TEMPURUNG PECAH
BERTEMU
LAI CHEE KANG
Pagi itu aku bangun awal. Lee Keong masih dalam selimut hijau. Kami bermalam di kem askar di Kuala Kubu Bharu. Satelah mandi aku kejutkan Lee Keong. Kami ingin meneruskan perjalanan menuju Pulau Pinang.
Kem ini bukan macam kem Ghurka di Kuala Klawang yang beratapkan kanvas. Kem askar di Kuala Kubu Bharu ini ada bangunan tetap. Dinding setengah simen dan setengah papan. Atap zink.
‘ Terima kasih...’ aku menghulur tangan pada Abang Pegawai.
‘ Nak bergerak....dari sini susah nak dapat kereta... sabar dulu nanti ada kereta kami keluar...’ Abang Pegawai menjabat tangan kami.
Kami tak lama menunggu. Sebuah jeep askar datang. Kami duduk di belakang. Abang Pegawai masuk. Kereta bergerak. Kemudian kami diberhentikan di simpang jalan besar Kuala Kubu Bharu.
‘ Terima Kasih Tuan..’ Aku telah pandai menggunakan ‘tuan’ – ini bahasa tentera. Istilah ini aku pungut ketika Abang Pegawai memberi arahan malam tadi di dewan makan. Kami berjabat tangan kali ke dua.
‘ Jalan baik baik...’ Abang Pegawai memberi nasihat. Sosok baik yang aku tidak tahu nama dan pangkatnya.
Di tepi jalan kami mencuba nasib. Lama juga kami menebeng di tepi jalan. Akhirnya sebuah kereta berhenti. Kali ini Abang China membawa kami ke Tanjung Malim.
Inilah kali pertama aku sampai ke Tanjung Malim. Aku telah mendengar nama Tajung Malim semenjak aku kecil lagi. Di pekan ini berdirinya SITC – Sultan Idris Training Collge – Maktab Perguruan Sultan Idris yang amat tersohor.
Aminuddin Manaf abang kepada Rais Manaf belajar di SITC. Tanjung Malim tempat kelahiran guru-guru diseluruh pelusuk Tanah Melayu. Guru dari Tanjung Malam inilah yang mengajar Zaleha Sidek untuk menjadi cik gu.
SITC juga sarang, pusat dan mata air gerakan nasionalis Melayu yang bangun melawan Inggeris.
Kami menapak dan melintas di hadapan padang SITC. Dari jalan aku nampak bangunan batu berwarna putih. Semuanya tersusun indah. Pokok dan taman bunga yang mengelilingi bangunan ini meyakinkan aku bahawa disinilah gedung ilmu.
Lama juga kami menunggu. Sebuah kereta berhenti agak jauh dari kami. Kami berlari ke depan. Seorang Pak Cik bersuara.
‘ Nak ke mana...’
‘ Ipoh...’ Lee Keong menjawab.
‘ Sampai Behrang... bolehlaaa...’
Kami tidak menolak. Asalkan kami bergerak ke hadapan kami akan menumpang sesiapa saja.
Dalam kereta Pak Cik ini mula bertanya kami dari mana. Susah juga nak memberi kefahaman tuntas bahawa kami dari daerah Jelebu. Pada tahun 1968 tidak semua warga Malaysia tahu di mana letaknya Jelebu.
‘ Jelebu nama daerah... pekan nama Kuala Klawang... ini tempat paling kering di Malaysia... lawan pekan Taiping... tempat paling basah...’ Aku memberi kuliah Ilmu Alam.
‘ Kao tahu Behrang ni kampung Boestamam...Ahmad Boestamam dari Parti Rakyat... pernah dengar nama tu...’
‘ Ooo...disini ..kampung Boestamam ... saya pernah dengar namanya...’ Aku menjawab sambil memandang pada Lee Keong yang menggelengkan kepala tanda tak tahu.
Aku telah mendengar nama Boestamam ini dari Pak Ngah Aminuddin. Aku juga pernah membaca berita tentang Ahmad Boestamam dari Utusan Melayu. Semunya berita berkaitan politik.
Pak Cik yang baik hati ini memberhentikan kereta di pinggir pekan Behrang.
‘ Mari sini masuk kedai itu... Pak Cik nak belanja makan tengah hari...’ Pelawaan yang tidak akan kami tolak. Aku memandang Lee yang tersenyum gembira.
Aku ingat lagi kami masuk ke dalam kedai papan atap zink. Kedai makan Melayu menjual nasi campur. Ketika kami makan aku ternampak di luar empat orang budak lelaki yang sebaya. Baju dan seluar yang dipakai menunjukkan kemiskinan mereka. Tidak pernah aku melihat budak Melayu begini comot. Mereka berdiri di bawah pokok ceri di sebelah kedai makan.
Wajah empat budak Melayu yang kaya dengan kemiskinan itu terus terpahat dalam ingatan aku. Untuk aku inilah ingatan aku terhadap Behrang kampung kelahiran Ahmad Boestamam.
Kami di tepi jalan sekali lagi. Aku cuba mencari jalan lurus yang ada pokok agar kami tidak kepanasan. Tengah hari telah berlalu. Lama kami berdiri hingga matahari mula condong.
Sebuah kereta berwarna merah tua berhenti jauh dari kami. Aku rasa Sang Pemandu bila nampak hitch hiker pasti berfikir nak ambil atau tak nak ambil. Berhenti atau terus berjalan.
Dalam beberapa saat apabila keputusan di buat untuk berhenti hitch hiker telah jauh tinggal di belakang.
Kami berkejar ke hadapan. Pemandu seorang wanita India.
‘ Kampar... ok with you...’ Pemandu bersuara.
‘ Yes.. yes..’ Kami membuka pintu. Aku duduk di hadapan dan Lee di belakang,
Mata aku mengamati. Aku lihat Wanita ini berpakaian cara Barat. Dalam kepala aku mungkin dia seorang guru, doktor atau pekerja pejabat. Aku yakin sosok berpelajaran tinggi. Aku nampak tulisan Fiat pada stereng kereta.
‘ Where are both of you headed...’
‘ Penang... ‘ Aku menjawab.
‘ Half way there.... my home town Kampar.. I’ll drop you in Kampar... where are you from....’ Wanita India ini bertanya.
Seperti biasa aku akan ulangi kesah kami yang sedang menunggu keputusan peperiksaan. Nak melawat Pulau Pinang. Kalau sempat hendak ke Kangar Perlis.
Aku ingin juga aku nak tahu apa kerja si Wanita India ini. Tetapi Bahasa Inggeris aku belum ada keupayaan untuk bertanyakan apa profesion Wanita India ini.
Agak lewat petang juga kami sampai ke Kampar. Kami di berhentikan dalam pekan. Kalau mengikut kata Wanita India ini kami sudah setengah perjalanan ke Pulau Pinang.
Hari agak petang. Lalu kami buat keputusan untuk bermalam di Kampar. Tapi di mana?
‘ Kita tanya polis...mana boleh pasang khemah..’ Aku mencadangkan kepada Lee Keong.
Kami menapak ke Rumah Pasung untuk bertanya tempat boleh memasang khemah.
‘ Kamu pergi ke depan sikit ada sekolah... tanya Cik Gu di sekolah itu...’ Abang Mata-Mata memberi arahan.
Kami menuju arah sekolah. Mata hari dah turun. Hari dah mula petang. Kami masuk ke dalam kawasan sekolah. Kami tercari cari. Tak ada sesiapa dalam kawasan sekolah. Senja makin menggelap.
Dalam tercari-cari dari bilik darjah ke bilik darjah kami terserempak dengan Abang Melayu dengan Gadis China sedang berdua-duaan. Abang Melayu ini terkejut bila kami bersuara.
‘ Maaaf Bang... polis kata boleh tumpang tidur kawasan sekolah...’ Aku minta maaf mengganggu dua kekasih.
‘ Pergi kat kantin... ada orang disana...’ Suara Abang itu agak tinggi. Aku dapat merasakan yang dia mahu kami cepat beredar.
Di kantin sekolah kami berjumpa anak muda Melayu berkulit hitam. Dia menunjukkan bilik stor di belakang kantin di mana kami boleh bermalam. Dia juga menunjukan bilik mandi dan tandas.
Aku merasa lega kerana tempat tidur telah ditemui. Kami mandi dan bertukar pakaian. Ingin masuk ke pekan Kampar untuk makan malam.
Di pintu besar sekolah kami ternampak sekali lagi Abang Melayu dengan Amoi. Kali ini Amoi membonceng dan Abang memandu motosikal. Kami melambai tanpa balasan. Mungkin mereka tidak nampak kami.
Dalam pekan Kampar mata aku terbuka. Aku melihat Kampar di waktu malam. Aku merasakan betapa ‘ kocik’ pekan Kuala Klawang. Medan selera Kampar juga meriah. Belum sempat kami duduk para penjaja telah bertanya-bertanya apa yang kami nak makan.
Aku kehilangan idea. Sebenarnya aku tak tahu sangat konsep medan selera ini. Di Kuala Klawang kami tidak ada medan selera.
Di pekan Kuala Klawang hanya ada 4 buah kedai sederet di sebelah Perhentian Bas Lim. Yang terkenal ialah kedai Cendol Buang – menjual cendol dan kuih Melayu.
Jam 7.00 pekan Kuala Klawang sudah sepi. Warga Jelebu makan di rumah. Hiburan malam hanya panggung Ruby. Panggung tutup jam 10 malam.
Bila berhadapan dengan medan selera di Kampar aku duduk terpinga-pinga. Tidak tahu apa hendak di makan.
Lee berbahasa China dengan Pelayan Muda. Lee menerangkan berapa pilihan makanan.
‘ Mee goreng ada...’
Lee bertanya kemudian menerangkan jawapan kepada aku. Aduh – rupanya ada pelbagai jenis mee goreng. Yang aku tahu hanya mee goreng dan mee hon goreng. Lebih dari itu aku tak tahu.
Lee berbahasa China kemudian memesan mee goreng. Aku pun mengikut sama.
‘ ini ada babi...’ Lee menerangkan.
‘ Minta aku yang tak ada babi...’ Aku meminta Lee bercakap dengan Pelayan Muda.
‘ Minum apa Sham...’ Lee bertanya.
‘ Kau minum apa..’ Aku pula bertanya.
Lee bercakap dalam bahasa China sekali lagi.
‘ Aku minta Lai Chee Kang...’
‘ Aku pun sama... yang ni ada babi ke ...’ aku melawak.
Makanan sampai. Mee kuah kicap hitam. Mee nya agak besar sedikit dari mee yang biasa aku makan. Enak. Pasti enak kerana kami lapar.
Minuman tiba. Ini sekali lagi memeranjatkan deria rasa aku. Bukan tak sedap. Sedap yang memeranjatkan. Pada tahun 1968 di Kampar adalah kali pertama Hishamuddin Rais merasa Lai Chee Kang. Air batu dalam mangkuk. Di dalamnya ada pelbagai jenis bahan yang belum pernah aku rasa.
Malam itu aku telah terfikir bahawa aku ingin menuliskan pengalaman aku memakan Lai Chee Kang. Aku hendak beri tahu kawan-kawan aku di Jelebu yang belum pernah merasa Lai Chee Kang. Di Kuala Klawang tidak ada Lai Chee Kang.
‘ Oh ... inilah dia Lai Chee Kang... lagu scout yang kita nyanyikan semasa camping......’
Aku teringat lagi chorus lagu pengakap itu :
Lai Chee Kang semangkuk dua kupang
Lai Chee Kang
Yip pi ya yaa
Yip pi yi pi ya ya
Lai Chee Kang semangkuk dua kupang
‘ Dari sini asal lagu tu.... baru aku tau...’ Aku ketawa. Aku merasa bangga seperti aku ini Christopher Colombus (1451-1506) yang menemui Amerika.
Sambil menikmati mee kami berlabun apa yang berlaku siang tadi.
‘ Aku ingat perempuan India tadi tu Doktor... kereta Fiat merah dia mahal...’ Aku mula bercerita.
‘ Ahmad Boestamam tu sapa... ‘ Lee Keong bertanya.
‘ Dia lawan Orang Putih... pernah masuk jil...’ Aku menerangkan apa yang aku tahu tentang Boestamam.
‘ Tadi tu Cik Gu ke ...sapa Abang tu.... aku rasa kita kacau dia... dia tengah beromen...’ aku ketawa.
‘ Gardener... ‘ Lee mengeluar pendapat.
‘ Mungkin kerani sekolah... bukan tukang kebun... dia ada motosikal laaaa....’ Aku berhujah.
Selesai makan kami ingin membayar. Anak Muda Pelayan datang. Dia berbahasa China dengan Lee Keong.
‘ ini Lai Chee Kang... berapa semangkuk..’ Aku bertanya
‘ Dua kupang...mee lima kupang...’ Pelayan menjawab.
Aku terbarai ketawa. Baru aku sedar bahawa lagu Lai Chee Kang semangkuk dua kupang maknanya semangkuk dua puluh sen. Kupang ini istilah sen untuk orang Perak.
Satu lagi penemuan baru aku di Kampar. Kali ini aku merasa diri aku seperti Galileo Galilei (1564-1642) yang menemui dunia kita ini mengelilingi mata hari.
Malam itu kami tidur di bilik stor kantin sekolah di Kampar. Beg sandang aku jadikan bantal. Menelentang memandang siling aku tersenyum bila teringatkan lagu pengakap Lai Chee Kang semangkuk dua kupang. Selama ini aku hanya menyanyi. Kini aku telah bertemu apa yang aku nyanyikan.
Esok kami wajib ke Batu Gajah. Kakak aku Khamsiah Rais tinggal di Batu Gajah dengan suaminya seorang anggota Askar Melayu Di Raja. (TT)
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA DIPORTAL BERITA
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/04/06/tempurung-pecah-bertemu-lai-chee-kang/
2 ulasan:
wareh pengalaman ekau ini buleh bueh drama tv ,
450 tahun dulu Galileo socaro saintifik kato Dunio ngelilingi Matohari. Bulan lopeh TaT Kazim yg kojo carik makan ngaja igamo kato Matohari yg sobona eay kono ngeliling dunio. Tapi den suko nonggar hikayat kancey monyoborang sungai guno boyo ..satu duo tigo lokok ..
Catat Ulasan