia membawa surah tentang Yunus. Jasni bercerita   tentang  Ibu Yunus . Seorang ibu yang jujur dan tidak mengetahui apa itu Kamunting dan ISA. Ibu Yunus memberi ingatan agar Yunus tidak lupa seluar mandi ketika   Yunus ditangkap. Pesanan ini timbul  kerana  anak jantannya Yunus suka berenang.

‘ Isham... kau tak tahu... Rohana... Irene dan Jomo ... semua selamat... kalau tidak tiga tiga ekor ini pun kena  dibungkus oleh Mahathir....’  Jasni memberi pencerahan.

Aku hanya mendengar.

‘ Rohana dan Jomo ini..  geng  Nadi Insan yang awal... semua geng Insan kena ngap... Cecelia.. Heng Leng... Dr Nasir.... nasib baik .... mereka ini terbang awal ke London...’

Aku hanya mendengar.

Kemudian Jaseni bercerita lagi apa yang berlaku ketika Operasi Lalang . Dia mendapat tahu tangkapan  sedang berjalan. Dia merasa amat cuak kerana Rohana juga dalam  kumpulan Insan. Maka secepat kilat  Jasni bergerak. 
‘ Aku masuk ke bilik bacaan Rohana dan mengumpulkan  semua buku buku Rohana.  Apa saja buku yang ada bau bau bacang dengan Marx  dimasuk ke dalam kotak....’

Aku hanya mendengar.

‘ Malam itu aku masukan semua buku dalam kotak... masuk dalam kereta dan terus  ke Jambatan Pulau Pinang...”

‘ Jambatan mana? ‘ Aku tak tahu apa itu Jambatan Pulau Pinang. Semasa aku di Malaysia kalau nak masuk ke Tanjung wajib naik feri.

‘ Oppp... kau  belum tengok lagi...depan USM.... sampai tengah jambatan aku buangkan semua buku buku itu... semua selamat ke dalam laut......’

‘ Termasuk buku  Groucho Marx ...’ Aku melawak.

‘  Kau ingat SB tahu siapa Groucho. Marx.. nampak tertulis nama  Marx saja ... semua kena tangkap... Graoucho ke tak Groucho...’ Kami ketawa.


Kesah Jasni membuang buku ke dalam laut ini mengingatkan aku kepada  surah yang aku pernah  dengar dari aktivis Pilipina. 

Presiden  Marcos telah  membuat serbuan  ke dalam kampus Universiti Philipine untuk menangkap pelajar kiri, Marxis dan komunis. Marcos baru sahaja mengistiharkan darurat. Polis diberi arahan untuk mengeledah  bilik pelajar.

‘ I am anti-communist...’ Kata seorang  pelajar yang  tidak puas hari biliknya digeledah.

‘ I don’t care what type of communist you are...’ Pelajar ini ditangkap.

Bila aku dengar surah dari Jasni ini baru aku sedar betapa baiknya nasib Jomo, Rohana , Irene dan Lucy

Aku kembali menjadi  pelajar, pelayan restoran dan Londoner. Satu hari aku terima panggilan dari Jomo.  Dia berkata ada wartawan dari  Far Eastern Economic  Review  nak  bertemu bual dengan aku. Aku kenal majalah ini.  Majalah  mingguan politik dan ekonomi yang diterbitkan di Hong Kong. 

Aku telah mengikut dan membaca majalah ini semenjak tahun 1969 ketika aku di Kuala Kangsar. Perpustaakan Kolej Melayu melanggan majalah ini. Arwah Muzafar  Tate yang memperkenalkan aku dengan majalah ini.

‘ Mister Rais... have  you met Ching Peng...’ Ini soalan dari Minah wartawan dari Hong Kong ini.


EPILOK
Kertas Putih Operasi Lalang dikeluarkan oleh Mahathir. Nama aku terlibat sama.

Yunus Ali di tahan selama dua tahun di Kamunting.

Irene Fenandez pulang ke Malaysia beberapa bulan  kemudian. Irene  tidak ditangkap. Suaminya Joe selamat menyelesaikan ijazah di Warwick University. 

Jomo meneruskan cutinya di Cambridge Universiti. Isterinya juga sedang  menyiapkan  Phdnya di Cambridge.

Rohana pindah dari Warwick Universiti dan tinggal di 44 Newmill House. Dia tinggal di rumah aku  hampir satu tahun untuk membuat kajian di  Jabatan Kolonial  Kew Garden London. Phdnya  siap dua tahun kemudian.

Lucy dan anaknya Natasha terus tinggal di East End London. Lucy mendapat  ijazah undang-undang dan kini  terus menetap di London. Suaminya John satelah dibebaskan dari Kamunting datang ke London. Natsha anak gadis Lucy menjadi pelakun dalam filem akhir aku – Malaysian Werewolf in London 1991.

K.K. Karen masih berada di London.  Bulan April 2019 ketika aku di London aku pergi melawat K.K. Aku menemui dia di rumah rawatan di mana anaknya sedang berubat kerana dilanggar kereta. 

Thaera  masih meminati Bros. Thaera pulang lebih awal ke Malaysia dari Rohana.  Aku masih ingat  ketika menghantar dia ke Heathrow  aku berkata mungkin kastam akan menahan dia atas tuduhan menyeludup jam tangan. Thaera masih memakai dua jam tangan – kiri dan kanan – feshen ketika itu.

Aku putus hubungan dengan dengan Anwar dari Tampin. Sudah pulang ke Tampin atau masih di London?

Misteri Ian Green kini menjawat  pensyarah kanan di Jabatan Filem di University of Westminister.

Majalah Far Eastern Economic Review keluaran akhir  pada Disember 2009.  (TT)


TULISAN INI JUGA DISIRKAN
DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/02/17/apabila-benih-kelapa-bertukar-menjadi-pulau/



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Aduhai..sayangnya buku dihumban di laut.

Tanpa Nama berkata...

Isham, lu kenal ke siapa karl, siapa groucho? Gambar terbalik!