Rabu, 15 Disember 2021

RAJA ZALIM RAJA DISANGGAH

 


RAJA ZALIM

RAJA DISANGGAH

BIAR MATI ANAK

JANGAN MATI ADAT


Pada tahun 1957 aku  masuk sekolah. Aku menjadi murid darjah satu Sekolah Umum Kuala Klawang A.  Sekolah A ini khusus untuk murid lelaki sahaja. Sekolah B untuk murid perempuan sahaja.  Dua wilayah sekolah yang berlainan. 

Darjah paling tinggi  untuk Sekolah Melayu di Jelebu pada ketika itu  hanya  sampai ke tahap  darjah enam. Hanya di sekolah Inggeris – Goverment English School  Kuala Klawang  (GES) – ada tingkatan satu hingga  ke tingkatan lima.

Untuk masuk ke GES bakal murid boleh mendaftar masuk dari darjah satu. Sekolah  GES Kuala Klawang terletak di tepi pekan Kuala Klawang. Maka majoriti murid pastilah anak China atau India  atau keluarga Melayu yang duduk berhampiran pekan Kuala Klawang.

Murid Melayu yang rumah  di kampung  masuk sekolah Melayu di kampung masing-masing dahulu hingga darjah empat. Kemudian wajib  lulus  peperiksaan darjah empat – Special Malay Class – untuk masuk  ke sekolah Inggeris. Atau sesudah darjah enam masuk ke  Remove Class – ini cara untuk murid  dari  sekolah Melayu dan juga dari sekolah China untuk menyambung belajar hingga ke tingkatan lima. 

Inilah sistem pembelajaran pasca Inggeris meninggalkan Tanah Melayu kepada United Malays National Organisation. 

Dalam tahun 1958 – ketika aku dalam darjah dua  -   diadakan  satu keramaian – Hari Pertanian - di pekan Kuala Klawang.  Aku ingat dengan  pameran di Sekolah Yuk Hua Kuala Klawang. Pertama kalinya aku melihat janin  dalam balang.  Lama juga mata aku memberi perhatian rapi kepada  ‘ bayi kecil’ dalam balang kaca ini.

Aku ingat lagi akan  peraduan meneka biji kacang hijau. Kacang ini  dimasukkan ke dalam satu balang gelas  yang  diletak di atas meja untuk dilihat oleh  sesiapa yang akan ingin meneka. Aku tak tahu apa hadiahnya. Apa yang aku ingat ialah ramainya warga Jelebu yang datang ke pameran ini.

Tak jauh  dari hadapan  sekolah China  ialah Pejabat Daerah. Di belakang pejabat ini ada laman tenis dan dewan badminton tertutup. Antara pejabat Tuan D.O  ada padang rumput yang agak luas. 

Pada hari keramaian ini aku ternampak di padang rumput ini  ada berbelas -belas  ekor kambing dalam kandang yang baru di buat. Inilah kali pertama aku melihat kambing  yang bertelinga besar. Telinga kambing ini jatuh  menutup kepala. Untuk aku ini pastilah  bukan kambing kampung yang biasa aku nampak. Ini kambing  licin  bukan biri-biri.  Pada hemat aku ini kambing Australia.

Tertiba ketika aku memberi perhatian pada kambing-kambing ini sekumpulan orang ramai datang ke arah kandang kambing. Aku menjauhkan diri. Aku nampak anggota polis. Beberapa orang Pegawai Melayu yang memakai baju cantik bukan baju orang  kampung biasa. Aku ternampak juga  tiga empat sosok  memakai baju Melayu lengkap  dengan kain samping dan songkok.

Aku tak tahu apa yang sedang berlaku.

Kemudian aku nampak satu  sosok yang dimuliakan Sosok ini memakai baju Melayu lengkap. Sosok ini ada sejemput janggut putih  di dagu. Aku perhatikan semua orang mem muliakan sosok berjanggut ini.

‘ Sapo tu Bang...’ Aku bertanya pada Abang yang berdiri disebelah aku di tepi kandang kambing.

‘ Laa...Jang oooi..kao tak kona... tu laaa Tok Undang kito...’  Mata Abang ini memandang hairan kerana aku tidak kenal dengan Datuk Undang Jelebu.

Balik ke rumah aku buka cerita bagaimana  aku jumpa  Datuk Undang.   Aku bercerita kepada emak dan kakak seolah-olah  aku dah kenal lama dengan Datu Undang ini.

‘ Nama dia Shahmaruddin ... Undang Jolobu ado golaran  .. kita panggil  dio ..Datuk Mendiko Montori  Akhir Zaman...’ Wah Rahmah aku memberi penerangan.

‘ Di Negeri sembilan ini ada empat Datuk Undang...  Undang Johol, Rembau, Sungai Ujung dan Jelebu. Undang ni sama dengan Tengku Besar Tampin memilih Yang DiPertuan Besar... Ini adat kita... Adat Perpatih... di luar Ngeri Sembilan orang  pakai Adat Temenggong... Tok Undang  ni semua suku Biduanda... orang asal Negeri Sembilan...’ Cik Gu Zaleha memberi penerangan yang lebih jelas. 

‘ Ekao ni suku Biduanda... Sakai dulu ni...kito ni porut  Sungai Ujung...’  Wan Rahmah aku menambah.

‘ Perut ni apa Mak... ‘ Aku bertanya.

‘  Perut ni turun temurun kita.. salasilah teromba adat  Datuk Nenak Moyang kita dari  sebelah betina... Di Jelebu ini ada Perut Sarin.. Perut Kemin dan Perut  Ulu Jelebu... ganti-ganti ..bergeler-geler jadi Tok Undang... lepas satu Perut... Perut lain pulak jadi Tok Undang... Undang Shahmaruddin ini Perut Kemin...lepas Perut Kemin Perut Ulu Jelebu...’  Penerangan yang jelas  dari Cik Gu Zaleha tentang adat istiadat Perpatih di Jelebu.

‘ Adat Perpatih ni... kuat sebelah emak...Perut emak penting.... Adat Temenggong pulak kuat sebelah  Bapak...’ Emak  aku memberi penerangan  tuntas  tentang dua adat ini.

Aku membesar di Jelebu  tanpa  aku sedari bahawa aku dipagari oleh adat istiadat Perpatih. Adat ini dibawa oleh  dari Tanah Seberang. 

Orang Seberang dan Tanah Seberang  ini selalu digunakan oleh Tok Wan Rahmah aku untuk Orang Luar dari suku Biduanda – suku Sakai Negeri Sembilan.  Orang Seberang ini adalah orang   Melayu yang datang dari  Sumatera wilayah di seberang laut Selat Melaka.  

Untuk kami di Negeri Sembilan Orang Seberang ini bukan pendatang tapi rumah mereka di Seberang. Ini sama seperti Orang Kampung Hulu atau Orang  Kampung Hilir.

Pada tahun 1959  ketika aku dalam darjah tiga Pak Ngah Aminuddin  Manaf abang kepada  Rais Manaf menang pilihanraya umum.  Pak Ngah bertanding  sebagai calon Bebas. Aku ingat lagi calon bebas  memakai simbol meja. 

Aminuddin Manaf calon bebas mengalahkan Ibrahim Haji Mansor dari Perikatan dan Ahmad Haji Yaacob dari PMIP ( Pan Malayan Islamic Parti ) nama asal Parti Islam.

Sebenarnya sebelum masuk sekolah lagi dari mulut Pak Ngah aku  telah pernah  mendengar nama Wahi Anwar, Boestamam, Tungku dan Chin Peng. Dari mulut Rais Manaf – Abah aku – aku dengar nama Shamsiah Fakeh.

Abah aku satu kelas dengan Shamsiah Fekeh. Mereka belajar di Sekolah Pondok Lebai Maadah di Juaseh Kuala Pilah.

Ketika Pilihan  Raya 1959  aku telah melihat kaum keluarga – Mak Saudara, Bapak Saudara  dan sepupu sepepat  -  sibuk berkempen untuk memenangkan  Aminuddin  Manaf. Soh seh soh seh  politik itu dan ini  telah masuk ke dalam telinga  semenjak aku kecil lagi.

Hakikatnya aku tak tahu pun apa  sebenarnya yang sedang  berlaku. Aku hanya mendengar perbualan orang ‘tua-tua’. Hujung pangkal politik aku tidak faham.

Tahun  1960 Pak Ngah  Aminuddin sudah  setahun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan. Kami telah berpindah dari Kuala Klawang  ke Ulu Klawang.  Emak aku jadi guru  di Sekolah Umum Batu Serambai.

Sekolah Batu Serambai ini   hanya sampai  ke darjah tiga. Untuk menyambung ke darjah empat aku mendaftar kembali ke sekolah lama aku di Kuala Klawang. 

Aku merasa amat seronok kerana jika aku bosan naik bas aku boleh berbasikal ke sekolah.

Satu petang Mak aku membawa berita dari Pak Ngah aku  bahawa Undang Jelebu Datuk Shahmaruddin telah  melanggar adat. Aku tak faham apa yang dimaksudkan oleh emak aku : melanggar adat.

Mengikut Emak aku Pak Ngah Aminuddin sebagai wakil rakyat telah tidak puas hati dengan  Datuk  Undang yang melanggar adat. 

‘ Kito ni idup dengan adat... adat diisi lembago dituang... adat  basandi syarak... syarak bersandi kitabullah.. adat nan menurun.. syarak nan mendaki...‘ Tok Wan aku mula berpatatah berpatitih. 

‘ Orang Melayu kito ni... biar mati anak jangan mati adat...’ Emak  aku pula  menambah.

Semua pepatah petitih ini tidak aku fahami. Aku juga tidak faham apa yang dilanggar oleh  Datuk Undang.

‘ Mak... Datuk Undang buek apo... salah apo..’ Aku bertanya.

‘ Dia nak anak dia ganti dio... tak ikut adat... lepas dia mati.... dia nak lantik anak dia jadi Undang... tak ikut giliran... tak ikut Perut lagi....ini krisis besar di Jelebu...’ Cik Gu Zaleha memberi penjelasan.

Aku masih juga tidak faham apa krisisnya.  Apa salah laku  Tok Undang Jelebu.

Untuk kami  budak-budak kampung  Undang ini penting. Kami budak-budak selalu bercerita kalau musim buah tak jadi ini kerana Undang  tak betul. Kalau  durian, manggis dan langsat banyak berbuah tahun itu maka kami budak-budak  akan bersembang sama sendiri. Kami akan  berterima kasih pada  Tok Undang kami berjaya memerintah dengan baik maka buah durian  menjadi di Jelebu.

‘ Datuk Undang kito ni... nak jadi Rajo... keluarga dio sajo boleh jadi Undang.. macam Rajo Selangor... macam Rajo Kodah.....’ Wan Rahmah aku menerangkan.

Baru aku faham apa yang dikatakan krisis itu.

‘ Minggu depan ‘orang nak berarak’... nak  lalu depan rumah Undang...  Pak Ngah kau sedang menyusun...’ Emak aku memberi penerangan.

Sekali lagi aku  tidak faham. Aku tak tahu apa itu berarak. Berarak untuk aku dilakukan  ketika kenduri kahwin. Orang ramai para tamu akan   menyambut  pengantin sampai. Kemudian kita  arak pengantin masuk ke pelamin.

‘ Berarak ni apa mak...’ Aku memerlukan pencerahan.

‘ Pak Ngah kau yang menyusun... dia akan bawa orang dari Chenor... dari Sarin .... dari Ulu Jelebu...ramai-ramai berjalan depan rumah Datuk Undang...’ Penjelasan dari Cik Gu Zaleha.

‘ Pasal apa berjalan depan rumah dia...’ 

‘ Nak  tunjuk pada Undang ...orang kampung tak setuju  bila dia mati anak dia jadi Undang baru.. dia melanggar adat..ini  bukan  cara adat Perpatih ..’ Emak aku memberi pencerahan.

‘Bila berarak ni Mak...’ aku nak tahu  kerana aku juga mula tertarik sama untuk berarak.  Kalau ‘ berarak ‘ waktu pagi memang baik untuk aku. Ketika ini aku masuk sekolah di waktu petang.

‘Minggu depan hari Rabu... pagi rasanya... sekarang sibuk kek Chenor .. buat kain rentang... buat sepanduk.. Pak Cik Nasir kau laaa jadi kepala...’ Emak aku menerangkan lagi.

Lalu aku teringat ketika berkempen tahun 1959 Pak Cik Nasir sepupu aku cukup keras membuat kerja.  Pak Ngah Aminuddin tak ada parti. Suruhanjaya Pilihan Raya beri dia  simbol meja. Bahan cetak mahal dan tidak banyak.

Maka Pak Cik Nasir dan anak-anak muda Kampung Chenor bekerja keras melukis gambar meja.  Tembok jambatan ada gambar meja. Atas jalan raya ada gambar meja.   Malah aku ingat lagi beberapa ekor lembu telah dicat dengan gambar meja. Kempen Pak Ngah aku cukup kreatif.

Aku rasa kali ini  berarak di hadapan rumah  Undang pasti lebih kreatif. Lagi pun  Pak Ngah aku dah ada sedikit modal.  Sebagai wakil rakyat Wakil Rakyat ada menerima elaun.

 Hari ‘ berarak’ pun sampai. Awal pagi aku telah mengayuh basikal menuju ke pekan Kuala Klawang. Bila aku sampai orang berarak  dah bergerak  meninggalkan  pekan Kuala Klawang berarak ke arah Petaling. 

Jalan ini akan melintas di Kampung Mengkan. Ini kampung Datuk Undang. Rumah Datuk Undang di tepi jalan anggaran sebatu ke arah  pekan kecil bernama Petaling. 

Aku dengan deras mengayuh basikal untuk turut sama berarak.   Kira-kira 300 meter dari rumah  Datuk Undang aku ternampak kumpulan orang berarak. Berdua-duaan berjalan seiring. Mereka tidak mengganggu lalu lintas.

Ada membawa plakad. Ada membawa sepanduk. Slogan dalam  tulisan  Rumi dan tulisan Jawi. Yang aku baca : Biar Mati Anak Jangan Mati Adat. Hidup Di kandung  Adat Mati Di kandung Tanah.  Pantang Melayu Melanggar Adat.  Raja Adil Raja disembah Raja Zalim Raja di Sanggah. 

Aku memberhentikan basikal dan menyeret basikal aku masuk ke bahagian paling belakang.  Ramai sanak saudara aku yang sama berarak. Malah majoriti yang berarak ini semuanya penyokong YB Aminuddin Manaf.  Aku rasa  ada  200 orang yang turut berarak.

Di hadapan memimpin perarakan ialah  Pak Cik Nasir aku. Aku tak ternampak pula di mana YB Aminuddin.   Beberapa orang  Pak Cik , Mak Cik, Abang dan  Kakak yang aku kenal turut sama berarak.

Bila sampai di hadapan rumah Datuk Undang perarakan berjalan perlahan-lahan. Sepanduk dan plakard dihalakan ke arah rumah  Datuk Undang. Ini untuk memberi masa kepada Datuk Undang  membaca apa yang tertulis  di sepanduk dan plakard.

Dari depan rumah Datuk Undang kami terus berarak  hingga ke  Petaling – jaraknya  hampir satu batu dari rumah Datuk Undang. Sampai di pekan kecil ini kami bersurai. 

Aku pun mengayuh pulang ke Kuala Klawang.  Sekolah petang bermula jam 1.30.
Dua hari kemudian berita kami berarak dilaporkan  oleh akhbar Jawi Utusan Melayu.  Utusan melaporkan : Orang Jelebu tunjuk perasaan membantah langkah Datu Undang  Jelebu dalam hal adat.  Buapak dan kepala adat tidak setuju dengan langkah Datuk Undang untuk mewarisi  Undang turun temurun.

Gambar  berarak ini pun ada sama. Aku tiak tahu siapa yang membuat berita dan gambar ini.

EPILOK 1  
Datuk Undang Shahmaruddin  dari Perut Kemin meninggal dunia pada tahun 1962.  Projek untuk menjadikan jawatan Datuk Undang sebagai warisan anak beranak  gagal.

Datuk Shahmaruddin di ganti oleh  Datuk Abu Bakar  Maamor dari Perut  Ulu Jelebu. Kemudian kembali ke  Perut  Sarin. 

Datuk Undang Jelebu hari ini  ialah  Datuk Maarof Mat Rashid dari Perut Kemin.

EPILOK 2
Berarak – Biar Mati Anak Jangan Mati Adat – pada tahun 1960  adalah  permulaan aku berarak di jalan raya. Yang menganjur, menyusun dan mengajar aku berarak ialah  YB Aminuddin Manaf – abang kepada  Rais Manaf.   Ada  bersama aku pada hari bersejarah itu  ialah saudara mara aku – sepupu dan sepepat dari Kampung Chenor.

EPILOK 3
Pada 14 Jun 1971 Field Marshal Kittichorn telah melakukan lawatan resmi ke Kuala Lumpur. Semua akhbar dan media Malaysia dengan hormatnya dan takzimnya telah melaporkan nama nya sebagai TUN Thanom ( tak percaya pergi arkib negara ).

Di pagi 14 Jun 1971 ini mahasiswa Universiti Malaya dan UKM telah berdemo menghalang kereta TUN Thanom ini di Lebuh raya Perseketuan. Hanya inilah satu-satunya jalan dari Lapangan Terbang Subang ke pusat kota. ( Petikan dari  Arkib Tukar Tiubi )

Ini adalah kali ke dua aku berarak ke jalan raya. Kali ini kami tidak dipanggil  berarak – kami berdemonstrasi . (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/12/15/pertama-kali-berdemonstrasi/


Tiada ulasan: