Sabtu, 24 April 2021

SAH GUGUR

 




AL-FATIHAH

Kapal selam Nanggala disahkan tenggelam, umum tentera Indonesia

KAPAL selam tentera Indonesia KRI Nanggala 402 disahkan tenggelam, kata Panglima Tentera Nasional Indonesia Hadi Tjahjanto, selepas operasi mencari kapal yang hilang itu menemukan serpihan, barangan dan tumpahan minyak.

Katanya, antara serpihan dan barangan yang ditemui oleh pasukan angkatan laut TNI di kawasan pencarian di perairan Bali termasuk span penampan haba, sejadah, dan pelincir periskop.

“(Kami) telah menemukan tumpahan minyak dan serpihan yang menjadi bukti autentik menuju fasa tenggelamnya KRI Nanggala,” katanya, dalam sidang media di Bali, petang ini.

Kapal selam yang terputus hubungan sejak petang Rabu lepas membawa 53 awak kapal dalam misi latihan torpedo di perairan Bali.

Ketua tentera laut Indonesia Yudi Margono pula berkata serpihan dan barangan yang ditemui dipercayai datang dari kapal selam Nanggala 402.

Katanya, barangan yang ditemui bukan milik umum dan tiada kapal selam lain berada di kawasan berkenaan sepanjang tempoh Nanggala gagal dihubungi.

“Kami percaya barangan ini tidak akan terangkat sekiranya kapal selam tidak menghadapi tekanan dari dalam atau pecah semasa melancarkan torpedo,” katanya.

Dalam pada itu, Hadi menyifatkan perkembangan ini satu kehilangan kepada republik.

“Atas nama seluruh prajurit dan keluarga besar TNI saya menyampaikan rasa prihatin yang mendalam. Marilah kita mendoakan supaya proses pencarian ini terus dapat dilakukan dan mendapat bukti yang kuat,” tambah Hadi.

Jelasnya, usaha mengesan kapal selam buatan Jerman itu telah dijalankan sejak empat hari lalu dengan bantuan armada tentera negara-negara jiran, sehingga batas akhir bekalan oksigen yang tersedia selama 72 jam untuk awak kapal.

Tempoh 72 jam itu mengambil kira ketersediaan oksigen untuk kecemsan dalam keadaan kapal selam terputus bekalan tenaga atau blackout.

Selain Malaysia, usaha mengesan Nanggala 402 disertai pasukan tentera Singapura, Australia dan Amerika Syarikat.

Pasukan pencari sebelum ini mengesan tumpahan minyak yang dipercayai dari kapal selam berkenaan.

Semalam, kapal perang KRI Pulau Rimau yang menyertai pencarian berjaya mengesan tarikan magnet yang kuat di kawasan perairan sama.

KRI Nanggala hilang sejak petang Rabu ketika menjalani latihan torpedo di perairan di utara Bali. – 24 April, 2021.

AMIN

Tiada ulasan: