Rabu, 9 Mac 2022

KONFRONTASI GANTI DARURAT



KONFRONTASI

 GANTI

 DARURAT



Ketika Darurat berjalan aku tinggal di Kuala Klawang, Ketika Konfrontasi berjalan aku tinggal  di Batu Serambai Ulu Klawang. 

Dari segi fakta sejarah untuk warga  Jelebu -  Darurat disambung dengan Konfrontasi. Malah ketika Darurat di Jelebu belum selesai lagi Konfrontasi sudah sampai. 

Sebelum Darurat  di isytihar , sebelum Konfrontasi sampai – soldadu Jepun telah masuk melanggar Tanah Melayu . Jepun menyerang Kota Bahru   pada 8 Disember 1941. 

Sebaik saja Jepun kalah – Jepun mengaku kalah pada  12 September 1945. Orang kampung baru dua musim nak menanam padi Darurat pula sampai pada 20 Jun 1948. 

Ketika Darurat sampai aku  belum lahir lagi.  Aku membesar di zaman Darurat.  Di zaman Darurat Jelebu  terus menjadi Kawasan Hitam – kawasan yang aktif dengan aktiviti perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) melawan penjajah Inggeris.

Jelebu sesudah Tuan Ellis dan Tuan Ebon balik kampung  masih lagi wilayah Kawasan Hitam. Maknanya masih dalam suasana Darurat  hingga ke tahun  ke tahun 1965.

 Jelebu adalah diantara wilayah-wilayah dan daerah akhir di Semenanjung yang di isytihar  menjadi Kawasan Putih. Kawasan Putih bermakna semua gerakan gerila PKM telah tumpas.

Belum pun  sempat Darurat  mengenap Konfrontasi bermula.

Aku ingat lagi ada keramaian di Padang Kuala Klawang apabila Jelebu di isytiharkan sebagai Kawasan Putih.  Keramaian ini diadakan pada waktu malam di bahagian padang tempat permainan kanak-kanak. Padang awam Kuala Klawang terletak di tepi pekan   di hadapan rumah pasung.

Malam itu aku berada disana. Aku datang dengan harapan pada   untuk berlibur  bercanda-canda kerana ada keramaian. Rupanya malam itu  bukan untuk berlibur. Malam itu ada beberapa orang bekas gerila PKM  datang berceramah. 

Aku tak tahu buah butir yang dituturkan oleh  bekas gerila ini. Entah berapa orang yang berucap aku tak tahu. Mereka berucap melalui alat pembesar suara dalam bahasa Tionghoa.  Juruhebah pun bertutur dalam bahasa Tionghoa.

Aku nampak ramai warga Kuala Klawang dan orang Jelebu datang  mengeliling pentas. Budak-budak bawah umur seperti aku ini hanya datang buat ramai. Kami tidak tahu hujung pangkal.

Aku tertanya-tanya apa yang berlaku. Yang aku dengar hanya ayat : China komunis  serah diri.

Ini bukan bermakna PKM tidak ada gerila dan penyokong Melayu. Malah aku sendiri tahu di Jelebu ada gerilawan PKM yang tersohor bernama Zaiton.

Anak gadis bernama Zaiton Kidon ini adalah  legenda dan kemegahan orang Kampung Amar Penghulu dan Ulu Klawang. 

Dari apa yang aku dengar keluarga Pak Cik Kidon ini  tinggal  di  Kampong Kelaka. Ini kampung ulu  pedalaman di mana kampung Pak Cik Kidon  berjiran dengan  kampung Orang Asli – Sakai Kelaka.

Mengikut surahnya  ada pasukan gerila PKM  beroperasi di sekitar Kampung Kelaka. Ketika itu si Zaiton ini masih belasan tahun.   Gerila PKM ini datang minta bantuan. Mereka meminta orang kampung membelikan   bahan makanan di kedai di luar kampung. 

Pasukan gerila  PKM ini kerap datang ke Kampung Kelaka kerana kampung ini amat ulu dan jauh dari pengetahuan untuk dapat dihidu oleh  soldadu Inggeris dan Gurkha. 

Si Zaiton ini akan keluar ke Kampung Amar Penghulu – ke kedai runcit Haji Ramli  untuk membeli barang-barang yang dipesan oleh gerila. Akhirnya hubungan keluarga Zaiton dengan gerila menjadi akrab. 

Akhir satelah Zaiton mendewasa belasan tahun   gerila PKM telah mempelawa Zaiton untuk masuk ke hutan berjuang bersama mereka. Pak Cik Kidon  dan keluarga bersetuju. Maka Zaiton masuk hutan untuk dilatih   menjadi gerilawan PKM.

Pernah aku mendengar cerita Komunis Zaiton ini  dari Mak Long Biah  isteri kepada Pak Long Arof. Suami isteri ini menjadi keluarga  angkat  keluarga Zaleha dan Rais  ketika kami tinggal  di Kampung Batu Serambai.

Satu malam lepas makan di rumah Mak Long Biah kesah Zaiton keluar. Malam itu Pak Long dan Mak Long mengadakan  kenduri doa selamat sempena menyambut beras baru. Bukan kenduri besar hanya dua tiga keluarga dijemput.

Lepas makan orang-orang  dewasa – Mak , Abah dan Kakak akan bersila  duduk atas tikar sambil menggulung rokok. Ada yang makan sirih sambil minum  teh panas  kosong.

“  Den ado jumpa Zaiton...lopeh dio dah serenda... dio duduk di Klako ...’ Mak Long Biah memulakan cerita.

Aku , abang aku dan adik aku duduk melopong mendengar orang tua-tua bercerita.  Aku amat suka mendengar kesah-kesah dari mulut orang tua. Macam macam cerita dari mulut mereka. Ada cerita pengalaman jumpa harimau, jumpa babi atau kesah menjerat kancil atau cerita mencari ikan.

Untuk aku paling menarik bila orang tua-tua membuka kesah Si Anu dan Si Anu  kena racun, Si Anu  kena rasuk atau Si Anu jumpa hantu. Mata aku tak pernah ngantuk bila mendengar cerita-cerita ini. 

‘ Laaa.... Eton ni kato ... Mak Long.. tau tak..  ado sekali.. kami ateh bukit...  Eton nampak Mak Long  dalam sungai mengocar ikan... pasukan kami mandang ke bawah  dari bukit ... tak buek apo-apo...’ Mak Long Biah bercerita tentang Zaiton dan pasukan gerila PKM yang ternampak orang  kampung sedang  mencari ikan dalam sungai.

‘  Mak Long ooi... orang putih tak dapek cari kami.... kito pandai  ilang dalam hutan... cari tak jumpo...’ Mak Long meneruskan cerita.

Mata aku terbuka luas. 

Kemudian Mak Long bersurah  sebagai perawi sahih. Mengikut  cerita Mak Long yang didengar dari Zaiton  pasukan  gerila komunis  ini akan berjalan kaki ke belakang – jalan terbalik hingga sampai  sebatu lebih.  Bila Gurkha jumpa tapak kaki mereka  akan anggap gerila ini jalan ke depan walhal gerila berjalan  ke belakang.

‘ Eton ini bercerito... ada maso komineh ni manjat pokok bergayut  dari pokok ke pokok macam cikah ... ini untuk hilangkan tapak  kaki...’ Mak Long Biah menjadi perawi sahih memungut surah  dari  Zaiton.

Baru aku sedar betapa liciknya gerila PKM ini ketika berjuang untuk memerdekakan  Tanah Melayu.

Kami budak-budak Kampong Batu Serambai tidak pernah bertemu dengan gerila PKM. Tapi semua orang  Ulu Klawang dan mungkin juga warga Jelebu tahu  atau pernah mendengar lajen Zaiton anak Pak Cik Kidon.

Paling hampir kami dengan komunis ialah apabila kami  bermain ‘perang-perang’ memakai  senapang buluh dengan peluru buah cenderai.. Ada yang jadi  gerila  komunis dan ada yang jadi soldadu Gurkha. Kami bermain dalam belukar tepi sekolah di sebelah kebun getah Raja Husin.

Letih bermain perang -perang kami duduk di tepi padang sekolah bercerita tentang komunis  dan Darurat.

‘ Kau tak tahu maso.. darurat... ada kerpiu... malam tak leh keluar...’ Ayen  bercerita pengalaman dirinya di zaman Darurat. Nama Ayen  sebenarnya Raja Ibrahim anak kepada Raja Husin pemain silap mata yang tersohor di Jelebu.

‘ Konfrontasi sekarang  ni... takda kerpiu.. boleh keluar malam.. malam-malam ada pengawal kampong...’ Ayen bersurah sambil ketawa.

‘ Tu malam tak keluar  gi ngaji aaa....’ Aku bertanya sama ada mereka belajar membaca Quran di waktu malam seperti kebiasaan budak-budak kampung.

‘ Kito mengaji di suaru... surau Lobai Juri...’  Ujang mencelah memberi penjelasan.

‘  Jang ... kao Ingat tak... ontah berapa kali... kito lari masuk dalam longkang  bilo dongar ada kereta lalu... kito paling takut kereta Gurkha dari Bukit Tangga nak balik ke Klawang... kereta perisai... ada mesingan terpasang... konfrontasi ini tak macam darurat ... Gurkha pun dah tak do ...’ Raja Ibrahim memberi gambaran antara zaman Darurat dengan  zaman Konfrontasi.

Aku merasa ketinggalan kerana  tidak ada pengalaman macam Ayen dan Ujang yang lari  masuk longkang tepi jalan. Lari menyorok dari kereta Gurkha.

Konfrontasi berterusan. Ada rapat umum disana sini. Rapat umum  mengutuk Sukarno.  Semua ini aku baca dalam Utusan Melayu. Aku membesar – aku celik dunia melalui akhbar Jawi Utusan Melayu dan akhbar hari Ahad Utusan Zaman.

Dari dua akhbar ini aku baca kempen Ganyang Malaysia berterusan di Jakarta. Tunjuk perasaan sering berlaku di hadapan Pejabat Kedutaan Malaysia  di Jakarta.

Ketika  ini  Sukarno bukan lagi Bung Karno – nasionalis  Nusantara. Tapi dari Utusan aku ada  terbaca konsep Melayu Raya dan Maphilindo.   Ketika tingkatan satu dan tingkatan  dua aku tidak faham semua ini. 

Satu hari ketika aku berbasikal pulang sekolah aku berselisih dengan banyak lori  askar.  Aku tidak tahu apa yang berlaku. 

Satelah makan tengah  hari aku berjalan mencari kawan arah ke sawah. Bila aku hampiri rumah Cik Gu Ali – dia guru pencen - aku terperanjat kerana di hadapan rumah  Cik Gu Ali ada sebuah kereta  jeep. Atap hijau jeep ini berambu rambu  dengan kain perca hijau. Tidak ada sesiapa dalam jeep ini.

Ketika ini keluarga Cik Gu Ali tidak ada di rumah. Aku berjalan sambil  tercari-cari. Tidak tahu apa yang aku cari.  

Aduh ! Aku terserempak dengan seorang Negro. Dia memakai topi besi macam askar German. Dia  duduk di bawah pokok jambu di  atas rumput di tepi perigi Cik Gu Ali.

Di hadapan soldadu Negro ini kelihatan satu kotak seperti radio dengan gagang telefon. Juga ada wire besi  sebesar jari kelengkeng terpacak di alat ini. 

Negro ini tidak marah bila aku hampiri.  Malah dia tersenyum menampakkan giginya yang putih. 

Dari alat ini aku dengar suara. Sahih ini radio.  Mungkin ini juga telefon.  Aku tidak tahu apa yang sedang  berlaku. Si Negro ini bercakap dalam bahasa Inggeris.  

Apa yang aku dengar hanya – Yes Sir... roger Sir.. Siapa  Roger ini tidak pula aku  tahu.

Lama juga aku memerhatikan si Negro ini. Kemudian dia membawa alat ini masuk ke dalam kereta dan beredar.

Siapa Negro ini? Soldadu dari mana Negro ini aku tidak tahu.  Bila aku buka cerita ini kepada kawan-kawan ramai tak percaya.

Esoknya makin banyak lori askar datang, Semua lori ini membawa soldadu. Kali ini aku lihat ramai soldadu Orang Putih. Aku nampak juga askar Melayu.


Kami budak-budak hairan dengan apa yang sedang berlaku. Apakah ada perang di Jelebu.  Apakah askar payung terjun Sukarno sudah datang sekali lagi   ke Gagu.

‘ Hoi... askar ni sumo pergi ke Kenaboi...’ Ayen memberi maklumat.

‘ Perang ke di Kenaboi..’ Aku bertanya.

‘ Bukan perang... berlatih perang..’ Ayen yang lebih tua dari kami memberi penerangan.

Kenaboi ini kawasan hutan. Kampung paling ulu di daerah Jelebu. Ramai Sakai duduk di Kenaboi. Malah  kami budak-budak kalau dituduh berasal dari Kenaboi ini menjadi satu penghinaan. Malah boleh menimbulkan pergaduhan.

Esok petang pulang dari sekolah aku melihat satu perkara yang tak pernah aku lihat. Aku ternampak helikopter dengan dua kipas. Kami di padang sekolah bersorak-sorak bila ternampak helikopter ini.

Kemudian lebih memeranjatkan -  kami ternampak helikopter dua kipas menjinjing sebuah jeep. Kami budak-budak bersorak. Kami macam menuntun wayang perang. Helikopter  melintas depan Kampung Batu Serambai dalam perjalanan menuju ke Kenaboi.

Satu petang dua minggu kemudian askar-askar ini pulang dari Kenaboi. Sekali lagi mereka akan  melintasi kampung kami.

Untuk kami anak-anak di zaman Konfrontasi ini pesta cukup menari. Kami beratur di tepi jalan dan melambai lambai  pada lori dan jeep.  Ada askar Melayu, ada soldadu Gurkha dan ada askar Orang Putih.

Bila lori  Orang Putih   lalu maka kami akan melaung – Joni Joni Joni dan Jon Jon Jon.  Dari dalam lori  soldadu Orang Putih akan melemparkan keluar gula-gula , coklat dan biskut.  Ini bekalan makanan resen yang mereka tidak makan.

Kami – budak-budak – amat gembira  bila lori askar Orang Putih lalu. Kami merasa muram bila lori askar Melayu atau lori Gurkha lalu.  Mereka tidak membaling apa apa keluar. Mereka buat deek saja melihat kami  berdiri di tepi jalan.

Aku terus ke sekolah. Seperti biasa di sekolah kami ada latihan keselamatan jika sekolah kami kena bom. Aku terpikir juga siapa agaknya yang hendak mengebom sekolah kami.

Ketika itu aku tidak terfikir askar payung terjun Sukarno akan datang ke Jelebu.  Aku yakin tentang ini kerana aku telah melihat dengan mata kepala aku sendiri alat radio soldadu Negro yang canggih.

Aku juga yakin askar Indonesia tidak memiliki helikopter dua kipas seperti yang aku saksikan melintas di Kampung Batu Serambai.  

Malah Utusan Malaysia dan Radio Malaya selalu melaporkan berita ramai rakyat Indonesia miskin hingga mereka makan tikus.

Tertiba satu pagi September 1965  aku dengar berita Sukarno kena tangkap.  Aku dalam Form Two. Aku tak tahu apa yang berlaku. (TT)



TULISAN INI JUGA 
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/03/09/konfrontasi-ganti-darurat/


Tiada ulasan: