Isnin, 9 September 2024

BUDAK KOLONIAL AMERIKA BELOT ?


BUDAK KOLONIAL 

AMERIKA BELOT?


Pada Khamis 29 Ogos 2024 majalah The Economist  dari London telah menulis tajuk berita ini : Why does the West back the wrong Asian leaders?

The Economist bertanya - Mengapa Barat menyokong pemimpin Asia yang salah?

Ini  petikan sebahagian dari tulisan The Economist:
Barat silap  membaca siapa Anwar. Tetapi itu sepatutnya tidak mengejutkan. Kerajaan Barat sering memperjuangkan tokoh pembangkang Asia yang menjanjikan pendekatan liberal tanpa melihat dengan teliti rekod prestasi mereka, atau kenyataan mereka dalam bahasa vernakular kepada orang ramai di rumah. Dalam kes  Anwar, masa beliau sebagai timbalan kepada Mahathir Mohamad—perdana menteri Malaysia yang autoritarian dan anti-Barat dari 1981 hingga 2003—sepatutnya menjadi petunjuk bagaimana beliau akan memerintah.

Justeru saya wajib menerangkan hantu  jenis apa   majalah The Economist yang mula diterbitkan  pada tahun 1843. 

The Economist ialah majalah mingguan yang diterbitkan dalam format majalah bercetak. Hari ini ada portal digital. Ia memberi tumpuan kepada hal ehwal semasa, perniagaan antarabangsa, politik, teknologi dan budaya, dan kebanyakannya ditulis dan disunting di Britain.

Hakikatnya asal usul majalah berumur 181 tahun ini mewakili kepentingan ekonomi kaum pemodal kapitalis  Inggeris.  

 Bila politik dan ekonomi dunia berubah satelah Perang Dunia Ke Dua majalah ini mewakili kepentingan kaum pemodal – para kapitalis Anglo-Amerika. Saya ulang The Economist hari ini mewakili kepentingan kaum kapitalis Anglo-Amerika.
 
Ketika tulisan ini digarap – tahun 2024 -  Amerika Syarikat masih lagi kuasa yang mendominasi dunia kita hari ini. Pesaing seperti China dan Rusia wujud tapi belum berjaya mengubah kuasa hegemoni Amerika.

 Amerika menjadi kukuh apabila status dolar dijadikan sebagai mata wang rizab global selepas Perang Dunia Ke Dua oleh Persidangan Bretton Woods 1944.

Dari sini muncul istilah Anglo-American imperialism. Istilah ini menunjukkan  ada kerjasama kuasa Inggeris dan kuasa Amerika untuk mendominasi dunia. 

Mengikut istilah fahaman Marxist -  Amerika hari ini ialah negara imperialis. Imperialisme adalah tahap akhir dalam perkembangan ekonomi dalam sistem  kapitalis. Bila sampai ke tahap imperialisme ekonomi kapitalis tidak dapat berkembang lagi. Pelbagai krisis akan timbul. Ekonomi pancit meleset, mata wang kucar kacir dan negara menuju muflis. Semua membawa potensi perang. Ini yang kita saksikan sedang berlaku di hadapan mata kita hari ini.

Inggeris meninggalkan pentadbiran Tanah Melayu pada tahun 1957 kepada Budak Kolonial Inggeris bernama Tunku Abdul Rahman. Untuk sementara waktu Tanah Melayu di bawah United Malays National Organisation Tanah Melayu masih setia di bawah hegemon Inggeris.

Pada tahun 1963 Tanah Melayu berubah menjadi Malaysia. Peranan Budak Kolonial masih dimainkan oleh Tungku dengan baik. Tanah jajahan Inggeris  di Borneo  sempat diselamatkan dari pengaruh Bung Karno  dan api gerakan nasionalis Dayak yang mahu merdeka berjaya dipadamkan.

Pasca 1963 Malaysia masih lagi di bawah kuasa hegemon Anglo. Ini terbukti apabila  Presiden Johnson dari Amerika datang melawat Kuala Lumpur pada 30 Oktober 1966 untuk meminta Askar Melayu terlibat sama dalam Perang Vietnam.

Tungku menolak untuk terlibat dalam Perang Vietnam. Tungku hanya bersetuju untuk menerima program RNR. Program ini membolehkan soldadu Amerika datang bercuti ke Malaysia satelah 6 bulan  berkhidmat di medan perang.

Program RNR ini pun dikritik keras oleh warga tempatan. Dengan tertiba Pulau Pinang dan Kuala Lumpur melihat pertumbuhan sarang pelacur seperti Bangkok. Program ini akhirnya dibatalkan.

Berhadapan dengan Perang Vietnam dan kekalutan ekonomi Amerika mengambil langkah untuk menyelamatkan diri. Ketika itu kuasa hegemon Amerika sedang dilawan oleh USSR – Soviet Rusia.

Amerika berjaya memperkukuh diri. Pada tahun 1973, sistem petrodollar dicipta melalui perjanjian antara AS dan Arab Saudi. Negara-negara dalam dunia dipaksa bersetuju untuk guna dolar dalam jual beli  minyak. Dengan minyak yang diseragamkan dari segi dolar, mana-mana negara yang membeli minyak dari Arab Saudi perlu menggunakan dolar.

Petrodollar menyelamatkan Amerika.

Politik dan ekonomi dunia terus berubah. Hegemoni kuasa imperialis Anglo-Amerika hari ini sedang di lawan oleh Rusia dan China. 

Kalau dulu Perang Vietnam menggugat dolar dan ekonomi Amerika. Hari ini Vietnam di gantikan oleh Afghanistan, Ukraine dan Israel. Perang berterusan menjadikan ekonomi Amerika mula merundum.

Ekonomi Amerika menjadi lebih meruncing bila pada tahun 2006 munculnya kesatuan ekonomi dan politik BRICS – Brazil, Rusia, India dan  China . Afrika Selatan masuk pada  tahun 2010. BRICS  membesar dengan Mesir, Ethiopia, Iran, Saudi Arabia dan United Arab Emirates.


Dolar Amerika diancam oleh mata wang Yuan dari China dan Rubel dari Rusia.

Pada 30 Julai 2024 yang lalu Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengeluarkan kenyataan untuk menjadi anggota BRICS.  Malaysia mengumum telah melamar untuk menjadi anggota BRICS.

Pada ketika ini BRICS telah membuat ketetapan tidak akan menerima secara rambang negara yang melamar. BRICS memperketatkan keahlian.

Justeru Anwar ketika tulisan ini digarap datang ke Vladivostok Rusia untuk menyertai Forum Ekonomi Timur yang ke 9. Anwar bertemu dengan Putin  pemimpin  BRICS. Anwar dilapur sedang melamar untuk menjadi anggota BRICS.

Bila ini berlaku  - Barat terutama Amerika merasa Anwar Budak Kolonial Amerika telah mengencingkan mereka. Apakah Malaysia akan  menolak dolar dan menggantikan Ringgit dengan Yuan atau Rubel.

Justeru The Economist bersuara dan menulis bagaimana Barat telah tersilap baca siapa sebenarnya Anwar bin Ibrahim ini. Apakah Budak Kolonial telah belot. Beranikah Anwar  kencingkan Amerika.

Dari segi persejarahan saya  pernah terbaca tulisan arwah Subky Latiff yang berkata ABIM – Angkatan Belia Islam Malaysia – bermula di Jalan Ampang. Ini tulisan memperli Anwar kerana Kedutaan Amerika pada ketika itu ada di Jalan Ampang.

Anwar Ibrahim ini memang sering ditulis dan  dibaca  oleh pemerhati dan penganalisa politik di Malaysia sebagai Budak Kolonial Amerika.

Ini sahih dibuktikan apabila Amerika terus menyokong  Anwar Ibrahim ketika Anwar  dalam penjara - Kes Liwat Pertama dan Kedua. 

Akhbar The New York Times pada 17 November 1998 melaporkan Al-Gore Timbalan Presiden Amerika mengutuk Malaysia kerana memenjarakan Anwar. Kutukan ini dibuat di Kuala Lumpur ketika persidangan APEC. Ini ketika Gerakan Reformasi sedang membara. Kenyataan Al Gore ini agak kurang ajar dan kurang diplomasi. Tapi Amerika marah kerana Budak Kolonial mereka telah di penjara.

Ketika Al-Gore mengutuk kerajaan Malaysia  – kuasa imperialis Anglo-Amerika mahu Mahathir Muhamad diundurkan. Ini projek ‘ regime change ‘  sedang berjalan.


Mahathir di lihat dibaca sebagai pemimpin Dunia Ketiga yang berani menyuarakan nadi dan harapan negara Dunia Ketiga.

Mahathir lantang mengkritik Amerika. Justeru Amerika menganggap Mahathir merbahaya. Justeru Anwar wajib terus di dukung dan dinobatkan sebagai pengganti Mahathir.

Peranan Anwar sebagai Budak Kolonial Amerika ini disah dan dibuktikan dengan apa yang kita lihat, baca dan dengar melalui jaringan media pro pemodal Anglo-Amerika.  Amerika terus bersuara menyokong Anwar Ibrahim

Sosok seperti Robert  Rubin dan Paul Wolfowitz  selain dari Al-Gore adalah penyokong Anwar yang ketat. Paul Wolfowitz  bekas Duta Amerika ke Indonesia ini sahabat intim Anwar. Paul menjawat Setiausaha Pertahan dan juga Presiden Bank Dunia ke 10.

Anwar sendiri pernah menjadi penasihat IMF – Internasional Monetery Fund. Ini ketika dia menjadi Menteri Kewangan dalam kabinet Mahathir.

Melalui pengaruh Paul Wolfowitz Anwar selepas keluar dari penjara dapat menjadi tenaga akademik di John Hopkins University walau pun hanya dengan kelulusan Pengajian Melayu.

Wajib saya umumkan disini nama-nama gedeber Amerika yang ditulis ini adalah dari kumpulan Neo-Konservatif. Malah Paul Wolfowitz adalah arkitek Perang Iraq.

Lalu saya bertanya: Apakah perasaan  Paul Wolfowitz melihat gambar Anwar bersalaman dengan Putin – musuh Amerika -  apakah dia merasa telah  kena kencing oleh Anwar Ibrahim.

Apakah Al-Gore menyesal kerana dulu menyokong Anwar.

Untuk ini saya ada pendapat. Pandangan lain untuk mengenali siapa Anwar Ibrahim ini.


Anwar Ibrahim untuk saya tidak memilik apa-apa pandangan dunia yang kukuh.  Anwar tidak memiliki ideologi. Awalnya Anwar dibaca oleh Amerika sebagai penganut Islam radikal. Tetapi akhirnya Amerika sedar Islam yang dianuti oleh Anwar hanya alat sahaja.  

Anwar dituduh sebagai penganut faham liberal oleh musuh politik. Ini tidak betul. Ini satu tohmahan.

Penganut fahaman  liberal tidak akan menggunakan Akta Hasutan 1948  untuk melawan musuh politik. Tidak akan menangkap sosok yang mengkritik kerajaan. Atau menutup ratusan akaun Tik Tok yang isinya menganjing Madani jadi  Madanon.

Kebebasan bersuara ada rukun iman kaum liberal.

Anwar dituduh sebagai sekular. Ini juga tidak betul. Minggu lalu Anwar memperkukuhkan JAKIM dalam pentadbiran negara.

Anwar hari ini mahu di lihat lebih Islam dari Islam Parti PAS. Anwar mahu Melayu Islam menyokong dia.

Anwar dituduh penyokong LGBT. Ini juga tidak betul. Anwar walau pun dibuktikan meliwat dalam mahkamah. Walau ada jambu bernama Sukma. Masih ada jambu bernama Saipol.  Anwar masih menuduh dia difitnah. Kes liwat mengikut Anwar adalah satu konspirasi politik. 

Jadi siapa Anwar Ibrahim ini ?

Untuk saya Anwar Ibrahim  penganut fahaman yang saya namakan  sebagai whateverisma – penganut fahaman apasaje. Sosok yang menganuti faham ini boleh menjadi pelbagai bentuk.

Anwar di hadapan Tok Mufti akan melebong tentang Qardawi. Di hadapan kumpulan Mat Todi  Anwar meloncat menghambur sambil  menyanyi lagu filem Sangam - Dosh Dosh Na Raha. Di hadapan para pemikir dan intelektual dia akan memetik kata-kata Gabriel dan Fanon.

Di hadapan media dunia Anwar melebong dan cuba menyamakan dirinya dengan   Mandela.

Lebong whateverisma ini digunakan juga dalam urusan politik. Ini kita saksikan  dari apa yang telah berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat. Perpecahan PKR ini adalah hasil whateverisma.

Ketika Anwar dalam penjara PKR berjalan dengan tenang  baik, tersusun dan teratur. Bila saja Anwar dibebaskan maka PKR mula bergelawak satu sama lain.

Kepada Azmin Ali  Anwar cakap ini kepada Ezam Anwar cakap itu. Kepada Syed Husin Anwar cakap kita kepada Chandra Anwar cakap jangan lawan. Kepada Tian Chua Anwar cakap ini kepada William Leong Anwar cakap itu. Kepada Saifuddin Anwar cakap lu ini sosok setia. Kepada Rafizi Anwar cakap lu ini amat bijak.

Kepada parti-parti politik lain pun modus operandi yang sama digunakan oleh Anwar. Kepada Mat Sabu Anwar cakap lawan. Kepada Mujahid Anwar cakap kawan. Kepada Anthony Loke Anwar cakap kita buat. Kepada Guan Eng Anwar cakap kita batal.

Kepada kaum pemodal dan kapitalis  tempatan whateverisma digunakan juga. Kepada Vincent  Tan Anwar kata sokong peniaga China. Kepada Syed Mokhtar Anwar mahu peniaga Bumiputera wajib di dahulukan.

Jangan lupa dengan geng ABIM lama. Kepada Tuan Haji Hadi Anwar cakap halal. Kepada Tuan Haji Ismail Mina Anwar cakap haram.


Ini ciri yang hakiki whateverisma yang dianuti oleh Anwar. Bercakap  berdulak dalik atau klu klak kata Orang Terengganu.

Bukti  dulak dalik  melebong ini bersepah-sepah  dalam YouTube. Ini bukan lebong atau penglipur lara dari Hishamuddin Rais.

Janji janji  Anwar mahu menurunkan harga minyak, janji nak lawan rasuah - janji tangkap Adam Baki , janji hendak hapuskan tol. Semua ini masih boleh dituntun dalam YouTube. Saya ulang semua boleh dituntun dalam YouTube.

Dalam politik luar negara whateverisma ini terus diguna pakai. Kepada Modi Anwar minta maaf hal Kashmir. Bila  berjumpa Shehbaz Sharif Anwar kata lain pula. Kepada  Ismail Haniyeh Anwar kata Malaysia sokong Hamas. Kepada Larry Fink  Anwar kata Malaysia  akan  jual 39 buah lapangan terbang Malaysia kepada Blackrock.  Dan kontrak selama 46 tahun.

Di Istambul  Anwar cakap lain  kepada  Erdogan. Di Riyadh Anwar cakap lain pula kepada Muhamad Bin Salman.  Di Beijing Anwar kata No Dollar  kepada Xi Jinping. Di Washington Anwar kata No Yuan kepada  Joe Biden. 

Justeru kepada Paul Wolfowitz dan Al Gore saya nasihatkan jangan risau sangat  - tentang Anwar bin Ibrahim  yang baru berjumpa Vladimir bin Putin ini. Hakikatnya Budak Kolonial Amerika masih setia.

Percaya dan yakinlah cakap Hishamuddin Rais ini. 

Nanti apabila Anwar sampai ke Washington cakapnya akan lain. Jika kurang yakin dengan apa yang saya tulis ini sila minta pengarang majalah The Economist talipon  Anwar Ibrahim. Minta majalah ini   buat temu bual dengan Anwar Ibrahim. Janjikan muka Anwar Ibrahim akan jadi hiasan muka depan.


Dalam temu bual itu nanti pasti akan terserlah kesetiaan Budak Kolonial Amerika ini.  Anwar akan mengutuk  Putin kerana menyerang  Ukraine. Anwar akan berkata keselamatan Israel wajib di jaga  kepada Paul Wolfowitz.

Budak Kolonial Amerika tidak belot.

Atau sebenarnya  Hishamuddin Rais silap besar. Tulisan dari The Economist ini adalah tanda dan signal ‘regime change’  sama seperti tulisan The New York Times tentang Najib Razak. 

Atau tulisan The Economist ini akan menjadikan Anwar Ibrahim bertambah  setia sebagai Budak Kolonial Amerika. Walah hu alam bi sawab. Hanya Guru Nanak yang mengetahui. Amin. (TT)


TULISAN INI 
DISIARKAN JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA NOW. COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2024/09/09/whateverisma-dan-budak-kolonial-yang-tak-akan-belot



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tt pun sudah pandai merekrut guru nanak dalam tulisan beliau.
amen

Tanpa Nama berkata...

Jadi sokong hadi? Itu gila namanya. Barat tentulah tak sebodoh dan bengong seperti TT.