Isnin, 11 April 2022

PERANG DAN EKONOMI

 



PERANG

DAN

EKONOMI




Perang Ukraine atau “ Special Operation -  operasi istimewa Putin “  yang bermula pada 24 Februari 2022 lalu telah masuk ke bulan ke dua. Banyak kota-kota Ukraine telah di musnah oleh ledakan bom dari udara, dari kereta kebal dan dari kapal selam  yang melancarkan peluru berpandu.

Mengikut banci tahun 2020 penduduk Ukraine berjumlah 44.13 juta. Hari ini lebih dari 6 juta warga  telah kehilangan tempat tinggal. Seramai 4 juta telah menjadi pelarian perang. Hampir 500,000 orang telah masuk ke Rusia. Seramai 2.5 juta telah melarikan diri ke Poland. Selain dari itu warga Ukraine yang ingin menyelamatkan diri  telah mendapat perlindungan di Slovakia, Romania, Hungary dan Maldova.

Ini krisis pelarian perang yang terbesar di Eropah sesudah Perang Dunia Ke Dua.

Jangan salah baca. Jangan silap faham. Hishamuddin Rais bukan menghalalkan apa yang dilakukan oleh Vladimir Putin. Keganasan tetap keganasan. Menceroboh masuk ke negara asing adalah salah laku yang wajib dikutuk.

Putin  bersalah menceroboh dan menyerang Ukraine. Tindakan Rusia menyerang Ukraine ini sama seperti Presiden  Bush   menceroboh dan menyerang  Iraq pada tahun 2001. Sama seperti tindakan Presiden Obama  masuk menghantar soldadu Amerika  ke Syria pada tahun 2014.   

Amerika melakukan jenayah perang selama 20 tahun apabila masuk menceroboh dan menyerang Afghanistan pada tahun 2001.  Israel salah kerana menceroboh  menyerang  Syria pada tahun 1967 dan menawan Bukit Gholan hingga ke hari ini.  Singapura salah menceroboh ruang udara Malaysia  yang dialami oleh warga Johor yang dikatakan  semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

China juga salah menceroboh masuk perairan  Filipina, Vietnam dan Malaysia di Lautan Sunda. China juga melanggar undang-undang  dunia apabila masuk menceroboh sempadan Republik Taiwan saban tahun. Jika China masuk melanggar Taiwan ini bermakna China melakukan  jenayah perang.

Imperialis  - sama ada imperialis  Amerika, Rusia atau China tidak ada beza. Watak , perangai dan tindak tanduk kuasa imperialis adalah  sama

Apa yang  timbulkan disini   ialah bagaimana  media Barat menggarap cerita apabila Rusia menyerang Ukraine. Media arus perdana  Barat terus tanpa henti mengutuk dan menyelar Presiden  Putin dan Rusia.

Keganasan dan kemusnahan yang dilakukan oleh Rusia dipapar setiap detik. Dari media cetak, dari  kaca tv dan media baru yang dimiliki oleh syarikat Amerika  semuanya seirama menyelar Rusia.

Bucha – dari sebuah pekan kecil entah dimana letaknya  di Ukraine kini  menjadi perbualan  dunia.  Bucha yang penduduknya tidak melebihi 40,000 orang telah dihebohkan bagai nak  rak. Di Bucha dikatakan soldadu dan bala tentera Rusia telah melakukan keganasan terhadap orang awam.

Mayat yang bergelimpangan  dengan tangan terikat ditemui  di tengah jalan . Apa yang berlaku di Bucha ditakrif oleh   media Barat sebagai  genocide – pembunuhan orang  awam beramai-ramai.

Rusia menafikan apa yang berlaku di Bucha. Menurut  Rusia semua ini hanyalah sandiwara yang dipentaskan untuk memerangkap  dan  menuduh Rusia melakukan  jenayah perang.

Ketika Bush mengebom Baghdad kita   tidak terjumpa laporan media  Barat yang menuduh Presiden  Bush melakukan genocide ke atas warga Iraq.  Ketika Israel mengebom Gaza media Barat senyap membisu. Tidak ada media Barat  - CNN, BBC atau New York Times melaporkan niat  untuk mendakwa Benjamin  Netanyahu ke mahkamah dunia kerana genocide.

Justeru laporan berita yang  berat sebelah  pasti akan membuka fikrah sesiapa sahaja yang rasional. Berfikir secara rasional untuk mengamati apa yang sebenarnya  sedang berlaku di Ukraine.

Bertanya pada diri :  Udang jenis apa ada tersorok  di tembok Kyiv.

Mana propaganda, yang mana sandiwara, yang  mana berita  teater, yang  mana berita palsu, mana operasi salah bendera dan yang  mana berita perangkap. Kita sebagai insan yang bertanggung jawab wajib terus  meneliti. Jangan ambil sikap tangkap muat dan malas berfikir dan menganalisa .

Untuk memahami cerita dan  apa berita kita wajib melihat apa sebenarnya  agenda di belakang tabir. Kita wajib bijak membaca apa makna  suara  dan kenyataan dan tindakan  Presiden Biden, Kesatuan Eropah  dan NATO.

Langkah pertama yang diambil oleh Amerika dan Kesatuan Eropah ialah melakukan sekatan ekonomi terhadap Rusia. Dari minggu pertama apabila  pecah perang  Amerika telah menyusun strategi untuk menyekat ekonomi Rusia.

Amerika , NATO dan  Kesatuan Eropah telah melancarkan perang ekonomi. Serangan  ekonomi telah lama berlaku. Amerika dan sekutunya telah mengadakan sekatan ekonomi semenjak Rusia mengambil alih kembali Crimea pada tahun 2014.

Sesudah Ukraine diserang sekatan ekonomi ditambak dan diperketat.

Dari segi ekonomi Rusia adalah pengeluar minyak dan gas yang terbesar dalam dunia. Rusia memiliki simpanan  minyak dan gas dalam bumi yang masih belum dicari gali. Rusia mengeluarkan 10.5 juta tong minyak sehari atau 14% dari pengeluaran dunia. Rusia juga pengeluar gas ke dua terbesar dalam dunia selepas Amerika.

Malah negara-negara Eropah Barat dari Perancis hingga ke Itali  membeli cecair gas dan bahan bakar minyak petroleum  dari Rusia.  Rusia menjadi pembekal 40% bahan tenaga bakar untuk  German.

Hakikatnya tenaga leterik Eropah datangnya dari Rusia. 

Rusia dilihat seperti saluran nadi darah – gas dan minyak -  untuk Eropah Barat dan  Timur. Minyak dan gas Rusia datang dari perut bumi bukan dari dasar laut. Maknanya cari gali yang lebih mudah. Maknanya keuntungan lebih lumayan untuk Rusia. 

Mengikut laporan International  Energy Agency pada tahun 2021  45% bajet Rusia datang dari jual beli minyak dan gas.

Pada awal perang   German enggan  terlibat secara mendalam. German enggan menghantar senjata ke Ukraine. Ini kerana kebergantungan German dengan  bahan tenaga gas dan minyak dari  Rusia.    

Amerika telah memberi tekanan kepada German.  Sekatan ekonomi dari German amat penting dalam strategi perang ekonomi.  German adalah pemacu utama ekonomi Eropah  yang diikuti oleh Perancis.. 

 Malah sebelum perang pecah Amerika telah meminta German memutuskan hubungan ekonomi yang intim dengan Rusia.  

Projek  Nord Stream 2 - saluran paip gas bernilai   2 bilion dolar telah siap.  Modal projek ini dari German. Projek ini  untuk menambah saluran  paip Nord Stream 1 yang sedia ada. Amerika tidak selesa dengan saluran paip ke dua ini. Justeru Amerika terus memberi tekanan.

Apabila perang  pecah tekanan Amerika ke atas  German bertambah kuat. Akhirnya  German  membatalkan Nord Stream 2  dari beroperasi.  German juga  bersetuju untuk menghantar senjata ke Ukraine.

Jelas hubungan ekonomi German dengan Rusia melalui  gas dan  minyak ini mahu dimusnahkan oleh Amerika. Terbukti  Amerika mahu Eropah membeli  bahan bakar gas dan minyak dari Amerika.

Maka terbukti kebenaran kata-kata  Karl Marx (1818-1883) ahli falsafah  German yang berkata 100 tahun dahulu bahawa perang adalah perebutan punca  ekonomi.

Dampak pertama kita lihat bagaimana untuk pertama kalinya German telah menggandakan bajet pertahanan  dari 52.8 bilion dolar untuk tahun 2021  ke 112.7 bilion dolar untuk tahun 2022.

Apa maknanya semua ini?

Pada tahun 1935 Majer Jeneral (Bersara) Smedley D. Butler telah menulis buku:  War is a Racket – Perang Adalah Perniagaan Tipu. Dalam buku yang digarap  hasil dari pengalaman dalam tentera Majer Jeneral Smedley telah membutirkan bagaimana tentera Amerika  telah melancar beberapa perang di Amerika Latin.

Perang untuk menegak demokrasi. Perang  untuk melawan komunis. Demokrasi dan komunis dijadikan sebab musabab  untuk  mengolah persetujuan rakyat Amerika agar menyokong Presiden dan  ahli Kongres  untuk melancarkan perang.

Wal hal tujuan perang tidak ada sangkut paut  dengan membawa demokrasi. Ini terbukti seperti di Iraq dimana demokrasi dijadikan alasan untuk menumbangkan Saddam Hussein.  Senjata ‘mass destruction – senjata pemusnah ’ dijadikan ratipan untuk memerangi Iraq.

Hakikatnya : Kita tidak perlu berdolak dalih. Kiat tidak perlu menipu diri sendiri. Perang dilancarkan bertujuan untuk memastikan  industri senjata terus berkembang.  

Tokan senjata, taikon senjata, pemilik  kilang senjata  telah memberi dana kepada para politikus  ketika  berkempen mencari undi. Dana politik ini adalah pelaburan. Satelah Presiden atau ahli Kongres di pilih  maka inilah masa untuk menuai pelaburan itu.

Presiden dan ahli Kongres akan  berpolitik untuk mewujudkan perang. Bila perang pecah maka  Military-Industrial Complex - Kompleks Industri Senjata akan  bergerak pantas untuk mengeluarkan senjata.

Industri senjata  ini amat penting untuk Amerika. Sebagai negara imperialis senjata  perlu untuk menundukkan musuh.  Hegemoni Amerika ini asasnya ialah kekuatan senjata. 

 Malah eksport utama  Amerika ialah senjata. Syarikat  Lockheed Martin, Boeing, Northrop Grumman dan Raytheon Technologies adalah nama-nama  syarikat  gergasi persenjataan dunia.

Bersama syarikat senjata ini  wujud pula syarikat  tentera swasta. Di Amerika ada 5,883 syarikat tentera swasta. Nama  terulung  yang dikenali dalam dunia ialah Blackwater dan G4S.

 Soldadu swasta ini menjalankan tugas  yang  sama seperti yang dijalankan oleh tentera resmi Amerika. Bezanya soldadu dari Blackwater boleh melakukan   kerja-kerja jahat dimana  soldadu  resmi Amerika tidak akan  melakukan.

Kontrak untuk membuat senjata dan kontrak  kerja gelap  yang bernilai berbilion dolar  akan diluluskan oleh Kongres.

Kerja gelap seperti mengebom ‘ kenduri kahwin’ di Kabul pada 18 Ogos 2019 dimana 63 telah tewas dan 180 lagi cedera.  Kerja jahat ini dilakukan oleh ISIS – Islamic  State of Iraq and Syria.. Dunia tahu ISIS adalah jaringan syarikat Al-Qaeda. 

Al-Qeada asal usulnya adalah  anak syarikat soldadu  swasta yang ditaja oleh Amerika untuk melawan Rusia di Afghanistan pada tahun 1979.
Kerja jahat lagi gelap ini tidak akan dilakukan oleh  soldadu resmi Amerika. Justeru  soldadu Amerika   tidak akan didakwa dakwi di Mahkamah Dunia.

Media Barat tanpa henti  melaporkan kata-kata dan ucapan molek-molek meminta perang  Ukraine dihentikan. Saranan hentikan perang  kita dengar  dari Presiden Biden dan Ursula Von der Leyen Presiden  Kesatuan Eropah.  

Seperti pelakon Holywood yang menggunakan ‘method acting ‘ Biden dan Leyen  telah menitiskan air mata sedih apabila melihat gambar mayat bergelimpang di atas jalan raya di Bucha. 

Di belakang air mata buaya  ini sebenarnya Amerika dan NATO dan EU  tidak mahu perang ini ditamatkan.  

Apa buktinya ?

Buktinya -  Amerika dan NATO terus meneruskan pembekalan  pelbagai bentuk senjata kepada Ukraine.  Senjata ini semuanya dari Amerika.  Dana persenjataan terus dibekalkan kepada Ukraine.

Justeru dana politik yang dilaburkan oleh Lockheed Martin, Boeing atau Blackwater kini panennya sedang dituai.  Malah jangan terperanjat bila ditemui ramai ahli Kongres dari parti Republikan dan Demokrat memiliki saham dalam syarikat membuat senjata.

Berita dari portal Insider pada 13 Disember 2021 telah melaporkan terdapat 15 ahli Dewan Senat dan Kongres yang menerajui dasar pertahanan Amerika ada  memiliki kepentingan dalam syarikat persenjataan. 

Dua bulan semenjak  perang Ukraine ini bermula ianya telah menaikkan lagi nilai saham Boeing, Lockheed Martin dan Taytheon Technologies. Saham syarikat senjata naik maka  poket politikus juga menggelembung naik sama.

Justeru mustahil perang ini akan ditamatkan secepat mungkin.  Malah ada tujuan lain lagi untuk meneruskan perang. Tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)


TULISAN INI JUGA 
DISIARKAN DALAM PORTAL
BEBASNEWS.MY
https://bebasnews.my/2022/04/10/perang-ukraine-dan-ekonomi-bahagian-kedua/
DAN 
DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/376233





1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ala Enche'TT, takde siapa yang dan salah. Memang sudah jadi fikrah manusia, masing-masing memikirkan tindakan diri sendiri adalah betul, kalau tidak tak jadi la pergaduhan, tak jadi la perdebatan. Mana ada orang nak mengaku tindakan dan pemikiranya adalah salah... bodoh la kalau ngaku... Enche' TT punya pemikiran dan pendirian pun bukannya semua sehaluan dan diterima oleh orang lain. Pemikiran dan tindakan Enche' TT pun berpaksi kepada sentimen peribadi yang telah lama tertanam dalam hotak Enche' TT. Jadi dalam soal ini tiada siapa betul atau salah, masing-masing ada pandangan pendirian masing-masing dan sudah tentu bersandar kepada sentimen masing-masing. Sudah tentu diorang mengatakan pemikiran mereka tu betul, tak kesah la Enche' TT kata diorang salah...