Rabu, 2 September 2026

AL- FATIHAH


AL-FATIHAH

AMIN




Keluarga Nepal adakan pengebumian simbolik bagi jasad mangsa belum ditemui


KATHMANDU: Selepas berhari-hari mencari mangsa di pusat perlindungan dan bilik mayat, ramai keluarga di Nepal mengadakan upacara pengebumian simbolik semalam.

Walaupun jasad belum ditemui, upacara itu diadakan bagi 'membebaskan roh' insan tersayang yang masih hilang sejak banjir dahsyat melanda minggu lalu.

Pekerja kecemasan, pegawai dan penduduk di Tibet turut mengadakan upacara memperingati mangsa semalam bagi mengenang mereka yang maut dalam tragedi tanah runtuh besar minggu lalu, lapor media kerajaan China.

Gyirong, daerah paling teruk terjejas di Tibet, mengadakan beberapa upacara memperingati mangsa termasuk di lokasi operasi menyelamat, lapor agensi berita rasmi China, Xinhua.

"Pasukan penyelamat, pegawai tempatan dan penduduk berdiri bertafakur dalam kesunyian bagi berkabung untuk mangsa," menurut laporan itu.

Rakaman yang disiarkan stesen televisyen kerajaan, CCTV, menunjukkan anggota tentera, doktor dan petugas penyelamat menundukkan kepala ketika bertafakur selama seminit.

Petugas kecemasan turut dilihat berdiri di sisi jentera pengorek dan sungai berlumpur yang airnya melimpah sebagai tanda penghormatan kepada mangsa.

Hampir 4,000 orang masih hilang di Nepal selepas glasier di Himalaya runtuh di sempadan China, menyebabkan air sejuk beku bersama lumpur dan serpihan mengalir deras seperti tsunami dan meragut lebih 1,000 nyawa di rantau berkenaan.

Pihak berkuasa sudah menemukan lebih 1,000 mayat, namun hanya sebahagian kecil berjaya dikenal pasti, menyebabkan bilik mayat di Nepal yang sememangnya terhad semakin penuh.

Bank data DNA mayat dan anggota badan mangsa yang ditemui turut diwujudkan bagi membolehkan keluarga mengesahkan proses mengenal pasti anggota keluarga masing-masing.

Angka rasmi menunjukkan 16 orang maut di China, manakala 546 lagi masih hilang selepas banjir melanda beberapa kawasan di Nepal dan Tibet pada Rabu lalu, menghanyutkan seluruh kampung.

Dengan sekurang-kurangnya 987 kematian dilaporkan di Nepal, jumlah keseluruhan mangsa yang maut dalam bencana itu kini melebihi 1,000 orang.

Tibet, wilayah autonomi China, sebahagian besarnya tidak boleh dimasuki wartawan asing, menyebabkan laporan bebas mengenai skala sebenar bencana itu sukar dilakukan.

Xinhua melaporkan pasukan penyelamat China bekerja tanpa henti semalam untuk membuka semula lebuh raya utama supaya bekalan kecemasan dan petugas dapat sampai ke pos sempadan Pelabuhan Gyirong.

Tanah runtuh itu menyebabkan bekalan elektrik terputus dan merosakkan sebahagian lebuh raya, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat, tambahnya.

Pakar memberi amaran kawasan Gyirong mungkin dilanda hujan lebat dalam beberapa hari akan datang.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, berkata negara itu dijangka menghantar kumpulan kedua bantuan ke Nepal semalam.

"Ia termasuk dron, peralatan ujian DNA, peralatan penyulingan air dan pencahayaan, selain bekalan lain yang amat diperlukan Nepal.

"China akan terus berdiri teguh bersama Nepal dan bekerjasama untuk mengharungi masa sukar ini, selain menunjukkan persahabatan antara negara jiran melalui tindakan nyata," katanya kepada pemberita dalam taklimat media. - AFP

Tiada ulasan: