Ahad, 4 Oktober 2026

OMBAK KANAN DAN KEGAGALAN LIBERAL DEMOKRASI


OMBAK KANAN

DAN KEGAGALAN

LIBERAL

 DEMOKRASI


Dengan penuh teliti saya perhatikan bagaimana perubahan  politik sedang berlaku di Eropah.  Satu demi satu negara Eropah beralih garis politik – dari kiri yang progresif ke  kanan yang mengancam.

Negara Nordic : Sweden, Denmark, Norway, dan Finland – negara-negara contoh  kejayaan demokrasi dan liberal demokrasi kini beralih dari garis liberal demokrasi ke  garis politik kanan.

Ketika saya menggarap tulisan ini Sweden  yang baru mengadakan pilihanraya telah gagal mendirikan kerajaan.

Pemimpin pembangkang berhaluan garis politik  tengah-kiri Sweden, Magdalena Andersson, mengumumkan pada 28 September 2026 bahawa beliau tidak dapat membentuk kerajaan susulan kemenangan tipis bloknya dalam pilihan raya umum 13 September lalu.

Beri perhatian : Blok tengah-kiri memenangi majoriti tipis sebanyak 176 kerusi berbanding 173 kerusi yang diperoleh blok haluan kanan yang  dulunya berkuasa.

Perbezaan tiga kerusi menimbulkan perpecahan dalam kem pemenang. Justeru gagal untuk mendirikan kerajaan minoriti.

Sweden dan Finland negara yang berkecuali selama 200 tahun  telah  menyertai NATO pada 4 April 2023, dan Sweden menyertainya pada 7 Mac 2024.

Dua negara yang paling demokratik di Eropah ini menjadi ahli  Perjanjian Persenjataan NATO. Menjadi ahli NATO  sini berlaku selepas   tentera Rusia masuk ke wilayah Ukraine pada 24 Februari 2022.

Menjadi anggota NATO ertinya meninggalkan garis berkecuali. Memasuki NATO ertinya bersama negara seperti Perancis, Itali, Turki, UK dan German berpayung di bawah  perlindungan senjata Amerika.

Secara terbuka musuh  NATO  ialah Rusia. Pada satu ketika dulu di kenali sebagai USRR atau Soviet Rusia.

Memasuki NATO ini adalah manifestasi dan  contoh terbaik untuk memahami bahawa telah berlaku satu perubahan dasar politik yang hakiki dalam negara ini.

Jangan salah baca dan salah tafsir memasuki NATO ini  bukan berlaku secara mengejut. Telah berlaku beberapa perubahan pemahaman dan kesedaran politik  yang lebih awal di kalangan warga.  Telah berlaku anjakan budaya yang  membolehkan kerajaan  mencadangkan masuk NATO tanpa bantahan  puluhan ribu di jalan raya.

Jelas garis politik kiri tidak lagi berupaya melawan dan menundukkan garis politik kanan. Satu  ketika dulu  Parti Komunis Itali  dan Parti Sosialis Itali cukup berpengaruh. Kini pengaruh politik garis kiri ini telah tumpul. 

Di Eropah - hanya di Perancis kelihatan  Parti Komunis dan Parti Sosialis masih lagi kuat pengaruh.   Garis  kiri   ini  masih berpengaruh di kalangan Kesatuan Sekerja. Tetapi kekuatan ini sedang di cabar oleh  garis  popular kanan Parti Front Nasional pimpinan Marine Le Pen.

Kita lihat dan tunggu Pemilihan Presiden pada April 2027. Pengundi di Perancis akan menentukan apakah Marine Le Pen akan menjadi Presiden.

Ombak politik kanan telah lama berlabuh. Semenjak runtuhnya  Rusia dan Soviet Union pada tahun 1991  ombak kanan dilihat sebagai pengganti.

Parti-parti politik  bergaris kanan  di Eropah dan global bergerak di atas dasar popular. Memainkan sentimen nasionalisma populis  kesedaran baru.

Salah satu garis populis  ialah anti elit. Retorik menggunakan sentimen anti-elit, penentangan terhadap golongan pemerintah (establishment), serta pendekatan yang menyasarkan atau mewakili  kepentingan rakyat jelata. 

Garis anti elit ini dibancuh pula  dengan  neo-nasionalisma baru dan  berkahwin pula dengan sikap  konservatisme sosial, nasionalisme ekonomi yang konservatif. 

Garis populis ini menentang LGBT, mempertahankan  identiti budaya dan ekonomi  negara daripada ancaman yang didakwa datang daripada pihak luar.

Jika di Amerika fahaman politik kanan ini diikat kukuh  oleh fahaman Kristian Kanan. Contohnya : mereka berkempen menentang dasar  penguguran janin. Ini  mengikut mereka akan memperkukuh ajaran Kitab Injil. 

Malah ada klik ibu dan wanita mengandung  di bom dan di bakar.

Penyokong garis kanan ini melihat para elit politik dan elit ekonomi telah meninggalkan kepentingan mereka – rakyat biasa..   

Penyokong Presiden Trump dan Gerakan Make America Great Again (MAGA)  semuanya  berpayung di bawah ideologi ini. Mereka merasa terpinggir  dan ketinggalan dalam negara sendiri.

Jangan lupa ketika berkempen Trump telah berjanji : Drain the swamp ! Ini slogan anti elit.

"Drain the swamp" (mengeringkan paya) ialah slogan politik yang digunakan oleh Donald Trump untuk merujuk kepada usaha menghapuskan rasuah, ahli politik profesional  , serta pengaruh keterlaluan kumpulan berkepentingan khusus dan pelobi di Washington, D.C.

Jika kita meneliti dasar dan garis Parti Alternatif Untuk German (AFD ) kita lihat anti elit dan nasionalisma  baru ini menjadi kemudi perjuangan.

German negara industri utama Eropah kini tempang dan ekonomi merosot.  Kilang banyak ditutup. Warga kehilangan pekerjaan. 

Ini dilihat hasil dari dasar  kerajaan  Sosial Demokrat  yang bergaris tengah. Kerajaan Canselor Friedrich Merz  ini menyokong Ukraine dan anti-Rusia. Justeru kerajaan German hari ini  tidak mahu  ada hubungan ekonomi dengan Rusia. Pembelian minyak dan gas murah dari Rusia  - kunci industri – di hentikan.

Disini parti AFD masuk dengan semangat  dan slogan nasionalisma baru. Dahulukan German dari Ukraine. Beli minyak dan gas dari Rusia. Kembalikan hubungan dagang dengan Rusia.

Garis ini masuk akal dan popular. Justeru  Parti AFD semakin popular dan sedang  mencabar Parti Sosial Demokrat dan Kristian Demokrat yang berkuasa sekarang.

Kegagalan liberal demokrasi ini juga telah menjemput dan melahirkan apa yang di katakan Nativisme. 

Nativisme ialah gagasan politik atau falsafah yang mengutamakan warganegara kelahiran tempatan berbanding pendatang atau imigran.

Saya menyifatkan  nativisme ini sama seperti dasar Bumiputera  yang lahir satelah berlakukan  pergaduhan Melayu dengan pendatang pada Mei 13  1969..

Di Amerika dan di Eropah   konsep dan ideologi ini dikenali sebagai Nativisme. Manakala kita di Malaysia mengenalinya sebagai dasar ideologi Bumiputera.

Kesedaran nativisme dan dasar bumiputera Mat Salleh ini   muncul sama seperti di Malaysia.

Kewujudan pendatang  yang meluruh masuk sesudah perang dunia ke dua.  Ini berlaku ketika  tenaga  kerja di perlukan untuk membina ekonomi Eropah yang telah hancur akibat perang.

Manakala di Malaysia ini pendatang dari India dan China di bawa masuk ke Tanah Melayu demi  kepentingan ekonomi penjajah Inggeris.

Di Amerika dan di Eropah pada awalnya  para pendatang dan imigran ini disambut dan dialu-alukan kedatangan mereka.   Ini ketika injin di kilang memerlukan tenaga mereka.

Hari ini  semuanya berubah.  Ekonomi Eropah dan Amerika tidak rancak berkembang  seperti zaman-zaman selepas Perang Dunia Ke Dua.

Apabila ekonomi  menguncup maka ramai kehilangan kerja. Dari sini muncul parti politik berhaluan kanan membawa  hujah  bahawa  dasar membuka pintu masuk kepada pendatang adalah silap besar.

Pendatang, imigran dan  warga pelarian perang di lihat sebagai pembawa masalah. Kalau di UK  pendatang ini di lihat sebagai lintah  yang menghisap dana kerajaan tempatan.

Kerajaan tempatan diwajibkan  memberi mereka tempat tinggal dan duit poket.  Kawasan perumahan menjadi sesak. Mereka dilihat kotor dan tidak bertamadun.  

Semua ini menaikkan lagi kesedaran Bumiputera Mat Salleh bahawa negara mereka telah berubah dan  sidang di ambil oleh pendatang.

Di UK  misalnya Parti Buruh   yang berkuasa di lihat  memanjakan pendatang. Justeru ini menjadi inti pati kempen  Parti  Reform UK yang bergaris kanan.

Menghalau dan menghantar pulang imigran dan pendatang haram sedang  menjadi dasar kerajaan Donald Trump di Amerika.  Jabatan imigresen Amerika  hari ini sedang menghantar pendatang haram yang mereka tangkap   ke negara ketiga di Afrika.

Kerajaan Konservatif UK juga  menghantar pendatang haram ke Rwanda di Afrika. Dasar ini di hentikan apabila kerajaan Parti Buruh  menjadi pemerintah.

Australia  juga menjalankan dasar yang sama. Australia pada tahun 2025  telah mengikat  perjanjian bernilai berbilion dolar dengan Pulau Nauru. Negara ini akan menerima pendatang haram dari Australia sebelum di proses untuk dihantar pulang ke negara asal.

Amat jelas  sistem liberal demokrasi telah gagal. Hasilnya sedang berada di hadapan mata kita semua.

Garis kanan sedang mengombak dan mengampuh. Parti politik   yang cuba menentang arus kanan ini akan tenggelam di bungkus arus kanan.

Justeru saya tidak hairan apabila   ratusan warga Rohingya  di hantar pulang minggu ini ke Myanmar.  Apa yang dilakukan oleh  Perdana Menteri Anwar bin Ibrahim menjadi  berita dunia. 

Ada  ratusan ribu Rohingya dan berjuta  lagi  pendatang haram yang masih berkeliaran di Malaysia.  Ini bukti arus kanan sedang mengombak di Malaysia, 

Apa akan terjadi dengan ribuan Rohingya  dan pendatang haram yang lain. Tunggu minggu hadapan. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/886162-kolum-ombak-kanan-dan-kegagalan-liberal-demokrasi

























Tiada ulasan: