Khamis, 1 Jun 2023

ADA APA PADA NAMA


ADA APA PADA NAMA


Isu kalimah Allah membakar perasaan kaum, bangsa dan agama.  Terbukti  amat senang dinaikkan suhunya. Para politikus, Ustad YouTube, pendakwah segala bentuk, NGO segala macam – senang mengambil kesempatan untuk mencari pengaruh dalam suhu yang panas.

Suhu panas membawa suasana tegang. Cuaca tegang mewujudkan  peluang dan kesempatan. Masing-masing ada tujuan. Politikus mengembang nama untuk meraih  undi dan kedudukan. Ustad YouTube sambil berlabun sambil menayangkan akaun bank. Manakala aktivis NGO untuk dilihat berpengaruh untuk terus melamar dana.

Ada juga yang  menumpang semangkuk untuk membuktikan  bahawa keislaman mereka juga tebal dan pantang dicabar.

Semua ada kepentingan dalam isu kalimah Allah.

Hakikatnya  dalam konteks budaya politik Malaysia semua ini dipasak oleh kuasa.  Di belakang kuasa ini ada ringgit dan dinar. Jelas ekonomi adalah jurumudi  semua ini.

Isu kalimah Allah terus menjadi peluru untuk menembak musuh politik dan mengembang pengaruh.

Ketika saya menggarap tulisan ini isu kalimah Allah ini telah reda.  Dalam keredaan ini  saya membawa pencerahan dengan  menimbulkan beberapa perkara yang wajib di ketahui oleh Bani Melayu.

Perkara-perkara ini tercegat berdiri – pergi tersepak pulang terlanda. Tapi perkara ini  bukan macam telor hilang di pasaran -  satu negara heboh. Perkara yang hendak saya utarakan ini tidak dihebohkan.  Malah tidak pernah dibincangkan.

Mukadimah saya mengenai nama Allah maka pastilah perkara yang saya timbulkan disini juga bersangkutan dengan perkara yang sama.  

Saya berpendapat  bahawa kalimah Allah ini menjadi kontroversi hanya di kalangan Bani Melayu. Kontroversi ini hanya berlaku dikalangan  Bani Melayu di Semenanjung. Bani Melayu di Sumatera, di Jawa atau di Sulawesi – semua tidak ambil pot.

Malah di bumi Arab – negara  asal usul  Allah -   tidak pernah terjadi kontroversi seperti yang telah, yang sedang dan yang akan berlaku di Semenanjung Malaysia.

 Allah  asal usul nama tuhan Arab.  Justeru Arab Islam, Arab Kristian dan Arab Ateis sedang menggunakan kalimah ini dalam Masjid, dalam Gereja atau dalam buku dan majalah. Termasuk dalam perbualan harian mereka.

Arab  Islam tidak pernah klim Allah ini hanya tuhan mereka. Menafikan hak Arab yang lain.  Arab Islam tidak memonopoli kalimah Allah.

Melarang dan menghalang penggunaan satu-satu kalimah  atau perkataan atau konsep ini dilihat  tidak masuk akal. 

Satu ketika dahulu di Amerika  tempat duduk dalam bas hanya khas monopoli  untuk yang berkulit putih sahaja. Atau di Afrika Selatan -  kolam mandi ini hanya untuk yang berkulit putih. Monopoli dan eksklusif ini tidak bertahan lama. Akhirnya semua  terbarai. 

Apa yang hendak saya timbulkan dalam tulisan ini sikap monopoli dan eksklusif  Bani Melayu Semenanjung. Sikap - orang lain semua tak boleh  – hanya Bani Melayu Semenanjung saja yang boleh. 

Dengan wujudnya  sikap ini maka saya mahu bertanya. Apa akan terjadi kepada Bani Melayu Semenanjung jika ada agama lain dari Islam, jika ada bangsa lain dari bani Melayu Semenanjung  yang memiliki sikap   ‘eksklusif tamak haloba ‘ terhadap satu kalimah atau satu-satu konsep.

Apa akan terjadi jika  penganut agama Hindu  di Malaysia pergi ke mahkamah dan meminta mahkamah membuat keputusan untuk melarang Bani Melayu Semenanjung menggunakan kalimah syurga, neraka,  bidadari, dosa dan pahala. 

Apa agaknya akan terjadi ? Amin.

Syurga yang difahami dan dilafazkan  oleh Bani Melayu datang  dari kalimah  Svarga dari bahasa Sanskrit.   Konsep dan kalimah ini adalah ganjaran satelah kita mati. Ganjaran  nikmat yang kita terima kerana ketika di dunia kita menjadi sosok yang baik.

Manakala kalimah Naraka   di Melayukan menjadi kalimah neraka. Kalimah ini  di asosiasi kan dengan api yang selalu kita dengar dari Ustad YouTube. Naraka  adalah kalimah Sanskrit dari agama Hindu yang membawa konsep balasan ke atas kita satelah kita mati kerana di atas  dunia kita gagal berbuat baik.

Manakala Dosa membawa konsep kebencian. Dalam konteks Islam dosa ialah perbuatan-perbuatan yang melanggar hukum agama.

Pahala dalam bahasa Sanskrit ertinya buah. Ini adalah ganjaran apabila kita melakukan kebaikan. Kita diberi ‘ buah’ oleh Allah.

Dalam  Syurga Inderaloka  kita bukan hanya diberi buah oleh Allah  – kita juga akan dapat  Bidadari. 

Kalimah Bidadari asal  Sanskrit ialah Dewanagari memberi makna penyampai atau penghubung antara manusia  dengan Dewa. Kita  Melayukan menjadi bidadari. Konsep Hindu ini  ditambah pula dengan konsep Arab yang membawa konsep  anak  dara jelita untuk kita tiduri dalam syurga.

Apa akan terjadi  sekiranya penganut agama Hindu melarang Bani Melayu Semenanjung menggunakan kalimah dosa, pahala, syurga dan neraka.

Mereka melarang kerana dalam hujah mereka penggunaan kalimah-kalimah ini oleh yang bukan Hindu akan menggugat dan mengancam akidah Hindu mereka. Mereka jadi keliru. Kalimah-kalimah ini tidak diketahui mana benar yang mana palsu.

Mereka juga mahu agar makna dan konsep kalimah asal itu tidak di campur aduk. Dewanagari sebagai penyampai antara manusia dengan dewa bukan anak dara untuk ditiduri.
 
Apa akan terjadi jika penganut agama Hindu  melarang Bani Melayu   Semenanjung menggunakan kalimah  bidadari. Mustahil konsep kalimah  bidadari ini boleh diganti dengan  Minah Cun atau Pretty Lady mengikut kata Sai Gangnam  Style

Perlu juga  diberitahu bahawa konsep dan kalimah agama itu sendiri  berasal usul dari Sanskrit. Agama bererti tradisi. Gama bermaksud pergi  menuju.

Hu la la apa akan terjadi apabila kalimah Agama  dimonopoli dan di eksklusif kan oleh penganut Hindu.  Apa kalimah yang akan Bani  Melayu Semenanjung guna pakai untuk menggantikan perkataan agama. Amin.

Amin dalam tulisan ini adalah Amen  yang juga berasal dari bahasa Hebrew. Kalimah   Amen ini membawa makna sahih dan benar. 

Pencerahan  asal usul kalimah-kalimah ini   seharusnya menyedarkan Bani Melayu Semenanjung bahawa dalam upacara kepercayaan  agama yang mereka pakai telah ada pelbagai pengaruh telah melintas masuk.

Kalimah dan konsep ini membawa makna bahawa agama ini bukan satu yang baru untuk Bani Melayu.  Agama ini telah wujud sebelum sampainya peniaga Arab ‘ yang tunggang tunggit ‘ mengikut Sejarah Melayu di Kota Melaka.

Sebelum  peniaga Arab sampai Bani Melayu telah  ada Dewata Mulia Raya. Ini nama  tuhan asal Bani Melayu  Semenanjung.

Wujudnya  Tuhan Melayu bernama  Dewata Mulia Raya  dibuktikan dengan  Batu Bersurat Terengganu yang ditemu pada tahun 1887. Batu Bersurat ini berumur 700 tahun.

Sila baca penampang depan Batu Bersurat ini.

RasululLah dengan yang arwah santabi mereka
Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam.
Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya.
Di Benuaku ini penentu agama RasululLah sallalLahi wassalama raja.
Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam
Bumi penentuan itu fardhu pada sekalian Raja Manda
 Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.
Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka.
Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama ada.
Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala.
Baginda RasululLah telah lalu tujuh ratus dua

Jelas Bani Melayu  700 tahun dahulu tidak memiliki  sikap monopoli atau eksklusif.  Perjanjian dalam Batu Bersurat Terengganu itu membuktikan sikap Bani Melayu yang terbuka dan selesa  menerima Tuhan Arab.

Batu Bersurat ini menjadi bahan bukti bahawa konsep syurga, neraka, pahala, bidadari telah wujud sebelum Tuhan Arab sampai yang dibawa oleh peniaga Islam dari Arab atau  dari India ke Melaka..

Bani Melayu  Semenanjung jangan lupa dari mana asal usul kita.  Lembah Bujang  dengan candi-candi adalah bukti bahawa  Bani Melayu Semenanjung satu ketika dulu ada agama dan ada Tuhan sendiri.  Bukan  Shiva bukan Rajnesh tapi Dewata Mulia Raya.

Bani Melayu  700 tahun dahulu  menganut agama Hindu  yang dibawa dari Bharat.

Bharat? Apa itu Bharat Dimana Bharat. 

Bharat itu ialah nama  asal benua  India.  Dari Bharat ini wujud konsep penunjuk arah dalam Bahasa  Melayu  -    timur, barat, utara, selatan. 

Apa yang hendak  diterangkan disini ialah kalimah dan bahasa hidup bergerak. Ianya memiliki nafas dan nyawa sendiri. Tidak ada hukum hakam yang boleh mengawal penyebaran  kalimah  dan konsep.

Alam semesta ini adalah milik anak semua bangsa. Kalimah  pengucapan itu adalah milik anak semua negara. Amin. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
THE MALYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/445339





Tiada ulasan: