BERSIH WAJIB
SUSUN DEMO
SAMBUT NAJIB
KHALAS
KUALA LUMPUR: Najib Razak perlu menyelesaikan baki hukumannya di penjara dan bukan menjalani tahanan di rumah, kata Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Asraf Sharafi.
Asraf yang mewakili 47 pertubuhan masyarakat sivil dan belia serta badan pelajar berkata, justeru mereka membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha Lembaga Pengampunan untuk memberikan tahanan di rumah kepada bekas Perdana Menteri itu, dalam mesyuaratnya esok.
"Beliau (Najib) perlu menjalani baki hukumannya di penjara.
"Mengapa kes beliau diberi keutamaan sedangkan ramai banduan biasa masih menunggu peluang untuk memohon pengampunan?
"Najib sudah menerima pengurangan hukuman pada Februari 2024 daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta," katanya kepada pemberita di pejabat BERSIH di Petaling Jaya, hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dilapor mengesahkan Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat esok, namun enggan mengulas sama ada permohonan Najib akan dibincangkan.
Hannah dipetik berkata, beliau ialah antara individu dipanggil menghadiri mesyuarat pada jam 8.30 pagi itu, namun enggan mengulas lanjut.
Menegaskan lanjut, Asraf berkata, pemberian tahanan di rumah ataupun pengampunan kepada Najib dilihat tidak praktikal selagi bekas Presiden UMNO itu masih berdepan beberapa kes mahkamah berprofil tinggi lain, termasuk pertuduhan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih berjalan.
Beliau turut menekankan bahawa pemberian layanan istimewa kepada individu berprofil tinggi, akan mewujudkan dua darjat yang berbahaya serta menjejaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
"Negara tidak boleh memberi isyarat bahawa golongan elit politik boleh mengambil jalan pintas untuk mengelak hukuman, sedangkan rakyat biasa berdepan sepenuhnya kekuatan undang-undang.
"Membenarkan tahanan di rumah atau pengampunan kepada Najib, boleh mencabar nilai moral masyarakat, selain memberi mesej bahawa wang serta kuasa menentukan apa yang betul dan apa yang salah," katanya.
Beliau berkata, ratusan ribu rakyat Malaysia yang menuntut pertanggungjawaban berhubung skandal 1MDB, berhak untuk tidak dikhianati.
Ketika ditanya tindakan seterusnya jika Najib mendapat pengampunan, Asraf berkata, pihaknya perlu membincangkan perkara itu terlebih dulu.
"Jika terdapat keputusan berbeza selepas Jumaat ini, sama ada Najib dibebas atau diberikan pengampunan penuh, kami akan membincangkannya dan tidak menolak sebarang kemungkinan untuk mengambil tindakan.
"Namun, biarlah keputusan itu dibuat terlebih dulu dan hanya selepas itu, kami akan mengumumkan tindakan seterusnya," katanya.
Beliau berkata, mesej mereka jelas, iaitu Najib perlu kekal menjalani hukuman di penjara.
"Pesanan kami kepada sistem keadilan ialah jika individu paling berkuasa yang mempunyai pengaruh besar, disabitkan kesalahan dan didakwa merompak berbilion ringgit, tiba-tiba diberikan pengampunan, bagi kami itu adalah tidak adil," katanya.
Ditanya sama ada pihaknya berkemungkinan turun ke jalanan untuk mengadakan demonstrasi pula, Asraf berkata, mereka tidak menolak sebarang kemungkinan.
Sementara itu Presiden Liga Rakyat Demokratik, Hamdin Nordin, berkata kumpulan berkenaan sedang menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal yang didakwa sebagai 'Mafia Korporat'.
"Bagi isu RCI, kami akan meneruskan kempen itu, namun ia akan dilakukan menerusi sidang media berasingan.
"Seperti isu-isu lain, kami akan menghantar jemputan kepada media kemudian untuk mengumumkan sebarang tindakan yang kami akan ambil berhubung perkara itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan