Sabtu, 8 April 2023

AMPUNKAN NAJIB - KERAJAAN RUNTUH




Apakah isu pengampunan Najib boleh menimbulkan keretakan Kerajaan Perpaduan?


UMNO telah menggerakkan satu momentum kuat untuk memohon Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan pada Najib Razak, bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri.

Adakah momentum tersebut akan mengwujudkan keretakan di dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan? Pada pandangan saya jawapannya tidak.

Mengapa tidak? Kerana pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan.

Adakah Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri berada di dalam keadaan tertekan dan dilema untuk menasihati Agong sama ada untuk memberi pengampunan ataupun tidak kepada Najib?

Soalan ini tidak relevan dan tidak berbangkit. Perkara 42(4) (a) dibaca dengan Fasal (3) Perkara 40 menyatakan Agong bertindak dalam hal pengampunan itu selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan.Ini bermakna nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri tidak diperlukan.

Anwar berada di dalam keadaan selamat dan kerajaan pimpinannya selamat dalam badai yang datang bersama momentum usaha pengampunan Agong yang digerakkan oleh Umno jika Anwar sebagai Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya mengambil sikap mematuhi doktrin pengasingan kuasa iaitu tidak campur tangan dalam bidang kuasa Agong untuk menangani isu pengampunan tersebut mengikut peruntukan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang cukup jelas dari Fasal (1) hingga Fasal (13).

Adakah Najib berhak memohon pengampunan Agong?

Permohonan pengampunan Najib itu telah pun difailkan pada Ogos tahun 2022 sebaik selepas keputusan Perbicaraan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan. Perkara 42(2) menyatakan bahawa Agong boleh menjalankan kuasa pengampunan jika hukuman telah dijatuhkan oleh Mahkamah.

Ini bermakna Agong boleh memberi pengampunan kepada Najib dalam kes rasuah SRC International yang melibatkan RM42 juta kerana mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Tetapi Najib ada tiga kes lain yang berasingan yang belum selesai iaitu pertama, kes rasuah 1MDB membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion; kedua, kes pengubahan wang haram SRC International berasingan melibatkan RM27 juta; dan ketiga, kes pecah amanah International Petroleum Investment Companya (IPIC) bernilai RM 6.6 bilion.

Dalam tiga kes yang di atas, yang belum selesai perbicaraan di mahkamah maka Agong tidak ada kuasa untuk memberi pengampunan.

Ada hikmahnya dalam kuasa pengampunan ini bahawa Perdana Menteri tidak ada kuasa menasihati Agong untuk mengambil sesuatu tindakan di bawah Perkara 40(1) iaitu yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. Perkara ini tidak terpakai dalam hal pengampunan diraja. Peruntukan ini menyelamatkan Perdana Menteri dari desakan dan asakan Umno supaya Najib diampunkan.

Jika Perdana Menteri Anwar dan Kabinet pimpinannya tidak berperanan dalam hal pengampunan diraja ini, jadi bagaimana usaha dan prosedur pengampunan diraja ini boleh dijalankan?

Perkara 42(4)(b) menyatakan dengan jelas bahawa Agong menjalankan kuasa pengampunan itu mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan mengikut Fasal (5) Perkara 42.

Di bawah Perkara 42(5) Lembaga Pengampunan terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab (Perkara 42(11)) dan tidak lebih daripada 3 orang anggota lain yang dilantik oleh Agong.

Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab di bawah Perkara 42(11) itu bukan Perdana Menteri tetapi Menteri Dalam Negeri. Ini membebaskan Anwar sebagai Perdana Menteri dari beban memutuskan soal pengampunan diraja itu.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah besar dalam soal pengampunan ini. Misalnya Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Agong dan Agong hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu (Perkara 42(8)). Isu yang berbangkit adakah Lembaga Pengampunan telah bermesyuarat sedangkan Najib Razak telah memfailkan permohonan pengampunan sejak Ogos tahun 2022 dan kes semakan keputusan Mahkamah Persekutuan telah ditolak pada 31 Mac 2023 dengan keputusan 4-1?

Ini bermakna “bola di gelanggang” Lembaga Pengampunan. Maka logiklah jika Umno telah menggerakkan momentum memohon Agong memberi pengampunan kepada Najib dengan “by-pass” Perdana Menteri kerana Perdana Menteri tiada kuasa dalam hal pengampunan diraja ini.

Jadi Anwar selaku Perdana Menteri tidak boleh dipersalahkan jika proses pengampunan ini lambat atau cepat. Anwar juga tidak boleh di persalahkan jika pengampunan dibenarkan ataupun ditolak. Jika doktrin pengasingan kuasa dihormati dan dipatuhi maka kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan pimpinannya akan selamat dari diganggu-gugat. – 8 April, 2023.

*Hassan Abdul Karim,
Ahli Parlimen Pasir Gudang 
dan Peguambela dan Peguamcara.

NAMPAKNYA

JIKA NAJIB

DIAMPUNKAN

KERAJAAN AKAN

RUNTUH

KHALAS

Tiada ulasan: