Isnin, 24 Oktober 2022

LANGKAH BAIK UNTUK MALAYSIA


Sabah sokong cadangan BN wujud 3 jawatan TPM

KERAJAAN Sabah menyokong cadangan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan tiga jawatan timbalan perdana menteri (TPM), masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung sekiranya parti itu menang dominan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata ia satu cadangan yang baik kerana membolehkan seorang wakil pemimpin dari Sabah dilantik bagi memegang jawatan itu kelak.

“Kita akan cari yang betul-betul boleh tahan (calon pemimpin yang benar-benar layak sebagai TPM),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra sempena sambutan Hari Deepavali anjuran kerajaan Sabah dan Dewan Perniagaan India Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Semalam, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan tiga jawatan TPM masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung diwujudkan jika parti itu menang dominan pada PRU15.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya cadangan berkenaan dimasukkan dalam manifesto BN dan GPS pada PRU15.

Sementara itu, Hajiji ketika diminta mengulas mengenai perjumpaan tertutup bersama Ismail Sabri semalam berkata, perjumpaan itu berlangsung dengan baik dan kedua-dua parti iaitu GRS serta BN akan bekerjasama pada PRU15.

Beliau berkata, kedua-dua parti juga komited memastikan kerjasama berkenaan akan menjadi kekuatan kepada kerajaan Sabah memandangkan ia dibentuk antara GRS dan BN selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada September 2020.

Mengenai pembahagian kerusi antara GRS dan BN bagi PRU15, Hajiji berkata ia sudah selesai dan senarai calon bertanding pada pilihan raya itu akan diumumkan tidak lagi.

“Kita akan mengumumkannya beberapa hari sebelum penamaan calon,” katanya. – Bernama, 24 Oktober, 2022.

LANGKAH BAIK

UNTUK IKAT

KERJASAMA

SABAH SARAWAK

SEMENANJUNG

AMIN

MASANYA DAHA

SAMPAI

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: