Rabu, 15 Mei 2024

LAWAN ZIONIS KENA PANGGIL POLIS


KENYATAAN 

MEDIA


1. Pada Selasa lalu, 7 Mei 2024, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) telah mengadakan sidang akhbar di pintu masuk MITEC. Sidang akhbar itu menyuarakan bantahan kami terhadap kehadiran beberapa pengeluar senjata terkemuka yang bersubahat dalam pembunuhan genosida di Gaza. Kami merakamkan kekecewaan terhadap penganjur NSA-NatSec 2024 kerana mengundang firma seperti Lockheed Martin, BAE dan lain-lain yang terkenal kerana membekalkan senjata maut kepada tentera Israel. 

2. Kami percaya penyertaan mereka menjadi cemuhan kepada usaha solidariti rakyat Malaysia bersama Palestin. Kekhilafan itu telah merosakkan reputasi Kerajaan sebagai penyokong kuat perjuangan Palestin. Penganjur NSA-NatSec mesti menerima tanggungjawab dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama.

3. Kami menggesa satu langkah komprehensif untuk tegas memutuskan Malaysia daripada sebarang hubungan dengan pembunuhan genosida Zionis. Kami menggesa Kerajaan untuk lebih berhati-hati dan waspada untuk memastikan semua operasinya secara konsisten selaras dengan dasar menyokong Palestin.  

4. Beberapa aktivis solidariti Palestin yang menghadiri sidang media pada 7 Mei telah dipanggil polis untuk soal siasat di IPD Sentul. Siasatan terhadap para aktivis nampaknya merupakan satu bentuk gangguan, dan bertentangan dengan prinsip kebebasan berhimpun secara damai. 

5. Di pentas antarabangsa, Kerajaan Malaysia dipuji kerana berani menyatakan sokongan terhadap gerakan pejuangan Palestin. Jelas, sebarang upaya menyekat protes anti-genosida di dalam negari adalah bertentangan dengan semangat solidariti bersama Palestin.

6. Baru-baru ini kita juga mengesan peningkatan pergerakan diplomatik oleh kuasa asing tertentu yang bertujuan melemahkan pendirian pro-Palestin Malaysia. Sebagai negara berdaulat, Malaysia bebas menentukan dasar luar dan rakan perdagangan kita sendiri. Kami melihat kunjungan baru-baru ini oleh delegasi Perbendaharaan Amerika Syarikat sebagai tindakan tersirat campur tangan dalam hal ehwal domestik kita. Ancaman sekatan atas tuduhan pembiayaan "pengganas" mendedahkan satu sikap keangkuhan. Amerika membekalkan senjata dan kewangan sewenang-wenangnya kepada Israel. Adalah sangat hipokrit bagi penaja kewangan keganasan terbesar untuk menuding jari kepada orang lain. 

7. Kerajaan AS tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan terus-menerus membelakangkan nilai-nilai kemanusiaan asas. Malaysia tidak boleh tunduk kepada ugutan Amerika Syarikat. SSP menggesa Kerajaan Anwar Ibrahim berdiri teguh mempertahankan kedaulatan dan maruah tanah air kita.  

SSP 15/5/2024

Tiada ulasan: