Rabu, 19 Oktober 2022

BAS TERAKHIR KE PUTRAJAYA


 BAS TERAKHIR  

KE PUTRA JAYA


Parlimen telah dibubarkan. Tarikh PRU15 belum diumun oleh SPR. Sebelum parlimen  di bubar tersebar pelbagai analisis, pelbagai pandangan  politik dari pelbagai sosok telah kita dengar.

Awalnya di surahkan bahawa Ismail Sabri mahu PRU15 diadakan tahun hadapan. Awalnya kita  membaca bagaimana Ismail cuba menangkis tekanan dari Zahid Hamidi  Presiden United Malays National Organisation yang mahu PRU15 diadakan kelmarin.

Tekanan terhadap Ismail semakin kuat dan semakin dilihat terbuka terutama  sesudah Najib masuk ke penjara Kajang.

Justeru  Zahid yang berhadapan dengan  kes mahkamah merasa dirinya tidak selamat. 

 Apabila Rosmah Mansor didapati bersalah dan dihukum penjara 12 tahun -  Zahid amat yakin  Ismail tidak akan melakukan apa apa untuk menyelamatkan Zahid.

Zahid terus bertindak. Ismail juga terus bertahan.

Apabila Pak Long – nama manja Ismail Sabri  di Pejabat Perdana Menteri –  terbang ke New York – Pak Long telah membawa beberapa orang   Ketua Bahagian dengan harapan ini akan meredakan keadaan. 

Bercanda-canda ke New York – negara yang menggunakan Bahasa Inggeris –  yang Ismail sendiri tidak  cekap – adalah cara  Ismail memujuk  hati Ketua Bahagian yang mungkin akan bersama Zahid untuk memberi tekanan.

Ada kebenaran yang strategik kenapa  Zahid mahu PRU15 diadakan kelmarin. Ini  kerana dia dan kuncu-kuncu yang terlibat dengan kes mahkamah hanya berkemungkinan ‘bebas’ jika kuasa kerajaan jatuh kembali  ke tangan mereka.

Zahid tidak menganggap Ismail ini Perdana Menteri dari United Malays National Organisation. Ramai pemimpin Parti Ketuanan Melayu menganggap Ismail ini hanya PM boneka milik Parti Bersatu. 

Justeru Zahid tidak boleh mengharapkan Ismail sebagai penyelamat. Malah Ismail bertanggung jawab sebagai  Naib Presiden UMNO, juga  Perdana Menteri Malaysia yang berkuasa ketika  Najib Razak bekas Presiden UMNO dan juga bekas Perdana Menteri di masukkan ke penjara.

Ismail gagal menyelamatkan Najib.

Zahid melihat Ismail Sabri perlu diganti melalui PRU15. Ucapan Zahid di Persidangan MIC yang  menular baru-baru ini  itu menjadi bahan bukti.  Adalah sahih bahawa Zahid takut kes rasuah dan salah guna kuasa  pemimpin-pemimpin Barisan Nasional akan terbongkar jika  mereka kalah lagi.

Kalah dalam  PRU15 bermakna lebih ramai pencuri  dan perasuah akan didakwa.

Justeru adalah satu  strategi yang tepat  untuk Zahid mempercepatkan PRU15 kerana pada ketika ini parti-parti lawan masih belum tersusun tuntas.

Justeru adalah juga betul Zahid  memilih musim banjir untuk menjalankan PRU15. Ketika PRN Melaka dan Johor di jalankan ada  serangan virus dari Wuhan.  Serangan virus ini  menakutkan ramai  pengundi untuk keluar mengundi. 

Bila pengundi kurang keluar hasilnya Barisan Nasional menang besar. Kali ini bukan virus yang ditakuti  tapi banjir akan jadi kuasa penghalang ramai pengundi keluar.

Adalah juga tepat untuk Zahid memaksa Ismail membubarkan Parlimen sekarang kerana penangguhan PRU15  ke tahun hadapan akan membawa bala kepada Parti Ketuanan Melayu.

Bala pertama akan sampai apabila  ekonomi dunia akan merudum. Pasti membawa kesan kepada ekonomi Malaysia.

 Bala ke dua perpecahan dalaman Parti Ketuanan Melayu ini sendiri makin meluas.  Perang dalaman dalam parti semakin merebak.

Justeru strategi Zahid mengadakan PRU15 sekarang adalah tepat dan betul untuk Parti Ketuanan Melayu kembali berkuasa. Untuk mereka yang ada kes mahkamah   PRU15 ini memberi ruang untuk tidak perlu singgah  ke Kajang.

Semua tindakan Zahid ini betul dan amat strategik. Maka persoalan yang menunggu jawapan ialah apa langkah-langkah balas  yang wajib diambil oleh Pakatan Rakyat dan kaum kerabatnya.

Saya  pendukung , penyebar dan penganut teori United Front -  kini kita Melayukan  dengan  perkataan Khemah Besar.  Lawan khemah besar ini ialah khemah kecil. 

Di kampung saya di Jelebu  satu ketika dulu bila hendak mengadakan kenduri nikah kahwin maka akan  keluar dailok : Kenduri ni...kito  kono buek kemah bosa biar ramai orang masuk...’

Orang kampung di Jelebu tidak perlu ke Yale  atau ke Oxford Universiti untuk belajar ilmu sains  politik. Pengalaman memasang khemah sudah memadai sebagai ilmu politik. 

Khemah besar membolehkan  ramai tamu kenduri  boleh sama berteduh. Bila konsep khemah besar ini diterjemahkan kepada konsep politik  ianya memberi makna banyak parti politik boleh duduk  bersama.

Sejarah telah membuktikan bahawa hanya dengan strategi khemah besar musuh dapat dialahkan. 

Mari kita  ulang lihat sejarah Perang Dunia Ke Dua. Kuasa besar ketika itu ialah  negara kapitalis Britain dan kapitalis Amerika.  Musuh utama  dua negara kapitalis ini ialah  negara sosialis Rusia.

Muncul Hitler di Jerman, Jeneral Tojo di Jepun dan Mussolini di Itali. Mereka bukan  negara pengamal sistem ekonomi kapitalis dan bukan sistem ekonomi  sosialis.

Jerman, Jepun dan Itali membawa fahaman fasis. Fasis adalah fahaman nasionalis kanan yang ekstrem  dengan pemusatan kuasa dimiliki oleh diktator tentera yang memaksa semua rakyat tunduk akur.

Kaum fasis melihat kaum sosialis dan kaum komunis sebagai musuh utama. Kaum fasis juga  melihat kaum kapitalis yang mengamalkan demokrasi  sebagai musuh.

Awalnya Perang Dunia Ke Dua berlaku perang tiga  penjuru. Kapitalis lawan komunis lawan fasis. Fasis lawan komunis lawan kapitalis. Komunis lawan kapitalis dan lawan fasis.

Akhirnya Amerika  Britain yang bermusuh dengan Rusia bersetuju untuk bekerja sama melawan musuh yang satu.   Presiden Amerika Franklin Roosevelt, Perdana Menteri Britain  Winston Churchill dan Pemimpin Soviet Union Joseph Stalin menggalang United Front dan mendirikan Tentera Bersekutu.

Churchill, Stalin dan Roosevelt – dikenali dalam sejarah sebagai The Big Three. Mereka bersatu  mendirikan  khemah besar untuk melawan  fasis Hitler, Tojo dan Mussolini.

Hasil  Perang Dunia ke Dua ialah kemenangan strategi khemah besar. Dan musuh utama kaum fasis dikalahkan.

Satu lagi contoh yang perlu diulang ingat ialah permusuhan Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kuala kolonial Inggeris. 

PKM melawan  kuasa kolonial Inggeris - dua kumpulan yang bertelagah. Satu mahu merdeka dan satu lagi mahu menjajah. Ini permusuhan dua kelas -  kelas penjajah dan kelas yang dijajah.

Apabila fasis Jepun masuk melanggar  Tanah Melayu. PKM dan kolonial Inggeris bersatu melawan fasis Jepun.

PKM dan kolonial Inggeris mengenal siapa musuh utama mereka.  Mengalahkan musuh utama lebih penting dari bertelagah sesama sendiri. 

Malah sejarah merakamkan bagaimana Inggeris mempayung terjunkan senjata ke dalam hutan untuk kegunaan PKM melawan Jepun.

Satu perkara yang amat jelas ialah mengenal musuh utama. Siapa musuh utama. Siapa musuh sampingan. Siapa kawan seperjuangan dan siapa kawan seperjalanan. Mengenal musuh utama ini penting.

Sun Tzu dalam kitab klasik Seni Perang memberi ingatan :
Kenali dirimu
Kenali musuhmu
Seratus pertempuran
Seratus kemenangan 

Presiden Bersatu  Muhyiddin Yasin telah dengan jelas mengumumkan  bahawa musuh utama Perikan Nasional ialah Barisan Nasional.   

Kenyataan jelas dari Muhyidin ini seharunya dilihat sebagai perintis untuk meneroka  jalan untuk mendirikan khemah besar.

Godfather politik Malaysia – Mahathir Muhamad juga telah secara terbuka menyatakan  yang dirinya tidak ada  apa apa halangan untuk bekerja dengan sesiapa.

Kenyataan   Mahathir ini telah disambut secara positif oleh Anwar Ibrahim. Secara terbuka  Anwar memberi jawapan -  sesiapa jua boleh bekerjasama dengan Pakatan Harapan jika menerima konsep  dan garis  reformasi perjuangan Pakatan.

Dalam politik Malaysia malah dalam politik negara mana pun   strategi banyakan kawan dan kurangkan musuh  adalah rukun pertama berpolitik.

Hanya yang bebal dan gila sahaja yang berpolitik dengan mencari banyak musuh, Perang kiri perang kanan perang depan perang belakang,  Ini  bebal dan sewel politik.

Kenyataan awal dari The Big Three Malaysia – Mahathir, Muhyidin dan Anwar dibaca seperti  cahaya dalam gelap membawa pencerahan.

Tetapi dalam politik tidak semuanya ceteris parisbus.  Suara sumbang pemilik pelbagai agenda mula bersuara yang menyangkal The Big Three.

Pertama bersuara ialah Lim Gua  Eng yang sedang berhadapan dengan kes terowong telah memangkah  kenyataan positif Anwar Ibrahim.

Seperti biasa Anwar Ibrahim menggelabah  dan panik dan  mula bersilat lidah. Seperti lumrah kenyataan yang tepat lagi  benar itu  dikatakan disalah tafsir dan disalah lapor.

Suasana politik yang mula dilihat cerah kini kembali gelap. 

Pada hemat saya PRU15 ini  adalah bas terakhir untuk membawa  Anwar Ibrahim ke Putrajaya. Mahathir dan Muhyidin sudah pernah sampai. Kalau pun kali ini mereka tidak sampai  Mahathir dan Muhyidin tidak akan kecewa.

Apakah Anwar masih ada nafsu berahi untuk menaiki bas terakhir ini bergantung dengan apa yang dia berani lakukan dari hari ini hingga ke hari penamaan calon.

Atau Anwar telah hilang nafsu untuk menaiki bas  akhir ini dan menerima  pakai strategi Nurul Izzah yang mahu Pakatan  kalah dalam  PRU15 untuk tegak berdiri solo suci berprinsip dalam PRU16.

Bas  terakhir ke Putrajaya ini  tidak memerlukan tiket.   Yang diperlukan ialah kebijaksanaan mendirikan khemah besar dan membawa seramai mungkin parti politik masuk ke dalam khemah ini.

Maka diperbuat pantun oleh orang Jelebu:
Maso kocik main galah
Bilo bosa pandai beronang
Kemah kocik jamin kalah
Kemah bosa mungkin monang
Amin. (TT)
,

TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIAKINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/640036

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sama jaaa...bangnon kaaa ..najib kaaa...
Bangmat yg kata hebat sangat
Lepas dia kutuk Mahathir kepala penyamun... dia jadi menteri pertahanan..satu apa pondia tak nampak...siap setpol kena charge

Kah54x

Tanpa Nama berkata...

Manusia gila kuasa ini susah dengar berita pilu, semua harap nak menang tapi cara tak betul, khemah besar betul jamin menang tapi puak puak ini mana mahu dengar, mereka kan pandai segala ilmu dunia, paling pandai sabotaj, tikam, cucuk, budaya orang kita tak kira apa, nak meniaga sama, nak politik sama, nak kawan sama, nak Melayu sama, nak islang sama, acuan sama kah kah kah

Tanpa Nama berkata...

Kemah Bosa boleh, jangan kencing lagi sudah le mcm PRU14. Yg kaki kencing Big Two, Atok dan Yidin dgn Sheraton Move. Engkau pun hadir dgn geng Jemin Semburit nak sabotaj Kongres PKR. Rafizi, Nurul dan Rais Husin kata boleh kemah bosa tanpa Atok dan Yidin.