Rabu, 31 Mac 2021

PAK TUNGGAL



PAK TUNGGAL


Emak dan Abah aku berkahwin  tahun 1938 -  sebelum Jepun sampai.  Bila Emak aku  sampai ke Kampung Chenor dia  telah ternampak   seorang pemuda China berada dalam rumah Tok Manaf – mentua Mak aku. Emak aku hairan dia menyangka  pemuda China ini tukang rumah.  

Kemudian Abah aku memberi tahu  Emak aku bahawa pemuda China ini ialah anak angkat. Pemuda China ini  adik angkat kepada Abah aku. 

Ketika kali pertama aku mendengar surah wujudnya  seorang pemuda China dalam keluarga  Manaf  ianya amat menggembirakan aku.  Aku gembira sendirian kerana pada satu ketika yang lama dahulu aku ada  Pak Saudara China. Sebenarnya aku merasa megah kerana ada pertalian dengan anak China ini walau pun aku tak pernah berjumpa malah gambar pun tak pernah aku lihat.

Aku hanya mendengar riwayat Ah Meng nama pemuda China ini dari  cerita mulut ke mulut. Ini menjadi sebahagian dari kesah dan riwayat  cucu cicit Datuk Raja Balang Sahu dan  Datuk Dagang Lisut yang diturun temurunkan.

‘  Pada hari itu....Ah Meng hilang... dia menyorok... ayah dia risau  mencari..’ Emak aku  menyambung cerita satelah meletakan akhbar Utusan Melayu. 

‘ Apa Mak baca....’

‘ Cerito Orang Putih nak balik negeri...’ 

‘ Klawang ni... takdo Orang Putih  ke nanti..’

Surah Ah Meng dari Emak aku ini telah aku dengari ketika aku di Kuala Klawang pada  tahun 1955.  Ketika itu kami  tinggal di rumah guru Sekolah Kuala Klawang B.  Perang Dunia Kedua baru sepuluh tahun tamat.

Di rumah inilah juga kali pertama aku kenal api leterik  dan air paip. Di rumah ini  juga Emak aku mula memasak dengan dapur  minyak api. Aku ingat lagi dapur kami  cap rama-rama. Di rumah ini kami  tidak  lagi menggunakan kayu api untuk memasak seperti di dapur rumah guru Sekolah Tapak walau pun ada dapur simen bertungku terpasang.

Sekolah dan rumah guru  tidak jauh dari Rumah Pasung dan kawasan penempatan mata-mata.  Ada sederet  rumah banglo kayu di mana beberapa orang Tuan Mata-mata Inggeris  tinggal. Di atas bukit  di belakang rumah pasung ialah rumah Tuan OCPD – juga orang Inggeris. 

Mata-mata Melayu tinggal  di berek. Rumah teres bertangga batu ada dua blok. Dan dua deret panjang rumah teres  atas bumi.


Di Kuala Klawang ini aku selalu ternampak Orang  Putih termasuk perempuan Orang Putih.  Tuan D.O Orang Putih. Duduk atas bukit.  Guru Besar  Government English School juga  Orang Putih.  Perempuan-perempuan Orang Putih  ini pastilah isteri kepada Pegawai Inggeris.  Mak aku memanggil perempuan berkulit putih ini  ‘mem’.  Apa makna mem aku pun tidak tahu.

‘ Ke mana Ah Meng lari Mak...’ Aku mahu Emak aku menyambung cerita.

‘ Dia lari ke tepi kincir... duduk dalam belukar.... semalaman dia tak pulang... ayah dia risau... kemudian jumpa... ayah dia marah... Mak rasa dia kena rotan
lagi...’

Aku bayangkan marah seorang ayah terhadap anaknya. Aku juga bayangkan bagaimana rotan hinggap ke badan Ah Meng.

‘ Lepas  dua tiga hari dia datang lagi... dia jumpa Pak Teh kau... kali ini dia ada bawak baju dan seluar... dia nak lari dari rumah dia...’

‘ Nak lari ke mana Mak?...rumah dia bukan jauh... tepi sungai tu...’ Aku merasa hairan kerana biasanya  lari dari rumah ke satu tempat yang jauh. Ini tidak. Rumah Ah Meng  kalau tak ada  pokok dan belukar melindung akan kelihatan jelas  dari rumah Tok Manaf.

Mak aku menyambung surah.  Mengikut Mak aku kali ini  Ah Meng berkeras tak nak pulang ke rumah ayahnya.  Dia nak tinggal di rumah  Tok Manaf.  Ayahnya Hock Lim  menjadi serba salah.  Dia menarik tangan  Ah Meng. Ah Meng  meronta dan lari.

‘ Akhirnya ayah  dia tinggalkan dia.... dua tiga hari kemudian ayah Ah Meng   pergi ke rumah pasung di Klawang beri tahu OCPD  anak dia lari dari rumah...’

‘ Ah Meng  nak kena tangkap ke ?...’

‘ Tak... Tuan OCPD panggil Tok kau dan ayah Ah Meng datang ke rumah pasung... pergi sama-sama ... Ah Meng pun ikut sama...’

‘ Pasal apa pulak ke rumah pasung...’ Aku menjadi curiga. Rumah pasung dan mata-mata membuat aku terus curiga.

‘  Tuan OCPD Orang Putih  nak dengar cerita ayah Ah Meng... kemudian dia dengar cerita Tok kau.... Orang Putih ini macam jadi Tuan Hakimlah...nak dengar apa berlaku...’

‘ Lepas tu apa jadi...’ Aku tak sabar hendak tahu keputusan hakim.

‘ Tuan Orang Putih dengar cerita dari Ayah Ah Meng  dan dari Tok kau .... kemudian Tuan  Orang Putih tanya pada Ah Meng... nak duduk rumah sapa... nak duduk rumah ayah sendiri ... atau nak duduk rumah  orang Melayu...’

‘ Ah Meng cakap apa?’

‘ Nak duduk rumah orang Melayu...ini jawab Ah Meng sendiri... dia  sendiri buat pilihan...’

‘Nak duduk rumah  Orang  Melayu? Orang  Melayu  mana Mak? ‘

‘  Orang Melayu tu... Tok Manaf kau..laaa... Tuan Orang Putih panggil  Tok kau Orang Melayu...’

“ Orang Putih pandai ke cakap Melayu dengan Atok..’

‘ Ada mata-mata Melayu dan mata-mata China yang pandai cakap Orang Putih.’

Mengikut surah Emak aku sesudah Tuan OCPD membuat keputusan Hock Lim Ayah Ah Meng menerima keputusan itu. Anaknya sendiri telah mengatakan yang dia  tak mahu lagi pulang ke  rumah ayahnya. 

Ketika aku mendengar bab ini aku merasa sedih juga. Ah Meng meninggalkan Emak Bapak  dan adik beradik. Tapi aku juga sedar bahawa rumah  Ah Meng tidak jauh dari rumah Tok Manaf. Bila-bila masa  Ah Meng boleh melawat adik dan abangnya.

‘ Lepas tu Tok kau buat kenduri... Ah Meng bersunat... nama pun alih. Dari Ah Meng dari Aman... dia masuk Melayu...’


Mendengar perkataan bersunat aku pecah ketawa. ‘Dah besar  baru nak bersunat....ha..ha.. ha.. dia jadi Bin sapo Mak? ‘

‘ Aman bin Manaf ..anak Tok Manaf lah...adik abah kau... abang kepada Pak Teh Ramli... umur mereka tak jauh sangat..’ Amin

Masa berjalan terus. Hidup orang kampung di Chenor diteruskan. Keluarga Tok Manaf bertambah seorang. Hock Lim terus berkebun di tepi sungai. Musim sawah turun ke sawah.   Musim buah mengutip buah. Kehidupan di Kampung Chenor aman damai.

Suasana aman damai  sawah padi dan air kincir Tok Manaf  akhirnya terbarai  pecah.

Pada 8 Disember 1941. Jepun mendarat di Kota Bahru.  Pada 15 Februari  1942 Inggeris mengaku kalah. Pentadbiran Tanah Melayu  beralih tangan – dari bertuankan Inggeris kini bertuankan Jepun.

Ketika Jepun sampai Emak aku telah berpindah dari  Sekolah Seri Menanti  ke Sekolah Tengkek. 

Emak dan  Abah dan keluarga Tok Sidek di Kampung Tengah Kuala Pilah kini  terpisah dengan keluarga Tok Manaf  di Chenor di Jelebu.  Alam pemisah  dua kampung ini hanya   bukit bukau Banjaran  Titiwangsa. Tapi kini soldadu Jepun menjadi kuasa baru  yang memisahkan  dan mengawal Kampung Chenor dan Kampung Tengah

Setahun sesudah Jepun sampai Emak aku bersalin lagi. Tok Wan Rahmah  - ibu kepada Emak aku menjadi bidan. Ini anak kelahiran yang ketiga. Seorang bayi perempuan.  Anak ini sihat tidak seperti dua anak   awal  yang  meninggal dunia ketika dilahirkan. 

Emak dan Abah aku amat gembira sekali. Abah aku berbasikal melintas Batu Kikir  pulang ke Chenor untuk memberi tahu  Tok Manaf dan Wan Timah tentang kelahiran anak perempuan yang baru.

Adik beradik Abah aku gembira dan berharap anak ketiga ini akan selamat walau pun  lahir di zaman Jepun.

‘ Anak perempuan Abang Andak tu... biar saya beri nama...’  Ini permintaan dari Aman adik angkat Abah aku. 

Nama kakak aku  yang baru lahir ini ada surahnya. Maka aku rujuk kembali dengan tuan empunya nama. Ini untuk aku mensahihkan  hadis.

‘ Ni nama Kang Ngah  ... Pak Tunggal yang beri...Khamsiah ni Pak Tunggal yang beri nama...’ Ini kata-kata kakak aku. Aku  mendengar kata-kata ini ketika Kak Ngah aku menerangkan sejarah dari mana asal usul namanya. 

Khamsiah binti Rais lahir  pada 29.9.1942.  Tarikh  lahir ini didaftar secara resmi sesudah Jepun kalah.

‘ Wan Timah suruh panggil  Pak Aman  Pak Tunggal ...  Pak Tunggal ni kerana  dia tunggal.....’  Kakak aku menyambung lagi sejarah namanya.

‘ Pak Tunggal kata.. kamsia ini dalam bahasa China ertinya terima kasih... dia minta Abah pakai nama ni...ni nama Kak Ngah... Abah tulis .. Abah tambah jadi Khamsiah.’ 

Untuk mensahihkan bunyi China  dalam nama kakak aku ini  aku telah menalipon  Lee Keong.  Kawan lama aku   anak watan  China Kuala Klawang.   Kami sedarjah dari tingkatan satu hingga tingkatan lima  di Sekolah Menengah Undang Jelebu.  

‘ Betul...Isham...  kamsia ini  bahasa Hokkien...maknanya  terima kasih... bersyukur...’  Lee Keong menjadi Dewan Bahasa penterjemah untuk aku.

‘ Anak perempuan Abang Andak tu... biar saya beri nama...’  Ayat ini sentiasa dalam ingatan keluarga Rais.

Bila aku mendengar surah ini aku merasa hiba. Riwayat ini menusuk hati aku. Lalu aku gambarkan betapa rapatnya hubungan Abah aku dengan pemuda China  Hokkien yang kini dipanggil Pak Tunggal.   Pastilah Abah aku  begitu sayang dengan adik angkatnya hinggakan  nama anak perempuannya  diberi nama oleh Pak Tunggal.

Abah aku tidak banyak berkisah tentang Pak Tunggal. Surah dan riwayat ini banyak aku dengar dari Emak aku. 

Dari apa yang aku dengar Pak Tunggal cukup selesa menjadi sebahagian dari keluarga Tok Manaf. Bayangkan Tok Manaf aku ramai anak lelaki. Pastilah Pak Tunggal tak pernah keseorangan. Tok Manaf ada lapan orang anak. Pak Tunggal ada tiga abang, dua kakak dan dua adik lelaki dan satu adik perempuan..

‘ Bang Isham...  Pak Aman ni paling sayang dan rapat  Abah Mi....’ Ini satu lagi kesah dari sepupu aku Azmi  bin Ramli ketika aku mencari dan mengumpul surah tentang Pak Tunggal. 

Aku amat yakin tentang betapa rapat dan  intimnya Pak Tunggal dengan Pak Teh Ramli ayah kepada Azmi ini.

Ketika aku menulis kembali  babak ini air mata aku berlinang. Inilah  surah dan ayat-ayat yang paling susah untuk aku rakamkan.  Ketika aku mengetik  babak ini semuanya cerah seperti ianya sedang  berlaku di hadapan mata aku. Seperti aku sedang menuntun wayang. Babak demi babak tergambar di hadapan mata aku.

Pada tahun 1942 pekan Kuala Klawang bukan lagi di bawah jagaan OCPD Tuan Inggeris dan Memnya. Kini  pentadbiran Jelebu telah diambil alih oleh Jepun. Rumah Pasung Kuala Klawang yang dulunya diduduki  oleh Inggeris kini diduduki oleh Jepun.

Di tepi pekan Kuala Klawang  tak jauh dari Sungai Klawang ada sebuah panggung. Kali pertama  aku melihat wayang  panggung ialah dalam  Ruby Theatre ini. Kenapa nama Ruby aku pun tidak tahu. Aku dibesarkan oleh wayang dari Panggung Ruby.

Panggung Ruby ini untuk aku amat bersejarah.  Selain memperkenalkan aku kepada seni lakon dan seni wayang Ruby Theatre ini ada  pertalian rapat dengan keluarga Tok Manaf.

Pada hari itu –  dihari itu   Pak Tunggal  telah mengajak Pak Teh Ramli  turun berbasikal ke pekan Kuala Klawang.  Tujuan  mereka ialah untuk menuntun wayang di Panggung Ruby. Wayang yang nak dituntun pastilah filem propaganda Jepun.

Pak Tunggal dan Pak Teh Ramli masuk menonton waktu petang.  Ramai juga anak-anak muda Melayu dari sekitar  pekan Kuala Klawang datang untuk melihat wayang Jepun. Bukan nak dengar propaganda Jepun tapi nak melihat wayang.

Tidak sampai satu jam wayang pun habis. Pintu  dibuka. Ketika masuk ke dalam  panggung ada dua pintu dibuka. Petang ini ketika  hendak keluar hanya pintu hadapan dibuka.

Pak Tunggal dan Pak Teh Ramli tidak menyangka apa apa sedang menunggu.

Di tepi pintu telah siapa siaga berdiri empat soldadu Jepun. Mereka lengkap bersenjata. Mata mereka memandang memilih-milih dan memerhatikan muka-muka para penonton yang keluar. Bukan ramai penonton -  tak sampai 20 orang. 

Tetiba di tepi pintu Pak Tunggal di pegang soldadu Jepun. Pak Tunggal ditarik ke satu sudut.   Pak Teh Ramli aku mengikut kerana ini Abangnya yang  dipegang soldadu Jepun. Jepun menolak Pak Teh Ramli dan menghalang dari mengikut Pak Tunggal.  Pak Teh masih berdegil. Dia mengikuti Pak Tunggal yang kini diapit oleh dua soldadu Jepun.

‘ Nihongode mae ni susumu...’ Soldadu Jepun memberi arahan. Pak Teh Ramli aku tak faham. 

‘ Pak Tunggal .. Pak Tunggal...’ Ini sajalah jeritan kata kata akhir yang dilafazkan oleh Pak Teh  Ramli aku pada petang itu.  

Air mata Pak Teh aku menitis  ketika melihat Pak Tunggal  dimasukan ke dalam lori oleh soldadu Jepun. Pak Teh aku tidak tahu apa yang wajib dilakukan. Tak ada siapa datang membantu. Semua penonton lari berkeliaran menyelamatkan diri dari pedang Jepun.

Pak  Teh Ramli mengambil  basikal dan mengayuh pulang ke Kampung Chenor. Sampai ke rumah telah hampir senja.

Berita Pak Tunggal ditangkap Jepun merebak. Tok Manaf gelabah dan tidak tahu apa yang wajib dilakukan.  Keluarga Tok Manaf terperanjat. Malam itu ketika sembahyang mereka berdoa agar  Pak Tunggal selamat.

Esoknya pagi-pagi lagi Tok Manaf berbasikal ke Kuala Klawang.  Tempat yang dituju ialah Ibu  Pejabat Jepun. Di bilik pejabat yang sama dimana  beberapa tahun dahulu  Tok Manaf, Hock Lim dan Ah Meng bertemu dengan Tuan OCPD Inggeris.

‘ Tok kau menerangkan pada Jepun...  yang kena tangkap itu anak dia... dia  rupa China... tapi dia anak Orang Melayu....  Tok kau  berkeras juga pada Jepun.’

Baru aku sedar Jepun menangkap Pak Tunggal kerana dia rupa China.

‘ Tok Manaf kau  menerangkan pada Jepun ... Pak Tunggal ini cucu kepada Datu Dagang Lisut dan Raja Balang Sahu.... orang besar di Jelebu ...Jepun faham...’

‘ Apa jadi lepas tu...’ Aku tak sabar nak tahu apa terjadi pada Pak  Tunggal.

‘   Jepun tu minta maaf... dah salah tangkap... Aman bukan  China ...tapi  Aman dah dibawa  ke  Seremban... lepas kena tangkap di Panggung Ruby... dia terus diangkut dengan lori ke Seremban...’

Air mata aku menitis setiap kali surah ini sampai ke dalam ingatan aku.

‘ Esoknya Tok kau pergi ke Seremban ....masa itu  bukan ada kereta... naik kereta lembu... sehari suntuk baru sampai... cari  Aman  di Seremban... tiga empat hari Tok kau mencari  di Seremban... Jepun kata dah hantar ke Kuala Lumpur...’

Di saat ini aku senyap tidak bersuara. Aku hanya berupaya mendengar nafas sedih aku sendiri.

‘ Wan Timah kau menangis... .  Mak Chu Busu .. masa  tu dah masuk umo  empat tahun menangis .. dio hilang Abang...Pak Cik Jala kau pun  sedih sama.... Pak Teh Ramli kaulah sedara kita  yang akhir  melihat  Aman .... Pak Teh kau  paling sedih...  Abah  dan Emak  tak tahu semua ni... kito semua di Kampung  Tengah... lepas Jepun kalah baru tahu semua cerita ...’

‘ Dia hilang ke mana Mak.. pasal apa Tok  tak jumpa...’  Aku bertanya lagi.

‘ Kemudian   ada  keluar cerita.. ramai orang ditangkap Jepun ... dibawa ke Siam...  buat jalan kereta api.. ke Burma...  orang panggil Kereta Api Maut... Pak Aman kau dibawa ke sana oleh Jepun...’

‘ Lepas perang abis ... dia tak pulang ke... Mak?’

Emak aku senyap tidak menjawab. Mata Emak aku memandang jauh. Mungkin membawa kembali ingatan kepada  hari itu  di mana dia ternampak  Pemuda China yang dianggapnya tukang rumah.

Hari ini  kata-kata Pak Tunggal pada Abah aku ‘ Anak perempuan Abang Andak tu... biar saya beri nama...’  sentiasa dalam ingatan keluarga Rais Manaf.

EPILOK

British datang   mentadbir Tanah Melayu sekali lagi sesudah Jepun kalah perang.  Nama-nama mereka yang hilang di zaman Jepun telah diselidik. Nama Aman bin Manaf adalah antara ratusan nama yang tercatit hilang  dan tidak ditemui. 

Pentadbiran Inggeris telah memberi surat watikah kepada keluarga   Manaf diatas kehilangan Aman bin Manaf.

THE BRIDGE ON THE RIVER KWAI
Buku garapan Pierre Boulle  dijadikan filem  arahan David Lean dengan nama yang sama pada tahun 1957.

PANGGUNG RUBY
Aku menonton filem  The Bridge on the River Kwai arahan David Lean  di Panggung Ruby  pada tahun 1957. Ketika itu aku dalam darjah satu. 

Sepulang aku dari dua puluh tahun berkelana aku dapati tapak panggung ini  masih ada tapi bangunan  telah runtuh.

MEREKA YANG TINGGAL 
Ramli bin Manaf - Jalaludin Manaf – Aisah binti Manaf
Khamsiah Rais  - semuanya menjadi warga emas di Jelebu. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/03/31/pak-tunggal/

Tiada ulasan: