Rabu, 9 November 2022

PAKATAN KE PUTRAJAYA


Tumpuan di Perak mampu cetus gelombang Pakatan ke Putrajaya, kata penganalisis


STRATEGI menurunkan Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) di Perak mampu mencetus gelombang bagi gabungan itu kembali menguasai Putrajaya, kata penganalisis.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, karisma presiden PKR itu serta demografi di banyak kerusi campuran di Perak  mampu membantu gabungan tersebut mencapai tujuan itu.

Penganalisis politik Mazlan Ali menjangkakan fenomena Anwar sebagai calon perdana menteri PH di kerusi Tambun berkemungkinan boleh merebak ke kawasan Parlimen lain.

“Sebagai ketua pembangkang dan pemimpin lama dengan rekod cemerlang dalam pilihan raya, saya fikir keputusan Anwar bertanding di Tambun boleh mewujudkan gelombang.

“Ini juga dilihat oleh pengundi sebagai peluang untuk Perak ada wakil rakyat (yang bakal) menjadi perdana menteri.

“Aura beliau juga mungkin akan memberikan sentuhan di tempat lain, dalam erti kata lain rakyat bersemangat, pertama kali seorang perdana menteri datang dari kawasan pilihan raya di Perak.”

PH juga kata Mazlan mempunyai peluang disebabkan Perak juga antara negeri yang mempunyai bilangan kerusi Parlimen yang besar, dengan keseluruhan sejumlah 24 kawasan.

“Sekiranya PH berjaya menang banyak kerusi Parlimen di Perak dan DUN mungkin Perak akan kembali kepada pemerintahan PH, dalam PRU14 Perak memang milik PH.

“Jadi apabila PH berjaya menawan Perak, ia boleh menyebabkan pertambahan bilangan kerusi Parlimen dimenangi PH yang boleh menyumbang pembentukan kerajaan Persekutuan di Putrajaya,” katanya.

Faktor sokongan pengundi bukan Melayu dan kumpulan pengundi atas pagar kepada PH juga perlu diambil kira untuk Perak menjadi tambahan kepada tiga negeri dikuasai PH setakat ini, tambahnya.

Namun Mazlan menjangka kejayaan itu akan ditentuk kecenderungan pengundi pertama kali dan pengundi berumur 18 tahun yang didaftarkan secara automatik.

“Sokongan pengundi Cina dan atas pagar kepada PH ada peningkatan, pada masa sama isu sekarang agak menyebelahi PH dan di Perak PH berpeluang menambah kerusi Parlimen dan ada peluang kembali memerintah.

“Cuma ada beberapa pembolehubah lain yang menyebabkan kita rasa sukar membuat agakan kepada keputusan ini.

“Ada sejumlah pengundi baharu, pertama kali yang mungkin boleh mempengaruhi hala tuju itu dan boleh mempengaruhi landskap politik,” katanya.

Di Parlimen Tambun, terdapat sejumlah 52.8% kumpulan pengundi berumur 18 hingga 39 tahun, daripada keseluruhan 160,558 pengundi di kawasan itu. Baki 75,648 pengundi pula berumur 40 tahun ke atas.

Dalam PRU14 penyandang Ahmad Faizal Azumu menang atas tiket PH ketika Bersatu bersama gabungan itu dengan 38,661 undi dan memperolehi majoriti sekitar 5,320 undi.

Ahmad Faizal kali ini mempertahankannya atas tiket Perikatan Nasional (PN), selepas Bersatu keluar dari PH.

Dengan penyertaan Anwar, beliau sukar mempertahankan undi yang diterimanya daripada penyokong PH dalam PRU14.

Mazlan menjangka kerusi Tambun yang mempunyai demografi pengundi Melayu sekitar 67% dan Cina 20% serta India 11% antara faktor yang akan membantu kejayaan Anwar.

“Kalau dilihat demografi dan trend semasa PH ada kelebihan di Perak, banyak kerusi kawasan ada pengundi bukan Melayu signifikan. Di Tambun jumlah pengundi Cina tinggi, itu sebenarnya satu potensi untuk Anwar berjaya di Tambun,” kata Mazlan.

Namun begitu, sekiranya PH gagal dalam langkah menawan Perak, ia menunjukkan gabungan itu masih bergelut dengan prestasi mereka, kata Mazlan.

Tanpa bilangan kerusi mencukupi dari Perak, PH sukar merebut kembali Putrajaya, katanya.

“Jika PH gagal menawan Perak menunjukkan PH belum pulih daripada prestasi terbaik pada PRU14.

“Maknanya mereka masih bergelut dengan prestasi, kegagalan di Perak boleh sebabkan kegagalan PH ke Putrajaya, Perak boleh sumbang kerusi banyak untuk tubuhkan kerajaan,” tambah Mazlan.

Penganalisis dari Universiti Sains Malaysia Azmil Tayeb pula berkata, kemenangan PH di Perak juga boleh menjadi tanda aras parti gabungan itu diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Namun, sekiranya PH gagal di Perak, ia menunjukkan kelompok pengundi luar bandar masih belum dapat menerima mereka.

“Ini satu percaturan yang boleh menghantar mesej besar kepada parti lain jika PH berjaya menawan Perak dan merampas banyak kerusi BN dan Umno di sana.

“Perak ada banyak kawasan campur dan kawasan majoriti Melayu dan luar bandar. Kemenangan PH di Perak boleh dijadikan tanda yang PH boleh diterima oleh pelbagai jenis masyarakat.

“Tetapi jika gagal, PH akan masih dikenali sebagai gabungan yang cuma disokong oleh pengundi bukan Melayu dan pengundi bandar besar,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Selain Anwar, PH turut meletakkan bekas ketua penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin di Perak di kubu kuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi Bagan Datuk.

Shamsul membawa rekod sebagai ‘giant killer’ kerana berjaya menewaskan Ketua Menteri Melaka Mohd Ali Rustam di kerusi Hang Tuah Jaya dalam PRU13.

Nik Omar Nik Abdul Aziz yang merupakan anak kepada bekas mursyidul am PAS turut menjadi calon PH untuk bertanding kerusi Pasir Salak. – 9 November, 2022.

INI BERITA BAIK

UNTUK RAKYAT

AMIN

GEROMBOLAN

AKAN KALAH

AMIN

PERAK DULU

PERNAH DIBAWAH

PAKATAN

KINI AKAN KEMBALI

KEPADA PAKATAN

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: