LFL dakwa Azam campur tangan siasatan polis kes kematian dalam tahanan SPRM
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dituduh campur tangan dalam siasatan polis yang sedang dilakukan terhadap cubaannya awal hari ini untuk menjelaskan tentang kematian seorang lelaki dalam tahanan SPRM.
Azam mendakwa mangsa terbabit tidak sihat dan meninggal dunia di hospital.
Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek dalam satu kenyataan berkata Azam tidak seharusnya tergesa-gesa membuat kesimpulan atau menjelaskan punca kematian mangsa kerana siasatan polis baru bermula.
“Polis yang siasat dan akan umumkan hasil siasatan atau merujuk perkara itu kepada Pejabat Peguam Negara.
“Tiada kesimpulan boleh dibuat pada masa ini, sama ada wujud perbuatan khianat atau tidak dalam kes itu,” katanya.
Zaid berkata pegawai Azam sendiri sedang disiasat berhubung kematian dalam tahanan itu.
Katanya, kematian itu berlaku di ibu pejabat di mana pejabat Azam berada.
“Maka, penjelasannya tidak ada nilai kerana Azam adalah pihak berkepentingan.
“Kenyataan terbuka seperti ini berkenaan siasatan polis yang sedang berjalan, berpotensi untuk mempengaruhi atau campur tangan siasatan,” kata Zaid.
LFL pada masa sama menggesa ketua polis negara menubuhkan unit siasatan khas dari Bukit Aman untuk menyiasat insiden itu.
“Dengan kematian Teoh Beng Hock pada 2009 dan Ahmad Sarbani Mohamed pada 2011 ketika dalam tahanan SPRM, polis perlu melihat perkara ini dengan serius.
“Siasatan perlu telus dan cepat. Tindakan tegas mengikut undang-undang perlu diambil jika ada pegawai SPRM didapati terbabit dalam kes itu,” kata Zaid. – 16 Jun, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan