Jumaat, 24 Mac 2023

DARI BRICKFEILDS LAGI


DARI BRICKFEILDS 

 LAGI


Satu ketika dulu   dalam tahun-tahun  1870’an ada satu wilayah yang tidak jauh dari stesen kereta api Kuala Lumpur   masih lagi   berdinding papan dan beratap rumbia. Kebakaran sering berlaku. 

Ketika ini Perjanjian Pangkor telah di tanda tangani.  Tanah Melayu telah menjadi tanah jajahan Inggeris. Tuan Residen yang fasih  Bahasa Melayu  dan  menjadi wakil Mahkota Inggeris      ialah  Frank Swetthenham ( 1859-1946). 

Oleh kerana berlaku kebakaran maka Tuan Residen mengarah rumah kedai di wilayah ini  di buat dari batu bata. 

Kapitan China Yap Ah Loy ( 1837-1885 )   mengambil kesempatan dan telah mendirikan kilang batu bata. Dari kilang batu bata ini  nama wilayah ini menjadi Brickfeilds  dalam Bahasa Mat Salleh atau – Padang Batu Bata.  

Kampung  yang selalu terbakar di sebelah Brickfeilds   ialah  Kampung Atap. Hingga ke hari ini daerah ini masih kekal nama Kampung Atap. 

Stesen kereta api Kuala Lumpur dibina dalam tahun 1910 dan siap pada tahun 1917. Wilayah Brickfeilds   yang  tidak jauh dari stesen terus menjadi depot Kereta Api Tanah  Melayu.

Depot Brickfeilds  ini sama juga peranannya dengan depot kereta api  di Sentul. Buruh dan pekerja kereta api ini majoritinya  Orang India. Orang India ini dipanggil oleh Orang Melayu sebagai Keling.

Keling dalam istilah  Orang Melayu ini  mengambil sempena nama  Kerajaan Kalinga di India. Malah dalam kitab  Salalatus  Salatin – Sejarah Melayu  selalu disebut perkataan  Keling. 

Ayat seperti - ... memakai pakaian seperti Anak Raja Keling.....  Ayat ini bukan penghinaan tapi satu penghormatan.

Aku tidak tahu bila dan kenapa perkataan Keling ini diangap satu penghinaan.

Selalu aku  bertanya – apakah  Tanjung Keling di Melaka menghina Orang India. Apakah masjid tertua di Pulau Pinang - Masjid Kapitan Keling  di Lebuh Pitt  menghina Orang India. Masjid  tertua ini  didirikan pada tahun 1916.

Justeru penduduk Sentul dan Brickfeilds  kebanyakan Keling .  Maka dua wilayah ini di kenali sebagai Pekan Keling oleh Orang Melayu.

Hari ini Brickfeilds  di kenali sebagai Little Keling opps.. maaf  silap...Little India.

Seratus tahun kemudian – 1971 Hishamuddin Rais   Sakai  Orang  Asli suku Biduanda  dari Jelebu datang dan berkenalan dengan Brickfeilds .

Ketika  mula  berkenal dengan Brickfeilds   aku   tidak begitu ingat nama -nama asal  jalan wilayah ini. Aku rasa ketika  itu ianya pasti menggunakan nama Mat Salleh.  Contohnya di Brickfeilds  hingga ke hari ini   masih ada lagi Jalan Scott  yang memakai nama Mat Salleh.

Siapa manusia Scott ini tidak aku ketahui.

Aku masih ingat   lagi jalan di seberang Sungai Klang di sebelah Brickfeilds  ialah Jalan Lornie. Kini  di Melayukan untuk menjadi Jalan Syed Putra.  Flet Le Chateau – nama Perancis -  yang aku sewa letaknya di Lorong Syed Putra Kiri. 

Keluar dari Lorong Syed Putra Kiri aku akan bertemu dengan Sungai Klang, Di seberang sungai tegak berdiri Rumah Pasung Brickfeilds . Rumah Pasung tepi sungai ini  bersejarah untuk aku. 

Pada  Selasa 3 Disember 1974  kami pelajar dari Institut Teknoloji Mara, dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan dan dari Maktab Teknik Jalan Gurney   telah keluar berdemo  di Dataran Merdeka.

Kami bersetia kawan dengan kaum tani miskin di Baling. Tani miskin di Kedah ini telah keluar berdemo  seminggu awal dari kami di Kuala Lumpur.
Ramai pelajar kena tangkap .Akhbar dan media propaganda milik kerajaan melaporkan hanya  500 pelajar turun berdemo. 

Ianya menjadi lawak apabila polis melaporkan lebih 1000 pelajar di tahan.

Pelajar yang ditangkap  – lebih  seribu orang  - telah di bawa ke Rumah Pasung Brickfeilds . Lokap tidak dapat menerima jumlah tahanan yang ramai. Maka mereka tidur di padang badminton depan balai.

Rabu eskonya  dari apa yang aku dengar Anwar Ibrahim telah datang ke balai untuk menjamin pelajar yang ditangkap. Dia di tangkap di bawah ISA.

Rumah Pasung ini juga ada berkaitan dengan aku. Pada 4 April 1997  Parti PAS telah mengadakan demonstrasi  lepas sembahyang Jumaat di Masjid Universiti Malaya.  

Parti Islam PAS membantah kedatangan pasukan Kriket Israel dalam perlawanan Trofi  Kriket Antarabangsa di Kuala Lumpur

Ada tangkapan berlaku. Pemimpin Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan Mahfuz telah  di tangkap bersama Jalaludin Manaf a.k.a Amjal. Mereka di tahan di Rumah Pasung Brickfeilds .

Pada Sabtu 5 April  awal pagi aku  yang tinggal tidak jauh dari rumah pasung telah datang ke balai.

Dalam balai aku terserempak dengan Mahfuz  dan Salahuddin.  Ini kali pertama kami bertemu. Mereka  hairan melihat aku datang ke balai.

Mereka tidak tahu Pak Cik  Amjal – orang kuat  PAS  ialah bapak saudara aku. Adik kepada ayah aku – Rais Manaf .

Rumah Pasung Brickfeilds  ini dikenali sebagai ganas. Pada tahun 2004 Francis  Udayapan di temui mati. Mata-mata dan polis Brickfeilds  menerangkan yang Francis  melarikan diri dari lokap. Dia terjun ke dalam Sungai Klang di belakang balai  dan mati lemas.

Emak  Francis Sara Lily George menolak keterangan polis ini. Sara yakin Francis di. bunuh dalam lokap. Untuk mengalih cerita mayat Francis telah dibuangkan ke dalam Sungai Klang.

Ketika mayat ditemui tangan Francis masih bergari.

Ketika tulisan ini digarap Rumah Pasung ini telah di runtuhkan. Kawasan kelilingnya di pagar  zink. Aku tidak tahu apa projek yang akan dibina di tapak rumah pasung Brickfeilds .

Tahun 1971 ketika aku di UM di depan Rumah Pasung Brickfeilds  ialah sederet kedai makan China. Kedai pertama  bernama The Pines. Maka wilayah ini di kenali sebagai The Pines.

Begitu popular sekali kedai-kedai makan di wilayah ini hingga ianya masuk ke dalam senarai pelancongan  Where To Eat – untuk pelancong dari luar  negara.

Hari ini semua berubah. Ada nama jalan Tun Sanbanthan (1919-1979).  Sosok ini ketua parti MIC dan juga  menteri Perpaduan dalam kabinet Tun Razak.  

Ada nama jalan Thambypillay. Aku tidak  tahu siapa  Thambipillay yang menjadi nama jalan tempat aku melepak. 

Aku melepak  di Old Town Cafe di permulaan Jalan Thambipillay. Di hadapan cafe ini ialah bangunan YMCA yang dirikan 113 tahun  dahulu.

Aku memilih Old Town Cafe ini secara tidak sengaja. Tidak dirancang. Ianya datang dengan sendiri kerana pekan Brickfeilds  ini yang paling hampir dengan tempat aku menyewa.

Aku menapak dari pintu ke pintu tidak sampai 20 minit. Justeru aku boleh menetapkan masa untuk membuat temu janji dengan sesiapa saja di Old Town Cafe.

Di Old Town aku akan  memesan Teh Si kosong. Ini teh susu  cair.  Aku telah berpuluh tahun meninggalkan gula. Malah aku terlupa bila kali terakhir aku membeli gula pasir. 

Tetapi bila aku memasak gulai ikan atau  aku memasak patin tempoyak – jika durian kurang manis – aku akan menggunakan gula batu.
 
Sejarah aku dengan Old Town ini agak tebal. Malah ketika aku  dibicarakan  pada tahun 2013 kes  tuduhan   Akta Hasutan 1948 aku telah menyebut nama  Old Town Cafe dalam Mahkamah Jalan Duta.

Memang niat aku untuk merakamkan sejarah di mana aku melepak. Untuk aku ini romantik.

Dengan penuh romantik aku telah membaca tentang  Cafe de Flore di mana aktivis politik kiri, novelis  dan ahli falsafah Jean Paul Sartre  (1905-1980) melepak di Paris.  

Dengan penuh romantik aku juga membaca  Cafe Mort Subite di Brussels – Belgium. Aku diberitahu di cafe ini Rene Magritte (1898-1967) selalu melepak. Magritte ialah pemula gerakan lukisan surrelis – warga Belgium.

Dengan penuh romantik juga  aku membaca tentang   Saint George Bar tempat Kim  Philby ( 1912- 1988)  melepak di Beirut Lebanon.

Kim Philby adalah ‘ master spy ‘. Kim adalah  ‘ double agent ‘ bekerja untuk M16 badan risikan Inggeris  dan KGB - lembaga risikan Rusia – di zaman Perang Dingin

Dalam mahkamah ketika aku didakwa kerana menghasut ,  Tuan Hakim telah bertanya  di mana aku dapat tahu tentang Perhimpunan Di Dewan China pada 13 Mei 2013.

Dalam kertas tuduhan  dalam perhimpunan ini aku telah menghasut orang ramai untuk turun ke jalan raya dan menggulingkan kerajaan.

‘ Saya datang ke sini untuk menghasut... ‘ Ini adalah permulaan klip video  yang ditayangkan dalam  mahkamah sebagai bahan bukti. 

Pertanyaan Tuan Hakim ini telah memberikan aku peluang untuk merakam sejarah.  

‘ Banyak aktiviti dan rancangan  demo yang disusun semua di rancang di Old Town Cafe.....’ aku sengaja bercakap sedemikian dalam mahkamah di hadapan Tuan Hakim.

Aku tahu perbicaraan ini akan tulis dan di rakam. Aku mahu Old Town Cafe menjadi ingatan sejarah. 

Untuk aku ini romantik.

Apa sejarah Old Town Cafe?

Sejarahnya tidak aku hamburkan  semua kepada tuan hakim. Ramai sosok- sosok yang aku temui di Old Town Cafe. Semuanya ada sejarah dengan diri aku dan politik negara.

Siapa dia ? Tunggu sambungan minggu depan. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/03/24/dari-brickfields-bahagian-2


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kadir jasin pun disini juga kah? ada suatu waktu, bila membaca kadir jasin bermula capital letter, full stop boleh dijumpai dalam tukar tiub.