Isnin, 3 Oktober 2022

MENUJU PERANG DUNIA KE TIGA

 


SABOTAJ ?

 MENUJU PERANG DUNIA

 KE TIGA


Ramai lupa apa yang berlaku pada  17  Julai  2014.  Biar saya ingatkan kembali. Pada hari Khamis itu dunia telah terperanjat. Kapal terbang MAS - Malaysian Airline System -   telah di tembak  jatuh di ruang udara wilayah Donetsk timur Ukraine. 

Pesawat MH17 ini ditembak peluru berpandu  dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Seramai  15 anak kapal dan 283 penumpang  gugur. Ertinya 298 nyawa terkorban  meledak di  bumi Ukraine.

Hari ini berita MH17 ini tidak lagi dijadikan rujukan bila membuat laporan Perang Ukraine. MH17 dilupakan  seolah tragedi ini macam tidak pernah berlaku di Ukraine. 

Kenapa ?

Jawabnya : Kes MH17 ini akan mengingatkan dunia bahawa Perang Ukraine bukan bermula pada 24 Februari 2022. 

Perang Ukraine ini bermula pada 2014. Perang  Ukraine  yang berlaku sekarang bukan tanpa sebab seperti yang didendangkan oleh media Barat.

Perang Ukraine bermula pada 8 Februari  2014. Ketika MH17 ditembak  jatuh perang telah berjalan selama lima bulan. Amin.

Puncanya : Amerika telah menaja rampasan kuas di Kyiv. Pentadbiran kerajaan yang ada hubungan baik  dengan Rusia telah dijatuhkan. Gantinya: Kerajaan anti Rusia yang bekerjasama dengan kumpulan politik bergaris ekstrem kanan dan penganut fahaman Hitler.

Sebagai tindak balas Rusia telah mengadakan pemungutan suara di Crimea.  Majoriti warga Crimea – etnik Rusia. Warga Crimea mahu kembali menjadi wilayah dalam Persekutuan Rusia.

Crimea ini asal usulnya bumi Rusia  hanya menjadi wilayah Ukraine  pada tahun 1954. Ini berlaku di zaman USSR -  zaman Republik Soviet Union di mana Ukraine juga adalah wilayah USSR.

Pada 18 Mac 2014 Crimea masuk kembali menjadi wilayah Rusia.

Saya mengulangi tarikh dan babak sejarah ini kerana saya ingin menangkis propaganda media Barat yang mengatakan bahawa Ukraine  diserang oleh Rusia tanpa provokasi.

Bukti menunjukkan semenjak 2014 Kyiv telah melakukan pelbagai bentuk provokasi. 

Kerajaan baru di Kyiv  telah mengharamkan penggunaan bahasa Rusia di Ukraine. Ini bahasa ke dua untuk warga Ukraine.

 Etnik Rusia  di empat wilayah Luhansk, Donetsk, Zaporizhzhia dan Kherson di perangi kerana mereka enggan menerima  kerajaan baru di Kyiv. Warga etnik Rusia di empat wilayah mengangkat senjata melawan diskriminasi Kyiv.

Ini samalah seperti empat wilayah Melayu Patani di  Selatan Siam di bedil dan di ganyang oleh Siam. Mereka lari ke  Kelantan dan meminta pertolongan kerajaan Melayu  di Kuala Lumpur.  

Empat  wilayah  di timur Ukraine ini juga sama. Mereka lari ke Rusia dan meminta pertolongan Putin di Moscow.

Satelah   beberapa bulan etnik Rusia di empat wilayah ini di perangi dan diserang jalan damai di cari. Kerajaan German  menjadi orang tengah membawa Kyiv dan Moscow ke meja damai.

Perjanjian damai Minsk Angreement di tanda tangani pada 5 September 2014. Sayangnya   perjanjian di koyak rabak kan oleh Kyiv dan gagal menghalang bentrokan. 

Apabila Perjanjian Minsk gagal maka  Putin telah membuat keputusan untuk datang membantu etnik Rusia di empat wilayah.

Justeru pada 24 Februari 2022 yang lalu Putin melancarkan apa yang dipanggil  ‘Special Operation – Operasi Istimewa’ untuk membantu etnik Rusia di empat wilayah yang menjadi mangsa Kyiv.

Kemasukan askar Rusia ke dalam bumi Ukraine ini telah di tentang oleh Amerika dan sekutunya dalam NATO.

Seyogia di beri ingatan NATO ini adalah punca Perang Ukraine. NATO adalah  lembaga perjanjian persenjataan  30 buah negara yang di kepalai oleh Amerika. Satelah tamat Perang Dingin NATO terus mengambil anggota baru bekas negara Republik Soviet Rusia.

Rusia tidak bersetuju dengan langkah perluasan NATO tapi tidak dapat menghalang.

Keadaan berubah apabila Ukraine melamar untuk menjadi anggota NATO. Ini bererti segala bala tentera Amerika berada di hadapan pintu masuk ke Rusia. Ukraine dan Rusia sebelah nyebelah seperti Malaysia  dengan Siam.

Ukraine bakal menjadi anggota NATO ini adalah provokasi utama yang memangkin Putin melancarkan  ‘operasi istimewa’  terhadap Ukraine.

 Operasi Istimewa Putin  telah berjalan lebih dari 7 bulan. Warga pelarian perang telah melintasi jutaan orang. Kesan perang  ini bukan hanya di rasakan oleh warga Ukraine – seluruh dunia juga  terkesan.

Ukraine jelapang gandum dunia kini  hangus terbakar. Harga tepung gandum meledak naik. Pakistan,  Mesir, Lebanon, Turki – pengimport gandum kini  menghadapi masalah  ekonomi. 

Warga di negara -negara ini terancam.  Kerajaan juga terancam  dan goyang. Bila rakyat tak makan kerana harga gandum mahal  mereka akan turun ke jalan raya.

Apakah jalan damai tidak dicari?

Jalan damai diteroka. Turki telah memainkan peranan yang baik. Perbincangan mencari jalan damai antara Moscow dengan Kyiv berjalan di Istambul. Awalnya agak positif.

Setiap kali ada kemungkinan damai maka Amerika akan datang memberi nasihat kepada Presiden Zalensky agar jangan berdamai. Ini telah berlaku beberapa kali.
Amerika dan NATO tidak mahu perdamaian berlaku. Amerika mahu perang  berterusan. Agenda induk Amerika  ialah meruntuhkan Rusia.

Untuk Amerika  selagi Perang Ukraine  berterusan maka industri senjata di Amerika akan terus berfungsi.  Pelobi senjata di Amerika terus melobi Presiden dan Ahli Kongres untuk meneruskan perang.

Amerika dan sekutu NATO telah menghantar senjata bernilai  berbilion bilion dolar.

Justeru ada yang mentakrifkan Perang Ukraine sebagai : Proxy War – Perang Proksi.  Senjata dari Amerika, dari Britain,  dari  German, dari Perancis  -  yang mati berperang warga Ukraine.

Tanpa senjata, tanpa nasihat, tanpa risikan dari Amerika kerajaan Ukraine telah lama bungkus. 

Walau pun dengan senjata dan peralatan  canggih dari Amerika soldadu Ukraine tewas macam lalat. 

Pernah ada berita melaporkan kadangkala 100 hingga ke 500 soldadu Ukraine tewas dalam sehari. Hakikatnya Ukraine dan juga Rusia sama-sama menanggung  kematian soldadu.

Kendati pun dengan senjata canggih dari Amerika bala tentera Rusia terus mara. Kampung, pekan dan kota – satu demi satu jatuh ke tangan Rusia.

Di empat wilayah  timur Ukraine  telah di wujudkan gerila dan askar wataniah yang bekerja sama dengan tentera  Rusia. Orang kampung dan anak muda di empat wilayah mengambil alih pentadbiran dari kaki tangan jentera  Kyiv.

Hakikatnya empat wilayah sedang menuju merdeka.

Minggu akhir bulan September 2022 – empat wilayah ini – Luhansk, Donetsk, Zaporizhzhia dan Kherson – telah mengadakan pungutan suara.  Majoriti lebih dari 90% warga empat wilayah ini mahu merdeka dan mahu menjadi  sebahagian dari Persekutuan Rusia – Russian Federation.

Amerika dan sekutunya memperlekehkan pungutan suara ini. Media barat memanggil ini ‘ sham  - tipu’ – tipu pungutan suara.

Pada  30 September 2022 di Moscow  Putin mengumumkan penerimaan empat wilayah ini : Pulang Ke Pangkuan Ibunda. Dalam masa terdekat Duma – parlimen Rusia – akan menerima empat wilayah ini sebagai muktamad.

Hakikatnya empat wilayah ini - 15 % dari bumi Ukraine kini masuk menjadi  wilayah Rusia.

Amerika, NATO, Kesatuan Eropah – meloncat mengambur   menuduh semua ini tipu -  ‘ sham referendum ‘ memperlekeh pungutan suara ini.

Putin tidak ambil  pot.  Mata Putin pun tidak berkelip jauh sekali hatinya  berdebar merasa cuak.

Malah Putin dalam  ucapan aluan ketika menerima kemasukan empat wilayah telah membuka sejarah  tentang  kuasa imperialis Anglo-Amerika. Putin menunjukkan imperialisma Amerika telah mengganasi dunia dari zaman berzaman.

Kuasa imperialis telah menjajah dunia dan kini  masih lagi memasang  bala tentera di pelbagai pelusuk dunia.

Awas – sebenar  tidak perlu laporan CIA – satu dunia tahu projek Putin ini. Secara terbuka pungutan suara telah dijalankan. Tidak ada apa rahsia. Tidak ada paksaan.

Ini seperti Empat Wilayah Melayu Patani kembali bersatu dengan Tanah Melayu. Bayangkan sambutan di Kota Baru. 
Begitu juga sambutan warga Rusia di Moscow. Satu  rapat umum mengalu-alukan kembalinya empat wilayah  ke Pelukan Ibunda telah diadakan di Moscow. Puluhan ribu warga Rusia telah datang menyambut kedatangan empat wilayah. Amin

Tertiba dunia terperanjat dengan berita  meledaknya paip laluan gas  Nord Stream 1 dan Nord Stream 2. 

Nord Stream 1 telah beroperasi membawa gas dari Rusia ke German. Hampir 40% gas  German datang dari Rusia. Nord Strem 2 belum beroperasi. Semua paip gas ini terhenti apabila sekatan ekonomi ke atas Rusia dijalankan.

Dengan pantas – sabotaj – dikatakan  telah menyebabkan ledakan ini berlaku.

Tanpa bukti  Media Barat menuduh  Rusia meledakkan paip laluan gas ini. Kerja jahat ini bertujuan untuk memberi tekanan kepada Eropah.

German dan Eropah kini dalam musim sejuk sedang menghadapi kekurangan gas dan bahan bakar minyak. Harga melambung tinggi. Ada duit pun  gas susah hendak didapati.

Warga Eropah makin gelisah. Kilang banyak ditutup. Buruh hilang kerja. Inflasi meledak. Zaman meleset makin hampir.

Rakyat merasa dasar sekatan ke atas  Rusia salah dan tidak membawa faedah. Rakyat di German dan di  Republik Czech mula turun ke jalan raya.

Siasatan sedang berjalan. Tuduh menuduh masih berterusan. Tapi makin ramai warga Eropah berpendapat adalah tidak masuk akal kalau Rusia  sendiri yang meledakkan paip  gas milik Rusia sendiri. Ini pelaburan berbilion dolar.

Selidik  punya selidik maka didapati bahawa  dua minggu sebelum ledakan berlaku Amerika dan NATO ada mengadakan latihan tentera laut tidak jauh dari laluan paip ini.

Siasat punya siasat  di beritakan  Baltic Pipe  - laluan gas dari Norway ke Poland mula  beroperasi pada 27 September  2022.  Paip Nord Strem 1 dan Nord Stem 2 meledak beberapa hari sebelum  Baltic Paip beroperasi.

Apakah ini satu perancangan ?

Jari menuding ke arah Poland. Tetapi Poland tidak memiliki  kecanggihan  teknologi untuk melakukan operasi yang agak sulit di dasar laut.

Maka jari terus menuding ke arah Amerika.

Selidik punya selidik – berita tersebar bahawa telah wujud  ‘ rundingan gelap ‘ antara German dengan Rusia. Di laporkan bahawa German bersedia  mengurangkan sekatan ekonomi  ke atas Rusia.  Untuk balasan Rusia akan menghantar gas ke German.

Cui bono – sapa untung ? 

Maka paip gas ini di sabotaj untuk menggagalkan perundingan German dengan Rusia. Amin.

Selidik punya selidik diberitakan bahawa di Istambul  perundingan sedang berjalan antara Kyiv dengan Moscow.

Secepat kilat Presiden Zalensky mengambil langkah.  Di hadapan tangga pejabatnya Zalensky telah menanda tangani  surat permintaan untuk mempercepat Ukraine menjadi anggota NATO. 

Zalensky mahu dunia melihat jawapan  Ukraine terhadap empat wilayah.

Rusia  tidak mahu Ukraine jadi anggota NATO. Ini punca perang.  Zalensky sengaja mahu mempercepatkan Ukraine jadi anggota NATO. Ini bukan menganjing. Ini untuk meneruskan perang.

Kenapa ?
Pasal 5 dalam Perjanjian NATO: Collective defence means that an attack against one Ally is considered as an attack against all Allies.

Satu negara anggota di serang ini bermakna semua anggota sama diserang.

Inilah yang diminta  oleh Presiden Zalensky.  Ukraine mahu jadi anggota NATO.  Bila Ukraine menjadi anggota NATO  maka soldadu NATO akan masuk  ke dalam kancah perang. 

Zalensky mahu soldadu Amerika,  German, British, Perancis, Itali, Turki  - semua 30 anggota NATO turut sama angkat senjata melawan Rusia.

Untuk Zalensky – untuk Ukraine – bekalan senjata sahaja tidak mencukupi.  Soldadu NATO wajib berperang sama.

Pasal 5 Perjanjian memboleh  soldadu dari 30 buah anggota NATO turun ke Ukraine untuk bersama menyerang Rusia.

Kita tunggu apa jawapan NATO di atas permintaan Zalensky. Apa yang telah terjawab pada saat ini ialah tidak ada rancangan damai. Jika ada ianya telah di sabotaj. Ini bererti Perang Dunia Ke 3 telah bermula. Amin. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/404126


Tiada ulasan: