Ahad, 13 Mac 2022

TENAGA MUDA TENAGA BARU

 



Muda beri tentangan hebat pada PRN Johor

PARTI Muda memberi tentangan hebat dalam penampilan sulungnya pada pilihan raya negeri (PRN) Johor apabila memenangi kerusi Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114.

Ia jauh lebih baik berbanding Pejuang, parti pimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang hilang deposit di semua kerusi yang ditandinginya.

Pada pilihan raya pertamanya, parti itu bertanding di Puteri Wangsa, Larkin, Parit Raja, Bukit Kepong, Machap, Tenang dan Bukit Permai.

Di Puteri Wangsa, Amira Aisya, setiausaha agung parti itu menang besar dengan 22,884 undi.

Puteri Wangsa mempunyai seramai 112,804 pengundi dan 52,948 keluar mengundi.

Amira pada mulanya ketinggalan di belakang Ketua MCA Tebrau Ng Yew Aik yang akhirnya berjaya memperoleh 15,770 undi.

Dengan kemenangan ini, Muda kini memegang satu kerusi Parlimen di Muar dan satu kerusi DUN Johor.

Calon Perikatan Nasional (PN) Loh Koh Yong pula memperoleh 8,957 undi, Khairil Anwar Razali daripada Pejuang (2,468 undi), calon Parti Bangsa Malaysia Steven Choong (2,471 undi) dan calon Bebas Adzrin Adam yang mendapat 398 undi, hilang deposit.

Begitu juga di Tenang, Lim Wei Jiet daripada Muda yang pada mulanya mendahului tetapi akhirnya dipintas oleh Haslinda Salleh daripada Barisan Nasional (BN).

Tenang adalah kerusi luar bandar yang mempunyai bilangan pengundi besar dalam kalangan peneroka Felda. Ia juga merupakan kubu kuat BN.

Lim berjaya menduduki tempat kedua dengan 3,644 undi, manakala Haslinda menang dengan memperoleh 5,380 undi dan majoriti 1,736 undi.

Menerusi ciapan di Twitter, Lim memohon maaf kerana tidak berjaya memenangi kerusi untuk Muda, tetapi berkata adalah ia satu penghormatan bertanding mewakili parti.

Ahmad Humaizi Uzir daripada PN memperoleh 2,729 undi manakala Mohd Fauzi Bachok daripada Pejuang mendapat 224 undi dan hilang deposit.

Di semua kerusi lain, parti itu memperoleh kurang 20% daripada semua undi.

Di Bukit Kepong yang menyaksikan parti itu menentang bekas menteri besar Johor Sahruddin Jamal (PN), Afiqah Zulkifli daripada Muda ketinggalan jauh di belakang, dengan memperoleh hanya 3,076 (13.79%) undi daripada keseluruhan 9,163 undi.

Bukit Kepong terletak di bawah kerusi DUN Pagoh yang disandang Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Sahruddin menang dengan majoriti tipis sebanyak 710 undi. Ismail Mahamed daripada BN memperoleh 9,163 undi manakala Md Taib Suhut daripada Pejuang mendapat 191 undi dan hilang deposit.

Di Larkin yang bertembung dengan PKR, Muda hanya memperoleh 12.87% atau 4,948 undi daripada keseluruhan 38,433 undi.

Kerusi itu dimenangi calon BN Mohd Hairi Mad Shah yang memperoleh 16,053 undi dengan majoriti 6,178 undi.

Calon PN Zulkifli Bujang mendapat 9,875 undi, Zamil Najwah daripada PKR (6,448 undi), Pejuang (810 undi) dan calon bebas Norramadan Buan memperoleh 299 undi. Pejuang dan calon bebas hilang deposit.

Di Parit Raja, parti itu menentang penyandangnya Nor Rashidah Ramli (BN), dan mengalami kekalahan besar dengan hanya 3,893 undi (18.15%) berbanding Rashidah 10,634 undi.

Menerusi laman Twitter, Fikri mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengundinya sambil menyatakan walaupun kehilangan kerusi itu, beliau masih berasa dekat dengan penduduk Parit Raja.

Zulkifli Mat Daud daripada PN mendapat tempat kedua dengan 6,415 undi manakala Lateef Mahrani daripada Pejuang memperoleh 510 undi, hilang depositnya.

Akhir sekali, di Machap, Muda tidak berpeluang menentang Onn Hafiz Ghazi daripada BN yang menang dengan majoriti 6,543 undi, memperoleh 11,029 undi.

Onn Hafiz sebelum ini memegang kerusi DUN Layang-Layang.

Calon Muda, R Sangaran memperoleh 3,493 undi (19.74%), Azlisham Azahar daripada PN (4,486 undi) dan calon Pejuang Sahruddin Md Salleh mendapat 465 undi, hilang deposit. – 13 Mac, 2022.

TENAGA MUDA

TENAGA BARU

AMIN

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sengit sangat ni..kah kah kah