PENDATANG
DAN
PENDATANG HARAM
Perkataan pendatang ini jika ianya berdiri sendiri tidak dianggap mengancam. Awal wahid perkataan pendatang ini hanya memberi makna sosok yang baru sampai dari mukim, kariah dan daerah yang lain.
Sosok baru ini berhijrah dan mungkin menetap di wilayah baru ini kerana mencari makan atau berkahwin.
Tapi di Negeri Sembilan jangan tersilap dengan konsep Orang Semenda. Konsep ini membawa makna sosok lelaki dari daerah atau kampung luar yang datang bernikah dengan gadis wanita tempatan.
Sosok Orang Semenda tidak pernah di anggap atau di takrif sebagai pendatang walau dari ceruk mana pun asal usulnya.
Hakikatnya Si Pendatang berhijrah ke tempat yang bukan tanah tumpah darah asal usul atau tempat nenek moyang mereka.
Kampung saya ialah Kampung Chenor di Jelebu. Kampung ini di buka oleh Datuk saya ratusan tahun dahulu. Bila ada pendatang dari Kampung Chennah atau Kampung Ulu Jelebu duduk di kampung kami - mereka ini di tafsir sebagai pendatang walau pun dari daerah Jelebu yang sama.
Jika mereka dari Tampin atau Bahau atau Batu Kikir – datang tinggal di daerah Jelebu mereka juga di anggap dianggap pendatang.
Hari ini kita terbaca berita yang memperlihatkan wujudiah para pendatang ini sebagai mengancam.
Jika ada pendatang dari Pulau Jawa, dari Acheh, atau dari Medan atau dari Jambi - mereka akan di anggap pendatang. Tapi tidak dianggap mengancam.
Mereka datang ke tempat daerah baru ini sebagai perantau mencari rezeki. Lama kelamaan mereka menjadi sebati dan di anggap anak watan walau pun susur galur asal usul dari wilayah yang lain.
Ini kerana mereka semua dari satu suku bangsa yang di panggil Melayu. Lama kelamaan mereka akan sebati dengan budaya tempatan. Malah asal usul mereka – keMelayuan mereka – memberi jaminan bahawa mereka akan berasimilasi dan menjadi seperti anak watan.
Pendatang dari Pulau Jawa, dari Acheh atau dari Minang jelas di kenali Kejawaan, Keminangan atau Keachehan mereka. Mereka semuanya diterima dengan hati terbuka. Ini kerana mereka berasal dari rumpun yang sama. Semua berasal usul dari Bani Melayu.
Mereka pada awalnya di kenali sebagai Pendatang Orang Luar yang lama kelamaan menjadi Pendatang Orang Kita.
Sebenarnya konsep sempadan, negara , pasport dan ke rakyataan warga negara ini semuanya perkara dan konsep baru. Konsep dan istilah ini wujud pasca kolonial. Definisi kewarganegaraan moden ini di wujudkan oleh kuasa kolonial.
Penjajah mewujudkan semua konsep ini untuk menjarah dan mentadbir.
Bumi Melayu Nusantara ini di pecah perintah demi memudahkan pemunggahan harta kekayaan untuk kuasa kolonial.
Bumi Melayu Nusantara - Jawa dan Sumatera terpisah pada tahun 1824 melalui Anglo-Dutch Treaty atau Treaty of London. Kemudian 4 wilayah Melayu di Utara Semenanjung - Yala, Patani, Satun dan Narathiwat di pisahkan dari Semenanjung Tanah Melayu melalui Anglo-Siamese Treaty 1909.
Hakikatnya Nusantara Melayu Raya – di pecah untuk mudah di perintah oleh kuasa kolonial.
Kuasa hegemon pada era kolonial ialah Inggeris yang bersaing dengan Belanda dan Perancis. Justeru apa yang di kenali sebagai Indonesia jatuh ke bawah kuasa Belanda. Manakala Laos. Vietnam dan Kemboja di bawah takluk Peranchis.
Siam menjadi negara pemisah yang tidak menemukan Inggeris dengan Peranchis. Ini sama seperti peranan Belgium di Eropah tidak menemukan German dengan Peranchis dalam garis sempadan yang sama.
Untuk memastikan harta kekayaan Tanah Melayuu dapat di maksimumkan kuasa kolonial Inggeris telah membawa masuk buruh dan kuli dari India dan China.
Jelas warga India dan China ini adalah pendatang. Mereka tidak memiliki apa-apa pertalian dengan Melayu atau Nusantara.
Kuasa kolonial Inggeris yang membawa datang China dan India secara licik telah mengubah nama bumi ini dari Tanah Melayu menjadi Malaya. Ini untuk memastikan bumi ini bukan lagi Tanah Melayu khusus milik Bani Melayu.
Bila projek Malaysia menetas dari dalam reban Inggeris maka Malaya diubah menjadi Malaysia. Malaya dan Malaysia ini tidak memiliki apa apa makna hakiki seperti Tanah Melayu.
Mengubah nama Tanah Melayu – tanah milik Melayu ini - kepada Malaya atau Malaysia sama seperti mengubah nama Scotland – Tanah milik Scot – kepada Wungland. Atau mengubah nama Finland – Tanah milik Finn kepada Dungland. Nama baru yang tidak memiliki apa-apa makna persejarahan.
Maka dari persejarahan mengubah nama Tanah Melayu ini muncul konsep Malaysian Malaysia yang diajukan bukan oleh anak watan tetapi oleh Pendatang.
Konsep Malaysian Malaysia ini bertujuan jelas untuk mencairkan semangat , darah dan kesedaran Melayu sebagai pemilik asal Tanah Melayu.
Saya menimbulkan isu pendatang ini kerana di kebelakangan ini hampir setiap hari media kita ada membuat laporan tentang pendatang dan PATI . Ada serbuan dan tangkapan terhadap pendatang dan PATI. Ada operasi menangkap dan memeriksa status pendatang.
Dulu kita gunakan konsep Pendatang Haram untuk mereka yang menyeludup masuk ke Malaysia. Kini dilunakkan dengan perkataan PATI. Ini singkatan Pendatang Tanpa Izin. Hakikatnya sama – mereka adalah pendatang haram atau dalam bahasa Inggeris di panggil illegal immigrants.
Akhir-akhir ini kita selalu membaca tentang pendatang haram Rohingya. Mereka di buru di sana sini. Kita juga terbaca bagaimana kapal Rohingya yang mahu mendarat di Acheh telah di halau keluar kembali ke Lautan Hindi.
Kita juga di beri tahu oleh media bahawa di Semenanjung ini telah ada lebih dari 300 ribu pendatang Rohingya.
Ketika PDRM dan JIM Jabatan Imigresen - menjalan operasi kita terbaca juga ada warga Bangla, Myanmar, India dan warga Indon yang termasuk ke dalam jala yang sama.
Kita di Malaysia ini masih belum reda dengan isu pendatang dari India da China walau pun mereka telah di baca dan di takrif sebagai rakyat Malaysia.
Warga India dan China telah datang berpuluh tahun dan berjenerasi ke Tanah Melayu masih dilihat oleh Bani Melayu sebagai pembawa masalah. Isu China , Melayu dan India ini belum di lihat mengenap dan reda.
Mei 13 atau 13 Mei itu masih lagi tarikh keramat untuk Bani Melayu. Kiyai Salleh dan Selempang Merah di Muar terus menjadi rujukan Bani Melayu. Kini masuk pula pendatang Rohingya, Bangla Myanmar ke dalam badan politik Tanah Melayu.
Sebenarnya isu pendatang ini bukan...saya ulang.. bukan hanya melanda Malaysia.
Di Amerika Presiden Trump sedang berhadapan dengan pendatang haram dari pelbagai pelusuk dunia. Di United Kingdom isu pendatang ini sedang hangat di bincang. Malah masalah pendatang haram ini sedang menjadi agenda politik numero uno di Eropah.
Di German pendatang dan pendatang haram kini menjadi isu perbualan nasional. Hampir semua negara Kesatuan Eropah – Peranchis, Itali, Ireland, Belgium dan Belanda sedang berhadapan dengan masalah pendatang dan pendatang haram.
Malah di Afrika Selatan gerakan menghalau pendatang haram dari Ghana, Nigeria atau Kenya sedang berjalan. Rumah dan tempat kediaman pendatang bakar. Pendatang – walau pun berkulit sama hitam – masih di lihat sebagai pembawa masalah.
Jika di Berlin atau di Rom atau di Paris pendatang haram berkulit hitam. Jelas berbeza dari anak watan yang berkulit putih. Kulit hitam ini boleh di tafsir membawa takut. Tetapi di Pretoria , di Johannesburg atau di Cape Town – yang di gasak juga berkulit hitam.
Hakikatnya masalah pendatang dan pendatang haram ini bukan hanya warga kulit. Hakikatnya bukan kita di Malaysia saja berhadapan dengan pendatang dan pendatang haram. Hampir seluruh dunia sedang berhadapan dengan masalah ini.
Apakah ada jalan selesai? Sebelum kita mencari jalan penyelesaian kita wajib memahami secara dalam dan tuntas tentang pendatang dan pendatang haram. Sila tunggu minggu hadapan. Amin (TT)
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/780537










Tiada ulasan:
Catat Ulasan