Ahad, 5 Mac 2023

BANJIR DI JOHOR MEMBIMBANGKAN



Banjir di Johor membimbangkan


KEADAAN banjir di beberapa negeri semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara meningkat kepada 48,989 orang setakat pagi ini.

Johor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 44,860 orang diikuti Pahang (2,978), Negeri Sembilan (587), Melaka (493) dan Selangor (71).

Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan seramai 13,029 keluarga telah ditempatkan di 260 PPS di 10 daerah yang terjejas dengan bencana tersebut. 

Menurut kenyataan JPBN itu, Batu Pahat merupakan antara daerah paling ramai penduduk teruk terjejas banjir dengan sejumlah 14,030 orang daripada 4,084 keluarga, diikuti Segamat dengan 13,334 orang (3,897 keluarga) dan Kluang, 5,296 mangsa (1,533 keluarga).


Di Pahang, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini seramai 2,978 orang berbanding 2,860 orang malam tadi, yang ditempatkan di 23 PPS.

Daerah Rompin kekal merekodkan mangsa paling ramai iaitu 2,615 orang di 20 PPS diikuti Temerloh (305 orang, sebuah PPS) dan masing-masing 29 mangsa di sebuah PPS di Bera serta Maran. 

Di Melaka, jumlah mangsa meningkat lagi kepada 493 orang daripada 134 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 448 mangsa daripada 118 keluarga pada 8 malam tadi.

Amaran hujan berterusan di Sarawak, Pahang, Johor hingga esok


JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan (Buruk) yang dijangka berlaku di Sarawak iaitu di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong (Pusa and Betong) sehingga esok (6 Mac).

MetMalaysia juga pada 10.35 pagi ini mengeluarkan amaran hujan berterusan (Waspada) yang dijangka berlaku di Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei, Sibu (Sibu  dan Kanowit) dan Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu) di Sarawak, juga sehingga esok.

Sementara itu amaran hujan berterusan (Waspada) itu juga dikeluarkan bagi kawasan di Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Kluang, Mersing dan Kota Tinggi). – Bernama, 5 Mac, 2023.

HUJAN TERUS

TURUN

AMIN

AWAS 

HATI HATI

BAHAYA LETERIK

KHALAS

Tiada ulasan: