Rabu, 10 Jun 2020

XENOPHOBIA MENCARI JAWAPAN






XENOPHOBIA

MENCARI JAWAPAN


Saya  mahu bertanya : Kenapa  bekas  Ketua Eksekutif Sistem Penerbangan  Malaysia (MAS)   Christoph Mueller dari Munich dan Paul Stadlen penasehat politik Najib dari Syarikat APCO London dipanggil pekerja ekpatriat?

Saya juga ingin bertanya kenapa Sohel Rana, Israfial Hossein dan Shamin Miah dari Dacca dipanggil buruh  asing?

Saya juga ingin tahu  kenapa Budiono Gading, Jarut Kamajaya dan Jiharto Fanji dikenali sebagai buruh haram?

Soalan ini saya kemukakan sebagai salah satu manifestasi dari  sikap xenophobia. Bukan hanya  manifestasi xenophobia tapi ada lagi. Dalam kes Tanah Melayu a.k.a Malaysia sikap tidak suka orang asing – benci orang asing ada   bersangkutan dengan sejarah. Apabila kita rungkai sejarah Tanah Melayu maka kita akan sampai ke tahap persoalan nasional.  Kajian sejarah ini akan memaparkan  persoalan nasional yang saya takrifkan masih belum selesai-selesai.

Saya sering dan selalu menulis dan memperingatkan  para pembaca  tentang persoalan nasional yang  belum selesai. Persoalan nasional yang belum selesai inilah  induk permasalahan  yang wujud di Tanah Melayu a.k.a Malaysia.  Politik dan salasilah politik serta latar politik  kita hari ini ialah persoalan  nasional yang belum selesai.

Kes terbaru yang sedang rancak dibincangkan pada ketika ini ialah kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan kelahiran  Perikatan Nasional. Ramai tidak sedar. Ramai kurang  arif untuk membaca realpolitik tentang   runtuhnaya Pakatan Harapan. Tidak dapat tidak ianya  juga bersangkutan rapat dengan persoalan nasional yang belum selesai. 

Manifestasi persoalan nasional  yang belum selesai ini sedang menjana sikap benci terhadap pendatang. Pendatang dalam kes ini ialah pendatang lama a.k.a China dan India. Kebencian terhadap pendatang  lama ini   diterjemahkan menjadi  benci terhadap Demokratik Action  Parti (DAP). Parti DAP dianggap China dan India. China dan India di Tanah Melayu ini adalah pendatang yang dibawa oleh Inggeris. Ini fakta sejarah. Khalas.

Kebencian terhadap pendatang ini tenggelam ketika ekonomi rancak berkembang.  Kebencian  ini dibenamkan pada ketika ianya tidak diperlukan. Bila diperlukan maka benci orang asing ini akan muncul merebak.

Apa hubungan persoalan nasional Tanah Melayu  ini dengan  sikap xenophobia terbaru?  Apa sangkut pautnya dengan pendatang halal dan pendatang haram? Apa kaitan dengan  kapal Rohingya?

Ketika  saya menulis – Selasa 9 Jun 2020 -  diberitakan  sebuah lagi kapal Rohingya telah masuk menceroboh ke perairan Langkawi. Dilaporkan seramai  269 warga Rohingya  penumpang kapal ini telah ditahan. Dalam kapal ini ditemui juga satu mayat.

Pencerobohan baru ini amat menarik.  Kali ini kapal yang mereka tumpangi telah dibocorkan. Injin telah dipunah rosak sesampai sahaja mereka ke perairan  Langkawi. Jelas terbukti  pendatang Rohingya ini telah mengumpul pengalaman. Kapal terdahulu yang masuk menceroboh  telah ditahan diberi makanan dan kemudian  ditarik masuk kembali ke laut antarabangsa. 

Bijak. Pendatang haram semakin bijak. Ini sama saperti taktik pendatang haram dari Nigeria. Media Inggeris di London  selalu melaporkan berita kesampaian warga Nigeria  dan warga Afrika. Sesampai sahaja  di lapangan terbang di kota kota Eropah atau diperlabuhan Eropah mereka akan membakar dan memusnahkan pospot dan kad pengenalan mereka.  Mereka terus meminta suaka. Tanpa paspot dan kad pengenalan mereka boleh mengakui bahawa mereka datang dari negara entah berentah. 

Taktik  warga Nigeria dan  warga Afrika ini telah merebak ke Rohingya.

Ops..jangan lupa sejarah. Wajib belajar dari pengalaman sejarah.  Pada 26 April  711 soldadu  Moroko telah berkapal masuk untuk menyerang Sepanyol. Mereka dipimpin oleh Panglima  Tariq Ibni Ziyad. Legenda yang ditulis 400 tahun kemudian mensurahkan  bagaimana sesampai di bumi Sepanyol Tariq telah membakar kapal  yang membawa mereka.

Hakikatnya - para soldadu  tidak ada jalan pulang. Untuk selamat  mereka wajib  mara ke hadapan  dan menaklok Sepanyol. Apakah  si Rohingya ini juga bercadang untuk menakluk Tanah Melayu?  Mustahil.  Ini bukan niat warga Rohingya. Mereka sedang mencari perlindungan akibat dibantai dan diganyang oleh soldadu Myamar dikampong halaman mereka. Amin

Opps… jangan lupa sejarah. Lihat bagaimana Raffles datang ke Temasik pada tahun 1819.  Mengambil alih Temasik dijadikan Singapura. Kemudian membawa pendatang China masuk sehingga   Lee Kuan Yew  berani menganggap pulau  Singapura hak mereka.

Awas!  Inilah  yang saya katakan persoalan nasional yang belum selesai. Pengalaman hilang pulau Singapura masih segar dalam ingatan Bani Melayu.  Kini Bani Melayu sedang melihat Pulau Pinang sedang dalam keadaan yang sama kerana  parti DAP mentadbir Tanjung.  Justeru sikap benci  DAP  a.k.a. benci pendatang ini senang diapi-apikan. 

Tanjung? Mana Tanjung ? Jangan lupa sejarah -  Tanjung Penaga ialah nama asal George Town. Pasti ramai yang tidak pernah mendengarnaya. Saperti tidak pernah mendegar nama  asal Malaysia - Tanah Melayu.

Maka saya tidak hairan apabila Rais Yatim bekas Menteri memberi pendapat dalam tweetnya  yang muncul   pada 1 May 2020 :  “Rohingya ini masa bilanganya kecil memng lunak perangai – pijak semut pun tak mati tpi bila jumlah mereka dah beratus ribu dibahamnya kita. Kaum lain yg dtng ke mari zaman Inggeris 20’an gitu juga akhirnya. Kita sama2lah belajar dri sejarah yg takat ini banyak menyebelahi org luar.”

Hanya mereka yang  bebal sejarah, yang buta sejarah, tak mahu faham sejarah,  tidak tahu asal usul mereka atau cuba dilihat demokartik  - akan gagal  memahami apa makna  pandangan dari Rais Yatim ini.  Atau buat buat tak faham kerana Rais  Yatim berkicau dalam Bahasa Melayu – bahasa yang NGO jarang atau tidak pernah menggunakan.  Untuk saya kicauan Rais Yatim ini ini adalah bukti bahawa  sikap benci kepada pendatang terus wujud.

Terima kaseh kepada Mat Kobid. Semua  terjulur keluar.   Sikap benci kepada pendatang muncul keluar – terbuka luas. 

Maka persoalan timbul apakah sikap yang wajib  kita ambil pada ketika ini. Pada masa dan ketika kita memerangi Covid 19. Pada ketika dunia sedang berkhalwat akibat dari Virus Karona.

Kita tidak perlu berlagak  baik.  Atau pun cuba dilihat penuh kemanusiaan. Apa yang jelas ialah kita wajib menyelamatkan  diri kita dari mati akibat virus Karona. Ini tujuan utama kita.  Kita tak perlu bersandiwara atau  menafkan  akidah ini. Jangan berdulak dalik. Sebagai Matador kita wajib  menangkap tanduk lembu dan patahkan leher lembu itu.

Mengikut pandangan  Richard Dawkins -  Profesor  untuk Pemahaman Orang Ramai Tentang Sains ( for  Public Understanding of Science ) dari Universiti Oxford  - umat manusia – anak semua bangsa -   kita semua  ini  memiliki ‘ selfish gene’ atau gene yang mementingkan keselamatan diri sendiri untuk tujuan menyambung zuriat. 

Gene inilah yang menjadikan kita manusia.Gene ini wujud semenjak bertembongnya pelbagai kimia yang memberi nafas hidup kepada satu sel hingga berkembang menjadi manusia. Gene dan sel ini memberi perwatakan kepada kita sebagai umat manusia.

Sikap pentingkan diri dan  keselamatan diri sendiri  sedang  memaksa kita. Justeru kita  tidak boleh menafikan sesiapa sahaja yang berada  di Malaysia pada ketika ini dari dipantau, dirawat dan diberi kemudahan  kesehatan.   Walau pun mereka kaki tipu  warga Nigeria,  warga Myamar atau  pendatang haram atau halal. Semua wajib dilayan sama saperti  warga  Malaysia -  dibantu dan dipantau. Diberi khidmat kesehatan.

Jangan lupa bagaimana kluster  Tabligh di Jalan Klang Lama menjadi masalah besar. Ini kerana ramai dari ahli tabligh ini pendatang haram.  Apabila  arahan untuk disaring sampai,  ramai para tabligh ini  menghilangan diri. Mereka takut ditangkap imigrisen.  

Hakikatnya kita juga  wajib mengumpul pengalaman untuk tidak  mendikriminasi  pendatang yang halal dan yang haram. Ini bukan kerana kita cinta kaseh sayang pada Mat Bangla atau Neng Indon atau Mat Tabligh. Tidak. Kita lakukan ini untuk menjaga kepentingan diri kita sendiri dari dihinggapi oleh Karona. 

Virus Karona tidak memilih   pedatang haram atau halal. Maka kita wajib menyokong kerajaan Malaysia  mengambil dasar  sama saperti tabiat perangai  Karona – tidak ada diskriminasi.  Jangan ada pendatang haram yang lari menyorok dari disaring. Keselamatan mereka adalah juga keselamatan kita bersama.

Semua ini belum menjawab pertanyaan awal dtentang   kenapa Paul Stadler dipanggil sebagai  pekerja eksptriat. Kenapa Sohel Rana ditakrif sebagai buruh asing dan kenapa Jiharto Fanji dari Semarang diburu sebagai buruh haram.

Dengan kita menggunakan konsep dan istilah ini maka tanpa disedari bahawa kita terjerumus ke dalam perangkap xenophobia.  Istilah ekspatriat ini diwujudkan oleh kaum kapitalis dari Barat. Ini istilah kolonial. Dipaksakan keatas  anak tanah jajahan. 

Kerana kulit Paul  dan James ini putih. Maka mereka tidak pernah diburu untuk dimasukan ke dalam Kem Tahanan  Semenyih. Polis dan Imigrisen tidak pernah menahan mereka kerana mereka duduk di Bangsar atau di Bukit Kiara Hartamas bukan berkumpul  dalam satu flet 15 orang. Hidup sempit berasak-asak di Selayang atau di Selangor Mansion.

Gambar Mat Salleh beratur digari dari Penjara Jinjang ke  Mahakamh Jalan Duta tidak pernah muncul dalam Metro, Berita Harian, Sinar atau Bacaria.  Walau pun  setiap malam  dan malam hujung minggu mereka mabuk sakan di Changat Bukit Bintang. Malah ketika mabuk mereka menyumpah  seranah terhadap polis, kerjaan dan budaya kita. Sayangnya polis kita tidak faham sumpahan itu.

Ramai Mat Saleh yang dipanngil ‘expats’ ini  bekerja tanpa permit kerja. Paling cilaka ialah mereka dibayar berpuluh kali ganda dari Melayu Bumiputera anak watan  Tanah Melayu.  

Tok Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau dan Dol Said telah wafat kalau tidak mereka akan angkat senjata sekali lagi. Mengamok di Bangsar South.

Kenapa ini berlaku?

Pegawai PDRM dan Imigrisen  telah dibelengu oleh budaya kolonial.  Polis kita amat berani minta permit kerja  Mat Bangla atau Mat Indon. Tetapi mereka akan merasa gentar bila melihat kulit John dan Johnny yang puteh. In hasil didikan  budaya pasca kolonial.

Dari sini kita melihat bahawa fahaman xenophobia ini berbeza-beza. Betul.  Fahaman  dan sikap benci terhadap  orang asing, orang lain dan orang bukan orang kita bertingkah-tingkah.  

Sabenarnya benci orang asing  - tidak suka orang asing ini ada hukum dan syarat. Ada asas, pola dan ciri. Serangan Mat Kobid ini menjulurkan semua  keluar.  Apa hukum dan asas kemunculan fahaman xenophobia? Tunggu minggu hadapan. ( TT)




1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tokok.