Ahli politik lindungi sindiket judi dalam talian, kata menteri
NAUNGAN politik adalah halangan terbesar dihadapi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis bagi mengambil tindakan terhadap sindiket perjudian dalam talian, kata Saifuddin Nasution Ismail kepada Dewan Rakyat hari ini.
Menteri dalam negeri itu mendedahkan sindiket ini dilindungi oleh ahli politik, yang mendapat manfaat daripadanya.
“Ya, memang wujud elemen naungan politik ke atas players (pengendali platform perjudian dalam talian) ini.
“Dari situ datang pengaruh dan perlindungan, korupsi dan rasuah, (oleh itu) wujud kehendak politik untuk mengada dan membaharui tekad memerangi habis-habisan.
“Pusingannya adalah ‘players’ dinaungi dan dia membalas (jasa) tuan politik. Tuan politik melindungi dia supaya tindakan tidak diambil. Contohnya, maklumat dibocorkan dan sebagainya,” katanya kepada Parlimen hari ini semasa Waktu Pertanyaan Menteri.
Beliau menjawab soalan Ramanan Ramakrishnan (Sungai Buloh-PH), yang bertanya langkah diambil oleh kementerian untuk menangani aktiviti perjudian dalam talian dan jika terdapat naungan politik yang menghalang polis daripada mengambil tindakan terhadap sindiket. – 15 Jun, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan